Home Novel Cinta BERARAK MENDUNG KELABU
Bab 3

3

Pn.Hayati sedang sibuk memasukkan beberapa helai pakaiannya ke dalam beg di hadapannya. Sesi rawatan yang berikutnya akan bermula esok. Sudah masuk kali yang ketiga tapi hasilnya tetap sama. Selesai mengemaskan beg pakaian, dia melabuhkan punggungnya di kerusi yang terletak di hujung katil. Diari yang menjadi peneman setianya sejak beberapa tahun kebelakangan ini di belek sebelum memasukkannya ke dalam beg. Tidak sesekali diari itu akan ditinggalkan.

“Fik. Lusa mak dah nak bertolak. Mak dah minta Mak Cu carikan pembantu untuk jaga Im sepanjang mak tak ada ni. Nanti tak adalah Mak Jah terkejar-kejar buat semua kerja. Dia boleh tengokkan Im. Esok dia sampai. Fik tak payahlah susah-susah nak uruskan Im nanti.” tutur Pn.Hayati. Taufik menyendukkan mee goreng di hadapannya ke dalam pinggan Pn.Hayati.

“Ok. Kan Fik dah cakap, mak jangan lah risau. Bukannya Fik tak biasa uruskan Im. Mak rehatlah kat sana nanti. Rehat banyak-banyak. Janganlah risaukan kami kat sini. Flight mak pukul berapa? Bolehlah Fik hantarkan ke airport nanti.” balas Taufik. Sekeping sandwich telur kegemaran Zaim diletakkan ke dalam pinggan anaknya itu. Zaim keriangan.

 “Fik tak payah susah-susah. Mak pergi sekali dengan Datin Rozi nanti.” pantas dia membalas. Dia tak mahu rancangannya terdedah. Dia bukan mahu ke Landon seperti yang dikatakannya. Kalau Taufik tahu keadaan kesihatannya pasti anaknya itu akan sedih. Cukuplah kesedihan yang ditanggung akibat kehilangan Aliya dulu. Lukanya masih belum sembuh. Dia tak mahu membebankan Taufik lagi. Tambahan pula dia belum bersedia untuk berkongsi segalanya.

“Kalau macam tu biar Fik hantarkan mak ke rumah untie Rozi nanti.” tuturnya kembali.

“Mak kata tak payah. Mak bawa kereta ke sana nanti. Lagipun Taufik kan sibuk. Buat susah je nak ulang alik. Mak okey. Fik tak payah risaukan mak.” balasnya meyakinkan Taufik.

“Betul tak payah?” soalnya mencari kepastian.

“Betul. Mak tahu jaga diri.” balasnya mematikan niat baik Taufik.

Pn.Hayati sedang sibuk di taman. Taman yang penuh dengan variasi bunga orkid serta mawar itu dijaga rapi. Semuanya diusahakannya sendiri.

“Mak Jah, bila saya tak ada nanti jangan lupa siram semua pokok bunga saya ni. Kebelakangan ni hari-hari cuaca panas sangat, kena siram lebih sikit. Petang nanti Mak Jah siram sekali lagi. Lagipun saya rasa saya pergi lama sikit kali ni. Sebelum saya terlupa, jangan benarkan Im main sorang-sorang di sini. Bahaya. Takut dia terjumpa dengan yang kaki banyak tu nanti. Hari tu saya ada jumpa seekor, mujur sempat dibunuh.” arahnya yang sedang terbongkok-bongkok merapikan rimbunan dahan pokok mawar kesayangannya itu. Bau harum mawar yang beraneka warna memenuhi ruang taman, cukup menyegarkan.

“Baik puan.” balasnya yang masih sibuk menyiram deretan bunga orkid di bahagian belakang. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini minatnya pada bunga orkid dan mawar semakin bertambah. Dia sanggup berbelanja ribuan ringgit deminya. Kebanyakan koleksi orkid yang ada di situ diimport dari luar negara terutamanya dari China.

Bunyi deringan telifon bimbit yang ditinggalkan di atas meja mengejutkannya. Dia bergegas untuk mendapatkan panggilan tersebut.

“Assalammualaikum, ya cu nya.” tuturnya. Dia sememangnya menantikan penggilan dari adik iparnya itu.

“Akak, maaflah pembantu yang saya janjikan tu tak dapat nak datang, dia ada hal kecemasan. Masalah keluarga katanya. Habis tu macam mana? Esok akak dah nak bertolakkan?” soalnya. Pn.Hayati kebingungan. Masa sudah semakin suntuk. Kalau dicari pun sekarang, dia tahu dah tak sempat tambahan pula dia tak tahu nak cari di mana?

“Macam mana pulak boleh jadi macam ni. Kalau tahu awal-awal bolehlah akak carikan yang lain. Akak dah serahkan sepenuhnya pada Cu. Tapi tak apalah, nak buat macam mana? Perkara dah jadi. Tengoklah macam mana nanti. Akak akan cuba cari pengganti. Terima kasih kerana dah tolong carikan. Assalammualaikum.” balasnya dengan nada kecewa.

Telifon di tangan terdampar di meja. Kepalanya ligat memikirkan cara untuk mendapatkan pembantu yang lain. Kalau minta dengan agensi, pasti yang datang nanti pekerja asing yang dia sendiri tak berapa senangi. Lagipun dia hanya perlukan khidmat mereka sebulan dua, kalau dengan agensi pasti kontraknya lama. Tiba-tiba Mak Jah yang tekun mendengar dari tadi bersuara.

“Kenapa puan? Ada yang tak kena ke?” soalnya.

“Pembantu sementara yang saya janjikan tu tak dapat nak datang. Dia ada urusan lain. Mak Jah kenal tak mana-mana orang yang boleh gantikannya? Tak sampai hati saya nak tinggalkan Zaim tu sorang-sorang. Tak ada yang nak temankannya bermain. Lagipun kali ni rasanya saya pergi lama sikit, sebulan atau lebih saya tak pasti lagi. Nak harapkan Fik dia sibuk. Awal-awal pagi dah keluar, malam nanti baru balik. Manalah tahu, Mak Jah ada kenal mana-mana orang yang sesuai.” ucapnya. Dia sudah mati akal.

“Ada.” pantas Mak Jah membalas.

“Siapa?” tutur Pn. Hayati. Wajahnya berubah ceria. Jika benar apa yang dikata, mudahlah kerjanya. Dia tak perlu lagi bimbangkan Zaim yang ditinggalkan sendiri. Sayangnya pada Zaim tak ternilai. Kehadiran cucunya itu membuatkan dia bahagia. Keletah Zaim mengalahkan orang dewasa, tak lokek dengan kata-kata. Bila duduk berdua pasti ada saja yang ingin dibicara.

“Anak saudara saya. Dia tinggal dekat kampung la. Tapi saya kena tanya dengan dia dulu. Betul ke puan nak ni?” soal Mak Jah lagi. Dia inginkan kepastian.

“Betul lah. Takkan saya nak main-main pulak. Cuba awak hubungi dia dulu. Kalau dia setuju, lega sikit rasa hati ni. Tak lah saya risaukan tentang Zaim lagi.” tuturnya pasti. Mak Jah mengangguk-anggukkan kepala berkali-kali.

“Puan tunggu sekejap. Saya cuba telifon dia sekarang.” jawap Mak Jah sebelum bergegas ke dalam rumah.

“Assalammualaikum Liya. Mak Jah ada berita baik. Liya ada peluang untuk jumpa dengan Zaim.” tuturnya sebelum menceritakan segalanya. Aliya seperti tak percaya. Akhirnya doanya diterima. Peluang keemasan yang datang pasti takkan dilepaskan begitu saja.

“Baik Mak Jah. Esok saya sampai.” balasnya dengan hapapan yang setinggi gunung. Segera dia memaklumkan hal tersebut kepada Azie dan Laili yang ada bersama ketika itu. Azie mengganggukkan kepalanya berlaki kali sebelum dia menarik tangan Aliya menuju ke biliknya. Dia tahu dia boleh menjayakan hasrat sahabatnya itu.  

Seperti yang dijanjikan, keesokan harinya Aliya sampai ke rumah yang pernah mecoretkan sejarah hitam dalam hidupnya itu. Wajah Pn.Hayati berubah. Reaksi terkejutnya tak dapat nak disembunyikan. Wajah perempuan yang berada di hadapannya itu jauh berbeza daripada apa yang dia bayangkan. Parut luka di wajah itu sedikit sebanyak mambuatkannya berasa kurang selesa. Mak Jah berdebar-debar. Dia tahu apa yang bermain dia dalam hati puan besarnya itu.

“Puan, saya kenalkan. Laila. Anak saudara saya. Maaflah puan wajahnya tu berparut kesan terbakar. Sejak dari dia kecil lagi. Kenapa puan? Puan tak suka dia?” soal Mak Jah. Serentak Pn. Hayati menidakkannya.

“Tak ada lah. Saya ok. Tapi saya risaukan Zaim. Saya takut dia tak biasa.” balas Pn.Hayati. Matanya masih tak lekang memandang wajah wanita di hadapannya itu. Seketika kemudian rasa simpati mula terbit di hatinya. Kalau dulu mungkin dia akan segera memandang rendah pada insan seperti itu, kerana sikapnya yang terlalu mementingkan kesempurnaan. Tapi kini segalanya telah berubah.

Dugaan yang Allah timpakan padanya mengajar erti sebuah kehidupan. Tiada apa yang sempurna pada manusia. Sempurna letaknya pada Allah, kita tak layak mengadilinya. Parut yang menutupi dahi hingga ke bahagian bawah mata nampak sangat memeritkan, membuatkan dia lebih mensyukuri erti kehidupan kini. Selama ini dia lupa pada tanggungjawapnya pada insan lain. Dia leka mengejar pangkat dan darjat dunia yang bersifat sementara bahkan mampu menyesatkan manusia.

“Laila. Kenalkan ini Pn.Hayati, puan besar rumah ni.” tutur Mak Jah. Takut-takut tangan dihulurkan. Genggaman tangan Pn.Hayati terasa mendebarkan.

“Umur Laila berapa? Dah kahwin?” ucapnya lembut memulakan bicara. Aliya tersentuh mendengarnya. Itulah kali pertama sejak sekian lama, Pn.Hayati berkata mesra padanya. Wajah Pn.Hayati ditatap seketika sebelum dia mengalihkan pandangannya semula. Tak mahu terlalu berani. Takut penyamarannya terdedah nanti.

“Umur saya 27 tahun. Tak kahwin lagi puan.” balasnya perlahan sebelum menundukkan semula wajahnya ke lantai. Pn.Hayati bimbang akan penerimaan Zaim terhadap Laila nanti. Dia takut cucunya itu tak dapat menerima kekurangan pada Laila. Dia juga takut Zaim tak selesa. Dalam dia sedang memikirkan semua kemungkinan, dia dikejutkan dengan suara Zaim yang datang dari arah belakang.

“Nenek…” ucapnya sepatah sebelum dia baring di atas ribaan Pn.Hayati. Dia masih belum perasan kehadiran Laila di situ. Aliya hiba. Pertama kali telinganya dapat mendengar suara anak yang sentiasa dirindui sampai terbawa-bawa ke dalam mimpi. Wajah polos Zaim di tatap penuh sayang. Air matanya mula bergenang.

“Im, ni mama sayang. Mama rindu Im.” kata-katanya hanya tersekat di kerongkong. Tak mampu untuk dikeluarkan. Hibanya berlarutan. Tak berapa lama kemudian Taufik turut mendapatkan mereka. Taufik! Desisnya. Hati Aliya berombak kencang. Semua lelaki-lelaki yang di sayanginya kini ada di depan mata. Mereka nampak cukup bahagia walaupun tanpa dia. Aliya berusaha sedaya upaya menahan air mata, tak mahu merosakkan rancangannya.

“Fik kenalkan Laila, anak saudara Mak Jah yang akan jadi pembantu sementara sepanjang mak tak ada nanti.” ucap Pn.Hayati teragak-agak. Dia tahu Taufik pasti akan turut terkejut, sama sepertinya tadi. Taufik terdiam. Pandangannya diarahkan kepada maknya sebelum dia memandang pula ke arah Zaim. Zaim turut mengalihkan pandangan pada pembantu yang dimaksudkan oleh neneknya itu.

“Zaim, nenek kenalkan. Ini Mak Cik Laila. Dia yang akan temankan Zaim bila nenek tak ada nanti. Pergilah salam.” arah Pn.Hayati. Dia sendiri tak pasti apa reaksi yang bakal Zaim berikan nanti. Dia takut cucunya itu tak akan dapat menerima kecacatan Laila. Zaim terdiam.

Matanya tak lekang memandang ke arah wanita yang berada di hadapannya itu. Lama kesan parut di wajah Mak Cik Laila dipandang. Aliya cepat-cepat menundukkan mukanya ke lantai. Sedar punca keadaan itu berlaku. Dia tak sanggup mendengar kata-kata yang bakal Zaim ungkapkan. Tak mahu dipandang rendah anak sendiri.

“Zaim pergilah salam dengan Mak Cik Laila.” ulang Pn. Hayati lagi. Zaim menurut kali ini. Takut-takut Mak Cik Laila didekati sebelum tangan itu disalami. Luluh terasa hati bila diperlakukan begitu. Aliya tak dapat lagi menahan air matanya kali ini. Setitis air matanya jatuh jua. Belum sempat dia mengesatnya, dia dapat merasa kehadiran satu tangan kecil di situ. Aliya benar-benar tersentuh. Zaim seorang yang berjiwa besar.

“Kenapa untie nangis. Jom teman Im main.” tuturnya sebelum menarik tangan Aliya menuju ke biliknya. Aliya menurut. Pn.Hayati dan Taufik masih terkejut. Mereka tak menyangka Zaim akan bertindak seperti itu. Tak berapa lama kemudian, senyuman terukir di wajah keduanya. Mereka bahagia kerana pasti, didikan yang diberiakan selama ini tak sia-sia. Zaim betul-betul membuatkan mereka bangga. Mak Jah turut tumpang gembira. Rancangannya untuk menemukan mereka akhirnya berjaya.

Zaim masih sibuk mengeluarkan alatan permainannya dari almari khas yang disediakan. Satu demi satu dikeluarkan, kemudian dia duduk berhadapan dengan Untie Laila yang masih memandangnya sejak tadi. Zaim belum benar-benar dapat menyesuaikan diri. Sebuah helikopter mainan merah dihulurkan kepada Aliya. Dia menyambutnya gembira.

Aliya bersyukur, doanya dimakbulkan. Dia sedar kasih Allah tiada sempadan, melebihi segalanya yang dapat difikirkan. Berkat perkenanNya, kini Zaim telah berada begitu hampir dengannya. Terasa ingin didakap dan diusap tubuh anak kesayangannya itu semahunya. Dikucup dan dibelai manja untuk melepas rindu. Tapi hajatnya itu di tahan. Dia tak mahu Zaim mensyakki apa-apa. Dia sudah cukup bahagia dapat melihat permata hatinya itu setiap masa. Itu sudah memadai. Dia tak mahu terlalu tamak. Kerana sifat tamak akan menghancurkan manusia.

“Untie. Boleh Im tanya?” soalnya tak berapa lama kemudian. Dia sudah mula membisakan diri dengan kehadiran Untie Laila di situ.

“Hmm. Im nak tanya apa?” soal Aliya kembali. Mata Zaim masih tak lekang dari memandang kesan parut di wajah Untie Laila. Sejak tadi soalan itu dipendamkan saja. Tapi hatinya tetap tak tenang selagi tak mengetahuinya.

“Sakit tak? Sakit tak luka tu?” soalnya perlahan. Hati Aliya terusik. Zaim membesar menjadi seorang anak yang bertimbang rasa. Taufik berjaya memupuk peribadi yang baik pada anaknya. Dia sedar, kehidupan penghuni di rumah banglo tersebut baik-baik saja tanpa kehadirannya di situ. Tanpa dia sedari air matanya menitis lagi kerana sedar kewujudannya tak memberi sebarang makna.

“Kenapa untie nangis lagi? Sakit ke?” soalnya sebelum segara mendapatkan Aliya. Air mata yang menitis diseka lagi, sama macam tadi.

“Tak sayang. Sekarang dah tak sakit lagi.” jawapnya.

“Boleh untie peluk Im?” soalnya. Hatinya dah tak mampu bertahan. Sayangnya pada Zaim sudah tak dapat dibendung. Keinginannya sukar untuk ditolak. Serentak Zaim memeluk tubuh wanita yang baru dikenalinya itu. Aliya bahagia. Tanpa dipaksa semakin galak air mata membasahi pipi. Terima kasih Ya-Allah. Terima kasih untuk segalanya. Tanpa mereka sedari Taufik sedang berdiri di sebalik pintu menyaksikan segala yang berlaku.

 

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati