Home Novel Cinta BERARAK MENDUNG KELABU
Bab 34

Kepulangan Azie disambut dengan ceria kerana sudah lama mereka tidak berkumpul seperti itu. Keriangan mereka ditambah dengan kehadiran bakal si permata hati baru, adik yang masih berada di dalam kantung ibu. Azie tidak melepaskan peluang untuk menyentuh perut Aliya yang semakin memboyot. Terasa keterujaan berbuat begitu. Dalam hati terdetik naluri keibuan yang amat mendalam pada anak yang bakal dilahirkan. Kasih dan sayang mereka tertumpu di situ. Laili juga tak melepaskan peluang. Mereka bergilir-gilir mengusap “adik” yang masih tak diketahui jantinanya samaada lelaki atau perempuan itu.

“Liya kau rasa kali ni baby boy ke baby girl?” soal Azie tiba-tiba.

“Entahlah aku tak scan lagi. Tapi kali ni aku rasa aku tak nak tengok dulu, biarlah sampai dia keluar nanti baru tahu.” balas Aliya yang mula terasa rimas dikelilingi oleh kedua-dua sahabat karibnya itu. Kegembiraan yang ditunjukkan oleh mereka pantas mengingatkan Aliya pada Taufik. Seandainya Laili dan Azie sudah segembira itu bagaimana pula penerimaan Taufik bila mengetahui berita tersebut? Riak wajahnya berubah. Dia teringatkan layanan kasar Taufik yang sengaja menyakitinya dulu. Mungkinkah Taufik akan segembira mereka, atau tetap menolaknya jauh sama seperti waktu itu? Dia beristigfar minta dijauhkan daripada sangkaan buruk yang mampu membinasakan akal fikiran.

Mulut kata lain, tapi hati kata lain. Selebihnya, dia masih bergantung harap pada Taufik. Dia betul-betul berharap yang berita gembira tersebut akan dikongsi bersama-sama dengan suaminya itu. Hatinya amat sukar untuk dididik. Walau sekuat mana dia mencuba kasih dan sayangnya pada Taufik takkan pernah berubah dan dia masih menanti kehadiran suaminya itu. “Abang, kenapa abang tak sampai-sampai lagi.” bisiknya dalam hati.

“Tapi Liya, aku rasa macam gegirl la. Alahan kau kali ni pun teruk kan. Mak cik kat kilang semua kata yang baby girl, aku pun sama. Kita bet nak?” kata Laili, serentak lamunannya terhenti. Laili memang tak pernah nak berubah, dengan pantas tangan Azie hinggap di pipinya. Laili mengerekot kesakitan. Perit terasa ke kulit bila dipulas begitu.

“Aduh, aduh..sakit.” tuturnya.

“Kau ni dah kenapa? Dah tak ade benda lain ke nak dibuat? Sampai nak berbet-bet bagai? Kau tahu tak berdosa! Kecik besar, kecik besar je aku tengok kau ni. Patutlah Liya stress. Kaulah punya kerja rupanya.” marah Azie. Hanya Azie yang dapat mengawal sikap Laili yang agak hyper itu. Laili memuncungkan bibirnya merajuk sambil mengusap-usap muka yang kesakitan. Aliya tersenyum gembira melihatnya.

“Aku rasa baby boy, tapi menang dapat apa?” ucap Azie. Tangannya masih setia di perut Aliya. Serentak Aliya dan Laili menjenggilkan mata tak percaya. Azie pun sama tumpang sekaki, memaku dulang paku serepih, mengata orang, tapi dia tak kurang lebih.

Laili geram dibuatnya, sia-sia saja keperitan yang dirasa di muka. Dia beralih ke belakang Azie. Tangannya sengaja diregangkan sebelum memulakan serangan. Aliya cuba menahan senyuman, dia sudah dapat menjangka apa yang ingin dilakukan oleh Laili, hanya Azie yang tak perasan.

“Menang dapat ni.” serentak tangan Laili mencengkam kedua-dua belah pinggang Azie yang ramping bak kerengga itu. Terlompat Azie dibuatnya.  

“Mak pocot kau. Yah, Laili terkejut aku. Kau ni kan memang nak kena!” ucapnya. Hampir tercabut jantungnya diperlakukan begitu. Dia segara berlari membuntuti Laili yang telah terlebih dahulu angkat kaki ke dalam rumah memboloskan diri.

“Kau jangan sampai aku dapat. Kalau aku dapat, kau tengokla apa yang aku buat.” tutur Azie geram. Dia mencari-cari kelibat Laili yang hilang entah ke mana. Hilang macam tikus, langsung tak dapat dikesan. Azie putus asa, paling tidak buat masa sekarang. Bila masanya tiba nanti, pasti Laili akan mendapat pembalasan gerutunya sendiri.

Aliya tersenyum gembira melihat sahabat-sahabatnya itu. Memang tak pernah berubah, daripada kecil sampai ke besar, sampai dah boleh jadi mak pun masih sama, macam anjing dengan kucing. Pantang berjumpa pasti kecoh suasana dengan gelagat-gelagat yang mencuit hati. Laili dengan perangai pendajjal pasti takkan membiarkan kehidupan mereka tenang. Ada saja perkara yang akan dilakukan untuk menceriakan suasana dan dia cukup terhibur dibuatnya.

 

Selesai solat Maghrib, Aliya dikejutkan dengan kehadiran Laili di sebelahnya. Dia tidak tahu sejak bila Laili berada di situ. Senyuman Laili sampai ke telinga dan Aliya yakin, pasti ada yang tak kena.

“Kenapa?” soal Aliya sepatah.

“Azie ajak pergi cuci mata, nak tak? Dia nak belanja. Manalah tahu ada apa-apa yang kau teringin, kau bagitahu je dia. Lagipun dia tengah masyuk tu. Nak tak?” tuturnya dengan senyuman penuh pengharapan, matanya sengaja dikelip-kelipkan, buat buat manja. Aliya seperti tak percaya mendengarnya.

“Kan ke kita baru makan malam, sekejap tadi. Boleh ke nak masuk lagi? Jangan makan sampai muntah pulak nanti.” balas Aliya sambil menggeleng-gelengkan kepala.

“Dah tu kira jadilah ni ya? Aku bagitahu Azie. Siap tau! Jap lagi kita bertolak.” pesan Laili sebelum menuju ke biliknya untuk menyampaikan berita yang mengembirakan itu pada Azie.

Asalnya Azie yang memberikan cadangan untuk keluar malam ini. Tujuannya untuk menggembirakan Aliya. Melengahkan sahabatnya itu dengan perkara lain, supaya dia tidak terlalu memikirkan tentang Taufik, lelaki yang tak bertanggungjawab, suami yang mula mereka anggap sebagai pengecut. Sanggup mendera dan menyiksa perasaan seorang ibu dan isteri sesedap rasa. Tidakkah Taufik tahu di mana tempatnya seorang isteri, jika bukan di sisinya. Betapa sentengnya akal seorang lelaki yang bernama suami. Sepatutnya dia lebih mengerti segalanya kerana dia yang lebih berusia.

“Azie, jadi.” tuturnya pada Azie yang baru keluar dari tandas.

“Betul ke jadi? Liya tanya tak kita nak pergi mana? Kau bagitahu rancangan kita ke?” soal Azie pada Laili yang sedang menyarungkan seluar jeans ke badan. Senyumannya memutik ceria.

“Mestilah tak. Kata nak surprise. Ko ni pun lah, kalau cakap hilanglah feelingnya nanti.” balasnya pula. Azie masih tercegat memerhatikannya di situ. Seronok rasanya kerana dapat meluangkan masa bersama kerana sudah lama dia tak berpeluang melakukannya.

“Dah tu, kau buat apa lagi terpacak kat situ? Siaplah cepat, nanti lambat tak dapat tempat.” arah Laili, dengan pantas Azie segera menurut.

Setelah Laili menceritakan tentang peristiwa semalam, Azie turut tersentuh. Dia tidak menyangka yang selama ini Aliya tetap menantikan kehadiran Taufik untuk menjemputnya pulang, walaupun Aliya tahu yang Taufik sendiri tidak mengetahui di mana dirinya berada. Bagaimana mungkin semua itu akan berlaku? Penantian Aliya dilihat seperti sia-sia malah tak ada asasnya. Mungkinkah ada keajaiban yang akan berlaku? Mereka sendiri tak pasti, hanya pada Allah tempat mengadu. Tapi mereka takkan berhenti berdoa agar kemelut yang berlaku itu akan menemui pengakhirannya kerana mereka tak rela melihat Aliya terus-terusan menunggu.

Mereka tahu yang Aliya banyak memendam rasa kerana Aliya yang dikenalinya memang begitu, amat susah untuk meluahkan perasaan. Semuanya mahu disimpan sendiri, tak suka berkongsi. Diharapkan usaha yang mereka lakukan ini sedikit sebanyak dapat mengubat kedukaan di hatinya nanti. Lagipun baru-baru ini Aliya ada menyebut tentang kedai sushi yang biasa mereka kunjungi masa zaman muda-mudi dulu bila setiap kali mereka ke bandar Kuantan. Bunyinya macam mengidam je. Itu juga menjadi antara sebab mereka merancang untuk membawa Aliya keluar malam ini dan mereka yakin, Aliya pasti gembira nanti. Tak banyak sikit dapatlah mengubat kesedihan di hati.

“Kereta siapa?” soal Laili yang sedang tercegat di muka pintu, sebelum dia menoleh ke arah Aliya dan Azie yang berada di belakang. Buat seketika mereka terdiam. Mereka hanya memandang satu sama lain. Tiada siapa yang mahu menawarkan diri untuk menjadi pemandu. Aliya dan Azie mengarahkan pandangan mereka kepada Laili di hadapan, sebelum sama-sama mengukir senyum.

“Mestilah kau yang jadi driver. Mem besar ni memang tak la kan. Aku kan baru drive jauh tadi, penat la. Lagipun, kan aku yang nak belanja. Adalah orang tu kenalah buat kerja lebih sikit, iya tak?” balas Azie. Laili mengangkat bahunya tinggi sebelum menurunkannya kuat sambil mengeluh, buat-buat terpaksa.

Laili tahu dialah yang sentiasa menjadi pemandu setiap kali mereka outing. Sejak dari dulu lagi. Kalau harapkan Azie mahu terberanak Aliya dibuatnya nanti. Memang dasar hantu jalan. Bawak kereta mengalahkan pelesit kota, pantang dapat pegang stereng. Kiri-kanan, kiri-kanan asyik nak memotong je kerjanya, tak sabar langsung. Sekejap-sekejap brek, sekejap-sekejap brek, tercampak semangat dibuatnya. Orang duduk bandar memang macam tu ke? Nak cepat je memanjang. Bila ditegah kita pulak yang dimarah. Buat sakit hati kerana akhirnya dia juga yang disuruh untuk bawa kereta nanti.

“Ok, kalau macam tu. Tapi aku kira sampai 3, siapa yang lambat kena kunci pintu! 1, 2,3.” tuturnya pantas sebelum mengambil langkah seribu meninggalkan Aliya dan Azie yang masih tercegat di ruang tamu. Bayang Laili sudah tak kelihatan lagi. Terkedu mereka dibuatnya. Mereka berbalas pandang, serentak ketawa ceria.

 

“Jom. Dah sampai.” ajak Azie, tangan Aliya diraih keluar dari perut kereta. Mujur mereka keluar awal, masih ada tempat kosong, kalau lambat sikit tadi pasti letih menunggu. Biasalah waktu awal bulan macam ni, gaji baru dapat, selera pun mula tak ingat. Masa ada duit bolehlah manja-manjakan tekak sikit, menjelang hujung bulan barulah lengang, tak ada yang nak berenggeh kat luar dah. Budget dah ciput, baik makan kat rumah je, lebih jimat.

Aliya tertinjau-tinjau kawasan sekeliling yang amat dikenalinya itu. Sebelum dia tersenyum bahagia.

“Happy tak? Laili kata yang kau mengidam nak makan sushi, tu yang kami rancang nak bawak kau ke sini.” Mereka mengatur langkah menuju ke kedai sushi yang terletak di tengah-tengah bandar Kuantan itu.

“Terima kasih. Macam mana korang tahu yang aku nak ke sini?” soal Aliya, dia masih tak percaya. Tanpa dia menduga sahabat-sahabatnya itu dapat membaca apa yang ada dalam fikirannya.

“Kau lupa ke yang kau ada mention tempat ni hari tu? Mesti kau ingat aku tak perasan kan.” balas Laili.

“Aku ingat kau tak dengar sebab mata kau asyik melekat kat kertas je masa tu.”

“Liya, aku dengar pakai telinga, bukan guna mata, ok. Kata kawan, kalau kawan mesti lah tolong, lagipun aku kan ultrawoman. Hebat tak?” balas sambil meletakkan jarinya di bawah dagu dan mengangguk-anggukkan kepala, masih mahu dikompang-kompang. Bangga kerana kejutan itu membuahkan hasil seperti mana yang diharapkan.

“Hmm. Hebat sangat. Terima kasih korang. Terima kasih sebab sudi layan aku.” balas Aliya penuh syukur sebelum merangkul tangan kedua-dua sahabat baiknya itu. Baru-baru ini dia teringin untuk merasa sushi-sushi tersebut. Terbayang-bayang rasa lemak sushi itu di tekak. Selagi tak dapat selagi itulah hati terasa sebal. Cuma dia tak mahu menyuarakannya kepada Laili yang telah bertungkus-lumus seharian di kilang. Pantang dapat bantal, terus hilang. Penat menguruskan pesanan-pesanan yang semakin bertambah dari hari ke hari terhadap koleksi keluaran hari raya yang baru dipasarkan.

Sambutannya di luar jangkaan. Mereka sibuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat, sampai tak menang tangan. Laili seperti biasa, hanya mahu dia memantau sahaja, tak mahu melihat dia kepenatan. Laili mahu dia berehat. Pantang nampak dia kerja lebih sikit pasti ditegah. Kadang-kadang, rimas juga dibuatnya. Tapi dia tahu yang tujuan Laili murni, untuk menjaga keselamatannya, tak mahu sesuatu yang tak diingini terjadi lagi.

Semuanya berpunca daripada peristiwa di kilang tempoh hari yang mengakibatkannya nyaris terjelopok ke lantai ketika sedang membantu memuatkan kotak-kotak pakaian ke dalam ven. Apa lagi, panas telinganya mendengar leteran Laili yang tak kunjung habis. Sejak daripada itu, segala aktiviti dan pergerakannya dikawal ketat. Tak rela perkara yang sama berulang katanya.

Setelah semua yang Laili korbankan, adalah tak wajar kiranya dia mahu menyusahkan Laili lagi kerana dia tahu yang Laili sedaya-upaya menguruskan kilang demi meringankan bebanan dan tekanan kerjanya. Tak betah rasanya berbuat begitu. Tak mahu dilihat meminda-minda. Takut kalau-kalau Laili rasa tertekan. Namun tanpa dia disangka, Laili tetap dapat membaca fikirannya juga.

“Kalian memang sahabat yang baik dan memahami.” bisiknya dalam hati, sebelum mereka beriringan menuju ke kedai tersebut.

Mereka duduk selesa di satu sudut. Selesai membuat pesanan, tiba-tiba wajah ceria Aliya berubah mendung. Dia menundukkan wajah, cuba menahan perasaan. Dia terkenagkan Taufik lagi. Sepatutnya pada masa seperti itu suami yang perlu memenuhi segala permintaan isteri. Melayan kerenah dan ragam ibu mengandung, yang biasanya terpinginkan sesuatu untuk dinikmati.

Mujur dia masih ada sahabat sebaik Laili dan Azie yang sentiasa memahami, walaupun hanya dengan bicara tubuh dan gerak hati. Aliya mensyukuri kurniaan Illahi yang tak terbanding, bukan semua dapat merasainya, kehadiran teman sejati, peneman perjuangan yang tak bertepi dan kehadirannya benar-benar dapat menceriakan hari.

Laili dan Azie memandang satu sama lain. Dia perasan Aliya sedang bersedih, pasti teringatkan Taufik lagi. Mereka mula geram. Taufik memang nak kena. Kalaulah ditakdirkan mereka bertemu satu hari nanti memang masaklah lelaki yang bernama Taufik itu dikerjakan. Mahu saja rasanya menghubungi lelaki itu dan memarahinya. Mengherdik dam memakinya sepuas hati. Biar dia tahu apa yang dia dah lakukan.

Sanggup membiarkan seorang isteri sendirian pada saat-saat seperti ini. Mengandungkan anak suami yang tak sedar diri. Hanya tahu mementingkan diri, kononya mahu menyendiri untuk mengubat hati, tapi sebenarnya kalah pada ego sendiri. Akhirnya dengan mudah si isteri dibuang ke tepi. Sudah berbulan-bulan namun kepergian Aliya tetap tak di susul, malah kiriman salam Aliya selama ini juga tak pernah berbalas.  

Tapi mereka tahu Aliya takkan membenarkan mereka bertindak seperti itu. Aliya kata dia tidak mahu Taufik terpaksa menerimanya kembali. Dia pergi dulupun kerana Taufik yang sudah mula membenci dan dia tak rela dibenci lagi. Cukuplah sekali katanya, ungkapan itu didengari. Dia perlu segera sedar diri. Meraka kasihankan Aliya kerana kini sahabatnya itu kembali menjadi sebatang kara, sama juga seperti meraka.

Mereka sudah bertekad, sekiranya perkara terburuk itu tetap berlaku, mereka akan sama-sama menyumbang tenaga untuk membesarkan adik. Kalau Taufik dah tak mahukan Aliya lagi takpa kerana mereka masih ada. Mereka akan berusaha untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkannya, sehabis daya.

Azie yang duduk bersebelahan menggenggam tangan Aliya kejap. Biarlah pergi kesedihan dihati Aliya yang telah terlalu lama disimpan itu. Mereka mahu melihat Aliya bahagia dan bergembira. Biarpun Taufik tiada, mereka sedia menjadi penggantinya. Walaupun mereka tahu tak kan sama, tapi sedikit sebanyak mampu mengubat duka. Aliya membalas dengan senyuman yang nyata dipaksa.

Laili menghulurkan sebelah tangannya kepada Aliya dan Aliya menyambutnya dengan senyuman. Mereka gembira bila bersama. Terasa baru semalam perkenalan itu berlaku. Begitulah keakraban mereka. Ibarat cubit peha kiri, peha kanan terasa juga. Mereka takkan dapat menyelindungi apa yang tersimpan di hati, takkan, kerana mereka sudah masak dengan perangai sesama sendiri.

“Dah lah, jangan sedih-sedih lagi. Hari ni makan lah banyak mana yang kau nak pun. Aku belanja. Tapi hari ni je tau. Esok aku dah nak kena gerak. Sedihnya, aku tak dapat cuti lama. Adik nak makan apa sayang? Hari ni acik Azie belanja.” tuturnya sambil mengusap perut Aliya lembut. Aliya terhibur.

“Aku pulak macam mana? Takkan untuk Aliya dengan adik je. Aku merangkap driver sementara tak bergaji ni dapat apa?” soal Laili. Sambil membelek-belek menu di hadapannya.

“Aku nak yang ni boleh?” soalnya sambil tangannya menuding ke arah set menu yang menjadi pilihannya.

“Ambil lah Laili. Malam ni aku belanja. Makanlah sebanyak manapun sebagai membalas jasa kau yang dah bersusah payah menjaga mak boyot kita yang sorang ni.” balas Azie dengan senyuman. Aliya dan Laili keriangan.

Tidak beberapa lama kemudian pesanan dihidangkan dan mood Aliya berubah ceria kembali. Matanya galak melihat deretan sushi di hadapan, tak lupa beraneka jenis tempura yang turut dipesan. Baru saja dia mahu menyepit sushi ikan salmon kegemarannya, Laili terlebih dahulu mengambilnya dan memasukkan ke mulut. Sebelum tersenyum gembira. Aliya terkejut. Laili memang suka berebut.

“Azie kau tengokla Laili ni. Macam dia pulak yang mengidam.” adu Aliya kepada Azie yang turut terkejut dengan tindakan nakal Laili itu. Azie mencebik ke arah Laili. Serentak tangannya menyepit sushi yang sama sebelum memasukkannya ke dalam pinggan Aliya.

“Kau makan yang ni. Kau ni kan Laili kecik besar, kecik besar je aku tengok.” ucap Azie tapi Laili tak makan hati. Sebaliknya dia tersenyum puas hati kerana taktiknya untuk mengembirakan Aliya menjadi.

 

Previous: Bab 33
Next: Bab 35

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati