Home Novel Cinta BERARAK MENDUNG KELABU
Bab 10

Azie manghampiri Aliya yang sedang duduk di birai katil dengan beg perkakasan solekannya. Dia mahu membantu apa yang termampu. Tak rela membiarkan Aliya terus-terusan merindu seperti itu. Dia mahu Aliya bahagia sama seperti ibu-ibu yang lain.

“Mari duduk sini. Biar aku makeover kau jadi orang lain, nak?” katanya kepada Aliya ketika pertama kali rancangannya untuk ke rumah Pn.Hayati disuarakan kepada Azie. Tangannya pantas melakukan pengubahsuaian pada wajah sahabatnya itu. Berita berkenaan dengan pembantu sementara itu diperoleh Aliya daripada Mak Jah yang merupakan mata dan telinganya di rumah banglo tersebut.

Sejak Aliya meninggalkan rumah itu, hubungannya dengan Mak Jah tak pernah terputus. Perkembangan tentang Zaim banyak diketahui Aliya melalui Mak Jah yang baik hati. Setiap tahun kiriman daripada Mak Jah sentiasa dinanti. Kiriman gambar-gambar Zaim setiap kali ulang tahun hari lahirnya tak pernah ketinggalan untuk dikirimkan. Malah boleh dikatakan mereka berhubungan setiap masa.

Tiada siapa yang tahu kebenarannya, tidak juga Laili dan Azie. Dia tak mahu segala rahsia yang disimpan selama ini diketahui sesiapa. Kalau Laili dan Azie tahu pasti dia akan dipersalahkan. Bukan niatnya bertindak tak bermoral seperti itu, cuma dia rasa sangat tercabar. Tindakan Pn. Hayati betul-betul mencabar kesabarannya. Ada rahsia yang tetap perlu disimpan, hanya untuk dirinya sendiri.

“Kau tengok ni, macam mana? Ada tak persamaan antara kau dan Aliya.” ujar Azie sambil menarik Aliya ke cermin. Aliya terkejut, wajahnya jelas berubah, lantas dia tersenyum.

“Apa yang kau dah buat kat muka aku ni Azie? Macam mana kau boleh jadikan aku macam ni?” soalnya gembira. Aliya seperti tidak dapat mempercayai apa yang terhidang di hadapan mata. Dengan meletakkan tanda parut palsu di dahi, ditambah pula dengan solekan yang sedikit merubah tone warna kulit asalnya yang putih menjadi agak gelap, kini dia tidak lagi kelihatan seperti Aliya yang asal. Mereka adalah dua orang yang berbeza dalam jiwa yang sama.

“Ha. Itulah makeover namanya. Solekan kesan khas masa kita sama-sama ambil kursus di Giat Mara dulu, masa tu korang ambil kursus jahitan kan. Kau tengok ya, dengan solekan kau boleh jadi lebih cantik, dan dengan solekan juga kau boleh jadi…” kata-katanya terhenti di situ, dia tersengih. Aliya memandangnya, mengerti maksud rakan karibnya itu. Satu cubikan melekat di pinggangnya yang ramping. Serentak ketawa mereka berderai.

“Siapa tu?” soal Laili yang baru tiba. Terkoco-koco dia merapati keduanya.

“Liya kenapa kau boleh jadi sampai macam ni. Aku dah tak kenal kau lagi. Kau dah lain. Aku nak Aliya aku yang dulu.” rengek Laili sambil matanya tak lepas dari memandang wajah baru rakannya itu.

“Ha. Kau tengok. Mangsa pertama kau. Aku dah cakap pasti mereka tak dapat cam kau punya. Kau janganlah risau.” tutur Azie yakin. Tak sia-sia usahanya selama ini. Siapa sangka kemahiran yang dipelajarinya itu dapat membantu Aliya kini. Dia gembira, paling tidak dia dapat menyumbang tenaga untuk menjayakan rancangan Aliya, rancangan untuk bertemu semula dengan anak yang sentiasa dirindu.

“Terima kasi Azie, kau memang terbaik. Aku tak tahu macam mana nak balas.” ucap Aliya sayu.

“Cuba untuk bahagia Liya. Itu je yang aku nak kau buat. Aku nak sangat tengok kau bahagia macam orang lain. Kita dah lalui hari-hari yang tak menggembirakan dulu. Aku harap hari-hari depan kau akan jadi lebih baik. Itu je yang aku minta.” tuturnya mengharap.

“Kita kenal dah lama. Aku hanya ada kau dan Laili je. Kalau kau sedih, aku pun rasa sedih juga.” tambah Azie sebelum merapikan solekan di wajah Aliya. Laili masih tercegat memerhatikan keduanya.

“Ni, Aliya kedua kau nak bagi nama apa?” soalnya tiba-tiba.

“Kita bagi nama Laila nak. Baru la sesuai dengan imej baru kau yang misteri ni, baru la ada uhm!” tambahnya sebelum memeluk Aliya di sisi.

“Jap, jap. Kalau ini Laila, yang ni Laili.” tutur Laili yang sedari tadi masih memerhati. Tangannya diarahkan sekejap ke depan, sekejap ke belakang.

“Maksudnya kita kembarlah ya. Kembar tak seiras.” tambahnya lagi disambut dengan deraian ketawa dari semua.

Tidak pernah Aliya sangka perkenalannya dengan Azie seawal mereka berumur 10 tahun di rumah anak yatim Al-Hidayah dulu menjadi titik permulaan kehidupannya yang baru kini. Azie beriya-iya ingin membantu. Katanya dia tahu cara untuk menyempurnakan rancangan penyamaran itu dan berkat usaha Azie jugalah kini dia berjaya menjengah kehidupan yang diharapkan selama ini. Kehidupan yang diimpikan sejak 5 tahun dulu, hidup di samping anak kesayangan, Mohammad Zaim Syakir, buah hati pangarang jantungnya itu.

Aliya tahu Taufik pastinya tidak akan mengizinkannya menjejakkan kaki ke rumah itu lagi setelah apa yang dia telah dia lakukan. Tindakan Aliya itu layak menjadikannya seorang isteri yang nusyus, malah melucutkan titlenya sebagai isteri pada seorang yang bergelar suami.

Kesempatan kedua yang ada akan digunakan dengan sebaiknya untuk melepaskan rindu yang sudah terbuku sekian lama di jiwa. Ibu mana yang tak sayangkan anak yang dikandungnya sendiri. Segala pergerakan diatur rapi agar tidak memudaratkan diri lebih lagi kepada anak yang dikandungi. Mengetahui ada insan lain yang sedang membesar di situ, menimbulkan perasaan yang tak dapat nak digambarkan dengan kata-kata. Ia adalah nikmat dari yang Maha Esa dan hanya yang terpilih sahaja yang mampu untuk merasainya.

Selesai makan tengah hari, Aliya menemani Zaim menonton rancangan kartun kegemarannya, Detaktif Conan di ruang tamu. Zaim memang hantu kartun. Puas satu, satu rancangan kartun yang ditonton. Dia dilihat tidak pernah bosan walaupun bagi rancangan-rancangan yang sudah pernah ditonton sebelumnya. Matanya tidak lekang dari kaca telivisyen. Sekejap mukanya serius, sekejap gembira mengikut emosi yang disaratkan dalam kartun berkenaan.

“Im. Untie nak pergi solat kejap.” ujar Aliya selesai melihat jam di dinding. Zaim masih pegun menghadap telivisyen di hadapannya. Kalau dah kusyuk tu dah tak ingat apa dah, apa yang Aliya cakap masuk telinga kanan keluar telinga kiri, tidak diendahkan. Melihat Zaim yang keriangan membuatkan hati Aliya lega kerana dia sedar, walaupun tanpa kehadirannya Zaim tetap dapat membesar menjadi seorang anak yang berdikari dan ceria.

Perlahan-lahan Aliya meninggalkan Zaim yang keseronokan menonton sendirian. Dia mengatur langkah ke biliknya untuk melaksanakan tanggungjawab pada yang Esa. Tidak sedar kerana keasyikan melayan keletah Zaim dia nyaris terlajak solat Zuhur. Dihadapan cermin, dia berhati-hati membuka peralatan penyamarannya sebelum diletakkan di dalam bekas alat solek yang disediakan.

Selesai memberi salam dia seperti perasan ada kelibat seseorang di belakangnya. Aliya menoleh, serentak dia terpandangkan wajah Zaim yang jelas berubah. Hilang kecerian yang biasa terpamer di situ. Mereka berdua terkelu buat seketika.

Muka Zaim pucat. Dia jelas terkejut dengan perubahan diri Untie Laila yang berada di hadapannya itu. Pantas dia bangun lalu mengatur langkah untuk meninggalkan bilik Aliya. Aliya dihambat perasaan bersalah kerana sedar Zaim telah menyedari pembohongan yang dia lakukan selama ini. Baru beberapa langkah, tiba-tiba hayunan kakinya dimatikan. Zaim berpaling dan menuju semula ke arah Aliya. Tangan Aliya diraih dan digenggam kemas sebelum ditarik mengarahkan Aliya untuk mengikutnya. Aliya dibawa meniti anak tangga menuju ke tingkat atas.

“Zaim nak bawak untie ke mana?” soal Aliya cemas, menyedari rancangannya telah diketahui oleh Zaim. Dia tahu dia takkan dapat membohongi anak itu lagi. Harapannya untuk tinggal lebih lama di situ dilihat sudah mula kabur.

Zaim tidak menjawab pertanyaan Aliya, langkahnya makin laju menuju ke destinasi yang dituju sebelum pergerakan kakinya terhenti di hadapan bilik bacaan Taufik. Aliya serba-salah, sesungguhnya dia tidak dapat menduga apa yang sedang mengganggu fikiran anaknya itu.

Pintu dibuka luas. Zaim melangkah pantas menuju ke meja kerja Taufik sebelum laci meja dibuka, serentak dia mencapai satu bingkai gambar lalu memberikannya kepada Aliya. Aliya menyambutnya perlahan.

“Mama?” ucap Zaim dengan nada yang terketar-ketar. Aliya nyata terkejut, itulah perkataan keramat yang terlalu ingin didengarinya daripada Zaim selama ini. Gambar perkahwinannya itu ditatap sebelum matanya beralih pula kepada Zaim. Aliya hilang kata-kata. Tubuh kecil Zaim dirangkul ke dalam pelukannya. Dia tahu dia sudah tak perlu untuk merahsiakan semuanya lagi. Zaim sudah tahu akan identitinya yang sebenar. Dia sudah bebas menyayangi anak itu sepenuhnya.

“Sayang, mama minta maaf. Mama minta maaf kerana terpaksa berbohong selama ni. Maafkan mama sayang.” ujarnya sebelum pelukan dieratkan. Wajah polos Zaim dikucup semahunya. Hilang melayang beban rindu yang membelenggu dirinya selama ini. Aliya gembira kerana dia tidak perlu berlakon di hadapan anaknya itu lagi.

Zaim masih pegun. Dia tidak menunjukkan sebarang reaksi, segera Aliya melepaskan pelukannya. Wajah Zaim yang sayu ditatap penuh kasih. Digenggam erat tangan kecil itu sebelum mengucupnya lembut namun Zaim masih tercegat di situ. Dia masih tidak dapat mempercayai apa yang sedang berlaku.

Dia juga sangat mengimpikan untuk bertemu dengan mama. Hasrat yang disimpan selama ini akhirnya tercapai. Kini mama sudah ada di hadapan matanya. Macam mimpi. Mimpi yang paling menggembirakan.

Matanya mula berkaca serentak dia teresak-esak menahan tangis. Aliya tergamam. Dia sendiri tidak menjangka Zaim akan beraksi begitu. Aliya cuba untuk memujuk. Digenggam erat tangan anaknya itu, sebelum tubuh kecil itu hilang dalam pelukannya semula. Aliya pilu melihat keadaan anaknya itu. Dia dihambat perasaan bersalah kerana sedar dialah punca segala yang berlaku. Basah muka keduanya dengan air mata.

“Shh…sayang jangan nangis. Maafkan mama sayang. Mama yang salah. Maafkan mama.” tuturnya berkali-kali. Sesalan menyelubungi diri. Kesedihan Zaim terasa sampai ke hati.

Diusap tubuh Zaim dengan penuh sayang mengharap pergi kesedihan yang terbeban di jiwa kecil itu. Aliya sedar yang Zaim masih terlalu muda untuk menghadapi semua yang berlaku. Dia betul-betul rasa bersalah. Zaim membalas pelukan Aliya sebelum tagisnya semakin menjadi-jadi.

“Mama.” tuturnya dalam tangisan. Aliya tak dapat menahan diri lagi. mereka sama-sama menangisi pertemuan semula yang amat dinanti.  

Tubuh Aliya didakap erat. Dia tak mahu berpisah dengan mama lagi. Dia tidak dapat menggambarkan perasaannya sendiri. Sesungguhnya dia sangat gembira kerana dapat bertemu semula dengan mama. Tapi kenapa dia menangis? Selama ini dia sedar yang papa berbohong tentang hal mamanya itu. Dia tahu yang mama masih hidup biarpun papanya menyatakan sebaliknya.

Perbulan yang didengari secara tak sengaja antara nenek dan papa pada satu ketika dulu menjadi bukti kukuh sangkaannya itu. Ketika itulah perihal mama diungkit nenek setelah papa menolak cadangan nenek untuk mencari pengganti mama. Jauh di sudut hati dia tahu yang mama tidak seperti mana yang digambarkan oleh nenek.

Dia tak mahu mempercayainya. Tak mungkin mama sengaja meninggalkannya. Dia pasti yang mamanya akan kembali satu masa nanti dan dia tak kan putus harap.

Pada satu hari ketika dia sedang bermain di bilik kerja papa, tanpa sengaja, dia terjumpa potret tersebut. Potret papanya dengan seorang wanita dalam pakaian pengantin dan dia yakin itu adalah mamanya. Sejak daripada itu setiap kali dia rindukan mama, potret tersebut yang menjadi tempat dia melepas rindu.

Dia sentiasa berdoa agar Allah memberikannya peluang untuk bertemu semula dengan mama. Papa kata kalau nak minta sesuatu, kenalah minta dengan Allah. Sejak dari itu tak tak putus-putus dia meminta untuk dipertemukan semula dengan mama. Kini hasratnya tercapai, Allah dah beri mama padanya semula. Zaim melepaskan dirinya dari pelukan Aliya. Ditenung Aliya dengan tangisan yang masih bersisa.

“Mama…Mama pergi mana? Lama Im tunggu mama. Nenek kata mama dah tak sayang pada papa dengan Im? Betul ke ma?” soalnya dalam sendu yang sedaya-upaya untuk di tahan. Mamanya dihujani dengan soalan-soalan yang membebani fikirannya selama ini. Wajahnya penuh pengharapan. Dia betul-betul perlukan jawapan.

Hati Aliya terasa bagai dihiris sembilu tadkala mendengar kata-kata anaknya itu. Selama ini dia menyangka Zaim baik-baik saja tanpanya. Dia tidak pernah menduga yang Zaim terpaksa menanggung bebanan yang seberat itu akibat daripada persengketaan mereka. Perwatakan Zaim yang periang dan berdikari bukanlah cermin hatinya yang sebenar, sebaliknya hanyalah usaha untuk menyembunyikan kesedihan akibat ditinggalkan selama ini. Aliya rasa sangat berdosa kerana dia tidak menyangka tindakannya itu secara tak langsung menarik Zaim terjebak sama.

“Maafkan mama sayang, mama yang bersalah. Mama tak sepatutnya tinggalkan Im dulu. Mama minta maaf ya. Mama janji mama takkan tinggalkan Im lagi.” janji Aliya. Pantas Zaim menyembamkan tubuhnya ke dakapan mama yang sangat dirinduinya itu semula.

“Im sayang mama.” tuturnya sayu.

“Mama pun. Mama sayang Im. Maaf kan mama ya. Maaf kan mama.” balas Aliya. Dia tahu sebanyak manapun ungkapan maaf yang dilafaskan takkan dapat menebus kembali kesalahan yang pernah dia lakukan pada anaknya itu. Tapi dia berjanji untuk tidak akan mengulangi kesilapan yang sama lagi.

“Tapi Im kena janji dengan mama, siapa pun tak boleh tahu tentang hal ni. Biar ia jadi rahsia antara kita, boleh?” bisik Aliya di telinga Zaim. Zaim mengangguk penuh yakin.

Aliya menatap wajah Zaim yang terlena di ribaan. Babak yang menyedihkan sebentar tadi bermain-main di fikiran. Diusap lembut pipi anaknya itu. Serentak dihadiahkan kucupan di ubun-ubun Zaim. Matanya bengkak akibat kesan tangisan yang berlebihan.

Aliya simpati melihat keadaannya. Selebihnya dia bersyukur kerana Zaim dapat menerimanya semula malah turut memaafkan kesalahan yang dilakukan biarpun setelah mengetahui kebenaran tentang dirinya. Setidaknya dia tidak perlu berpura-pura lagi di hadapan Zaim selepas ini. Dia bebas mencurahkan kasih sayangnya kepada Zaim, buah hatinya itu.

Malam itu seperti biasa, sesampainya di rumah, Taufik menyusuri anak tangga menuju ke bilik Zaim. Dia pulang awal demi untuk meluangkan masa bersama tapi dia hairan kerana kelibat Zaim tidak kelihatan. Dari bawah sampai lah ke bilik, sunyi. Nama anaknya dipanggil, namun tiada sahutan. Taufik membuka pintu bilik air, kosong. Zaim tetap tidak kelihatan.

Taufik membuka langkah menuju ke bilik tidurnya yang terletak bersebelahan. Manalah tahu yang Zaim berada di situ, kerana Zaim sekali-sekala gemar menghabiskan masanya di situ. Tekaannya meleset sama sekali. Keadaan bilik yang gelap menunjukkan yang Zaim turut tiada di situ.

Perasaan cemas menyelubungi diri. Hanya Laila yang terlintas di fikirannya kini. Langkah diatur laju menuruni anak tangga menuju ke bilik Laila. Pintu bilik diketuk dengan perasaan yang bercampur baur. Kali terakhir dia di situ dia telah dihadiahkan dengan tamparan akibat kekilafannya yang tidak dapat mengawal diri. Kenangan yang memalukan itu terbayang di ruangan minda. Taufik sudah berjanji tidak akan menjejakkan kaki ke situ lagi, tapi demi Zaim dia terpaksa akur kali ini.

Sekali lagi daun pintu diketuk. Tidak lama selepas itu wajah Laila muncul di sebaliknya. Laila masih lengkap bertudung, seperti telah menjangka kedatangannya. Mereka berbalas pandang sebelum pintu dibuka luas serentak mata Taufik tertancap pada tubuh kecil Zaim yang sedang terlena di atas katil Laila.

“Boleh saya masuk?” soalnya. Kali ini dia meminta kebenaran. Aliya membalas dengan anggukan.

Taufik melabuhkan punggungnya perlahan di sebelah Zaim yang sedang dibuai mimpi. Dikucup dahi Zaim lembut. Mukanya berkerut, pantas belakang tangannya di letakkan di dahi anaknya itu. Suhu badan Zaim yang panas membuatkannya resah. Taufik melemparkan pandangannya kepada Aliya yang sedang memerhati di sudut bilik.

“Zaim demam tuan, tapi tuan tak perlu risau. Saya dah bagi dia makan ubat tadi. Kalau tuan tak keberatan boleh tak dia tidur di sini malam ni.” pinta Aliya bersungguh, sebelum melangkah mendekati Taufik setelah memahami maksud pandangan lelaki itu.

Taufik hairan kerana selama ini Zaim jarang demam. Itu yang membuatkannya bimbang dan untuk mengamanahkan tanggungjawab itu kepada Laila dia rasa lebih bimbang. Bukan meragui keupayaan Laila, cuma dia yakin yang dia boleh menjaga anaknya itu lebih baik. Permintaan Laila tidak segera dijawab.

Taufik berkira-kira untuk mendukung Zaim ke biliknya. Dia lebih selesa menjaga Zaim sendiri. Serentak dirasakan tangan Laila hinggap di bahu. Tindakannya terhenti. Perasaan yang aneh itu datang lagi. Taufik sesak setiap kali perasaan itu datang. Dia runsing memikirkan perasaan sendiri. Kenapa setiap kali berada berdekatan dengan Laila hatinya selalu menjadi tak keruan? Kenapa? Bagai ada satu kuasa yang mengalir dalam tubuhnya, dia berasa seram sejuk.

Taufik mematikan hasratnya. Dia terpaksa membiarkan Zaim tidur di situ malam ini. Dia perlu cepat meninggalkan bilik itu, gelodak perasaan yang semakin berkecamuk perlu segera ditamatkan.

“Kalau keadaan demamnya tak kurang, cepat bagitahu saya. Saya ada di bilik bacaan.” pesan Taufik sebelum berlalu pergi. Taufik tak sanggup menghampakan Laila yang dilihat ikhlas untuk menjaga Zaim walaupun dia agak keberatan pada awalnya tambahan pula dia sudah mula keliru. Keliru dengan perasaannya saat itu.

Aliya merebahkan tubuhnya di sebelah Zaim. Tangan anaknya itu digenggam dan dikucup lembut, sebelum memeluknya erat. Kehangatan tubuh Zaim dirasakan sedikit berkurangan daripada sebelumnya. Zaim dilihat sudah mula berpeluh, tanda demamnya sudah mula kebah. Sehelai tuala dibasahkan dan diletakkan di dahi.

“Cepat sembuh ya sayang mama. Mama minta maaf.” tutur Aliya perlahan. Jauh di sudut hati, Aliya mengakui yang semua itu berpunca darinya. Zaim deman disebabkan terlalu terkejut dengan apa yang telah terjadi petang tadi. Dia masih terlalu muda untuk menanggung semuanya. Sesekali Zaim dilihat mengerut-ngerutkan kening, mulutnya bergerak-gerak seperti membicarakan sesuatu. Aliya simpati melihat keadaan anaknya itu. Ditepuk-tepuk dada Zaim untuk menenagkannya.

“Maafkan mama sayang. Maafkan mama.” tuturnya lagi.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati