Masa pantas berlalu dan tanpa disedari sudah agak lama keadaan itu berlarutan. Perang dingin yang tercetus langsung tak menunjukkan tanda-tanda untuk berakhir. Akhirnya Aliya membuat keputusan untuk menjarakkan diri buat sementara waktu. Biar sama-sama ada ruang untuk berfikir tentang hala tuju perhubungan mereka. Dia akan menyerahkan segala-galanya kepada Taufik untuk membuat keputusan. Segala keputusan yang bakal dibuat akan diterima dengan rela hati.
Dia tidak akan sekali-kali memaksa Taufik untuk kembali mencintainya lagi. Cukuplah dia pernah merasai cinta dari suaminya itu satu masa dulu. Itu sudah memadai buatnya sebagai bekalan menempuhi hari-hari yang mendatang. Dia malu untuk menagih semula kasih dari Taufik. Sudah terlalu dalam luka di hati suaminya itu kesan daripada tindakannya yang terburu-buru. Air matanya bergenangan menemani kekecewaan di jiwa.
“Mak.” Aliya memanggil Pn.Hayati yang sedang terbaring lesu.
“Mak, bangun mak. Makan sikit, nanti boleh makan ubat.” lembut suara Aliya mengejutkan Pn.Hayati yang sedang terlena. Begitulah keadaannya setiap kali. Aliya bahagia menjalankan kewajipannya itu, melayan dan menyantuni mak yang dikasihi. Sejak akhir-akhir ini kesihatan mak sudah semakin merosot. Dia hanya mampu bergantung pada ubat tahan sakit yang disyorkan oleh doktor.
Aliya membantu Pn.Hayati untuk bangun. Dia sedih melihat penderitaan yang ditanggung oleh mak. Aliya jadi lebih sedih bila memikirkan Taufik sendiri tidak mengetahui tentang keadaan kesihatan ibunya yang sebenar. Aliya takut Taufik akan terkejut dan tak dapat menerima kenyataan bila tiba masanya nanti. Keresahan membelenggu di hati namun setiap kali kebimbangan itu disuarakan, mak tetap memberikan jawapan yang sama iaitu dia belum bersedia.
Gelas yang berisi susu disuakan ke mulut Pn.Hayati dan dia menurut tanpa banyak bicara. Selesai minum Aliya memberikan ubat tersebut kepadanya. Aliya nampak mak cuba menelan dalam kepayahan.
Pn.Hayati gembira. Ditenung wajah Aliya sayu sebelum pipi Aliya diusap lembut. Dia mengakui yang dia telah jatuh sayang pada keperihatinan yang ditunjukkan oleh Aliya kepadanya. Dalam hati dia tak henti menyesali segala perbuatan yang dilakukan terhadap Aliya dulu. Sememangnya Aliya adalah seorang anak yang baik cuma dia yang buta. Dia dibutakan dengan pesona dunia yang lebih mementingkan darjat dan harta. Pada sisa-sisa terakhir hayatnya ini dia berjanji untuk mengembalikan kebahagiaan yang pernah direnggutnya satu ketika dulu.
Aliya memicit-micit lengan Pn.Hayati yang tak bermaya. Dia berasa bahagia dilayan begitu. Selama ini dia memang mendambakan untuk mempunyai seorang anak perempuan. Segalanya ketentuan takdir. Allah telah mendengar doanya itu. Kini dia dikurniakan dengan Aliya bagi mengisi kekosongan tersebut.
“Fik layan Aliya dengan baik?” soal Pn.Hayati sedang Aliya sibuk mengurutnya.
“Emm…Abang dah dapat terima Liya macam dulu. Liya nak ucapkan terima kasih pada mak sebab sudi jemput Liya balik ke sini. Liya bersyukur sangat mak. Zaim tak lagi Liya abaikan.” balas Aliya menutup kebenaran yang tak mungkin akan didedahkan kepada mak.
Aliya berlagak gembira di hadapan semua. Dia rela berkorban kali ni. Dia bertekad untuk tidak membebankan Pn.Hayati dengan kemelut yang berlaku antara dia dan Taufik yang sudah berlarutan agak lama. Kedua-duanya membawa haluan masing-masing. Aliya lebih banyak menghabiskan masa bersama Zaim dan Pn.Hayati, manakala Taufik lebih suka terperuk di bilik bacaan dengan tugasan yang tak pernah habis.
Walaupun begitu Aliya tidak mengabaikan tanggungjawapnya sebagai seorang isteri. Segala keperluan Taufik diurus dengan baik. Makan pakai Taufik dia sendiri yang uruskan. Aliya tahu Taufik ikutkan saja tak mahu terlalu memprovok dirinya. Mungkin suaminya itu masih belum mampu membuka hatinya semula dan mungkin juga dia perlukan sedikit masa lagi sebelum menerimanya kembali.
Mereka lebih selesa begitu, menjarakkan diri antara satu sama lain malah sudah mula tidur berasingan. Dia makin putus asa dalam usaha menambat hati Taufik semula. Dia mula tidak pasti keihlasan kata-kata cinta yang diungkap suaminya itu selama ini. Kebenaran tentang Izham mula menggugat keyakinannya. Andai itu kemahuan Taufik, dia akan turutkan. Dia cuma boleh bertahan dengan permainan psaikologi yang direncana Taufik, selama yang dia mampu kerana penerimaan Taufik masih samar-samar. Aliya pasrah. Dia tahu dia yang memulakan semuanya dan dia mengakui kesalahan diri.
“Liya bahagia?” soalnya lagi. Aliya membalas dengan sebuah senyuman disusuli dengan anggukan. Mata Aliya menceritakan sebaliknya. Pn.Hayati dapat membaca kesedihan yang terpancar di situ. Dia lebih dulu makan garam dari Aliya dan dia tahu, Aliya hanya buat-buat gembira. Lama wajah itu ditatap. Aliya berusaha menyembunyikan perasaan. Tangan Pn.Hayati dikucup sebelum dia merebahkan dirinya ke pangkuan ibu mertuanya itu.
Pn.Hayati bertambah yakin yang Aliya tidak bahagia, serentak belakang Aliya diusap penuh kasih. Sebelum terlambat, sesuatu perlu dilakukan untuk menjernihkan keadaan, bisiknya dalam hati.
Perkembangan keadaan di kilang batik dikemaskini dari masa ke semasa. Segala urusan pejabat diuruskan Laili dengan baik. Sebarang keputusan yang bakal dibuat dibincangkan dengannya terlebih dahulu. Aliya menghargai sumbangan besar yang dilakukan oleh Laili demi kemajuan perniagaan mereka. Dia rindukan kilang, tapi dia tidak sanggup untuk meninggalkan mak sendiri dalam keadaan begitu. Dia mahu berbakti selagi diberikan kesempatan. Mengetahui keadan Pn.Hayati yang berada di ambang maut membuatkan Aliya lebih menghargai kehidupan. Kematian sentiasa berlegar-legar di sekeliling kita, cuma masanya belum tiba.
“Aku okey je kat sini. Kau tu jangan la fikir banyak sangat. Buat apa yang hati kau kata k. Aku sentiasa doakan yang terbaik dari sini. Jaga diri.” ucap Laili di akhir perbualan, menyuntik semangat Aliya dalam menghadapi dugaan dari Yang Maha Esa.
Aliya sedang sibuk menyiapkan Zaim untuk ke tadika. Dia bahagia dengan rutin hariannya yang baru itu. Senyuman terukir di wajah ketika melihat Zaim yang sudah lengkap berpakaian dengan rambut yang disisir kemas. Kebahagiaan seorang ibu, tanda mensyukuri anugerah pemberian Ilahi, anak yang dikasihi.
Mereka mengatur langkah seiringan menuju ke meja makan. Zaim mengambil tempat seperti biasa. Matanya galak memandang sarapan yang terhidang. Sekeping sandwich telur kegemarannya dicapai serentak pandangannya dialihkan pada kerusi Taufik yang masih kosong.
“Ma, Papa mana. Kenapa tak turun lagi. Biasanya kan papa yang siap dulu.” ngomel Zaim.
“Entahlah sayang. Tadi mama lupa nak panggil papa. Mama ingat papa dah turun. Takpe Im makan dulu ya. Mama naik tengokkan papa kejap.” tuturnya sambil melangkah menyusuri anak tangga menuju ke bilik Taufik.
Taufik dilihat masih bergulung di atas katil. Panggilan Aliya dari pintu tidak diendahkan, tidurnya langsung tak terusik. Perlahan-lahan Aliya menghampiri Taufik. Hajat di hati ingin terus mengejutkan suaminya itu, tapi terbantut. Wajah Taufik di hadapannya ditatap penuh minat. Sudah agak lama dia tidak dapat melihat wajah Taufik sedekat itu. Dia rindukan Taufik. Hatinya mula berdebar-debar. Jari kecilnya mendarat di pipi Taufik yang tidur mati barangkali kerana kepenatan berkerja seharian. Wajah Taufik diusap penuh berhati-hati. Aliya tersenyum bahagia. Kerinduannya pada Taufik terubat. Wajahnya dirapatkan ke arah Taufik. Dengkuran kecil suaminya itu rasa mendamaikan lantas satu kucupan singgah di pipi Taufik untuk melepas rindu.
Seketika kemudian Aliya tersedar. Dia menepuk dahi berkali-kali. Kalaulah perbuatannya itu diketahui Taufik pasti menimbulkan suasana yang kurang selesa diantara mereka nanti. Dia lega apabila mengetahui Taufik masih lena diulit mimpi. Aliya malu dengan perbuatan sendiri.
“Abang bangun. Dah lewat ni.” ucap Aliya perlahan sambil menggoyang-goyang tubuh Taufik. Taufik tersedar. Mata mereka bertentang. Aliya cepat-cepat mengalihkan pandangannya ke arah lain sebelum mengatur langkah meninggalkan Taufik yang jelas masih kebingungan.
Aliya menuntun Pn.Hayati menuju ke taman untuk menghirup udara segar. Akhir-akhir ini, mak selalu mengadu sakit di bahagian perut. Perlahan-lahan Pn.Hayati duduk di kerusi yang tersedia di tengah taman. Taman yang ditanami dengan pelbagai variasi bungaan khususnya bunga mawar dan orkid itu terasa cukup mendamaikan. Sedikit sebanyak dapatlah mengurangkan tekanan yang dirasakannya saat itu. Dia tahu masanya semakin hampir. Allah sudah mahu menuntut janji.
Semalam Aliya telah menemaninya berjumpa dengan doktor yang merawatnya selama ini. Selesai membuat pemeriksaan, doktor Zainab, memandang ke arah Aliya. Tangannya ligat menulis sesuatu dia atas kertas priskipsi ubat sebelum memberikannya kepada Aliya.
“Liya pergi tolong mak ambilkan ubat dulu boleh. Nanti lambat pulak. Kalau dah siap mak tunggu Liya kat luar ya.” ucap Pn.Hayati kepada Aliya. Aliya menurut tanpa banyak soal. Langkah dibuka menuju ke kaunter farmasi seperti yang diarahkan.
Doktor Zainab memandang ke arah Pn.Hayati. Keputusan CT Scan yang terbaru di hadapannya dibelek-belek lagi. Riak wajahnya serius, malah lebih serius dari tadi.
“Pn.Hayati seperti yang saya jangka sel tu dah merebak ke bahagian hati puan. Minta puan banyakkan bersabar.” tuturnya seketika kemudian.
“Kalau puan tengok keputusan CT Scan yang terakhir dengan yang sebelumnya, puan oleh nampak perbezaan yang ketara sejak pemeriksaan yang terakhir dulu. Sel-sel barah tu dah semakin merebak. Sesi Komoterapi yang kita buat dulu tak mampu untuk membunuh sel-sel tersebut. Maafkan saya puan, saya dah cuba sedaya-upaya saya.” tutur doktor Zainab hampa.
“Saya harap ubat yang baru ni akan dapat kurangkan sedikit rasa sakit yang sedang puan alami. Tapi saya hairan kenapa puan masih berkeras mahu rahsiakannya dari pengetahuan keluarga? Hal-hal seperti ini sepatutnya dibincangkan bersama. Biasanya saya tak akan membincangkan keadaan pesakit tanpa kehadiran penjaganya yang sah.” tambahnya lagi.
“Saya tak mahu mereka risau tentang hal ni. Biarlah saya terangkan sendiri nanti. Doktor jangan bimbang, doktor takkan dipertanggungjawapkan.” balas Pn.Hayati yakin.
“Bukan begitu maksud saya. Saya cuma takut keluarga puan tak bersedia nanti. Takpa lah, Puan cuba dulu ubat yang baru ni. Kalau kesakitannya masih tak kurang, puan beritahu saya.” tuturnya. Ada nada kekesalan di situ. Dia kesal kerana tak mampu untuk memujuk pesakitnya itu. Sejak awal lagi isu itu sudah dibangkitkan, tapi Pn.Hayati tetap berkeras mahu merahsiakan. Akhirnya dia putus asa.
Pn.Hayati menerima penerangan doktor Zainab dengan hati yang lapang. Dia reda’ dengan segala ketentuan llahi. Dia juga yakin, pasti ada hikmah atas segala yang berlaku. Disebabkan penyakitnya itulah dia mula menyesali perbuatannya terhadap Aliya. Malah disebabkan oleh penyakit itu jugalah masjid yang dirobohkannya dulu dapat didirikan semula. Dia bersyukur, setidaknya dia diberi peluang untuk menterbalikkan semula keadan menjadi seperti sedia kala. Allah nyata masih sayang padanya. Segala urusan tersebut akhirnya dipermudahkan.
“Terima kasih doktor untuk segalanya.” balas Pn.Hayati ringkas. Dia sudah menjangkakan semuanya sejak dari awal. Memang tiada apa yang boleh dilakukannya lagi. Apa yang ada hanyalah sisa-sisa usia yang dia sendiri tidak pasti selama mana.
“Bunga-bunga mak ni semua dah rindu dengan mak.” tutur Aliya mematikan lamunan Pn.Hayati sebentar tadi.
“Mak pun sama. Rasa tenang bila dapat duduk kat sini. Aliya suka bunga?” soalnya pula.
“Mestilah suka. Cantik sangat. Bunga orkid yang besar tu, Liya tak pernah tengok pun selama ni. Mak memang terbaik.” balasnya dengan senyuman. Seronok dapat sama-sama mencuci mata di situ.
“Bunga merah tu mak beli masa pergi lawatan ke China dulu. Memang susah nak jumpa kat sini, yang warna biru tu terutamanya. Banyak sangat, sampai mak jadi rambang mata dibuatnya.” kata Pn.Hayati pula, berkongsi cerita.
“Nanti kalau mak dah tak ada, Liya tolonglah jagakan pokok-pokok ni bagi pihak mak ya. Janganlah sampai abaikannya pulak. Mak amanahkan taman ni pada Liya. Liya jaga ya.” tuturnya serius. Aliya semakin tak senang hati. Sejak semalam sikap mak dilihat berbeza, tak sama macam biasa.
“Liya dengar tak apa yang mak kata ni?” soalnya semula. Aliya yang masih terpaku segera tersedar. Wajah mak ditatap lama.
“Janji dengan mak ya.” kata Pn.Hayati lagi, penuh mengharap.
“InsyaAllah, Liya janji.” balasnya. Senyuman yang sukar untuk ditafsir maknanya terukir di wajah mak. Aliya semakin jadi tak selesa kerana mak dilihat seperti sudah mahu meninggalkan amanatnya.