Home Novel Cinta BERARAK MENDUNG KELABU
Bab 30

Kereta diberhentikan di bahu jalan. Fikirannya berserabut. Hatinya tak tenang setiap kali berada di rumah. Kenangan-kenangan bersama Aliya kerap muncul akhir-akhir ini dan rindunya pada si isteri semakin menjadi-jadi. Dia mendongakkan wajahnya ke langit malam. Laranya sedikit terubat. Suasana malam yang hening dengan dihiasi cahaya bulan purnama serta kehadiran bintang-bintang yang bergemerlapan terasa mendamaikan.

“Subhaanallah.” tuturnya perlahan mengagumi kebesaran IIlahi tadkala menyedari kekerdilan diri.

Wajah Aliya yang sayu muncul lagi. Kenangan malam tersebut diulang tayang. Serentak perasaan bersalah menyelubungi diri kerana kasih yang telah diberi ditolak mentah-mentah ke tepi. Pasti Aliya sangat kecewa diperlakukan begitu. Ungkapan cinta yang dilafaskan tidak dihargai, malah kehadirannya juga terasa tidak diperlukan lagi.

Sesungguhnya Taufik rasa berdosa meragui keikhlasan hati Aliya. Tetapi dia tidak dapat mengawal amarahnya yang membuak-buak waktu itu. Akhirnya Aliya yang menjadi mangsa. Untuk meminta maaf dia malu, malu dengan kelancangan mulutnya itu, malu untuk menjilat ludah sendiri kerana egonya menguasai dan hasilnya dia ditinggalkan sendiri. Taufik mengeluh akhirnya, menyesali kebodohan diri.

“Mak, maafkan Fik. Fik mungkir janji. Fik dah sia-siakan Liya.” serentak air matanya bergenang tadkala terkenagkan janji yang telah dimungkiri. Janjinya untuk membahagiakan Aliya yang gagal dipenuhi serentak mukanya ditekup dengan kedua tapak tangan.

“Maafkan abang Liya.” tuturnya, sebelum air matanya laju membasahi pipi. Dia menangis semahunya di bawah cahaya bulan yang terang menghiasi alam semesta. Hembusan bayu yang dingin menambahkan kesedihan di hati. Kini Taufik yakin yang dia sangat perlukan Aliya di sisinya kembali dan dia berjanji untuk menebus kembali kesalahan yang telah dilakukan terhadap isterinya itu.

 

Taufik melangkah ke bilik Zaim sejurus sampai di rumah tapi Zaim sudah terlena. Dia menyalahkan diri kerana tidak menyedari waktu yang pantas berlalu. Niat asalnya hanya mahu memandu sambil mengambil angin di sekitar kawasan perumahan itu sahaja, tapi sebaliknya yang berlaku. Dia tersasar sampai ke Klang.

Taufik sedar yang dia kurang memberi perhatian kepada Zaim sejak dua menjak ini. Tapi dia bersyukur yang Zaim tetap mendapat kasih sayang yang tak berbelah bahagi daripada Aliya walaupun mamanya itu tiada di depan mata. Setiap hari sebelum masuk tidur, mereka pasti berhubungan malah Aliya sedia mendodoikan Zaim sehinggalah anaknya itu terlena. Taufik senang melihatkan keakraban yang terjalin antara mereka dua. Senyuman yang terukir di wajah Zaim menggambarkan kegembiraan yang tak dapat ditukar ganti, tidak juga ketika ada bersamanya. Zaim betul-betul sayangkan mamanya itu, sepenuh hati, sama juga seperti sayangnya terhadap arwah ibu yang telah tiada.

Tubuh Zaim yang terdedah diselimut kemas. Dikucup dahi anaknya itu sebelum dia merebahkan diri di sebelahnya. Taufik mengiringkan badan sambil menatap wajah si kecil yang sedang lena dibuai mimpi. Sesekali dilihat anaknya itu mengerut-ngerutkan alisnya, barangkali teringatkan mamanya yang jauh di mata, bisiknya dalam hati. Tangannya diarahkan ke dada Zaim yang jelas terganggu lenanya, sebelum menepuk-nepuknya lembut.

Sejak arwah neneknya tiada, Zaim hanya ada Aliya untuk memanjakan dan melayani kerenahnya. Kini mamanya juga telah pergi hasil dari kekilafan diri yang tak dapat menerima ketetapan IIlahi. Taufik terus-terusan di hantui perasaan bersalah itu lagi.

Tanpa diduga, dia seperti dapat melihat Aliya yang sedang baring bertentangan dengannya, leka mendodoikan Zaim sama seperti selalu. Kekecewaannya terubat. Wajah isteri tercinta tak lekang daripada pandangan. Dalam diam Taufik mengagumi kasih sayang yang dicurahkan oleh Aliya pada permata hati mereka itu.

Perlahan-lahan tangannya diangkat, cuba menyentuh dan mengusap wajah yang sangat dirindui saban hari. Malangnya Aliya lenyap sebelum semua itu berlaku. Serentak Taufik tersedar daripada lamunan. Ditenung wajah polos Zaim di sisi.

“Papa janji dengan Im yang papa akan bawa mama balik.” ucapnya, sambil menggenggam tangan anaknya itu kemas, serentak dia bangkit sebelum mencapai telefon bimbit Zaim yang ada di sebelahnya. Matanya mencari-cari nombor telefon Aliya, berhasil. Senyumannya terukir ceria kerana dia sendiri sudah tak tertahan menanggung rindu yang semakin beraja di jiwa.

 

Taufik sedang merehatkan badannya di sofa panjang yang terdapat di dalam bilik pejabat. Meeting yang dijangkakan ringkas memakan masa berjam-jam kerana timbul pekara-perkara berbangkit terutama berkaitan projek penilaian semula yang kini telah hampir 40% selesai di plot. Agak lambat daripada yang dirancang.

Pada tahap ini kertas-kertas penilaian yang telah siap disediakan akan dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan secara berperingkat-peringkat untuk diperiksa dan disahkan. Faktor kekurangan kakitangan telah melambatkan proses inspaction terhadap harta-harta yang berkaitan. Mujurlah bermula minggu hadapan beberapa pelajar dari UiTM Shah Alam akan memulakan latihan praktikal di syarikat tersebut dan diharap ianya akan memberikan perkembangan yang lebih positif nanti.

Telefon yang berada di tangan ditenung lama. Taufik berkira-kira mahu menghubungi Aliya. Tapi dia bimbang dengan penerimaan Aliya nanti. Apakah yang akan Aliya katakan kepadanya setelah hatinya dilukai sekejam itu? Mahukah Aliya memaafkan kesalahannya dan menerimanya kembali, sebagai seorang suami? Akhirnya dia memberanikan diri demi janji yang telah diikrarnya malam tadi. Walau apapun yang terjadi dia perlu membawa Aliya kembali demi Zaim dan demi dirinya sendiri.

Panggilan dibiarkan agak lama tiada jawapan, terus ke peti mel suara. Taufik tidak putus asa. Sekali lagi panggilan disambungkan. Dia berdebar-debar menanti. Kesunyian bilik pejabat membuatkan dia dapat mendengar degupan jantungnya sendiri. Seperti bunyi gong yang dipalu padu, kuat dan padat lantas menambahkan lagi kegusaran yang sedang bertapak didada.

“Hello.” suara lelaki di hujung talian dirasa menyentap tangkai hati. Perasaannya mula jadi tak keruan, serentak aura panas dirasa menjalar di seluruh badan. Taufik mula panas hati sebelum telefon di tangan diramas geram.

“Hello, nak cari Liya ke? Liya tak ada sekarang. Dia ke tandas. Tunggu sekejap, nanti saya panggilkan.” suara lelaki tersebut dirasa semakin memijak-mijak hati yang sudah hancur berderai. Tut, belum sempat telefon bertukar tangan, talian telah dimatikan.

Bagai kaca terhempas ke batu, hancur berderai menjadi debu, punah dek kerana keadaan yang tak disangka-sangka. Begituah diibaratkan hatinya ketika itu. Taufik sebal memikirkan gerangan lelaki yang mengangkat pangilannya sebentar tadi. Dia sama sekali tidak menyangka yang Aliya sanggup bermain kayu tiga dengannya. Aliya mungkir janji lagi. Bukankah dia telah berjanji untuk setia? Malah sanggup memberikannya masa? Kini baru beberapa bulan, dia sudah digantikan? Benarkah dia sudah kembali berteman? Taufik runsing. Api cemburunya semakin menyala.

Sekali lagi Taufik kalah dalam permainan anak cucu iblis yang menyesatkan. Dia dibutai oleh gangguan dari makhluk yang sentiasa mencemburui ketenangan dan kedamaian anak cucu Adam itu. Serentak telefon dicampak ke meja, marah kerana Aliya betul-betul telah mengecewakannya.

“Kak Liya, ada orang call. Dah masuk dua kali dah. Leman takut ada hal penting, tu yang Leman angkat tapi dia letak pulak. Tak tahu siapa. Cuba akak tengok.” terang Sulaiman kepada Aliya sekembalinya Aliya dari tandas. Huluran Sulaiman segera disambut. Sejenak Aliya meneliti telefon bimbitnya itu. Nombor tak dikenali dan tiada dalam senarai panggilan.

“Nombor siapa ni?” soalnya kerana dia sendiri tak tahu.

“Tak ada apa yang penting agaknya. Salah nombor kot. Tapi nanti kalau ada yang penting dia mesti telefon balik.” ucapnya sambil meletakkan kembali telefon di atas meja. Aliya menarik nafas dalam-dalam. Mualnya masih bersisa tapi mujurlah tak seteruk dulu.

Semua keperluan diuruskan sebaiknya, bukan saja kerja-kerja di rumah, malah kerja-kerja di pejabat juga turut digantikan oleh Laili demi kesihatannya. Laili mahu dia memberi sepenuh perhatian pada kandungannya itu. Hal-hal lain biar dia yang uruskan. Kata kawan, mestilah tolong katanya. Aliya tahu yang dia terlalu dimanjakan sampai kadang-kala timbul rasa tak selesa di layan seteliti itu, sehinggakan makanan kegemarannya juga telah bertukar daripada nasi goreng kampung extra pedas kepada nasi goreng kampung kurang pedas.

Kata Laili makanan pedas tak sesuai untuk baby, orang tua-tua dulu cakap, nanti mata baby jadi sepek sebab menahan pijar sama. Aliya geli hati dibuatnya. Laili memang seorang penghibur yang tak berbayar. Penuh dengan senda gurau yang mampu untuk membuatnya ketawa.

“Kak Liya.” tutur Sulaiman sebelum memandang tepat ke arah Aliya yang masih mengelamun.

“Kenapa? Leman ada apa datang jumpa Kak Liya ni? Biasanya kalau ke sini mesti dok menempek je kat Laili. Apa cerita?” soal Aliya sambil membalas dengan sebuah senyuman. Wajah Sulaiman dilihat serius kali ini. Tak tahulah apa yang sedang difikirkan oleh kekasih tak jadi Laili itu.

“Kak Liya boleh tolong Leman tak?” soalnya takut-takut.

“Apanya, Leman cakap la dulu, barulah akak tahu boleh tolong ke tak. Kalau akak mampu akak tolong. Apa dia?” soal Aliya prihatin.

“Akak, kenapa susah sangat nak berkawan dengan Laili tu? Dah macam-macam Leman cuba tapi semua tak jadi. Bila ajak keluar, ada je alasannya. Bila bagi surat dia kata nak buat apa? Bagi bunga dia kata tak suka, bagi hadiah dia tanya kenapa? Pastu bila bagi coklat dia kata tak minta. Akak ada apa-apa tip tak? Apa-apa je lah yang akak tahu. Kan akak rapat dengan dia. Mesti akak tahu apa yang dia suka, apa yang dia tak suka. Syer la sikit dengan Leman.” rintih Sulaiman kesal sambil menggaru-garu kepala dengan jari. Sudah bertahun dia berusaha namun hasilnya langsung tiada.

“Tapi bila Leman bagi kepok dia terima kan?” soal Aliya. Sulaiman pantas mengangguk.

“Itu maksudnya yang Leman masih ada harapan. Akak rasa Laili tu takut dengan Leman kot.” Sulaiman mengerutkan kening mendengarkan kata-kata Aliya itu.

“Kenapa pulak takut dengan Leman. Leman bukannya ada buat apa-apa yang tak elok pada dia. Ajak keluar je pun. Bukannya ajak kahwin lagi.” balasnya sedih. Dia sangat sukakan Laili, sejak daripada kali pertama mereka bertemu ketika Laili datang membeli keropok di kedainya lama dulu dan sejak itu dia sudah mula tertarik, cuma Laili yang dilihat tak mahu dirapati. Dia buntu memikirkan cara untuk memikat hati si dara pujaannya itu.

“Takut la dia bila Leman asyik mendesak je untuk terima Leman. Tengok kiri Leman, tengok kanan Leman, tengok depan pun Leman jugak. Cuba Leman bagi masa pada Laili untuk berfikir. Bagi dia ruang untuk terima kehadiran Leman dalam hidup dia. Biar dia tahu yang Leman memang dah ada dalam hati dia cuma dia yang tak perasan. Akak rasa dia pun mungkin ada hati pada Leman, cuma dia belum pasti lagi. Cuba Leman bagi dia masa sikit lagi. Mungkin dengan cara tu dia akan sedar yang dia juga perlukan Leman. Bak kat pepatah, jauh di mata tapi dekat di hati. Hati teringat, mulut menyebut. Ha, macam tu lah.” tutur Aliya lagi. Dia mahu Laili mengenali erti cinta. Tak rela melihat kebahagiaan sahabatnya itu disekat oleh sejarah yang menghantuinya selama ini. Masih terdapat insan-insan yang ikhlas menyayangi sepenuh hati. Berserahlah pada Allah, kerana Dia lebih mengetahui segala rahsia yang tersembunyi.  

“Akak tahu yang Leman jujur nak berkawan dengan Laili. Akak boleh nampak tu. Tapi, akak betul-betul harap yang Leman tak main-mainkan kawan akak yang satu ni. Kalau tak tengokla nanti apa akak buat.” gertak Aliya, sekadar memberi peringatan. Dia tak rela Laili dipermainkan.

Dia mahu melihat sahabatnya itu menemui cinta hati yang sejati, peneman dikala sepi menuju janji IIlahi. Bersama-sama menyusuri hari-hari yang mendatang dengan perasaan kasih yang tak berbahagi, sampai ke akhirnya dan tidak sepertinya yang tersekat di pertengahan jalan. Cukuplah dia yang melalui semua itu, tidak Laili. Sudah terlalu banyak Laili diuji. Mungkin sudah tiba masanya sahabatnya itu merasa erti kebahagiaan yang sebenar. Fobianya terhadap lelaki harus di tamatkan segera.

“Leman janji dengan akak. Leman janji akan jaga dia elok-elok. Dah tu, Leman kena buat apa sekarang? Apa yang Leman kena buat dulu? Akak tolonglah Leman.” ujarnya lagi, meminta tunjuk ajar.

“Akak rasa buat sementara waktu ni baik Leman jauhkan diri dulu. Kita tengok ada perubahan tak nanti. Lepastu kita fikirkan plan B pulak.” arah Aliya kepada Leman yang kelihatan tak percaya dengan cadangan yang dikemukakan olehnya itu.

“Tapi nanti kalau Leman jauhkan diri, tak ke dia fikir yang Leman dah putus asa dan tak nak kan dia lagi. Macam mana?” ujar Leman bimbang.

“Itu sebab akak cakap, kalau tak berkesan kita mula dengan plan B. Percaya kat akak sikit boleh tak? Nak ke tak nak ni?” soal Aliya geram. Sikap Sulaiman memang susah untuk diubah. Jenis lelaki yang berpendirian teguh, tak mudah putus asa tapi ada kalanya tak bertempat. Memang agak merimaskan tapi boleh digantung harap, jenis yang setia. Kalau tak setia, tak adalah sampai bertahun-tahun Laili dikejarnya. Calon suami yang baik barangkali, tak ubah seperti Taufik cuma keadaan yang memaksa, akhirnya mereka sama-sama terseksa.

“Ok la kalau akak cakap macam tu. Akak sokong Leman kan?” soalnya lagi.

“Mestilah sokong dan akak akan sentiasa doakan yang terbaik untuk kamu berdua.” Aliya tersenyum gembira, Sulaiman mengangguk-anggukkan kepala.

“Tak apalah kalau akak dah cakap macam tu. Tapi akak janji kena tolong Leman sampai berjaya tau.” balasnya perlahan. Dia tahu dia perlu percayakan Kak Aliya, tapi kenapalah hatinya susah sangat untuk menerima. Serentak keluhan dilepaskan. Dia tahu dia terpaksa menjarakkan diri buat sementara waktu dan dia hanya mampu berharap yang rancangan mereka itu akan membuahkan hasil.

“Ya. Akak janji.” balas Aliya dengan senyuman.

“Kalau macam tu Leman balik dulu lah. Assalammualaikum.” tuturnya.

“Waalaikummussalam.” balas Aliya, sedar yang Sulaiman masih meragui rancangannya itu. Dengan langkah longlai Sulaiman bergerak menuju ke pintu untuk beredar. Belum sempat dia membuka pintu, pintu terlebih dahulu terbuka daripada luar, luas. Mereka berdua terkejut. Wajah Laili muncul di sebaliknya. Ayu seperti selalu, nampak cantik sangat di pandangan matanya.

Sulaiman berusaha mengawal perasaan, mulutnya dikunci rapat untuk menjayakan plan yang telah dirancang bersama Aliya bagi menawan hati Laili. Dia hanya memandang Laili sekilas sebelum mengatur langkah seribu. Dalam hati, dia mula meragui rancangan Kak Aliya tadi. Adakah wajar baginya untuk menjauhkan diri seperti itu? Dia takut yang Laili akan semakin jauh darinya. Dia juga takut Laili akan mula melupakannya nanti. Tapi resolusi telah dicapai, dia hanya boleh menurut, Kak Aliya telah berjanji untuk membantunya menawan hati Laili yang dicintai dan dia harus meyakininya.

Laili perasan perubahan layanan daripada Sulaiman itu. Dia sudah tidak semesra semalam. Sulaiman tidak lagi menunjukkan minat kepadanya seperti selalu. Hatinya terasa lain macam. Dia mula tak selesa dilayan sedemikian rupa.

“Dah kenapa budak tu? Lain macam je aku tengok, datang bulan ke? Biasanya mulut dialah yang paling kecoh bila datang kat sini. Dah kenapa rupa tegang macam tu? Kenapa dia datang sini?” soal Laili ingin mencari jawapan pada perubahan drastik Sulaiman yang sudah lama dikenali. Aliya menjongketkan bahu tanda tak tahu.

“Balik jom. Dah lambat ni. Malam ni aku ada date.” tuturnya. Sambil mengemaskan meja.

“Dengan siapa? Leman?” soal Laili agak terkejut.

“Kau ni kan, jangan nak mengarut boleh tak? Aku ni kan isteri orang, kau dah lupa ke? Berdosa tau tak jaga maruah suami. Mati nanti masuk neraka. Kau nak? Aku tak nak. Jom la balik nanti lambat, merajuk buah hati aku yang sorang tu nanti.” balas Aliya lagi. Senyuman manis mekar di bibir.

“Maksud kau Zaim?” soal Laili semula.

“Mestilah, siapa lagi kalau bukan dia. Papanya kan dah tak nak kat aku, tinggal dia jelah satu-satunya buah hati yang aku ada. Otak kau ni kan, entah apa-apa entah. Ke kau jelous tengok Leman cari aku tadi?” soal Aliya dengan senyuman mengusik. Alisnya sengaja digerakkan turun naik.

“Mana ada, cuma macam tak percaya yang dia buat muka selamba je bila nampak aku. Biasanya senyum sampai ke telinga, asyik tersengih je memanjang, macam kerang kat tepi pantai tu. Keropok pun tak bawak hari ni. Terkejut jugak aku, sikit.” tutur Laili meluahkan kekesalan.

“Itu lah kau, masa dia nak kau tolak. Sekarang dah menyesal?” duga Aliya pula. Sengaja mahu sahabatnya itu memikirkan perihal Leman dengan lebih mendalam. Biar dia tahu yang dia juga turut menyukai Leman, cuma hatinya yang menghalang selama ini.

“Tak ada la sampai menyesal, cuma kesal. Tak sama kan. Jomla balik. Aku baru teringat yang ada orang tu janji nak teman makan tom yam malam ni kan. Ha…kau jangan buat lupa pulak.” ucap Laili. Dia tersenyum sumbing sambil memainkan jari telunjuknya di hadapan muka Aliya. Aliya geram, dia menggigit bibir, mahu saja dicapai jari montok Laili itu.

“Tapi sebelum tu, kita singgah kedai Kak Senah dulu boleh? Aku nak tapaw.” ujar Aliya takut-takut.

“Lagi? Kau tak bosan ke Liya hari-hari makan nasi goreng je? Dah berbulan-bulan. Hari-hari kau makan nasi goreng, tu je makanan kau. Pelik betul aku.” kata Laili. Sungguh dia tak memahami perangai ibu mengandung ni.

“Nak buat macam mana? Dah itu yang buat aku ada selera.” balas Aliya perlahan. Dia tahu pasti Laili akan memberikan reaksi sebegitu.

Sejak disahkan mengandung hanya nasi goreng kampung tersebut yang menjadi menu hariannya. Cuma kepedasannya yang dikurangkan kerana Laili betul-betul menjaga pemakannya. Bukan dia tak pernah mencuba, cuma bila makan makanan lain pasti berjeruk dia di tandas, mualnya tak terkira, buat membazir makan, lepastu menyakitkan badan. Hanya nasi goreng Kak Senah saja yang boleh diterima tekak dan kekal di perutnya. Dulu masa mengandungkan Zaim, alahannya tak adalah seteruk mana. Cuma anak yang kedua ni yang meragam sikit tapi dia tahu, dia perlu bertahan kerana ianya hanya sementara dan dalam seminggu dua lagi pasti mualnya itu akan mula reda.

“Jomlah cepat, nanti lambat.” gesa Aliya semula. Laili hanya mampu menurut kerana sedar yang dia tak seharusnya bersungut.

 

 

Previous: Bab 29
Next: Bab 31

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati