Home Novel Cinta BERARAK MENDUNG KELABU
Bab 16

Aliya dan Laili bersiap-siap untuk ke kilang batik. Sebaik tiba, dia terus ke mejanya untuk melepaskan rindu kerana sudah agak lama kerusi itu dibiarkan tak bertuan. Matanya meliar memerhatikan keadaan sekeliling bilik pejabat yang sentiasa dekat di hatinya itu. Aliya tersenyum gembira. Setidak-tidaknya hari-hari yang bakal berlalu akan terisi dengan tugasan yang dapat membantu melupakan kesedihan yang dirasai.

Kilang batik itulah yang menjadi tempat dia menghilangkan tekanan selama ini. Tidak disangka usaha mereka sudah mula membuahkan hasil. Sedar-tak sedar sudah lebih 3 tahun perusahaan itu beroperasi. Kilang kecil yang pada mulanya disewa daripada pemilik asalnya Pok Li kini sudah menjadi milik mereka sendiri.

Disebabkan oleh faktor usia dan anak-anak yang tidak berminat untuk mengambilalih perniagaan, akhirnya Pok Li membuat keputusan untuk menjualkan kilang itu kepada mereka.

“Mana kita nak cekau RM 80,000 tu Liya, banyak tu, aku rasa kita takkan mampu.” kata Laili pada mulanya. Dia tahu, mereka tak mampu untuk mengadakan duit sebanyak itu. Kalau mereka membuat pinjaman sekalipun, belum pasti akan dapat diperolehinya kerana mereka perlukan aset untuk dicagarkan, sedang mereka tak memiliki apa-apa.

“Aku rasa kalau nak buat pinjaman bank pun belum tentu dapat. Lagipun pinjaman kita yang lepas tu masih ada baki lagi. Kalau nak pinjam dengan Tekun, bukannya dapat sampai banyak macam ni.” tambah Laili sambil tangan pantas membungkus kain-kain batik yang sudah selesai diproses.

“Nampak gayanya kita kena cari tempat lain untuk teruskan business kita. Kalau tak dapat macam mana? Kita kena tutup kedai ke Liya?” soal Laili semula. Dia sangat sayangkan perniagaan tersebut. Masih banyak rancangan dan idea yang belum direalisasikan. Dia rasa agak kesal untuk berhenti separuh jalan.

“Takpe, tu kau jangan bimbang. Aku akan cuba usahakan. Insya-ALLAH kalau ada rezeki kita, pasti dipermudahkan.” balas Aliya yakin. Laili masih terdiam mendengar rancangan Aliya yang difikirkan langsung tak berasas.

Di dalam hati, Aliya berkira-kira untuk menggunakan duit pemberian Pn.Hayati yang telah sekian lama berada dalam simpanannya. Tiada siapa yang tahu perihan wang tersebut. Tidak Laili mahupun Azie. Dia tak mahu dipersalahkan. Kalau mereka tahu pasti dia sudah dimarahi malah mungkin dibenci. Dia tahu tindakannya itu salah tapi semuanya sudah terjadi. Dia yang terlalu mengikutkan hati.

Duit tanda penebusan hubungannya dengan Taufik dan Zaim, pemberian seorang wanita yang gagal untuk merasai perasaan seorang wanita yang lain. Sehingga ke saat itu wang tersebut kekal menjadi rahsia antara mereka berdua dan ianya masih tak luak walau sesen pun. Dia tak sanggup untuk menggunakannya.

“Nah kau ambil duit ni. Anggaplah sebagai bayaran penceraian kau dengan Taufik. Aku rasa jumlahnya cukup banyak untuk perempuan macam kau.” Tutur Pn.Hayati sambil melemparkan sekeping cek kepada Aliya yang sedang mengemaskan beg pakaiannya.

“Biar hal ni jadi rahsia antara kita berdua. Tapi kau ingat, kau jangan sekali-kali muncul dalam hidup kami lagi. Kalau tak aku akan pastikan yang kau tak kan dapat jumpa Zaim lagi sampai bila-bila. Aku akan pastikannya dan aku tahu kau sendiri tahu apa yang mampu aku buat.” ujar Pn.Hayati lagi sebelum berlalu pergi.

Aliya terkedu. Perlahan-lahan kepingan cek dicapai. Matanya membulat melihatkan jumlah yang tertera di atas cek berkenaan. RM 100,000, itulah harga yang diletakkan pada hubungan perkahwinannya. Perasaan Aliya tercalar. Dia bertekad untuk membuktikan kepada Pn.Hayati yang dia juga mampu untuk berjaya satu masa nanti. Apalah makna kekayaan yang diwarisi kalau hanya digunakan untuk memuaskan nafsu sendiri. Menindas orang lain sesuka hati tanpa rasa simpati, seperti yang dilakukan terhadapnya kini.

Kepingan cek tersebut digenggam sebelum Aliya memasukkannya ke dalam beg pakaian yang sudah selesai dikemaskan. Dia bertekat untuk tidak sekali-kali menoleh ke belakang lagi. Penghinaan yang ditanggung ini akan menjadi penguat semangatnya untuk maneruskan kehidupan kelak. Dia akan buktikan kapada Pn.Hayati yang golongan miskin sepertinya juga mampu untuk berjaya jika diberikan peluang dan kesempatan. Aliya juga berjanji pada dirinya untuk memulangkan kembali wang tersebut beserta faedahnya sekali apabila masanya tiba nanti.

Berkat usaha tanpa mengenal penat lelah, kini mereka sudah dapat mengecapi nikmat kejayaan. Dari hanya menghasilkan kain batik pada permulaannya, kini perusahaan mereka telah melangkah setapak lagi dalam penghasilan pelbagai produk akhir seperti baju dan tudung yang direka khas untuk penggemar batik di sekitar bandar Kuantan dan ada sebahagiannya diedarkan sehingga ke bandar Kemaman.

Lagu ayah dan ibu nyanyian arwahyarham Sudirman Hj.Arshad mengejutkan Aliya dari lamunan yang panjang. Serentak telefon dicapai, panggilan telefon daripada Mak Jah diangkat.

“Liya, Zaim tak sihat. Sejak Liya pergi haritu lagi dia dah demam. Dia tak ada selera nak makan. Dah susut sangat dah badanya sekarang ni Mak Jah tengok. Mak Jah tak bagitahu lebih awal sebab Mak Jah tak nak Liya risau. Mak Jah tak sangka yang keadaan Zaim boleh jadi sampai teruk macam ni, maafkan Mak Jah ya Liya sebab lambat beritahu.” ucap Mak Jah menyesali perbuatannya itu.

“Macam mana keadaan dia sekarang? Siapa yang jaga dia? Dia ada dekat mana Mak Jah?” soal Aliya bertalu-talu, sayu mengenangkan nasib si anak yang terpaksa ditinggalkan tanpa pesan. Dia tahu yang Zaim pasti sangat rindukannya saat ini sama seperti dirinya juga. Kerinduan pada Zaim tak dapat dibendung lagi. Kelopak matanya mula berasa panas. Dia sudah berkira-kira mahu pergi mendapatkan anaknnya itu.

“Tapi sekarang ni Mak Jah tengok Zaim dah bertambah sihat. Doktor dah beri ubat. Kalau ada apa-apa nanti Mak Jah telefon lagi. Puan ada kat sini temankan Zaim. Taufik pun ada sama. Aliya jangan bimbang, doakan semuanya baik-baik ya.” balas Mak Jah.

“Baiklah Mak Jah. Tapi kalau ada apa-apa cepat call Liya ya. Assalammualaikum.” balasnya. Riak muka Aliya berubah. Kebimbangan jelas terpancar di wajahnya sebelum telefon dimatikan. Dia tertunduk bisu. Perkhabaran yang baru diterima membuatkan hatinya resah.

Dalam tak sedar air matanya yang cuba ditahan akhirnya berderai tadkala teringatkan ibu mertuanya itu. Sekarang barulah dia sedar yang dia masih belum bersedia untuk bersemuka dengannya sebagai Aliya yang sebenar.

 

“Mama, nanti kalau Im demam lagi, mama peluk Im macam ni boleh? Im suka bila mama peluk Im macam ni. Kalau mama peluk Im mesti demam Im cepat sembuh. Kawan Im kata, mama dia kata, demam ni suka kat budak-budak. Betul ke ma? Sebab tu la kena jaga kebersihan kan ma?” soal Zaim sambil mendongak memandang Aliya.

Aliya tersenyum lalu mengangguk. Zaim didakap kemas. Belakang anak kesayangannya itu ditepuk-tepuk lembut sebelum tubuh kecil itu dibaringkan.

“Tidur ya sayang. Rehat. Kalau rehat cukup, baru demam cepat sembuh.” ujarnya. Zaim menurut. Kenangan terhadap Zaim mencengkam jiwa. Aliya jadi tak keruan. Sendunya berlarutan.

“Ya-ALLAH, sembuhkanlah anakku.” ucapnya dalam kesedihan.

Lewat petang itu, sekali lagi Aliya dikejutkan dengan panggilan telefon daripada Mak Jah. Hatinya mula berdebar-debar. Telefon pantas diangkat.

“Alhamdulillah, terima kasih Mak Jah, kalau Mak Jah tak ada tak tahu lah macam mana. Liya dah tak tahu macam mana nak balas ihsan Mak Jah selama ni. Dah terlalu banyak jasa Mak Jah pada Liya. Liya rasa bersalah sebab dah banyak susahkan Mak Jah.” ucapnya sambil menyeka air mata yang mula membasahi pipi.

“Kenapa Liya cakap macam ni. Mak Jah dah lama anggap Liya macam anak Mak Jah. Tak ada apa yang susahnya. Cuma Mak Jah harap yang Liya berusaha untuk selesaikan masalah ni. Zaim perlukan Liya.” kata-kata Mak Jah membuatkan Aliya jadi serba salah. Dia merasakan perpisahan adalah cara yang terbaik untuk kemelut yang berlaku kerana itu yang diinginkan oleh Pn.Hayati. Untuk kembali, sebagai isteri Taufik dia tak cukup berani kerana dia tahu hasilnya pasti tak sebaik yang diharapkan.

Dia tak rela menceritakan perkara yang berlaku antaranya dan Pn.Hayati kepada Taufik. Dia juga tidak mahu membuka sejarah yang cuba untuk dikuburkan untuk sekian lama. Biarlah perkara itu kekal menjadi rahsia antara mereka, tidak Taufik mahupun Zaim.

Tambahan pula jika isu wang pemberian ibu mertuanya itu diungkit, tentu Taufik akan membencinya nanti. Taufik pasti beranggapan yang dia adalah seorang perempuan yang mementingkan wang ringgit semata-mata, sehingga sanggup meletakkan harga pada hubungan suci yang terbina. Taufik dan Zaim pasti akan sangat kecewa bila mengetahui kebenarannya. Dia tak sanggup untuk dibenci terutamanya oleh mereka yang dikasihi sepenuh hati kerana lukanya tentu akan sangat dalam nanti.

Aliya mula menyesali perbutannya yang terburu-buru. Memiliki sesuatu yang bukan haknya. Seharusnya dia tidak mengambil wang itu sejak awal lagi. Tapi fikirannya telah dikuasai api kemarahan ketika itu. Tindakan Pn.Hayati yang keterlaluan mengaburi kewarasan mindanya, malah tindakan Taufik yang merahsiakan tentang permintaan Izham mengusutkan lagi fikiran. Akhirnya dia bertindak di luar kawalan.

Aliya dihambat kekesalan. Kini dia sudah berada di hujung garisan. Garisan perhubungan yang semakin hampir menuju ke penamatnya.

 

“Ma…Mama.” Zaim mengigau menyebut nama mamanya berkali-kali. Puan Hayati mengerutkan keningnya. Dia hairan dengan keadaan Zaim. Kenapa mesti mamanya yang disebut ketika itu. Tangan kecil Zaim diraih dan digenggam erat. Zaim membalas perlahan. Air jernih mengalir menuruni pipinya yang sarat dengan kerinduan pada ibu yang tercinta.

“Mama tolong jangan tinggalkan Im lagi.” ucapnya sayu. Dia sudah mula meracau.

Pn.Hayati melepaskan pandangannya kearah Taufik yang sedang duduk bertentangan. Taufik menundukkan wajah, tak rela bertentangan mata dengan ibunya itu. Pn.Hayati bertambah hairan. Dia mula merasakan sesuatu. Dia tahu pasti ada sesuatu yang berlaku sepermegiannya dulu. Taufik tak rela membohongi ibunya lagi. Akhirnya kebenaran tentang Aliya diceritakan. Pn.Hayati nyata terkejut dengan berita yang baru diterima. Tidak disangka yang Aliya akan bertindak sedemikian rupa. Dia mengeluh kesal, melepaskan bebanan dihati.

 

“Laili aku nak pergi survey kedai, tengok order. Nak join tak?” soal Aliya pada Laili yang baru terjengok di depan pintu sambil tangannya pantas menyusun fail-fail diatas meja yang agak berselerak. Tas tangan dicapai bersama dengan order form yang sudah berada dalam genggaman. “Kau nampak tak kunci kereta aku?” sebelum pandangan dilemparkan ke arah Laili yang baru duduk di kerusi.

“Ha?” soal Laili kebingungan.

“Kunci kereta? Kunci kereta aku. Kau ada nampak tak?” soal Aliya lagi sambil membelek-belak fail yang berada diatas meja. Dia pasti benar, baru sekejap tadi kuncinya ada di situ, tapi dalam sekelip mata ia sudah hilang entah ke mana. Kepalanya mula pening.

Laili masih tetap memandang Aliya yang sedang dalam kekalutan. Aliya dilihat agak berbeza dari kebiasaannya. Sejak balik dari rumah Taufik, Aliya sudah mula hilang fokus. Masanya lebih banyak dihabiskan dengan mengelamun. Bila diajak berborak, dia tidak banyak menunjukkan minat. Mungkin jasadnya di sini, tapi hatinya masih berada di sana, desis hati kecil Laili.

“La, tadi bukan ke kau baru masukkan kunci tu dalam beg tangan kau. Kau dah kenapa ni Liya. Jangan kalut sangat boleh tak?” balas Laili sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Dalam hati dia jatuh simpati melihat keadaan Aliya.

Mereka tidak pernah menjangka ikatan yang dibina akan putus di tengah jalan. Masih segar dalam ingatan majlis perkahwinan Aliya yang turut disertainya dan Azie satu ketika dahulu. Mereka sama-sama berkongsi kegembiraan dan mendoakan kebahagian Aliya hingga ke akhirnya, tapi takdir Allah tiada siapa dapat menduga. Masjid yang dibina tak bertahan lama. Kebahagiaan yang dicari tapi derita yang menjelma. Sama macam cerita Ibu Mertuaku yang dilakonkan oleh seniman terulung negara. Percintaan antara dua darjat yang tak direstui. Penuh dengan ranjau yang harus ditempuhi. Begitulah diibaratkan kehidupan rakan karibnya itu. Lagak Aliya ditonton penuh sabar.

“Ye ke kau ni. Bila masa pulak aku masukkan kunci tu kat dalam beg. Tadi aku ingat lagi, aku letak kat atas meja ni je. Bila pulak aku masukkan dalam beg.” katanya. Lantas tangannya meraba-raba ke dalam beg tangan yang sedang dipegang sebelum dia tersengih membenarkan telahan Laili.

“Eee…, sorry. Aku rasa macam pening-pening lalat je sejak dua menjak ni. Maaf ya.” balas Aliya, dengan ketawa yang masih bersisa.

“Dah tu nak join tak?” Aliya kembali kepada soalan pokok.

Rancangan untuk meronda-ronda kedai pengedar produk dibuat apabila dia menerima panggilan daripada beberapa kedai pakaian yang selalu melanggan dengan mereka pagi tadi. Stok yang dihantar bulan sebelumya sudah habis. Mereka perlukan stok baru secepatnya.

“Tak boleh rasanya. Kau ingat tak kedai pakaian dari Kuantan yang call hari tu. Owner dia kata nak singgah tengok-tengok tengahhari ni. Mana la tahu jadi. Kalau jadi bertambahlah rezeki kita.” ucap Laili gembira.

“Insya-ALLAH.” tutur Aliya membetulkan. Laili sedar keterlanjuran diri. Lantas dia tersengih malu-malu.

“Insya-ALLAH, amin.” balasnya yakin sebelum meraub tapak tangan ke muka.

“Ok la, kalau macam tu aku pergi dulu. Nanti kalau ada apa-apa kita calling-calling ya.” tuturnya sambil mencubit pipi gebu Laili. Laili membalas dengan totokan ke pinggang Aliya. Aliya nyata terkejut. Fail di tangan nyaris terlepas dari pegangan. Aliya buat muka marah, Laili hanya membalas dengan kekehan.

“Tu la siapa suruh mulakan. Bak kata nenek moyang aku dulu, whats you give, you gets back.” tutur Laili tanpa rasa bersalah. Aliya memuncungkan bibirnya tanda tak puas hati.

“Ciannya dia.” ujar Laili cuba memujuk Aliya yang masih merajuk. Serentak Aliya dihampiri.

“Nah. Ambillah.” ucap Laili sebelum menyuakan pipinya kepada Aliya. Kesempatan yang datang tidak akan di sia-siakan, satu cubitan hinggap di pipi Laili yang secara rela hati menawarkan diri untuk menerima hukuman.

“Aduh, sakit la. Cubit tu kalau perlahan sikit boleh. Ni tak. Dah macam nak berlubang pipi aku kau kerjakan. Hiss…sakit tau.” balasnya geram sambil mengetap bibir menahan sakit sedang kelibat Aliya sudah tiada.

 

Cuaca terik terasa perit membakar kulit. Kepanasan yang agak luar diasa dirasakan.

“Panasnya. Nampak gaya hari macam nak hujan.” tuturnya pada diri sendiri. Tiba-tiba dia teringat kata-kata arwah Mak Su lama dulu. Semasa zaman kanak-kanaknya.

“Orang tua-tua cakap kalau panas sampai rasa menggigit-gigit kat kulit ni, tandanya hari nak hujan.” tutur Mak Su sekadar menurunkan ilmu yang di turunkan kepadanya awal dulu.

“Takut la Liya kalau macam tu cu.” balasnya yang masih agak kecil ketika itu.

“Kenapa?” Mak Su bertanya kembali, hairan.

“Ye la, bahaya la kalau sampai menggigit-gigit kang tak fasal-fasal koyak rabak pulak kain baju kat ampaian tu.” jawab Aliya berseloroh. Serentak satu cubitan hinggap di pinggang kecil Aliya yang sudah berkira-kira untuk mengangkat kaki melepaskan diri. Aliya terlompat, tindakan refleks la katakan.

Dia tersenyum sendirian. Kenangan bersama dengan Mak Su bermain di kotak fikiran. Kenangan yang hanya sebentar, tapi memberi kesan yang mendalam pada dirinya. Kasih sayang dan ehsan Mak Su takkan mampu untuk dia lupakan. Dia tetap dapat merasa bahagia walaupun tanpa kehadiran kedua orang tuanya.

Mak Su lah yang menjadi tempat Aliya bergantung hidup sejak pemergian kedua ibubapanya akibat kemalangan jalan raya seawal usianya 10 tahun. Mak Su sangat menyayangi dan memanjakannya setiap masa. Aliya dilayan seperti anaknya kandungnya sendiri, tambahan pula Mak Su tidak mempunyai anak kerana masih bujang walaupun usianya sudah menjangkau 40 tahun. Semua urusan persekolahan Aliya diuruskan tanpa sebarang rungutan. Malah segala keperluan Aliya diusahakan sebaiknya.

Malang tak berbau, mujur tak dapat nak diraih. Ketika baru mahu mengecapi bahagia, Mak Su dipanggil menghadap ILLAHI, hanya selang beberapa bulan daripada pemergian kedua orang tuanya. Aliya hilang tempat bergantung sepenuhnya. Tiada siapa lagi yang ada untuk menjaga. Dia sedih kerana semua yang menyayanginya telah pergi. Pergi meninggalkannya satu demi satu.

Aliya dipengaruhi emosi, tanpa sedar dia turut menyalahkan diri sendiri. Dia mula merasakan musibah itu berpunca dari dirinya. Kenapa semua yang disayanginya diambil pergi? Kenapa mesti dia yang ditinggalkan sendiri? Kenapa Allah tak mengambilnya juga. Kenapa? Dia sentiasa mahu dekat dengan insan yang dikasihi. Pemergian mereka memberi kesan yang amat besar pada jiwa.

 Akhirnya dia dihantar ke rumah Anak Yatim Al-Hidayah yang terletak di pinggir bandar Kuantan dan di situlah dia berkenalan dengan Laili dan Azie buat pertama kalinya.

“Budak baru ke? Saya Laili, awak?” soal Laili memulakan bicara.

“Aliya.” jawabnya sepatah. Dia masih kekok. Pengalaman baru, berada di asrama bersama dengan rakan-rakan sebaya. Maklumlah pertama kali menjejekkan kaki di rumah anak yatim itu. Suasana dirasakan masih agak asing baginya. Dia sendiri tidak tahu mahu mulakan daripada mana.

“Kita kawan?” katanya sambil menghulurkan salam pengenalan. Aliya menyambut dengan perasaan syukur. Setidaknya ada juga insan yang sudi bersahabat dengannya.

“Kita duduk kat katil atas ni.” sambil jarinya ditudingkan ke arah katil tingkat atas di bahagian tepi tingkap. Aliya menggangguk faham.

“Kawan kita yang duduk kat katil bawah ni namanya Azie. Tapi dia balik rumah minggu ni. Kakak dia datang ambik, esok baru dia balik semula. Umur awak berapa?” soal Laili lagi.

“Saya sepuluh tahun. Awak?” balas Aliya.

“Samalah kita. Saya pun sepuluh tahun. Azie pun sama juga. Nanti bolehlah kita sekolah sama-sama. Seronok lah nanti, dapat tambah seorang kawan lagi.” kata Laili. Senyumannya mekar. Kegembiraannya tak tergambar kerana mendapat sahabat baru.

“Jom, kita bawak awak jalan-jalan kat kawasan ni nak?” serentak tangan Aliya ditarik tanpa mendengar persetujuannya terlebih dahulu. Aliya hanya menurut dan mengikut dari belakang. Dia gembira kerana dia tak sendiri lagi.

 

Aliya masih termenggu di dalam kereta. Kenangan yang menggamit jiwanya itu terasa mendamaikan. Setiap yang terjadi pasti ada hikmahnya. Semuanya telah tersusun rapi untuk dihadapi. Pasrah pada ketentuan ILLAHI demi menempuhi masa yang silih berganti, rukun iman yang terus tersemat di hati. Ingatlah ALLAH maha memberi kepada mereka yang dia kehendaki.

“Terima kasih Laili. Terima kasih Azie. Terima kasih kerana sentiasa ada bersama aku waktu susah dan senang.” bisiknya pada diri sendiri. Enjin kereta Iswara Aeroback merahnya dihidupkan menuju ke destinasi yang berikutnya, kedai kain Kak Mek.

Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati