Home Novel Cinta BERARAK MENDUNG KELABU
Bab 19

Jam di dinding sudah menunjukkan pukul 1.00 pagi. Aliya masih berjaga menantikan kehadiran Taufik yang tak kunjung tiba. Sudah berminggu-minggu perang dingin mereka berlarutan. Taufik dilihat seperti sudah mula membencinya. Bila di hadapan Pn.Hayati dan Zaim dia berlagak baik dan mesra tapi sebaliknya yang berlaku bila mereka hanya berdua. Setiap kali Aliya cuba mendekatkan diri, Taufik sentiasa meninggalkannya sendiri. Mereka perlu berbincang untuk menyelesaikan persengketaan itu supaya ianya tidak berlarutan. Aliya sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal berlaku.

Suara azan Subuh mengejutkan Aliya dari lena. Dipandang ke sebelah, Taufik tiada. Malah tempat tidurnya tak terusik. Aliya kecewa. Dia pasti benar Taufik bermalam di bilik bacaan lagi malam tadi. Sedang Aliya mengemaskan tempat tidur, Taufik muncul. Taufik buat nampak tak nampak saja pada Aliya yang sedang memerhatikannya. Tuala dicapai sebelum langkah dibuka menuju ke bilik air.

“Abang kita jemaah sama.” pinta Aliya ketika Taufik melintasinya ketika keluar dari bilik air. Taufik tetap membisu seribu bahasa. Aliya cepat-cepat masuk ke bilik air untuk mengangkat wuduk. Dia tidak mahu membiarkan Taufik memantinya terlalu lama.

Di luar Taufik sudah bersedia untuk mengimamkan solat Subuh bersama. Aliya bergegas mendapatkan telekungnya, takut Taufik bosan menunggu. Buat seketika mereka khusyuk melakukan kewajipan yang paling utama. Doa dibacakan memuji-muji kekuasaan Sang Pencipta, memohon kemaafan dan keberkatan di dunia mahupun di akhirat serta dijauhkan dari fitnah duniawi dan ukhrawi. Selesai berdoa Taufik bingkas bangun melipat sejadah dan menyangkutkannya di rak yang disediakan. Tanpa sengaja, Taufik nyaris bertembung dengan Aliya yang betul-betul berada di belakangnya.

 Keduanya terkejut dengan keadaan itu. Taufik perasan dengan pandangan mata Aliya yang penuh pengharapan, sengaja pandangannya dialihkan ke arah lain sebelum dia berlalu pergi. Langkahnya terhenti ketika terasa tangannya dicapai Aliya dan dikucup syahdu.

“Abang…Liya..” suaranya mati di situ. Mata mereka bersatu. Taufik tidak menunjukkan sebarang reaksi. Aliya tahu mahu tak mahu dia perlu memulakannya terlebih dahulu. Kelakuan Taufik yang semakin menjauhkan diri turut mengundang keresahan di hati. Kesunyian yang ditunjukkan Taufik terasa menggigit-gigit tangkai hati yang dibiarkan sepi.

“Liya minta maaf. Abang tolong maafkan Liya. Liya tahu Liya yang bersalah.” tuturnya dengan kelopak mata yang sudah mula bergenangan. Kedua-dua belah tangannya menggenggam erat tangan Taufik, minta segera dimengertikan. Kekesalan jelas terpancar di wajahnya. Dia menyesali segala perbuatannya selama ini.

Pengakuan yang baru didengarinya itu mula mengoyahkan tembok yang sengaja dibina. Tembok pemisah antara dia dan Aliya. Tembok keegoan yang mampu menghancurkan masa depannya sendiri. Taufik mula berdebar-debar, dia tidak selesa dengan perasaan yang sedang bercambah biak di hatinya itu serentak tangannya ditarik dari genggaman Aliya.

Aliya kecewa. Airmatanya bergenang menghantar pergi Taufik yang hilang di sebalik daun pintu. Dia pasti kini Taufik masih tak dapat memaafkan kesalahannya. Aliya mati akal. Dia hilang arah, tak tahu apa yang ingin dilakukan. Taufik benar-benar tidak mahu mempedulikannya malah kehadirannya juga dilihat seperti tak bermakna lagi.

 

“Liya dah balik.” ujar Taufik kepada Zainal sedang mereka menjamu selera di restoran mamak berdekatan dengan pejabatnya. Lokasi kegemaran mereka untuk makan tengahhari.

“Hang biar betul? Bila?” soal Zainal dengan mulut yang terlopong, terkejut sebelum senyuman terukir di wajah. Perkhabaran yang amat dinanti-nantikannya. Tak dia sangka akhirnya Aliya kembali semula selepas 5 tahun menghilang entah ke mana. Dia turut gembira bagi pihak Taufik. Gembira kerana doa sahabatnya itu termakbul akhirnya.

“Dah lama dah. Kau ingat tak pembantu yang mak aku ambil untuk jaga Zaim masa mak aku pergi bercuti ke oversea dulu, Laila yang aku cerita tu.”

“Ha, Laila yang buat kau gila bayang siang malam tu. Kenapa? Apa pulak kena mengena Laila dengan Aliya?” soal Zainal kehairanan.

“Laila tu sebenarnya Aliya. Kau boleh percaya tak? Aku tak sangka dia rancang untuk dekati Zaim senyap-senyap macam tu. Tapi itu aku masih boleh maafkan lagi. Aku faham kasih seorang ibu pada anaknya memang tak ternilai. Cuma yang buat aku bengang, bila aku ingat semua dah okey dan aku dah terima dia semula, dia buat perangai lagi. Tiba-tiba dia menghilang macam tu je. Tanpa cakap apa-apa dia hilang lagi. Sedar-sedar je dia dah tiada. Nak cari ke mana pun aku tak tahu. Sakit rasa hati ni ditinggalkan berkali-kali Nal.” jelas Taufik dengan suara yang terketar-ketar menahan marah.

“Dia ingat kami tak ada perasaan agaknya. Senang-senang je dia datang, pergi sesuka hati. Dia ingat dia siapa? Cuba dia letakkan diri dia kat tempat aku. Dah jenuh aku jaga hati dia selama ni. Dia langsung tak pernah nak ambil tahu perasaan aku.” tambah Taufik lagi, memuntahkan segala isi hati.

Zainal mendengar segala keluhan daripada Taufik dengan hati yang terbuka. Dia tidak mahu menyebelahi mana-mana pihak. Masalah rumahtangga perlu diselesaikan bersama. Dia tidak layak mengadilinya kerana dia bukan hakim. Tapi yang pasti dia sayangkan sahabatnya yang sorang ni. Dia ingin melihat Taufik bahagia semula kerana dia tahu benar perasaan Taufik pada Aliya. Sayangnya tak pernah berbelah-bahagi. Bertahun-tahun Taufik menantikan kepulangan Aliya, tapi kini lain pula yang jadi.

“Dah tu kau ada slow talk dengan dia minta penjelasan tak? Dengarlah dulu apa yang dia nak cakap. Manalah tahu dia ada alasan yang kukuh untuk setiap tindakan yang dia buat tu. Who knows kan?” Zainal memberikan buah fikirannya kepada Taufik yang jelas masih terkilan dengan perbuatan isterinya itu. Taufik menggeleng.

“Entahklah Nal. Aku nampak usaha dia untuk jernihkan keadaan, nak cakap dengan aku, pujuk aku. Tapi hati ni masih sakit. Bila dengar suara dia je aku jadi marah balik. Dah puas aku cuba tapi keadaan tetap sama. Aku dah cuba untuk maafkannya, tapi hati ni yang tak nak ikhlas memberi maaf. Aku dah susah nak percayakan dia lagi. Dia buat aku rasa tak yakin pada diri sendiri.” tutur Taufik penuh kekesalan.

“Aku mengaku yang aku masih cintakan dia. Dia cinta pertama aku dan mungkin yang terakhir juga. Tak ada gantinya. Aku takut sebab aku sendiri tak dapat pastikan yang dia takkan tinggalkan kami lagi.” tutur Taufik perlahan. Hatinya sudah hancur remuk diperlakukan Aliya.

“Aku tak dapat nak baca hati dia. Aku dah tak dapat nak percaya apa yang dia kata buat masa ni. Dalam pada dia berjanji untuk setia dia tetap tinggalkan aku tanpa sepatah kata. Dia buat aku rasa macam tak penting langsung dalam hidup dia. Macam mana aku nak percayakan dia lagi? Lebih mengguris hati aku bila tengok Zaim yang ternanti-nantikan kepulangan mamanya yang tak kunjung tiba. Zaim masih terlalu kecil untuk menanggung beban kerinduan dan kehilangan orang yang tersayang. Aku dah tak sanggup Nal. Tak sanggup. Biar la apa yang dia nak buat, aku dah malas nak ambil tahu.” tuturnya lagi sebelum meneguk air di hadapannya.

Zainal mati kata-kata. Dia simpat pada Taufik. Seingatnya dah banyak Taufik berkorban demi Aliya, malah perkahwinan mereka juga atas kerelaan Taufik yang sanggup menggantikan Izham rakan sepengajian mereka di universiti dulu.

“Kau kata kau sayang dia kan.” soal Zainal sambil memandang ke arah Taufik serius. Taufik tetap tak memberi respon.

“Aku tahu kau sayang dia lagi kan.” ulangnya lagi. Dia pasti, Taufik tak akan dapat membohonginya, tidak sekali.

“Siapa yang tak sayang bini Nal. Aku cuma tak pasti apa yang dia fikirkan sebenarnya. Aku mula rasa tak yakin pada di aku sendiri. Aku takut untuk dilukai lagi. Sakit Nal. Sakit. Kau mana tahu, aku yang tanggung sendiri.” balasnya.

“Kalau dia pergi tinggalkan aku lagi macam mana? Tak ke gila nanti aku jadinya. Aku perlukan masa untuk tenagkan fikiran dan aku juga nak bagi masa untuk dia tetapkan pendirian. Jangan jadi seperti lalang yang goyah digoncang badai sebaliknya jadilah seperti karang di lautan yang tetap teguh berdiri menanti ombak yang tak berkesudahan. Tapi aku rasa dia macam ada sorokkan sesuatu dari aku. Macam ada sesuatu yang aku tak tahu, tapi aku tak tahu apa.” Taufik menyandarkan badannya ke kerusi.

“Pastikan.” jawab Zainal ringkas tapi penuh makna. Tak mahu Taufik terlalu terbawa-bawa perasaan kerana dia pasti situasai seperti itu akan memakan diri sendiri nanti.

 

Taufik sengaja pulang agak lewat malam itu. Dia masih belum bersedia untuk bersemuka dengan Aliya. Marahnya masih ada. Dalam tak sedar, dia mula meragui kesetian Aliya terhadapnya, juga pada ikatan perkahwinan yang dibina. Benarkah Aliya mencintainya? Seingatnya dia tak pernah mendengar pengakuan keramat itu dari mulut Aliya secara terang-terangan atau secara berdepan. Adakah selama ini Aliya menguruskan semuanya semata-mata kerana kewajibannya sebagai isteri? Bukan kerana cinta?

Mengenangkan yang Aliya sudah mengetahui kebenaran tentang Izham dan janji antara mereka berdua, membuatkan Taufik lebih sangsi. Dia sudah mula mencurigai ketulusan hati Aliya. Segala yang Aliya lakukan mula dilihat bersifat kepura-puraan. Taufik sakit hati. Kepalanya penuh dengan persoalan yang tidak ditemukan jawapan.

Serentak dia beristigfar mengusir pergi jauh bisikan-bisikan jahat yang menyelubungi diri. Dia tidak rela kehilangan Aliya lagi. Hanya Aliya yang dapat merungkai segala persolan yang berlegar-legar di benaknya itu, hanya Aliya.

Pintu kamarnya dibuka perlahan. Suasana dalam bilik gelap gelita tanda tak berpenghuni. Dia mula cuak. Taufik mengatur langkah ke bilik Zaim. Aliya dilihat sedang berbaring bersebelahan dengan anaknya. Dia  menarik nafas lega. Manalah tahu kalau-kalau isterinya itu buat perangai lagi, masak dibuatnya nanti. Perlahan-lahan pintu ditutup, tak mahu mengganggu lena keduanya.

Aliya membuka mata. Hatinya terguris dengan tindakan Taufik yang tidak mengendahkannya itu. Zaim pun tidak dijengah seperti selalu semata-mata kerana dia ada di situ. Aliya kecewa. Dia tiada tahu apa lagi yang boleh dia lakukan untuk mengubah pendirian Taufik. Perlukah dia menjarakkan diri buat seketika, untuk memberikan ruang pada Taufik mententeramkan hatinya. Atau perlukah dia mendesak suaminya itu untuk mendengar penjelasannya? Aliya buntu. Dia tak mahu memaksa kerana dia sendiri tak rela dipaksa.

“Abang, maafkan Liya. Liya tahu Liya yang bersalah.” tuturnya perlahan.

Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati