Home Novel Cinta BERARAK MENDUNG KELABU
Bab 23

Tubuh Pn.Hayati terbaring kaku di atas katil hospital. Sudah beberapa hari dia tidak sedarkan diri. Kini dia hanya bergantung pada bantuan alat pernafasan yang dipasangkan ke badannya sahaja. Dr. Zainab telah memberitahu keadaan kesihatan maknya kepada Taufik ketika dia dimasukkan ke situ.

Taufik benar-benar terkejut mendengarnya dan yang lebih mengejutkannya, bila mengetahui Aliya telah lama tahu mengenai perkara itu. Taufik kecewa. Dia kecewa kerana mak lebih rela memilih untuk berkongsi masalah bersama Aliya, tapi bukan dia anak kandungnya sendiri.

Perasaan marahnya pada Aliya semakin bertambah. Taufik mula meletakkan kesalahan di bahu isterinya itu. Dia menyalahkan Aliya kerana tidak berterus terang kepadanya. Hatinya jadi semakin sakit diperlakukan seperti orang luar oleh ahli keluarga sendiri.

“Kenapa tak beritahu perkara yang sebenar. Sampai bila Liya nak sorokkan perkara ni dari abang?” soal Taufik bertalu, dengan nada yang agak tinggi, memecah kesunyian di dalam bilik rawatan yang menempatkan Pn.Hayati pagi itu.

Kekecewannya pada Aliya sudah tak terbendung lagi. Aliya dilihat sengaja memandang remeh soal hidup dan mati maknya. Sebagai isteri seharusnya Aliya bersikap jujur. Taufik rasa dipermainkan. Aliya memang tak akan pernah berubah, tidak dulu mahupun sekarang. Isterinya itu sentiasa membelakanginya dalam segala hal. Hatinya kembali panas.

“Sampai hati Liya buat abang macam ni kan. Dari dulu sampai sekarang, Liya tak pernah pentingkan perasaan abang. Patutlah sejak Liya balik, abang tengok Liya rapat sangat dengan mak. Rupanya Liya simpan rahsia dia. Liya buat abang rasa macam orang bodoh!” kata-kata Taufik tajam menusuk jiwa.

Aliya terkedu mendengar tuduhan yang dilemparkan dari mulut suaminya itu. Sungguh, bukan niatnya untuk membelakangkan Taufik daripada mengetahui kebenaran. Sebaliknya ia adalah permintaan dari mak mertuanya itu sendiri. Mak masih belum bersedia untuk memberitahu Taufik kerana bimbang akan penerimaannya nanti. Aliya buntu. Dia tidak mampu untuk menjelaskan keadaannya yang sebenar. Air matanya bergenangan.

“Abang, Liya tak bermaksud pun nak…” kata-katanya mati di situ tadkala melihat renungan tajam Taufik terhadapnya. muka Aliya jadi takut untuk membela diri.

Melihatkan keadaan Taufik yang diselubungi api kemarahan, membuatkan Aliya mematikan niatnya. Silap haribulan lain pula yang terjadi. Angin Taufik tak dapat diduga. Biarpun dia berusaha untuk membersihkan diri, dia tahu Taufik takkan mendengar penjelasannya saat itu. Akhirnya dia pasrah. Dia tak mahu pergaduhan tersebut dipanjangkan, lagipun keadaan masih belum sesuai.

Pandangannya di arahkan kepada Pn.Hayati yang sedang bertarung nyawa di perbaringan.

“Mak bangunlah. Tolong Liya mak. Terangkan perkara sebenar pada abang. Liya tak kuat untuk tanggung semua ni.” bisiknya dalam hati. Air matanya jatuh laju menuruni pipi. Hanya Pn.Hayati satu-satunya harapan untuk dia membersihkan diri.

“Kalau tak sebab janji abang pada mak, dah lama abang suruh Liya pergi. Pergi tinggalkan kami. Selama ni pun kami dapat teruskan hidup tanpa Liya. Abang kecewa sangat dengan Liya. Abang dah tak nak…” Kata-katanya terhenti ketika mendengarkan bunyi aneh dari alat bantuan pernafasan ibunya. Dilihat tekanan darah ibunya meningkat secara mendadak. Serentak butang kecemasan ditekan.

“Doktor, nurse.” jerit Taufik cemas. Aliya berlari menuju ke muka pintu meminta pertolongan.

 

Taufik dan Aliya hanya terpaku di sisi katil. Doktor yang bertugas sedang sedaya-upaya memberikan bantuan kepada Pn.Hayati yang masih terbaring kaku. Taufik mula menitiskan air mata. Dia tak sampai hati melihat keadaan mak yang sedang bertarung dengan maut. Jantungnya terasa turut terhenti. Dia menyesal kerana belum dapat menunaikan janjinya.

“Mak…mak jangan tinggalkan Fik mak.” rayu Taufik penuh kesayuan.

Seketika kemudian, Doktor Zainab melemparkan pandangannya ke arah Taufik dan Aliya yang masih setia menanti sebelum dia menggeleng-gelengkan kepala perlahan. Alat bantuan pernafasan turut ditanggalkan. Doktor Zainab menghampiri Taufik yang masih terkejut dengan keadaan yang tak disangka-sangka itu. Dia seperti tidak dapat menerima kenyataan bahawa ibunya telah pergi buat selamanya.

“Maaf, kami dah cuba apa yang termampu.” tuturnya sambil menepuk-nepuk bahu Taufik sebelum berlalu pergi.

Dalam kepayahan Taufik menghampiri sekujur tubuh maknya yang terbaring kaku sebelum wajah itu dipandang sayu. Dadanya terasa ketat dan berat. Dia masih belum dapat menerima semuanya kerana dia belum bersedia.

“Mak, maafkan Fik mak.” ujarnya lantas tubuh itu dipeluk. Taufik menangis semahunya di dalam dakapan Pn.Hayati untuk yang terakhir kali.

Aliya masih tegak berdiri. Matanya tak lepas dari memandang ke arah Pn.Hayati. Terasa lemah segala urat sendi di kaki saat itu. Akhirnya dia terjelopok ke lantai. Harapannya hancur. Satu-satunya harapan terakhir untuk membela diri telah pergi dijemput ILLAHI.

“Mak…” tuturnya dalam suara yang terketar-ketar, dibaluti kesedihan yang tak terhingga. Tangisannya berlarutan. Suasana sayu menyelubungi ruang bilik tersebut tadkala esakan keduanya bersatu.

 

Selesai majlis tahlil, Taufik bersalaman dengan tetamu yang sudi datang malam itu ditemani oleh pak long Idris di sisi. Kebanyakan tetamu yang hadir adalah kenalan-kenalan rapat keluarga ayah dan ibunya tak berkecuali jiran-jiran terdekat yang turut dijemput sama. Zainal serta beberapa orang staf pejabat juga turut tak ketinggalan menghadirkan diri. Aliya hanya melihat situasi itu dari jauh. Dia takut untuk menghampiri Taufik. Peristiwa yang berlaku petang tadi masih segar dalam ingatan. Taufik memang sudah tidak perlukannya lagi, kerna yang tinggal hanya sebuah janji. Janji suaminya itu pada arwah mak untuk menjaganya walaupun dia tahu Taufik terpaksa.

Keadaan Taufik dilihat lebih tenang berbanding sebelumnya. Matanya bengkak, namun senyuman tetap terukir di wajah biarpun penuh kepayahan, tanda menghargai keperihatinan tetamu yang sudi hadir ke majlis tersebut.

Usai majlis Aliya membantu Mak Jah menguruskan pinggan mangkuk di dapur. Taufik pula terus memerukkan dirinya di dalam bilik bacaan. Zaim masih termenggu keseorangan di sofa. Aliya perasan perubahan kelakuan Zaim sejak petang tadi lagi. Zaim jelas terkejut tadkala melihat sekujur tubuh neneknya yang sudah selesai dimandi dan dikafankan terbujur kaku di hadapan mata.

Dihampiri neneknya itu perlahan. Tangan kecilnya mengusap-usap pipi neneknya yang sudah tidak bernyawa, kaku tanpa sebarang kata.

“Nek bangun nek. Kenapa nenek tidur kat sini. Nek bangun la nek.” ucapnya sambil menggoyang-goyang tubuh kaku itu. Pandangannya dialihkan pula pada Aliya yang berada di sisi.

“Ma, kenapa nenek senyap je ma? Nenek tak dengar ke Im panggil dia.” tambah Zaim lagi. Air mata mula bergenangan di kelopak mata keduanya. Aliya memeluk erat anaknya itu. Esakan Zaim mula kedengaran. Pipinya lenjun dibasahi air mata kesedihan. Dia tahu yang neneknya itu sudah tiada kerana dia pernah menonton keadaan itu di kaca telivisyen dulu.

Aliya terpaksa menenagkan Zaim. Tubuh Zaim dipeluk erat. Berharap pergi kesedihan yang melanda jiwa kecil anaknya itu. Dia tahu Zaim sangat rapat dengan arwah neneknya. Nenek lah tempat Zaim bermanja selama ditinggalkan bertahun-tahun olehnya.

“Shh…sayang jangan nangis. Im sayang nenek kan?” soal Aliya mengajak Zaim berbicara. Zaim membalas dengan anggukan.

“Kalau Im sayang nenek, bagi nenek rehat ya sayang. Nenek dah penat. Kita doakan nenek sama-sama ya.” tambah Aliya sambil mengusap-usap belakang Zaim. Air mata anaknya diseka sebelum dikucup pipi Zaim lembut, memujuk hati kecil anaknya yang dijeruk rasa.

Taufik melihat situasi yang berlaku dengan ekor mata. Sedikit-sebanyak dia lega Aliya ada untuk Zaim pada saat dan ketika itu. Memujuk dan membelai Zaim saat anaknya perlukan perhatian. Zaim terlalu mentah untuk menghadapi keadaan itu sendiri. Dia perlukan bimbingan.

 

Pintu bilik bacaan diketuk perlahan sebelum Aliya muncul di sebaliknya. Dia menghampiri Taufik yang sedang duduk di sofa. Taufik tidak mengendahkan kehadiran Aliya. Perasaannya cukup terguris. Belumpun sempat dia memaafkan kesalaha yang sebelumnya, isterinya itu menambah lagi kekecewaan di hati. Wajah Aliya yang mengharap langsung tidak dipandang. Hatinya betul-betul sakit.

Aliya memberanikan diri untuk membela diri kali ini. Perlahan-lahan dia melutut di hadapan Taufik yang jelas tidak gembira dengan kehadirannya di situ. Tangan suaminya itu diraih berhati-hati, serentak Taufik menepis tangan itu laju. Muka Taufik merah menahan marah. Dia bingkas bangun meninggalkan Aliya yang masih terkejut diperlakukan begitu.

 

Selesai membaca Surah Yasin, pusara dihadapannya di tatap lama. Masih jelas kelihatan wajah mak mertuanya itu di mata. Seorang lagi insan tersayang pergi meninggalkannya.

Tiada siapa yang dapat menghalang takdir. Segala yang berlaku mengikut aturan yang telah tertulis. Air mata yang mengalir di pipi diseka dengan belakang tangan. Aliya rindukan Pn.Hayati. Hidupnya jadi sunyi tanpa kehadiran mak di sisi. Mujurlah ada Zaim yang menjadi pengubat hati dan Mak Jah yang tak penat menasihati. Aliya menyirami pusara itu dengan air mawar sebelum perlahan-lahan dia meninggalkan kawasan perkuburan yang menjadi tempat persemadian abadi arwah mak mertuanya yang dikasihi.

 

Taufik membelek-belek deretan baju kemeja yang bergantungan di dalam almari. Lantas mencapai sehelai daripadanya lalu dipakai. Baju yang disediakan Aliya dibiarkan terdampar di atas katil. Dia tidak ada hati untuk memakai baju tersebut. Hatinya jadi panas setiap kali terfikirkan tentang Aliya. Semua perkara berkaitan dengan Aliya menimbulkan kemarahan di hati. Suaranya, tindak-tanduknya malah bayangnya juga tak ingin dilihat. Dia sakit hati setiap kali Aliya ada berhampiran.

Taufik melangkah laju melintasi ruang tamu menuju ke pintu utama. Zaim yang sedang bersarapan dipandang dengan ekor mata. Dia dapat mengesan kehadiran Aliya di situ. Perasaan marahnya datang lagi. Aliya berlari mendapatkan Taufik. Mahu mengajak Taufik bersarapan seperti selalu.

“Abang makan dulu. Liya ada sediakan mee goreng basah kegemaran abang. Sama macam dulu.” ujarnya memancing minat Taufik. Taufik tidak memberi sebarang tindak balas. Aliya memberanikan diri meraih tangan suaminya itu dan menariknya ke meja makan. Taufik marah diperlakukan begitu. Dia tak rela. Dengan pantas tangan Aliya ditepis. Aliya tahu kebarangkalian itu pasti berlaku. Dia sudah menjangkakan Taufik akan menolak pelawaannya itu seperti selalu. Sejak pemergian Pn.Hayati, sikap Taufik berubah sepenuhnya. Layanan suaminya dingin dan kasar.

“Kau tak payah nak memandai-mandai tentukan hal aku. Aku makan ke tak ke bukan urusan kau. Aku tak suka kau ambil tahu hal aku dan aku pun tak nak tahu apa-apa pasal kau. Kau buat la apa yang kau suka dan jangan nak menyibuk tentang hal aku.” tutur Taufik marah. Sedikit perlahan, tak mahu konflik rumah tangga mereka diketahui Zaim dan Mak Jah yang ada berhampiran.

“Satu lagi, kau tak payah susah-susah sediakan baju aku, aku takkan pakai. Biar aku uruskan sendiri. Lagipun bukannya aku tak pernah. Kau dah lupa ke?” tambah Taufik mengungkit kekilafan yang pernah dilakukan Aliya lama dulu dengan pandangan mengejek. Sengaja mahu menyakiti hati Aliya. Dia mahu Aliya turut sama merana.

Aliya menarik nafas dalam-dalam. Kekecewaan yang bersarang di hati tidak boleh dipamerkan di hadapan Taufik. Dia tahu niat suaminya itu. Taufik mahu melihatnya sengsara sama seperti dirinya, ditinggalkan orang yang tersayang. Aliya tetap tersenyuman, sama seperti selalu. Sedar yang dia perlu mengawal keadaan.

Taufik tercari-cari kunci keretanya. Semalam seingatnya dia meletakkan kuncinya di situ. Aliya tahu apa yang bermain difikiran suaminya itu. Seingatnya tadi semasa dia menyediakan pakaian Taufik dia ada terpandangkan kunci tersebut di atas meja solek di bilik. Aliya pantas menuju ke tingkat atas. Pintu bilik dibuka. Kunci kini berada dalam genggaman sebelum dia bergegas kembali ke bawah untuk mendapatkan Taufik semula.

Kunci yang berada di telapak tangan di suakan ke arah Taufik. Cepat-cepat Taufik mencapai kunci tersebut. Mukanya masam mencuka. Dia tidak suka Aliya ambil tahu halnya dan dia tak rela menerima pertolongan dari isterinya itu. Dia benci. Dia benci mahu mengakui yang dia tetap memerlukan kehadiran Aliya di sisi. Taufik memandang Zaim yang masih leka bersarapan.

“Im, cepat sikit boleh tak? Papa dah lambat ni.” ujarnya sebelum berlalu ke kereta. Aliya meraih tangan Taufik lalu mengucupnya lembut, serentak satu tepisan dibalas Taufik, tak rela diperlakukan begitu. Aliya sedar yang dia perlu berusaha lebih gigih untuk mendapat kepercayaan Taufik semula serentak dia menghela nafas panjang.

 

Masa berlalu pergi. Sedar-tak sedar sudah sebulan Pn.Hayati meninggalkan mereka. Kehidupan penghuni rumah banglo peninggalan arwah jadi semakin sunyi. Hanya ada gelak ketawa Zaim yang menghiasi itupun tidak seceria dulu. Zaim masih teringatkan neneknya. Adakalanya Zaim dilihat memandang sayu ke arah bilik neneknya itu.

Aliya jadi tersentuh. Dia dapat merasakan kesedihan yang melanda jiwa kecil itu kerana dia juga pernah mengalami situasi yang sama satu masa dulu. Ditinggalkan orang yang tersayang pada usia muda sedang dia masih perlukan belaian dan manjaan. Zaim yang sekecil itu sudah mengerti erti kehilangan inikan pula Taufik. Dia faham dengan tindakan yang dilakukan Taufik terhadapnya. Layanan kasar suaminya itu semata-mata akibat kecewa kerana rasa dikhianati oleh seorang insan yang bernama isteri. 

Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati