Home Novel Cinta BERARAK MENDUNG KELABU
Bab 38

Bunyi loceng pintu dapat didengari sampai ke tingkat atas. Bertalu-talu, sampai sakit telinga dibuatnya. Aliya segera menuruni anak tangga dengan berhati-hati. Takut tersampuk kerana sedar pergerakannya semakin terbatas kini.

“Kejap…” tuturnya. Langkah diatur selaju yang termampu. Sekali lagi loceng dibunyikan, langsung tak mengikut arahan.

“Kejap la. Kenapa tak bawa kunci tadi. Kau memang sengaja nak balas dendam pada aku kan.” tutur Aliya, serentak tombol pintu dipulas. Dia tergamam. Taufik! Lelaki itu sedang berdiri di hadapan pintu rumahnya. Dia seperti tak percaya, akhirnya suaminya itu tiba.

“Liya, abang…” tuturnya. Matanya tertumpu pada wajah isteri yang dirindu sebelum beralih pula pada perut Aliya. Dia hilang kata-kata. Aliya segera melarikan diri ke dalam bilik, meninggalkan Taufik yang masih terpaku di situ. Serentak dia tersedar, pantas langkah Aliya dituruti daripada belakang.

“Liya.” tuturnya, tapi panggilannya itu tak diendahkan, sebaliknya Aliya semakin melajukan langkahnya. Belum sempat pintu bilik ditutup, Taufik segera menghalangnya dengan tangan.

“Arghh…” jerit Taufik. Tangannya tersepit di pintu. Aliya melonggarkan tolakannya kerana dia tak mahu Taufik tercedera. Taufik bertindak menghampiri Aliya sebelum wajah isteri yang terhidang di hadapan mata ditatap sayu. Sebelah tangannya masih lagi memegang bahagian lengan yang terasa sakit.

Aliya rasa bersalah. Bukan niatnya untuk menyakiti Taufik. Dia sendiri pun tak tahu kenapa dia angkat kaki. Bukankan itu yang didoakannya saban hari? Kedatangan suami tercinta untuk mengambilnya kembali. Bukankah seharusnya dia gembira, tapi kenapa hatinya rasa tak selesa? Dia sendiri tak pasti. Buat seketika, mereka diam mambisu, sambil mata mereka tetap juga bersatu.

“Liya, maaf kan abang.” tutur Taufik tidak berapa lama kemudian. Aliya memalingkan muka. Dia sedar, hatinya yang terluka perlukan masa untuk pulih. Benarkah Taufik mahu membawanya pulang? Bukankah semalam suaminya itu bertindak memarahi Zaim hanya kerana anaknya itu menyebut tentang dirinya. Apa yang membuatkan suaminya itu berubah hanya dalam masa sesingkat itu? Bila teringat peristiwa semalam dia mula rasa geram. Dia berpaling semula ke arah Taufik. Mulutnya sudah mahu berbicara.

Dengan tak semena-mena, tubuhnya didakap erat. Taufik sudah tak mahu berpura-pura dan menahan perasaan sendiri. Dia mahu segera memujuk kekasih hati kerana tak rela rasanya berpisah kembali dan tidak sekali-kali perkara seperti itu akan dibiarkan berulang lagi.

“Lepas lah. Lepas.” tutur Aliya geram sambil meronta-ronta minta dilepaskan. Dia mula rimas, tapi suaminya itu tetap tak mahu merelakan, sebaliknya semakin kuat tubuh isterinya itu didakap dalam pelukan.

“Maafkan abang sayang. Abang betul-betul minta maaf. Abang yang bersalah.” bisiknya ke telinga si isteri setelah sedar isterinya itu masih terasa hati. Aliya kelu. Ucapan maaf Taufik berjaya mengusik hatinya yang sudah parah disakiti.

Buat seketika mereka melayan perasaan sendiri. Taufik benar-benar menyesali perbuatannya selama ini. Akibat keegoannya, dia telah membiarkan Aliya terbuang tanpa kasih dan sayang daripada seorang suami. Paling menyedihkan, dia turut mengabaikan kebajikan anak mereka yang bakal dilahirkan tak lama lagi.

Tiba-tiba Aliya tersedar, tubuh Taufik ditolak, mengarahkannya menjarakkan diri. Hatinya masih ragu-ragu. Dia tahu tak seharusnya dia bertindak begitu, cuma dia perlukan sedikit masa. Sedikit masa saja lagi. Masa untuknya menerima segala yang terjadi. Umpama mimpi dalam mimpi, Taufik berada di hadapannya kini. Memeluknya erat sambil membisikkan kata-kata maaf yang amat dinanti. Dadanya terasa berat. Fikirannya terganggu dan dia perlukan masa untuk menerima semua itu.

“Maafkan abang sayang. Tolonglah maafkan abang. Abang tahu abang yang bersalah. Abang salah sebab biarkan Liya pergi. Abang salah sebab mungkir janji.” tuturnya menginsafi kekilafan diri. Wajah Aliya di hadapannya ditatap sayu. Air mata kekesalan mula membasahi kedua-dua belah pipi. Serentak tangan isterinya diraih dan dikucup lembut sebelum dia akhirnya terjelepok ke lantai diiringi tangisan kekesalan yang semakin berterusan.

Dia tak dapat lagi menahan beban perasaan yang selama ini cuba dikawal sebaiknya. Egonya takkan membawa dia ke mana. Dia sedar kerana egonya itulah keadaan jadi separah ini, hasilnya mereka sama-sama dilukai. Hatinya tak pernah tenteram kerana api cintanya tak pernah padam. Aliya penyeri hidup, tanpanya hidup umpama malam yang tak bercahaya, sunyi dan gelap gelita.

Tubuh Taufik di hadapannya dipandang penuh kasih. Aliya pilu melihatkan kekesalan yang ditunjukkan oleh suaminya itu. Dia sedar cintanya pada Taufik langsung tak pernah berubah. Kasihnya pada suami tercinta seluas lautan sehinggakan dia tak mampu untuk menolak ungkapan maaf yang dilafaskan. Aliya cepat sedar. Tak rela dia membiarkan Taufik terus-terusan menyalahkan dirinya sendiri kerana kesedihan yang dipamer Taufik benar-benar terkesan di hati.

Perlahan-lahan dia membalas genggaman tangan itu sebelum dia duduk bersimpuh di hadapan suaminya itu sedang Taufik masih tertunduk menginsafi kesalahan diri. Wajah suami yang dilanda kesedihan ditatap penuh simpati. Tanpa dipaksa setitis air matanya gugur juga. Dia sedar, dia takkan mampu hidup bahagia tanpa kehadiran Taufik di sisi. Taufik syurganya di dunia malah di akhirat juga, dan harapan itu sentiasa dipanjatkan padaNya setiap masa.  

Tangan Taufik yang masih digenggam kemas dikucup sebelum perlahan-lahan dia menyentuh pipi Taufik yang kebasahan, lalu air mata yang berjuraian di sapu dengan tangan. Bunyi esakan Taufik yang jelas kedengaran sangat menyentuh hatinya. Wajah Taufik yang tidak terurus tambah menyedihkannya. Kini baru dia sedar, betapa mereka sangat memerlukan antara satu sama lain dan perpisahan yang terjadi telah menguatkan rasa cinta yang telah sekian lama bersemi.

“Dahlah, abang tak buat salah apa-apa. Liya yang bersalah.” tuturnya dalam tangisan dalam usaha memujuk hati suami yang dilanda kesedihan. Airmatanya tak dapat dibendung lagi, serentak tangisannya semakin menjadi-jadi.

“Abang maafkan Liya ya.” tambahnya lagi. Dalam kepayahan wajah suaminya itu diarahkan kepadanya sebelum mata mereka bertemu semula.

Taufik malu, malu dengan perbuatannya selama ini. Tak layak rasanya dia menatap wajah itu dengan sewenag-wenangnya lagi.

“Abang maafkan Liya ya. Liya sayang abang.” ulangnya lagi. Pantas tubuh Aliya diraih dan didakap kemas. Kali ini dia tidak akan mengulangi kesilapan yang sama. Cukuplah sekali ungkapan cinta itu ditolak dulu. Kesannya sampai ke hari ini, hatinya tak pernah tenang. Perasaan bersalah sentiasa datang menghantuinya saban waktu.

“Liya tak salah. Abang, abang yang tak tahu nak hargai Liya selama ni. Maafkan abang ya, abang sayang Liya.” balasnya, semakin kuat tubuh isterinya didakap, buat melepas rindu.

Dia bersyukur kerana usahanya dipermudahkan. Kasih isterinya itu langsung tak pernah kurang. Hatinya besar dan lapang. Kemaafan yang ditagih diberi tanpa sebarang syarat, tanpa ungkitan jauh sekali ejekan dan sindiran. Benar kata arwah mak, Aliya seorang wanita yang mulia dan kini dia sendiri telah menjadi saksinya. Dia bangga kerana memiliki isteri yang sebaik itu.

“Terima kasih Allah. Terima kasih kerana pinjamkan dia padaku. Terima kasih kerana mendengar doaku. Aku bersyukur padamu Ya-Allah.” Bisiknya dalam hati. Hanya Allah yang tahu betapa lega perasaannya saat ini. Bebanan yang ditanggung, hilang dibawa pergi setiap detik-detik masa yang berlalu. Kalau diizinkan dia mahu menghentikan masa, mahu berlama-lama dalam keadaan itu. Masih belum puas rasanya mendakap tubuh isteri kesayangannya itu setelah terlalu lama mereka berjauhan.

“Abang sekejap bang, sekejap.” tutur Aliya tidak berapa lama kemudian dengan wajah yang berkerut seperti sedang menahan kesakitan, serentak pelukan dileraikan.

“Kenapa? Liya sakit ke? Sakit kat mana?” soalnya yang mula bimbang.

“Abang peluk Liya kuat sangat, sampai adik pun rasa sakit sama.” balasnya sambil tersenyum. Taufik menyesali perbuatan diri. Kini baru dia teringat tentang kandungan isterinya itu. Matanya segera terarah pada perut Aliya sebelum dia tersenyum bahagia.

“Kenapa Liya tak bagi tahu abang? Sampai hati Liya sorokkan semua ni daripada abang.” sayu kedengaran suara Taufik sambil tangannya mengusap perut isteri tersayang. Ada riak kekesalan dikesan di situ serentak Aliya di hambat perasaan bersalah. Dia tahu, dia tak seharusnya menyembunyikan hal yang sebesar itu, tapi dia sudah berjanji untuk tidak akan memaksa Taufik menerimanya kembali.

“Liya bukan nak rahsiakan daripada abang. Cuma Liya tak nak abang terpaksa terima Liya semula. Liya nak Abang terima Liya kerana Liya, bukan kerana adik. Liya betul-betul nak ucapkan terima kasih pada abang.” ucapnya sebelum meraih dan menggenggam tangan Taufik kemas. “Terima kasih sebab sudi datang dan terima kasih sebab sudi terima Liya semula.” ucapnya dalam senyuman. Taufik membalas dengan senyuman yang sama. Mereka bahagia kerana akhirnya bahtera yang hampir karam dapat dibaiki semula.

“Abang lupa nak tanya Liya. Baby boy ke baby girl?” soalnya mahukan jawapan. Aliya menggeleng-gelengkan kepala kerana dia sendiri masih belum memastikannya.

“Kenapa?” soal Taufik kehairanan.

“Liya sendiri pun tak tahu lagi. Liya tunggu abang.” tuturnya perlahan. Perasaan kesal kembali menyelubungi diri. Taufik benar-benar rasa bersalah kerana membiarkan Aliya menunggu setiap hari. Sekarang barulah dia sedar siapa kawan yang dijanjikan Aliya kepada Zaim. Adik, ya adik, anak yang berada di dalam kandungan bukan seperti yang dia fikirkan. Taufik mengutuk diri sendiri kerana dia yang buta hati.

“Maafkan abang. Semuanya salah abang.” ucapnya sebelum mengucup kening Aliya penuh kasih. Aliya bahagia kerana hidupnya kini gembira di samping suami tercinta.

“Macam mana abang boleh tahu rumah Liya? Siapa yang beritahu abang? Seingat Liya, Liya tak pernah cerita apa-apa pada abang selama ni?” soal Aliya. Sejak tadi persoalan itu bermain-main di minda. Cuma baru sekarang dia berpeluang untuk menyuarakannya. Taufik hanya membalas dengan senyuman penuh makna.

“Rahsia. Mana boleh bagitahu.” balasnya. Hatinya berbunga riang. Dia berterima kasih kepada Laili yang sanggup membantunya menagih kemaafan dari Aliya. Taufik lega, walaupun dia tiada, Aliya sentiasa ditemani sahabat yang baik dan setia.

 

“Assalammulaikum.” ucapnya memulakan bicara. Laili yang baru melintas untuk ke kilang terkejut dibuatnya.

“Waalaikumussalam.” balasnya perlahan. Dia kenal dengan lelaki yang berdiri di hadapannya itu. Taufik, lelaki tak bertanggungjawap, yang telah menghampakan Aliya. Walaupun hanya sekali berjumpa namun wajah itu takkan pernah dilupakannya. Serentak dia mendengus geram menzahirkan kekecewaan di hati.

“Ada apa ya? Boleh saya bantu?” soalnya kembali. Tak mahu menunjukkan sikap yang tak sewajarnya. Walaupun hatinya panas, abab kesopanan tetap harus dijaga. Tak rela kiranya mencemarkan maruah bangsa dan agama.

“Saya nak cari Aliya. Saya Taufik suami dia. Kat mana saya boleh jumpa dia.” balas Taufik. Wajah Taufik yang tak terurus sedikit melembutkan hatinya ditambah pula dengan riak kekesalan yang jelas terpamer di situ. Dia pasti Taufik sudah mahukan Aliya semula, tapi sebelum itu, Taufik perlu diuji terlebih dulu.

“Suami? Awak pasti ke? Sebab selama ni saya tengok dia sorang-sorang je. Tak pernah ada teman pun.” jawap Laili sengaja ingin  mendera hati Taufik, paling tak pun sikit kerana telah banyak air mata Aliya yang tertumpah disebabkan lelaki ini, dah berbaldi-baldi, sampai cukup untuk buat mandi.

Wajahnya ditundukkan, tak berani bertentang mata dengan wanita di hadapannya itu. Dia sedar kehadirannya tak diundang, namun dia tetap perlu berjumpa dengan Aliya, paling tidak dia perlu mencuba. Laili menghela nafas panjang. Dia tahu dia tak seharusnya melepaskan geram pada Taufik. Dia tak layak sebab dia bukan siapa-siapa, tapi nak buat macam mana? Hatinya yang terguris melihat penderitaan sahabat baiknya itu. Salah ke kalau dia mahu mempamerkan kekecewaan diri? Biar Taufik tahu Aliya bukan sendiri. Tiba-tiba dia tersedar, dengan pantas dia beristigfar di dalam hati. Biarlah Aliya sendiri yang menentukannya kerana bukan dia yang merasa.

“Aliya tak ada kat sini. Dia di rumah. Kalau awak nak jumpa dia pergilah. Saya tak ada hak nak halang awak sebab awak tetap suami dia dan dia tetap isteri awak. Tapi tolong, tolong jangan buat dia sedih lagi. Kalau awak dah tak nak dia, lepaskan dengan cara baik sebab kami ada. Kami boleh jaga dia. Tapi tolonglah jangan seksa dia lagi.” tutur Laili. Wajah Taufik tetap tak berubah, mendung dan penuh dengan penyesalan. Akhirnya Laili pasti. Dia perlu menyatukan keduanya. Sama seperti Aliya yang menyatukan dia dan Sulaiman sebentar tadi.

“Betul ke awak nak jumpa dengan dia?” soal Laili, tak mahu terus terusan menyiksa Taufik.

“Dia ada dekat mana? Kat mana saya boleh jumpa dia? Dia sihat kan?” soalnya bertalu setelah sedar yang dia bakal diberikan peluang untuk bertemu isteri tersayang. Laili sengaja tak mahu menjawap. Biarlah mata Taufik sendiri menjadi saksi nanti. Jangan sampai kerkejut beruk sudahlah. Getusnya dalam hati.

“Saya tak nak jawap soalan tu. Awak tengoklah sendiri apa yang awak dah buat pada dia. Tapi tolong ya, saya nak ingatkan, jangan sekali-kali sakitkan hatinya lagi. Kalau perkara macam ni berulang, saya rasa takkan ada siapa yang akan bantu awak lagi, terutamanya saya.” balas Laili memberikan amaran. Taufik segera mengangguk tanda faham dan dia berazam untuk tidak megulangi kesalahan yang sama semula, dengan izinNya, InsyaAllah.

“Awak keluar balik ke jalan besar, ambil kanan. Lepastu awak akan nampak kawasan perumahan di bahagian kiri nanti. Masuk dan ambil lorong yang ke dua. Aliya ada dekat rumah yang hujung sekali. Saya rasa awak masih kenal kereta dia. Ke itu pun awak dah lupa jugak?” Soal Laili tak melepaskan peluang untuk mendera Taufik semula. Taufik pantas menggangguk. Dia tahu wanita itu masih tidak dapat mempercayainya kerana dia masih dihadiahi dengan jelinga yang menunjukkan rasa tak puas hati.

“Terima kasih. Terima kasih kerana awak sanggup bantu saya. Saya janji tak akan ulanginya lagi. InsyaAllah dengan izinNya.” balas Taufik bersungguh-sungguh sebelum berlari menuju ke kereta yang terletak di luar pagar. Dalam usahanya itu, dia hampir terjatuh. Laili yang masih memerhati menggeleng-gelengkan kepalanya berkali-kali.

“Ish, ish, ish…apalah nasib kau Liya, dapat suami pelik macam ni.” bisiknya pada diri sendiri.

 

Previous: Bab 37
Next: Bab 39

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati