Aliya sedang sibuk merapikan pakaiannya di hadapan cermin selesai dia membersihkan diri dan bersolat. Hajat hati ingin keluar semula untuk mengisi perut yang mula berkeroncong. Dia terlepas waktu makan malam tadi. Terlalu asyik melayan kerenah Zaim sehinggakan dia terlupa untuk melayan dirinya sendiri.
“Siapa awak yang sebenarnya?” lantang suara Taufik mengejutkan Aliya yang sedang bersiap. Sesungguhnya tidak dia menyangka Taufik berani mencerobohi biliknya seperti itu. Aliya pantas tersedar, serentak dia berdiri tegak berhadapan dengan Taufik yang sudah ada di belakangnya. Dia menyalahkan diri sendiri kerana membiarkan biliknya tak berkunci tadi. Riak wajahnya berubah pucat, terkejut dan takut. Ya-Allah, dia dah nampak semuanya ke? Bantulah aku Ya-Allah. Bisiknya dalam hati.
“Apa semua ni? Tanda kat kaki kiri awak tu? Saya rasa saya kenal awak”. Satu demi satu pertanyaan meluncur keluar dari mulutnya. Fikiran Taufik semakin berserabut. Dia perlukan jawapan. Dia hairan, kerana segala yang ada pada Laila mengingatkannya pada Aliya. Malah susuk tubuh mereka juga dilihat seakan-akan sama. Dia sudah cuba untuk menidakkannya tapi persoalan itu tetap datang mengganggu ketenteramannya.
Aliya menyedari keadaan betisnya yang agak terdedah. Cepat- cepat dia menyembunyikan tanda tersebut. Mujurlah dia sempat mengenakan solekan penyamarannya. Memikirkan kepalanya yang tidak sempat bertudung, hanya dibaluti tuala membuatkan Aliya panas hati. Dia mengutuk perbuatan Taufik. Tak pernah dia menyangka Taufik akan menjadi seredah itu. Melanggar hak privisi orang lain tanpa rasa bersalah. Taufik sudah betul-betul melampaui batas.
Dalam pada itu Aliya berusaha mencari alasan yang sesuai bagi menutup kecurigaan yang sedang bermain di fikiran Taufik. Sesuatu perlu dilakukan agar rahsianya itu dapat dipertahankan. Perasaan geramnya tadi bertukar gusar. Dia gusar rancangannya akan terdedah. Adakah sudah sampai masanya dia perlu meninggalkan Zaim semula? Tidak. Tidak. Ya-Allah bantulah aku Ya-Allah. Bisiknya lagi.
“Saya Laila tuan. Kenapa tuan buat saya macam ni? Sampai hati tuan. Tuan ingat saya tak ada harga diri? Tuan boleh main masuk bilik saya ikut suka hati tuan? Tuan ni dah gila ke?” Sembur Aliya keras. Dia bimbang seandainya dia berlembut, dia akan tewas. Dia perlu berusaha untuk menidakkannya, sehabis daya. Jujur dia tidak pernah menjangka Taufik akan bertidak seteruk itu. Wajah Taufik di hadapannya dipandang geram.
Mujurlah yang dihadapannya itu isteri, kalau orang lain tak ke haru dibuatnya. Menceroboh hak orang tanpa berfikir panjang. Malah orang yang bukan muhrim pulak tu. Berdua-duaan dalam keadaan yang mencurigakan di tempat yang harus dielakkan, yang akhirnya mampu membawa kepada berlakunya dosa besar yang membinasakan, atas godaan dan bisikan Syaitan.
Aliya menyumpah perbuatan terkutuk Taufik di dalam hati. Serentak dia terfikirkan status perkahwinan mereka kini. Aliya mula sangsi. Dia sendiri tidak pasti samaada dia masih lagi isteri Taufik yang sah atau tidak setelah sekian lama dia membawa diri.
Buat seketika, suasana di dalam bilik menjadi sunyi sepi. Mereka hanya berbalas pandang antara satu sama lain. Taufik masih lagi belum mahu beralah. Tubuhnya tetap terpaku di situ. Wajah Taufik yang kelihatan tidak keruan mula mengundang rasa simpati di hati.
Sememangnya dia rasa bersalah setiap kali memikirkan perbuatannya yang meniggalkan Taufik sendiri membesarkan belahan hatinya Zaim yang sentiasa dikenang. Bukan niatnya untuk meninggalkan insan-insan yang tersayang, cuma keadaaan yang memaksa. Dia perlu reda. Dia tak mahu memisahkan sesiapa kerana dia tahu dirinya tak layak untuk berbuat begitu. Demi kebaikan bersama, dia sedia angkat kaki. Dia perlu segera sedar diri. Kehadiran insan sepertinya tak pernah diundang di rumah yang tesergam indah itu.
Taufik masih tercegat sambil memerhatikan Laila yang jelas kelihatan tidak selesa diperlakukan begitu. Dia masih tidak dapat menerima jawapan yang baru didengarinya tadi. Mana mungkin dia dapat melupakan tanda lahir di betis kiri isterinya. Tanda itu saling tak tumpah dengan tanda yang dilihatnya tadi. Benarkah segalanya hanya kebetulan? Dia masih perlukan jawapan.
Sewaktu di taman, ketika Laila sedang menyiram bunga tempoh hari, dia sudah ternampak tanda itu cuma dia masih belum pasti. Ketika melintasi bilik Laila sebentar tadi dia sekali lagi terpandangkan tanda itu pada tubuh Laila yang sedang merapikan pakaiannya. Tanpa dia sedari dia sudah berada di situ, di hadapan Laila. Wajah wanita di hadapannya itu ditenung. Taufik berusaha mengamati wajah Laila. Kali ini lebih lama. Dia mula membuat analisa untuk membezakan keduanya.
Akhirnya dia pasti. Cuma wajah mereka yang kelihatan berbeza malah suara dan susuk tubuh mereka juga seakan-akan sama. Parut kesan terbakar yang ada di dahi kanan Laila menyukarkan usaha Taufik meneroka wajah wanita di hadapannya itu dengan jelas. Ditambah pula dengan suasana dalam bilik yang samar-samar menghadkan penglihatan mata.
Serentak dia menghampiri Laila. Namun setapak dia melangkah setapak Laila cuba menjarakkan diri. Sehiggalah langkahnya terhenti, mati di hujung penjuru bilik. Aliya mula jadi tak keruan. Dia sudah mati langkah, tapi lelaki di hadapannya itu dilihat masih tak sedarkan diri. Taufik di hadapannya dijeling geram. Taufik betul-betul dah tak siuman bisiknya dalam hati.
Badan Aliya kelihatan menggigil menahan perasaan. Takut, marah, benci dan kecewa semuanya bersatu. Dia tak dapat mengagak apa yang sedang bermain di dalam fikiran Taufik ketika itu. Apa yang ingin Taufik lakukan padanya? Menyentuhnya tanpa rela? Tidakkah Taufik ingat pada tuhan? Pada hukum agama? Pada dosa dan pahala? Pada syurga dan neraka? Jeritannya tersekat dikerongkong, langsung tak dapat nak menolong.
Segala kata-kata itu hanya dapat didengarnya sendiri, tanpa mampu untuk diluahkan. Mulutnya terkunci. Benarkah Taufik akan melakukan perkara yang tidak senonoh terhadapnya. Sangup Taufik melanggar batas agama semata-mata kerana hawa nafsu yang semakin bermaharajalela. Fikiran Aliya bercelaru.
“Tuan apa yang tuan nak buat ni? Ingat tuhan.” jerit Aliya kuat memberi peringatan terhadap Taufik yang dilihat semakin hilang kewarasannya. Namun tegahan itu tak diendahkan. Sebaliknya semakin dia bertindak merapati Laila. Taufik tak mampu menahan diri. Dia sudah cuba untuk menjauhi Laila tapi hatinya yang tak mendengar kata. Kehadiran Laila telah menimbulkan kembali rasa cinta yang sudah sekian lama tersimpan. Kini dia buta menilai cinta hatinya yang sebenar.
Dengan wajah tenang, tangannya hinggap di pipi Laila. Perlahan-lahan kesan luka itu disentuh. Simpatinya tumpah di situ. Dia teringatkan Aliya lagi. Wajah mereka nampak berbeza pada zahirnya. Dia sendiri tak tahu kenapa setiap kali melihat Laila, wajah Aliya akan muncul sama. Wajah Laila diamati lagi. Kini baru dia sedar. Ada persamaan di situ. Bukan saja mata, suara malah segala-gala milik Laila dilihat sama dengan Aliya.
Dia terasa diri seperti sedang berhadapan dengan Aliya saat itu. Taufik lemas dalam kerinduan yang dah tak mampu untuk ditanggung. Wajah Laila diusap lembut. Dengan perasaan yang bercampur-baur dahi Laila dikucup lama. Taufik semakin hanyut dalam dunianya sendiri. Dunia yang hanya ada dia dan Aliya yang menemani.
Perasaan rindu yang selama ini terpaksa disimpan dek kerana onar yang dilakukan oleh Aliya muncul semula saat ini. Diamatinya wajah Laila dalam kesamaran.
“Cantik.” terpacul pujian yang tak disangka-sangka dari mulut Taufik. Aliya turut dibuai rasa keasyikan. Sejujurnya dia juga mendambarkan kasih sayang Taufik setelah lebih 5 tahun berjauhan. Kasih dan sayangnya tak pernah beralih arah, kini kembali bercambah.
Tiba-tiba Aliya teringatkan Pn. Hayati lantas tubuh Taufik ditolak. Serentak satu tamparan mendarat di muka Taufik. Dalam hati, Aliya mengutuk diri sendiri kerana turut sama melayan. Taufik tersedar dari dibuai perasaan. Perasaan untuk kembali dibelai dan dicintai. Dia berasa bersalah atas tindakan keterlaluan yang telah dilakukan kepada Laila sebentar tadi.
“Tuan ni dah kenapa? Jangan ingat yang saya menumpang kat sini tuan boleh buat apa yang tuan suka pada saya. Saya pun ada harga diri. Jangan layan saya macam sampah.” tubuh Taufik dihadapannya ditolak lagi, agak kuat kali ini sehingga mengakibatkannya berundur beberapa langkah.
“Maafkan saya Laila saya tak dapat kawal diri. Saya mengaku saya yang bersalah. Awak buat saya ingat pada ‘dia’. Saya minta maaf sekali lagi.” ujarnya sebelum meninggalkan Laila sendiri tanpa Taufik menyedari hakikatnya yang sebenar. Telahannya tepat. Laila dan Aliya adalah orang yang sama cuma dia yang gagal membuktikannya. Taufik membuka langkah seribu. Dalam sekelip mata bayangnya hilang entah ke mana.
Aliya terduduk di birai katil. Dia benar-benar terkejut dengan situasi yang baru dilaluinya itu. Tidak pernah dia sangka rahsia yang disimpan sejak sebulan yang lepas hampir terbongkar malam ini. Dia belum bersedia untuk meninggalkan Zaim Syakir satu-satunya sinar dalam hidupnya kini. Dia masih belum puas menatap wajah anak kesayangannya itu. Rindunya masih belum terubat. Namun Aliya lega. Rahsianya masih belum terbongkar dan dia diberi sedikit kesempatan lagi.
Dalam hati, Aliya tak henti menyalahkan dirinya sendiri yang rela diperlakukan begitu oleh Taufik. Seandainyan dia bertindak lebih awal pasti keadaan itu dapat dielakkan. Tiba-tiba simpati Aliya datang lagi. Dia tidak menyangka begitu sarat beban perasaan yang ditanggung oleh Taufik sejak ketiadaannya. Aliya mula menyesali tindakan melulu yang diambilnya dahulu.
“Dia? Maafkan Liya bang.” bisiknya perlahan. Setitik air matanya jatuh juga. Baru dia sedar. Selama ini Taufik tak pernah melupakannya. Tapi kenapa? Bukankah mereka sudah berpisah? Aliya buntu memikirkan status perkahwinannya dengan Taufik.
Taufik menyesali kertelanjurannya. Wajahnya diusap berkali-kali. Dia hampir tewas kerana tidak dapat mengawal dirinya sendiri. Laila pasti sudah membencinya kini. Taufik menggigit bibir menyesali perbuatannya sebentar tadi.
“Maafkan aku Laila. Maaf kan aku. Ya-ALLAH, ampunkan aku. Ampunkanlah hambamu ini.” tuturnya perlahan sebelum menyembamkan mukanya ke meja.
“Untie masak apa pagi ni?” soal Zaim pada Aliya. Terasa luluh jiwa raganya bila terfikirkan nasib anak yang tidak dapat disayangi secara terang-terangan itu. Segala rasa kasih yang dicurah hanya dapat dilakukan atas nama dan identiti yang berbeza. Sedih bila memikirkan yang Zaim tidak mengenalinya sebagai ibu sebaliknya hanya sebagai pembantu, itupun sehingga kepulangan Pn. Hayati dari bercuti ke luar negara untuk tempoh berbaki seminggu dua lagi. Selepas ini pasti hidupnya akan jadi hambar semula tanpa gelak tawa dan senyuman Zaim yang tercinta.
Dia terkilan kerana hanya dapat menyayangi Zaim secara rahsia. Air matanya bergenang memikirkan nasib diri. Peristiwa malam tadi turut merunsingkan hatinya. Mujur dia dapat mengelak. Kalau tak, pasti keadaan sudah berubah sepenuhnya. Zaim pasti tak lagi ada di depan mata saat ini. Dia bersyukur kerana masih diberi ruang dan peluang untuk mendekati anaknya itu lagi.
“Untie ada sediakan sandwich telur kegemaran Im. Lepastu ada bihun goreng lagi. Im nak yang mana?” soal Aliya sambil menuangkan susu ke dalam gelas.
“Im nak semua.” balasnya dengan senyuman. Aliya bahagia melayan keletah Zaim yang tak pernah kurang. Dipandang wajah Zaim penuh sayang.
“Untie, papa mana?” soal Zaim seketika kemudian.
“Tak turun lagi. Agaknya tengah bersiap.” jawap Aliya. Tak mungkin dia dapat melayan Taufik seperti biasa lagi setelah apa yang berlaku semalam.
“Tak apa lah, Im makan dulu. Sekejap lagi dia turunlah tu.” tambah Aliya lagi sebelum mendapatkan Mak Jah di dapur.
“Mak Jah. Kenapa Taufik tak turun lagi? Mak Jah tak kejutkan dia lagi ke?” soal Aliya. Mak Jah pantas tersedar. Dia lupa untuk menggerakkan Taufik tadi.
“La. Liya tak kejutkan dia tadi?” soalnya pula. Aliya pantas menggeleng.
“Kenapa Liya tak tolong ketukkan pintu macam biasa. Tak apa lah. Sekejap. Biar Mak Jah panggilkan dia.” balas Mak Jah sebelum mengatur langkah menuju ke bilik Taufik.
Baju uniform Zaim di rapikan sekali lagi. Ditatap wajah anaknya itu lama sebelum memeluknya erat. Zaim hanya merelakan dirinya diperlakukan begitu oleh Untie Laila. Dia rasa selesa setiap kali berada dalam dakapannya. Dia juga sudah mula jatuh sayang pada Untie Lailanya itu. Tanpa dipaksa tubuh Untie Laila di hadapannya itu turut didakap mesra. Aliya bahagia. Dia gembira. Zaim dapat menerimanya seadanya.
“Ya-ALLAH, berikanlah aku kesempatan untuk menatap wajahnya dengan lebih lama lagi. Sesungguhnya hanya Engkau yang mengetahui segalanya dan hanya padamu aku berserah.” Rintihnya di dalam hati. Setitik air mata jernih laju menyusuri pipi Aliya yang agak gelap kulitnya hasil solekan untuk menyempurnakan lagi penyamarannya sepanjang dia berada di rumah banglo kepunyaan keluarga Taufik itu.
Zaim nampak ada manik-manik jernih yang menitis di pipi Aliya, lalu dikesatnya lembut.
“Kenapa Untie Laila menangis lagi? Siapa yang buat Untie Laila sedih?” soalnya lagak pegawai penyiasat.
“Untie ok sayang. Cuma untie teringatkan anak untie yang dah lama tak jumpa. Bila untie tengok Im, untie teringatkan dia.” tutur Aliya menutup gelora di hati.
“Untie ada anak? Anak untie umur berapa? Dia ada kat mana?” soalnya bertalu-talu. Sifat ingin tahunya sudah tak dapat dibendung lagi.
“Ada kat sini.” tuturnya sambil memegang dada. Zaim mengerutkan keningnya. Dia kehairanan. Jawapan yang baru diterimanya membuatkan dia berfikir lebih lama. Aliya tahu Zaim sedang kebingungan, mana mungkin pada usia semuda itu dia mengerti yang kasih dan sayang letaknya di hati.
“Tak pa lah sayang. Nanti Untie cerita lagi. Im belajar rajin-rajin tau.” pesannya. Zaim mengangguk faham.
Luluh hati Aliya melihat keperihatinan yang ditunjukkan oleh Zaim. Dia memang seorang anak yang baik. Sesungguhnya Aliya sangat bersyukur dengan keperibadian yang ada pada anaknya itu. Sejak dari hari pertama berjumpa, Zaim tidak pernah menunjukkan reaksi tidak selesa terhadapnya. Zaim dilihat tidak jelik memandang wajahnya yang kurang sempurna itu. Aliya tahu Zaim simpati padanya. Simpati pada kecederaan yang ditanggungnya.
Buktinya Zaim tak habis-habis menanyakan tentang kesan parut yang terdapat di wajahnya itu. Dia mengakui Taufik telah berjaya menjalankan tanggungjawab mendidik Zaim dengan sempurna walaupun tanpa kewujudannya. Menyedari hakikat itu hatinya pedih. Tanpa Aliya sedari, Taufik sedang mengamati babak itu dengan penuh minat.
Terdetik perasaan bangga dalam hati Taufik melihatkan keperihatinan yang ditunjukkan olah anaknya itu pada usia muda. Terasa terbalas segala usaha yang dicurahkan selama ini dalam mendidiknya. Taufik teringatkan janjinya untuk membesarkan Zaim sebaiknya, setelah mereka dibuang oleh Aliya 5 tahun dulu. Dia berjanji untuk memberikan segala kasih dan sayangnya pada Zaim, biar anaknya itu tak merasa sebarang kekurangan akibat ditinggalkan si ibu yang tak ada perasaan.
“Aku dah berjaya jalankan kewajibanku sebagai seorang bapa pada anak kita Liya, tapi kau adalah seorang ibu yang gagal. Selama-lamanya.” ujarnya perlahan.
Taufik mengetap bibir. Hatinya mula terasa sakit setiap kali nama itu disebut. Kerana ingatannya pada Aliyalah dia hampir terbabas malam tadi. Seandainya Laila tak menolak? Ya Allah. Maaf kan aku Ya-Allah. Dia sedar yang dia hampir melakukan dosa besar. Dia beristigfar berkali-kali minta pengampunan atas segala kesilapan kerana membiarkan diri tewas pada godaan.
Timbul rasa simpati dalam diri Taufik melihatkan kesedihan yang terpancar di wajah Laila. Taufik rasa bersalah. Dirasakan semua itu berpunca daripada tindakan kurang sopannya semalam. Tangisan itu? Adakah kerana tindakannya semalam Laila jadi sesedih itu? Taufik malu untuk bersemuka dengan Laila, tetapi apa boleh buat nasi sudah menjadi bubur. Nak tak nak dia harus menghadapinya juga. Pagi ni pun dia sengaja turun lewat. Seleranya mati. Dia malu untuk berhadapan dengan Laila. Dia tahu Laila pasti memandang rendah padanya dan mula menganggap dia sebagai lelaki gatal yang suka mengambil kesempatan. Dia malu. Malu pada diri sendiri.
“Jom, dah lambat ni papa ada meeting penting pagi ni.” katanya sambil melangkah laju melintasi Aliya yang masih dibuai perasaan kasih pada buah hatinya itu.
Aliya sempat mencuri pandang ke arah Taufik yang baru melepasinya. Taufik langsung tidak mamandang ke arahnya. Terdengar dentuman pintu yang ditutup agak kuat. Aliya jadi marah. Dia sakit hati dengan tindakan Taufik itu. Langsung tidak menunjukkan rasa bersalah. Sepatutnya dia yang berkelakuan begitu setelah privisinya diceroboh sesuka hati oleh Taufik namun sebaliknya yang berlaku. Adakah tindakan Taufik itu sebagai protes kerana hasrat hatinya ditolak? Hati Aliya bergerutu. Tindakan Taufik betul-betul membuatnya kecewa.
“Abang dah berubah.” bisiknya dalam hati.
Dalam jauh Taufik masih memerhatikan gelagat Laila dan Zaim yang sedang melambai-lambai antara satu sama lain tanda perpisahan. Taufik perasan perubahan di wajah Laila sewaktu dia melintasinya tadi. Laila dilihat tidak selesa dengan kehadirannya. Malah memandangnya pun tidak. Taufik mula pening kepala.
“Ini semua kau punya fasal. Sekarang terimalah akibatnya. Kau memang memalukan.” tuturnya sebelum menampar mukanya sendiri.