Home Novel Cinta BERARAK MENDUNG KELABU
Bab 39

Zaim sedang duduk kesorangan di taman sambil kepalanya memandang ke kiri dan ke kanan. Bosan! Tiada apa yang seronok untuk dilakukan pada hari cuti seperti ini. Sejak tadi papa tak kelihatan. Dia pasti papanya telah ke pejabat macam selalu, takkan ada untuknya. Peristiwa semalam terbayang lagi. Peristiwa dia di marahi papa gara-gara dia bertanyakan tentang mama.

“Papa dah lain dah tak sama macam dulu.” tuturnya kecewa. Dia kecewa dengan sikap papa yang sudah banyak berubah. Papa dilihat sudah tidak menyayanginya lagi. Dia teringatkan mama. Hanya mama yang mampu membuatkannya gembira. Dia mula memikirkan janji mama, janji mamanya untuk kembali. Hatinya berbunga ceria semula. Hilang segala kesedihan bila memikirkannya. Kepulangan mama setia dinanti dan dia pasti, mama takkan mungkir janji.

“Mama kan dah janji nak balik jemput Im.” tuturnya sambil menyandarkan badan ke kerusi besi. Banyak kenangannya bersama mama di situ. Pokok-pokok yang mama jaga masih subur, sama macam dulu. Kerinduannya terubat setiap kali dia berlengah di situ. Suasana taman yang sejuk dan sunyi membuatkan dia selesa. Akhirnya dia terlena berteman kenangan bersama mamanya yang sentiasa dikenang.

 

“Im. Bangun sayang.” kedengaran sayup-sayup suara mama memanggilnya. Dia tak pasti samaada ianya benar atau sekadar mimpi.

“Sayang bangun. Mama dah balik ni. Im kata Im rindu mama. Bangunlah, mama dah balik sayang.” serentak badannya dipusingkan. Mata yang masih berat digosok dengan belakang tangan.

“Mama.” tuturnya sepatah sebelum matanya dibuka. Alangkah gembiranya rasa hati. Mama yang sentiasa dinanti kini sudah ada di hadapannya. Serentak Zaim membenamkan mukanya ke dada Aliya sebelum kedengaran tangisan kecil dari anaknya itu, tangisan kegembiraan tanda penyatuan dua insan yang telah lama dipisahkan.

“Shh…sayang. Jangan nangis. Maafkan mama sebab tinggalkan Im lama sangat. Im janganlah nangis. Kalau Im nangis nanti mama pun nangis sama.” tutur Aliya. Air mata kegembiraan sukar untuk dihalang. Mereka sama-sama melepaskan beban rindu yang sarat bersarang di hati masing-masing.

Tubuh Zaim diusap dan ditepuk-tepuk manja, mengharap pergi tangisan yang belum menunjukkan tanda-tanda mahu reda. Semakin dipujuk, semakin galak tangisnya. Aliya tahu dia yang bersalah. Perasaan ditinggalkan orang tersayang perit dan pedih. Dia sendiri pernah mengalaminya dulu dan tanpa dia sedari keadaan yang yang sama berulang pada jantung hatinya itu, akibat daripada kecuaian mereka berdua.

“Dah lah sayang. Mama kan dah balik ni. Janganlah nangis lagi.” pujuk Aliya lagi. Zaim tetap tak mahu melepaskannya. Dia tak rela mamanya pergi meninggalkannya lagi. Dia tak mahu ditinggalkan sendiri. Dakapan terhadap mama dieratkan. Dia mahu sentiasa ada bersama mama. Biar ke mana pun mama pergi kali ini, dia akan turuti.

“Im ingat tak yang mama janji hari tu yang mama nak bawakan kawan untuk main dengan Im. Ingat tak?” soalnya sengaja mahu memancing minat anaknya itu. Zaim pantas mengangguk. Dia teringatkan kawan yang mama maksudkan.

“Mama dah bawa dia sekali. Im tak nak jumpa dengan dia ke?” soal Aliya lagi. Tangannya menepuk-nepuk bahu Zaim yang sudah mula menunjukkan minat, serentak mukanya didongakkan. Diusap wajah anaknya itu sebelum mengucupnya lama. Sudah lama dia tak membelai anak kesayangannya itu. Zaim gembira, dia suka diperlakukan begitu.

“Mana?” soalnya seketika kemudian. Sifat ingin tahunya muncul kembali. Sedikit sebanyak moodnya sudah diubati.

“Ni. Kat sini. Kat dalam ni.” balas Aliya seraya menunjukkan perutnya yang sudah membesar. Bulat mata Zaim memandangnya. Dia masih belum benar-benar mengerti apa yang terjadi. Serentak mata galaknya dikelipkan berulang kali.

“Maksud mama, kawan Im ada kat dalam ni?” soalnya seperti tak percaya. Tangannya mendarat pada perut Aliya yang dilihat agak pelik di pandangan matanya. Aliya terhibur. Senyumannya mekar, semekar jambangan mawar yang memenuhi ruang taman arwah maknya.

“Emm, adik. Adik Im.” balas Aliya. Dia tahu Zaim masih belum memahami apa yang berlaku.

“Tapi ma, dia kan ada kat dalam. Macam mana dia nak main dengan Im?” soalnya pula. Taufik yang sedari tadi memerhati geli hati. Dia dah tak sanggup untuk berdiam diri. Dia kasihankan Aliya kerana pasti jenuh isterinya itu menjawap soalan-soalan Zaim yang takkan pernah habis nanti.

“Nanti sampai masanya dia keluar la. Masa tu barulah Im dapat main dengan dia.” jawap Taufik tiba-tiba. Zaim memandang kearah papanya sejenak sebelum menyembamkan mukanya kembali ke dada Aliya. Hatinya masih sedih. Tindakan papa menengkingnya semalam masih jelas diingatan.

Taufik menggigit bibir. Dia sedar Zaim merajuk dengannya. Dia mengaku dia terlanjur kata. Amarahnya gagal untuk dikawal saat itu. Akibatnya Zaim menjauhkan diri, tak mahu didekati.

“Maafkan papa. Papa tahu papa salah. Sampai bila Im nak merajuk dengan papa. Kan papa dah bawa mama balik.” tuturnya mahu memujuk rajuk Zaim tapi tetap tak berkesan. Zaim masih setia membatu di pelukan Aliya. Aliya tersenyum. Dia tahu Taufik sedang mencuba.

“Betul ke Im tetap tak nak maaf kan papa ni? Papa baru je nak ajak Im dengan mama jalan-jalan, pergi taman yang kita pergi sama-sama dulu, main basikal, makan aiskrim. Takpalah kalau macam tu. Nampak gayanya papa kena pergi sorang-sorang je lah ni.” tambahnya lagi. Sebelum melangkah meninggalkan mereka. Baru saja beberapa langkah, Zaim akhirnya bersuara.

“Nak ikut. Tapi papa janji, Im dapat makan aiskrim nanti. Im nak makan banyak-banyak.” balasnya ceria sebelum berlari mendapatkan Taufik. Taufik lega, akhirnya keceriaan anaknya itu sudah kembali semula. Tubuh kecil didakap dan didukung sebelum mereka beriringan menuju ke dalam rumah dengan perasaan gembira.

“Papa. Macam mana adik Im boleh ada kat dalam perut mama tu.lama lagi ke dia ada kat dalam tu?” soalnya sambil mengerutkan kening. Pecah ketawa mereka mendengarnya. Zaim memang tak pernah kurang dengan persoalan. Mulut becok, mengalahkan burung murai yang banyak hingap di belakang rumah.

“Ish, Im ni tak habis lagi ke? Papa ingat dah settle dah tadi.” balas Taufik tak mahu memanjangkan bicara sambil matanya memandang ke arah Aliya penuh makna.

 

Laili menghantar Aliya pergi dengan tangisan kegembiraan. Dia gembira, akhirnya Aliya mendapat cintanya yang dinanti. Wajah Aliya sungguh ceria, hilang mendung kelabu yang mengiringinya sepanjang masa. Dia tahu, dia terpaksa tinggal bersendirian semula. Entah bilalah agaknya mereka berpeluang untuk bertemu lagi dalam keadaan Aliya yang sarat seperti itu pasti sukarlah untuk mereka bertemu lagi, paling lama sehingga Aliya menyambut kelahiran adik nanti, lepastu tambah waktu berpantang lagi, bisiknya dalam hati sambil memandang ke arah Aliya yang sudah bersedia untuk berangkat.  

“Kau kenapa? Kau tak nak aku pergi ke?” soal Aliya tadkala melihat air mata sahabatnya yang sudah mula berlinangan. Dia turut sama menitiskan air mata sebelum tubuh Laili dipeluk erat.

Bukan hanya Laili, malah dia juga berat hati untuk melangkah pergi kerana sudah terlalu lama mereka hidup bersama. Makan sepinggan, minum segelas, malah tidur pun sebantal. Tak betah rasanya berpisah, namun Aliya sedar tempatnya bukan di situ. Dia sudah ada tanggungjawap yang perlu untuk dilaksanakan. Taufik dan Zaim adalah keutamaannya sekarang.

“Jangan lah nangis. Kau juga yang kata dulu, kau tak ingat apa yang kau kata pada aku?” ucap Aliya kepada Laili yang sedang kesedihan.

“Apa aku cakap.” jawapnya dalam tangisan yang masih berbaki.

“Kan kau cakap, kau nak tengok aku bahagia. Kau dah lupa ke?” soalnya lagi. Serentak tubuh Aliya dipeluk erat. Dia inginkan yang terbaik untuk sahabatnya itu. Dia ingin Aliya gembira di samping orang yang tersayang. Bina kehidupan sendiri dan bahagia selamanya.

“Maaflah, mata ni yang tak dengar kata, bukannya aku sengaja pun. Kau ingat tau janji kita. Best friends forever di sini dan di sana. Aku doakan yang terbaik untuk kau. Cubalah untuk bahagia ya Liya. Aku sayang kau sangat-sangat.” balasnya sambil meleraikan pelukan. Dia tahu masanya telah tiba, Aliya takkan dapat menemani selamanya.

“InsyaAllah, aku janji. Aku akan cuba yang terbaik. Aku akan sentiasa doakan kau dengan Leman. Dia lelaki yang baik, kau bagilah dia peluang. Aku tahu kau pun suka dia kan?” usik Aliya. Sengaja mahu mengubah suasana, tak rela menangis selamanya.

“Ha…aku lupa pasal tu. Sampai hati kau kan buat macam tu pada aku. Malu tau. Mana aku nak letak muka lepas ni. Geram betul.” marah Laili. Aliya tersenyum mendengarnya.

“Ok lah tu. Paling tak aku sempat satukan korang berdua. Ramadhan ni adalah orang yang boleh temankan ke bazar, beli semua makanan kegemaran yang kau dah senaraikan, lepastu pergi terawih sama…” balas Aliya. Laili mencebik.

“Kau ni, mana boleh pergi sama-sama lagi. Kami bukannya ada apa-apa lagi.” tuturnya tak puas hati.

“Maksud aku sama mak dia. Tengok tu, aku nak cakap lain, tapi kau dah fikir lain.” balas Aliya sambil ketawa. Gembira kehidupannya berteman sahabat sebaik Laili.

“Kau ni kan dah pandai sekarang. Pergilah cepat, tu buah hati kau dah lama tunggu dalam kereta. Nanti sampai, jangan lupa call aku. Jaga diri elok-elok, jaga makan. Jangan buat kerja berat berat, jangan stress, jangan..” ngomelnya tanpa henti. Aliya menggeleng-gelengkan kepala.

“Ya-Allah Laili. Kau ni dah mengalah mak-mak dah aku tengok. Baru sekejap tadi kau suruh aku gerak, tapi tengoklah kau sambung lagi. Nampak gayanya sampai malam la aku kat sini.” tutur Aliya bergurau sambil Laili menggigit jari.

“Sorry, sorry. Cepatlah pergi. Selagi kau ada kat sini selagi tulah aku susah nak berhenti. Pergi lah cepat. Jangan lupa aku tau. Nanti lapang-lapang kita skype. Assalammualaikum.” tuturnya dalam usaha untuk menerima perpisahan yang bakal terjadi kerana Aliya kini kembali pada insan-insan yang dikasihi.

“Waalaikumussalam.” balas Aliya sebelum meninggalkan Laili yang masih berdiri teguh di situ. Laili menghantar pemergian Aliya sahabat sejatinya yang takkan dapat diganti.

“Ya-Allah, permudahkanlah hidupnya.” Bisiknya dalam hati.

 

Previous: Bab 38
Next: Bab 40

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati