Home Novel Cinta BERARAK MENDUNG KELABU
Bab 32

Zaim yang sedang makan tersedak kecil. Melihat keadaan itu, Mak Jah segara bergegas mendapatkannya, serentak segelas air oren disuakan ke mulut Zaim.

“Siapalah yang menyebut Im ni.” ujar Mak Jah sambil tangannya menepuk-nepuk lembut belakang anak kecil itu. Seketika kemudian, keadaan Zaim kembali seperti biasa. Dia memandang Mak Jah dengan wajah sangsi, inginkan penjelasan. Mak Jah mengerti maksud tersirat Zaim itu.

“Orang dulu-dulu cakap, kalau kita makan, lepastu tiba-tiba tersedak, maknanya ada orang yang tengah sebut tentang kita.” Zaim membalas dengan senyuman. Mak Jah kehairanan.

“Ni mesti mama yang tengah sebut pasal Im kan Nek Jah. Mama rindu Im la tu.” ucapnya sebelum berlari mendapatkan telefon bimbitnya yang ditinggalkan di ruang tamu, pemberian papanya pada ulangtahun hari lahirnya yang ke 5 untuk tujuan kecemasan.

“Im, habiskan nasi ni dulu.” kata Mak Jah pada Zaim yang sudah jauh meninggalkannya.

“Tak nak makan dah nek. Im dah kenyang.” balasnya. Segera dia mencari nama mamanya dalam senarai panggilan.

“Mama rindu Im ke?” soalnya sejurus mendengar suara mamanya di hujung talian.

“Assalammualaikum.” balas Aliya memberikan contoh adab perbualan yang baik kepada Zaim.

“Alamak, Im lupa la. Assalammualaikum ma.” balasnya lembut sambil tersipu malu.

“Mama rindu Im ke?” soalnya kembali.

“Waalaikummussalam. Mestilah rindu, kenapa?” balas Aliya.

“Patutlah masa Im makan tadi Im terbatuk, Nek Jah cakap yang ada orang tengah sebut pasal Im. Im tahu, mesti mama kan.” ucapnya mengalahkan orang tua.

“Mestilah rindu. Rindu sangat kat buah hati mama yang sorang ni. Setiap masa mama ingatkan Im. Mama harap yang Im pun macam tu jugak.” balas Aliya. Mereka leka berbual sesama sendiri.

Taufik yang baru turun melihat gelagat Zaim dari atas tangga. Senyuman anaknya itu sampai ke telinga. Dia tahu hanya Aliya yang mampu membuatkan Zaim segembira itu. Hajatnya untuk ke dapur dimatikan. Dia bergerak ke arah ruang tamu sebelum duduk bersebelahan dengan Zaim di sofa. Tubuhnya sengaja dihimpitkan ke arah Zaim, mahu curi dengar perbualan dua beranak itu.

Malangnya Zaim menjarakkan diri, panas barangkali. Biasalah baru lepas makan, kadar metabolisma meningkat, dahinya dilihat sudah berpeluh-peluh. Dia juga merasakan kepanasan yang sama, seketika kemudian baru dia perasan yang pendingin hawa tidak dihidupkan. Serentak dia bangun mencapai alat kawalan yang terletak atas di meja sebelum duduk kembali di sebelah Zaim, sengaja dipeluk anaknya itu kali ini.

Dia dapat mendengar suara Aliya sayup-sayup di hujung talian. Rindunya sedikit terubat. Suara Aliya ceria, tiba-tiba dia teringatkan suara lelaki yang mengangkat telefon Aliya tempoh hari. Perasaan sebal mula kembali menebal. Dia jadi ingin tahu gerangan si empunya badan. Siapa? Apa hubungannya dengan Aliya? Kenapa dia ada bersama Aliya? Soalan-soalan itu berlegar-legar di benaknya setiap masa.

Ingin ditanya secara bersemuka dia malu. Dia tahu yang dia telah terlalu banyak melukakan hati isterinya itu. Tambahan pula dia malu dilebel sebagai suami yang kuat cemburu, malu jika Aliya menganggapnya begitu. Dia rasa tak wajar berkelakuan begitu kerana dia sendiri yang melepaskan haknya dulu. Huluran tangan itu tak disambut, cintanya ditolak, malah kehadirannya tidak diendah. Taufik semakin buntu memikirkan pengakhiran hubungan perkahwinannya itu.

Mak Jah tersentuh melihatkan keakraban yang ditunjukkan oleh Zaim kepada Aliya. Zaim dilihat lebih matang daripada usianya. Suaranya yang serak-serak basah mampu menarik hati setiap yang mendengar. Keletahnya mengalahkan orang tua, ada saja benda yang nak diborakkan beserta dengan senyuman yang tak pernah lekang di bibir. Dia sangat sayangkan Aliya, bisik hati kecil Mak Jah.

Bila teringatkan Aliya dia jadi sebak. Begitu banyak pengorbanan yang terpaksa dilakukan oleh Aliya untuk mengecapi bahagia, namun bahagia yang dicari semakin jauh dari pandangan. Bila persoalan itu diajukan oleh Mak Jah, Aliya tidak pernah mengakuinya. Dia mengatakan yang dia dan Taufik baik-baik sahaja, tidak seperti yang dia fikirkan. Cuma kekangan kerja yang membuatkan mereka terpaksa berjauhan buat masa sekarang. Ingin bertanya lebih-lebih, dia rasa tak patut kerana ada batasan yang perlu dijaga.

Hal rumahtangga baiklah diselesaikan sesama mereka. Dia tidak sepatutnya masuk campur, tapi dia dapat merasakan yang hubungan antara Aliya dan Taufik semakin dingin, malah mereka seperti telah membawa haluan masing-masing. Keadaan itu pantas mengingatkannya pada amanat yang ditinggalkan oleh arwah puan besarnya beberapa hari sebelum dia menghembuskan nafas yang terakhir. Mungkinkah sudah tiba masanya dia menyampaikan amanat itu kepada Taufik seperti mana yang telah diamanahkan?

 

“Mak Jah tolong saya simpankan ni ya.” kata Pn. Hayati, seraya menghulurkan diari tulisan tangan yang sentiasa menjadi peneman setianya beberapa tahun kebelakangan ini. Dia perasan yang Pn. Hayati sudah mula mengisi masa terluangnya dengan menulis di dalam buku tersebut. Dia menyambut tanpa banyak soal.

“Kalau satu hari nanti, hubungan rumahtangga Liya dan Taufik semakin memburuk, dan pada masa tu saya dah tak ada lagi untuk bantu mereka, saya nak minta jasa baik Mak Jah untuk serahkan diari ni pada Taufik. Saya yakin yang Taufik akan memahaminya nanti.” ucap Pn.Hayati. Mak Jah mengikut arahan tanpa banyak bicara. Kini baru dia tahu yang semua itu adalah amanat terakhir dari puannya kepada Taufik. Tapi dia sendiri tidak tahu apa yang tercatat di dalam diari tersebut.

 

Berita yang baru disampaikan oleh Zaim terasa menyesakkan dada. Taufik duduk terpaku di atas katil. Mukanya ditundukkan ke lantai. Air matanya bergenangan. Perasaan kecewa menyelubungi diri. Dia kecewa pada Aliya. Aliya sememangnya tak setia. Semua janjinya selama ini nyata palsu belaka. Sedang berjanji untuk setia, rupa-rupanya Aliya bermain kayu tiga dibelakangnya.

“Papa, mama kata yang dia nak bawakan seseorang jadi teman Im bila mama balik nanti.” dunia dirasakan terhenti berputar. Dadanya terasa berat dan padat. Dia betul-betul tidak menyangka yang Aliya telah mencari pengganti dirinya. Dia sangat pasti, orang yang dimaksudkan Aliya adalah orang yang telah mengangkat panggilannya itu.

Dia jadi panas hati. Amarahnya menjadi-jadi, tapi dia tahu dialah punca semua itu terjadi. Mungkin Aliya sudah tawar hati bila cinta yang ditagih dicampak ketepi. Adakah Aliya sudah membuat keputusan untuk berpisah? Bisiknya sendiri. Hatinya semakin jadi tak keruan, serentak wajah Aliya terbayang di mata. Dia tak sanggup menerima kenyataan yang menyakitkan itu.

“Sampai hati Liya buat abang macam ni. Liya janji untuk tunggu abang. Tapi Liya bohong. Liya penipu!” tuturnya geram. Kedua-dua tangannya digenggam erat.

Untuk melepaskan Aliya, dia belum bersedia malah langsung tak pernah terdetik di mindanya kerana dia tak rela. Aliya adalah haknya, tak ada galang ganti. Sesekali dia tidak akan membenarkan perkara sebegitu terjadi, dia lebih rela menggantung Aliya tak bertali daripada mendera hati sendiri. Serentak kunci keretanya dicapai. Langkah diatur laju menuruni anak tangga. Dia perlu segera mencari cara menyejukkan haba yang berbahang di hati, lalu kereta dipandu laju membelah kepekatan malam.

 

Taufik meregangkan badan yang terasa kebas sebelum matanya dibuka perlahan. Dia meneliti kawasan sekeliling. Pemandangan yang biasa dilihat. Keretanya betul-betul di letakkan di tempat yang sepatutnya, cuma dia yang tidak seharusnya berada di situ.

Seingatnya malam tadi selesai menyejukkan hati yang panas diakibatkan perbuatan Aliya yang menduakannya, dia sekadar mahu bersandar untuk melepaska lelah, tak sangka pula dia boleh tertidur sampai ke pagi. Jam di tangan di dikerling, hampir menunjukkan pukul 7.00 pagi. Dia tergesa-gesa turun daripada kereta. Dia menyesali perbuatan diri, dek kerana marahnya pada Aliya, dia hampir-hampir melakukan dosa, meninggalkan kewajibannya pada Sang Pencipta. Dia mengutuk diri sendiri kerana kelalaian yang terjadi.

 

Selesai solat subuh, Aliya mencapai Kitab Suci Al-Quran yang menjadi pegangan sejak dulu lagi. Setitis air matanya jatuh sambil membaca ayat-ayat suci tersebut. Dia tahu yang dia begitu kecil dihadapan mukjizat tertinggi yang ditinggalkan oleh kekasih ALLAH, Nabi Muhammad S.A.W. panduan untuk mencari keredaan dan rahmat dariNYA, di dunia dan akhirat. Dia berdoa dalam hati agar usahanya itu akan mendapat syafaat di hari kemudian. Hanya itu yang dia inginkan, bertemu dengan kekasih ALLAH yang turut sama dirindui, biarpun tak pernah mengenali, tapi sentiasa ada di hati. Sejarah perjuangannya, kesabarannya malah kebenarannya sentiasa tersemat didada. Hanya pada Allah dia berdoa agar kekasih yang sentiasa dirindui mendapat tempat yang terbaik di sisiNya.

Tiba-tiba hatinya sebak. Bacaannya jadi tersekat-sekat, kemudian terhenti. Pandangannya dikaburi air mata yang semakin galak menitis. Basah telekungnya dengan air mata yang tak kunjung habis. Ingatannya pada Taufik semakin kuat.

Sejak akhir-akhir ini, begitulah kedaannya. Setiap kali teringatkan Taufik dia jadi sebak, tak cukup dengan itu, tangisannya tak pernah lekang di mata. Aliya sentiasa mengharapkan yang Taufik datang untuk menjemputnya, tapi dia tetap hampa. Jangankan Taufik, malah bayangnya pun tak kelihatan. Sudah lama rasanya dia ternanti-nanti tapi Taufik tetap tak mengerti yang dia sentiasa mendambakan masanya untuk kembali, menjadi suri dalam hati, penyeri hidup seorang suami.

Aliya mengesat air mata yang berlinangan dengan belakang tangan. Semakin diseka, semakin galak air matanya berjuraian. Dia akhirnya menadah kedua tangan, dengan penuh pengharapan dia berdoa dan memohon kerahmatan.

“Ya-ALLAH, ampunkanlah dosaku Ya-ALLAH, dosa kedua ibu bapaku, dosa suamiku serta dosa saudara-saudara se Islamku, samaada yang hidup mahupun yang telah tiada, dosa-dosa yang telah kami lakukan dalam sedar atau tanpa kami sedari. Ya-ALLAH, ampunkan lah kami, ampunilah kami Ya-ALLAH, ampunkanlah kami Ya-ALLAH.”

“Ya-ALLAH permudahkanlah hidup kami, tunjukan kami jalan yang lurus, jalan orang-orang yang KAU beri rahmat dan kejayaan dan jauhkanlah kami dari jalan orang-orang yang KAU tak reda’i, yakni jalan orang-orang yang sesat dan yang KAU murkai, jadikanlah kami anak-anak madani yang bertaqwa dan berguna kepada agama, bangsa dan negara. Lindungilah kami dari seksa kematian dan seksa alam kubur, peliharalah kami dari fitnah kehidupan, fitnah kematian, fitnah alam kubur serta fitnah dajjal yang membinasakan.”

“Permudahkanlah Ya-ALLAH, permudahkanlah, permudahkanlah usaha hambaMu ini untuk mempertahankan ikatan suci yang terbina, lembutkanlah hatinya untuk memaafkan segala kesalahan yang telah aku lakukan kepadanya, bukalah hati suamiku Ya-ALLAH untuk menerimaku kembali sebagai isteri yang disayangi serta ibu kepada anak-anak yang dikasihi.”

“Tenangkanlah hati ini Ya-ALLAH. Tenangkanlah hati ini untuk menerima segala yang telah Engkau tetapkan. Ku pohon padaMu Ya-ALLAH tuhan sekalian alam, pupuklah sifat reda’ dalam hati ini terhadap segala yang bakal terjadi dan kuatkanlah semangatku dalam menempuhi hari-hari yang mendatang bersama orang-orang yang tersayang. Ya-ALLAH hanya padaMu aku memohon, permudahkanlah Ya-ALLAH, sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Amin, ya rabbal alamin.” ucapnya syahdu, tunduk merendahkan diri di hadapan Illahi sambil teresak-esak menahan tangis. Matanya tertumpu pada adik yang masih setia di situ. Serentak tangannya mengusap-usap perut yang sudah semakin membesar. Kesedihannya semakin tak dapat dibendung lagi, tangisannya menggila memikirkan nasib diri dan anak yang sedang dikandungi.

“Ya-Allah, ampunkanlah aku Ya-Allah. Ampunkan aku. Aku bertaubat padaMu Ya-Allah.” tuturnya dalam esakan yang sudah tak dapat untuk dikawal.

 

Rancangan yang disiarkan di kaca telivisyen tak mampu menarik minatnya untuk menonton. Sejak kebelakangan ini fikirannya sentiasa terganggu, fokusnya lari. Ingatannya hanya pada Taufik dan Zaim yang jauh di mata. Sayang pada keduanya semakin mencengkam di dada, tapi Taufik yang dinanti tetap tak kunjung tiba. Dia mula mahu putus-asa.

Telifon bimbit yang terdampar sepi di atas meja dicapai. Matanya tertumpu di skrin sebelum satu senyuman terbit di wajahnya. Koleksi gambar-gambar Zaim yang diambil semasa bersama sedikit sebanyak dapat mengubat rindu. Senyumannya makin mekar bila teringatkan cerita di sebalik setiap gambar yang diambil. Paling terkesan gambar Zaim yang diambil ketika mereka keluar bermain di taman semasa dia masih lagi menggunakan identiti Laila.

Kenangan ketika bersama akan disimpan untuk menjadi sejarah yang berharga. Keberanian anaknya itu mempertahankannya, tak akan dapat dilupakan sampai bila-bila.

“Ya-Allah peliharalah dia dari kemaksiatan dan pengaruh-pengaruh buruk yang membinasakan.” doanya ketika menatap wajah anak yang tersayang. Segala kasih dan sayangnya tertumpah di situ, pada belahan jiwanya itu.

Satu demi satu gambar diselusuri sebelum matanya bergenangan lagi. Gambar Taufik yang terhidang di hadapannya ditatap lama. Kegembiraan yang baru terbit sebentar tadi pantas berganti perasaan kecewa dan hiba. Setiap kali teringatkan Taufik, Aliya rasa sedih. Dia sedih memikirkan sikap dan layanan Taufik yang berubah sepenuhnya. Kata-kata dan sindirannya sentiasa terngiang-ngiang di benaknya dan tak mampu untuk dilupakan. Entah kenapa, mungkin kerana pembawakan budak, emosinya sering terganggu setiap kali memikirkan tentang suaminya itu.

Ditatap wajah Taufik lama. Tanpa dipaksa kenangan-kenangan ketika bersama muncul di fikiran. Kenangan-kenangan manis yang menggembirakan, tak lupa juga kenangan-kenangan pahit yang memilukan. Wajah Taufik yang tak terurus segera menerpa di mata. Kesedihan yang ditunjukkan turut mendera perasannya juga.

Dalam hati, Aliya mengagumi kecintaan suaminya itu pada arwah Pn.Hayati. Sayangnya tak pernah berbelah-bahagi. Aliya bangga dengan Taufik kerana tak banyak sikit, sikap itu turut diturunkan pada Zaim. Aliya bahagia bila memikirkannya. Kenangan pahit manis menjadi asam garam dalam kehidupan.

“Tiada sesiapa yang lepas dari ujian, hatta Rasulullah sendiri turut diuji dengan ujian yang tak ada sudahnya inikan pula diri kau Liya yang tak punya apa-apa.” Bisiknya sendiri untuk menguatkan hati. Dia sudah berjanji untuk setia. Selagi dia diperlukan selagi itulah dia akan menanti, dan sepanjang tempoh itu dia tidak akan putus berdoa, berdoa dan terus berdoa.

 

Previous: Bab 31
Next: Bab 33

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati