Home Novel Cinta BERARAK MENDUNG KELABU
Bab 33

Aliya berjalan berseorangan menyusuri pepasir pantai yang putih bersih. Langkahnya terhenti setibanya dia di kawasan kegemarannya itu. Permandangan matahari terbenam terkesan di hatinya yang sedang walang. Diusap-usap perutnya yang semakin menonjol. Kandungannya kini telah menjangkau usia lebih 6 bulan, namun Taufik masih sunyi tanpa khabar berita. Menghubunginya pun tidak, sedang Aliya tahu yang Taufik ada berdekatan setiap kali dia berhubung dengan Zaim kerana dia dapat mengesan kehadiran Taufik di situ.

Nampaknya Taufik masih tak mahu memaafkannya. Barangkali hatinya betul-betul telah dikunci, tiada ruang lagi untuknya memasuki. Huluran salamnya selama ini juga tidak pernah berbalas. Taufik tetap sepi tanpa bicara, dan dia sudah mula putus asa.

“Abang kejam.” tuturnya perlahan. Air matanya gugur lagi menangisi nasib diri yang dirasakan tak diperlukan lagi.

“Maafkan mama adik. Maafkan mama sebab tak mampu beri adik keluarga yang sempurna. Mama harap bila adik dah boleh faham, adik takkan salahkan mama. Mama dah cuba sehabis daya, tapi mama tetap tak dapat ubah apa-apa.” bisiknya pada anak yang sedang dikandungnya itu.

Wajahnya dihadapkan ke arah lautan yang terbentang luas, dihiasi dengan cahaya magenta yang semakin lama, semakin kelam diganti dengan kegelapan malam. Sehari lagi berlalu tanpa kehadiran Zaim dan Taufik yang dikasihi.

 

“Liya kau ke mana lagi ni? Dah malam baru nak balik. Risau aku tahu tak? Tadi aku ingat kau terus balik rumah, rupanya kau melular pulak. Kau pergi mana? Kau pergi tempat biasa lagi?” bebel Laili kepada Aliya yang baru muncul di muka pintu. Aliya hanya membalas dengan senyuman. Dia tahu yang Laili risaukannya.

“Nanti la, aku report kat Azie. Biar bila dia sampai esok dia membebel sama. Bernanah telinga kau nanti dibuatnya. Aku call tak angkat. Ingatkan ada apa-apa yang jadi. Aku baru nak cari kau kat sana tau. Tengok baju pun tak tukar lagi.” tambah Laili.

Sesungguhnya hanya tuhan yang tahu perasaannya saat itu. Dia balik agak lewat petang tadi kerana tugasan di kilang yang masih banyak untuk diselesaikan. Daripada senarai pesanan sehingalah ke inventori semuanya perlu segera disemak. Penghantaran untuk jualan Hari Raya Aidilfitri sedang sibuk dilakukan. Hanya tinggal berbaki kurang lebih sebulan untuk umat Islam menyambut hari kebesaran yang ditunggu-tunggu itu. Minggu depan mereka sudah mula berpuasa. Kalau sempat segala urusan yang memerlukan kederat yang kuat terlebih dahulu mahu diselesaikan sebelum Ramadhan tiba. Taklah penat sangat nanti.

Dia tidak mahu membebankan Aliya yang sedang berbadan dua itu. Takut kalau-kalau perkara yang tak diingini berlaku. Maklumlah tugas-tugas itu agak berat, melibatkan kerja-kerja mengangkat dan memunggah stok-stok. Laili lebih selesa Aliya menjadi pemantau sahaja, itu lebih selamat. Hal-hal lain biarlah dia dan kakitangan lain yang uruskan.

“Kau marah aku ke? Aku minta maaf. Telefon tinggal dalam kereta tadi. Mula-mula memang hajat nak balik rumah terus, tapi tiba-tiba je aku rasa rindu nak tengok matahari terbenam. Lagipun harini cuaca cerah. Matahari nampak jelas sangat tadi. Cantik.” senyuman puas terukir di bibir, wajah Laili dihadapannya dipandang lama.

Laili mengalah, dia tahu tidak seharusnya dia meleteri Aliya seperti itu. Tapi tujuannya hanya satu iaitu demi keselamatan sahabatnya itu. Azie telah berpesan kepadanya untuk menjaga Aliya dengan baik, sekiranya sesuatu yang buruk terjadi pasti dia juga yang akan menyesal tak sudah nanti. Dia tak mahu menanggung penyesalan sepanjang hayat, dia tak rela. Itulah sebabnya sedaya-upaya keselamatan Aliya dijaga sebaiknya.

“Liya, tolonglah. Tolonglah jangan buat macam ni lagi. Kami risaukan keselamatan kau. Manusia zaman sekarang ni bukan boleh diramal. Lebih banyak yang bengkok daripada yang lurus. Kalau apa-apa jadi, aku pasti akan menyesal seumur hidup. Kau nak ke aku hidup macam tu? Kau tahu kan aku sayang kau, lebih dari nyawa aku sendiri.” ucap Laili pada Aliya minta dimengertikan.

Wajah Aliya berubah muram. Perasaan sebak menyelubungi diri. Bukan kerana dimarahi, tapi tiba-tiba saja perasaan itu menjengah lagi. Serentak air matanya berjuraian di pipi. Laili kaget dengan tindakbalas Aliya yang tak dijangka. Sungguh. Bukan niatnya untuk membuat Aliya bersedih, cuma dia hanya mahu Aliya tidak mengulangi perkara yang sama. Kalupun Aliya mahu pergi, biar dia yang menemani. Laili segera duduk di sebelah Aliya yang sedang dijeruk pilu.

“Maafkan aku, aku yang bersalah. Maafkan aku k. Aku janji tak kan marah-marah lagi. Aku tak sengaja. Janganlah nangis, nanti aku pun nangis sama.” suara Laili kedengaran terketar-ketar.

Dia sendiri hiba melihat keadaan Aliya itu. Serentak tubuh Aliya dibawa ke dalam dakapan. Laili perasan yang Aliya terlalu sensetif sejak kebelakangan ini. Adakalnya dia termenung sendiri di jendela seperti menantikan seseorang.

Bila ditanya, Aliya pantas menidakkannya. Dia tahu yang Aliya menantikan kehadiran Taufik, tapi semua itu sia-sia, Taufik tak pernah muncul setelah lebih 2 bulan berlalu. Laili geram. Memang dasar lelaki tak bertanggungjawab. Suami apa namanya macam tu, sanggup menggantung isteri tak bertali. Hebat sangat ke jadi lelaki kalau hanya tahu nak memuaskan diri sendiri. Gerutunya dalam hati.

“Maafkan aku. Aku minta maaf. Aku yang bersalah.” ucapnya lagi sambil menepuk-nepuk belakang Aliya untuk mententeramkannya.

“Aku sedih Laili. Dah lama aku tunggu dia, tapi dia tetap tak muncul. Aku kecewa. Aku betul-betul kecewa sebab setiap masa aku fikirkan dia. Aku mengaku aku kalah. Aku kalah pada diri aku sendiri. Aku tak dapat terima takdir yang tertulis untuk aku. Jodoh kami memang tak panjang agaknya kan? Semuanya macam dah berakhir.” tuturnya dalam tangisan.  

“Aku yang bodoh mengharap bulan jatuh keriba, sedang aku tahu, bulan tetap teguh di atas sana, ceria dan bahagia, tapi aku yang tak putus-putus mendambarkannya. Aku masih tetap menunggu, pada masa yang sama aku sendiri sedar yang ianya tak mungkin akan berlaku. Hati aku sakit Laili. Sakit. Kenapa hanya aku yang merana.” tutur Aliya meluahkan segala yang terpendam selama ini. Dia sudah tak mahu berselindung lagi kerana kesedihannya sudah mencecah ke kaki. Tangisan dan esakannya bersatu, sayu dan menyayat hati. Laili mendakap erat tubuh sahabatnya itu, kesedihan Aliya turut sama terkesan di jiwanya.

Daripada pandangan zahir, dia nampak kuat, tapi hakikatnya batinnya terseksa. Segala kekecewaannya diluahkan, tidak mahu lagi disimpan. Dia sudah bersedia untuk melepaskan Taufik pergi untuk selamanya. Dia sudah membuat keputusan, dia tidak akan menanti lagi. Derita penantian yang menyiksakan amat mendera perasaan. Selagi dia berharap, selagi itulah dia tersiksa. Biarlah hari-hari silam disimpan sebagai kenangan, hari-hari mendatang akan ditempuh sebaiknya, tanpa ada sebarang kesalan.

Dia sudah bertekad, bukan kerana dendam, tapi kerana sayang. Dia tak mahu mensia-siakan hidupnya lagi, dia berjanji. Dia sudah tidak mahu ternanti-nanti. Debarannya menyesakkan dada, penantiannya tak kunjung tiba. Mungkin sudah masanya dia melepaskan Taufik pergi, lupus dalam ingatannya. Dia ingin berhenti berharap dan segera mengemaskini kehidupannya semula. Biarlah hari ni menjadi hari terakhir dia menjadi penunggu setia Taufik, esok dia akan memulakan hidup baru tanpa sepatah nama itu disebut lagi.

“Sabar la Liya. Kau jangan sedih. Aku janji, walau apapun yang terjadi, kau tetap boleh harapkan aku. Kau masih ada aku, ada Azie. Kami takkan tinggalkan kau. Dahlah jangan nangis.” pujuk Laili dalam usahanya menenangkan perasaan Aliya. Tanpa dipaksa airmatanya berjuraian sama. Aliya masih kaku dalam pelukannya. Tangisannya makin menjadi-jadi, tak ada tanda mahu berhenti. Esakannya semakin memilukan hati. Laili tahu Aliya sangat tersiksa saat itu.

“Liya janganlah nangis. Kau kena kuat. Adik perlukan kau. Biarlah kalau dia tak perlukan kau lagi. Tapi kami semua perlukan kau. Aku, Azie, Zaim dengan Adik semua perlukan kau, dan yang paling penting kami semua sayangkan kau.” tambahnya sambil mengusap belakang Aliya lembut. Dukanya sedikit terubat. Pujukan Laili mendamaikan hati.

Benar kata Laili masih ramai yang memerlukannya. Dia perlu segera menguatkan semangat. Perjalanannya masih panjang. Masih banyak dugaan yang menanti di hadapan. Taufik hanyalah salah satu persinggahan dalam kehidupan yang akan menjadi sejarah untuk di simpan. Kehidupan harus diteruskan untuk insan-insan yang sentiasa menyayanginya dan dia tak rela untuk menghancurkan harapan semua.

“Ya-Allah, bantulah aku. Bantukah aku untuk melupakannya.” bisiknya dalam hati sebelum tubuh Laili didakap erat. Seketika kemudian, tangisannya mula mereda. Dia bersyukur kerana Laili sentiasa ada menemaninya untuk memujuk dan menenagkan hati.

“Malam ni nampak gayanya aku kenalah temankan kau tidur.” tutur Laili sambil tangannya menepuk-nepuk bahu temannya itu.

“Kenapa?” soal Aliya perlahan.

“Aku rindu nak dodoikan budak sorang ni. Asyik menangis je kerjanya. Dahlah menangis, lepastu buat orang lain nangis pulak. Macam budak-budak. Liya anak kau dah nak masuk dua, tapi bila menangis macam budak darjah dua. Risau aku tau tak. Tengok sampai aku pun nangis sama. Kau hutang dengan aku.” tuturnya sebelum merungkaikan pelukan. Aliya menyapu sisa tangis dengan belakang tangan.

“Bagi sini 25 sen.” tambahnya lagi. Aliya mengerutkan keningnya pula.

“Kenapa pulak?” soalnya tak tahu apa. Laili hanya tersenyum suka.

“Buat apa lagi. Untuk bayar pampasanlah. Kau tengok ni, habis basah baju aku dengan air mata kau. Jap ini banyak sangat ni. Nampak gayanya ni bukan air mata je ni? Air hidung kau sekali ke Liya?” soalnya sambil matanya bulat memandang wajah sahabatnya itu. Aliya segera menyapu hidungnya dengan belakang tangan.

“Liya…habis tercemar baju aku. Kot iya pun, kalau nangis tu agak-agaklah. Sampai keluar semua air. Kau ni.” guraunya. Aliya ketawa sebelum dia kembali memeluk Laili yang tetap setia disisi menemani saat suka dan duka. Dia bersyukur, Allah sentiasa ada bersamanya. Laili gembira, akhirnya mood Aliya dapat dipulihkan semula. Dia tak sampai hati melihat Aliya sentiasa bersedih kerana hatinya turut rasa terguris. Dia mahu membantu menyatukan keduanya tapi dia tak tahu bagaimana caranya.

“Terima kasih sebab sentiasa ada untuk aku.” tutur Aliya ikhlas. Perangai Laili sentiasa mengingatkannya pada Zaim, anak yang sentiasa dikenang. Mulutnya tak pernah sunyi dengan kata-kata. Akalnya sentiasa ada untuk menceriakan suasana. Dengan adanya Laili dia pasti hidupnya akan ceria.

“Kita kan kawan. Kalau kawan mestilah tolong. Aku pun nak ucap terima kasih jugak pada kau sebab sanggup jadi peneman aku kat sini.” balasnya. Seketika kemudian dia tersedar.

“Liya, kau tahu tak apa yang aku tengah fikir sekarang? Aku rasa kau pun mesti dah lupa ni?” soalnya tiba-tiba. Serentak mereka berpandangan.

“Ha, tengok apa yang kau dah buat. Kau sedar tak yang kita tak solat Maghrib lagi? Tu tengok jam dah pukul berapa dah. Cepat, cepat, naik mandi, lepastu solat. Malam ni kita makan luar. Aku belanja.” tuturnya sebelum memimpin tangan Aliya menuju ke tingkat atas.

“Betul kau nak belanja lagi. Tak apalah, malam ni biar aku yang belanja pulak. Asyik kau je.” balas Aliya sebagai tanda penghargaan atas keperihatinan yang diberikan.

“Kalau macam tu aku dah tak boleh nak cakap apalah. Orang tua-tua cakap, rezeki jangan ditolak, makan biar sampai kenyang. Kalau sudah bagai dikata, hamba akan menerimanya dengan hati terbuka, tuan hamba.” tuturnya untuk mengubati kelukan dia hati teman. Aliya terhibur. Senyuman terukir di wajahnya menzahirkan kecerian mengganti mendung kelabu yang menyelubungi hati sebentar tadi.

“Itu nantilah kita fikir. Buat satu-satu dulu. Kalau tak sempat solat menyesal tak sudah kita nanti. Berdosa, kalau mati masuk neraka. Aku tak nak masuk neraka. Kau nak?” soalnya. Aliya segera menggelang. Dia seperti pernah mendengar ungkapan itu, tapi di mana ya. Soalnya pada diri sendiri sambil menggaru-garu pipi, sebelum langkah kaki disusun berhati mendaki anak tangga menuju ke billik sambil dibantu Laili.

  

Taufik masih duduk termanggu sendirian di dalam bilik pejabat yang dingin dan sunyi. Wajah Aliya sentiasa memburunya. Kenangan bersama Aliya di dalam bilik itu terbayang di mata. Senyuman Aliya ikhlas, penuh kasih sayang dan dia turut tersenyum sama. Sedang dia asyik menjamu mata, tiba-tiba Aliya hilang entah ke mana. Dia menarik nafas dalam-dalam. Barulah dia sedar semuanya hanyalah sekadar fatamorgana, nampak di mata namun realitinya hanya ilusi semata-mata.

“Maafkan abang. Maafkan abang Liya. Abang yang bersalah. Abang mungkir janji.” tuturnya perlahan sebelum menyembamkan mukanya ke meja. Dia sedar, dia yang memulakan segalanya. Kini kasih Aliya sudah tertumpah pada yang lain. Dia tahu Aliya tidak harus dipersalahkan. Dia yang melayan Aliya secara tak wajar, haruslah Aliya berubah hati.

Kepalanya terasa pening. Dia perlu segera pulang kerana badannya perlukan rehat. Sejak Aliya tiada, tidurnya tak pernah lena. Kenangan bersama Aliya sentiasa mendera perasaannya. Ungkitan dan cemuhan yang pernah dilemparkan terasa menyentap tangkai hati. Dia rasa berdosa kerana sedar dia telah menganiyai hidup seorang wanita yang bernama isteri.

Serentak dia teringatkan Zaim. Sudah terlalu lama dia tidak meluangkan masa bersama. Malah hari-hari anaknya itu hanya bertemankan Mak Jah sepanjang masa sehinggakan Zaim sudah tidak banyak menunjukkan minat padanya lagi, tak seperti dulu pantang melihat kelibatnya pasti anaknya itu minta dimanja. Zaim juga sudah semakin jauh daripadanya sama seperti Aliya.

Tidur anaknya itu ditemani suara Aliya yang setia untuk mendodoikannya saban malam. Dia sendiri takkan pernah ketinggalan untuk mencuri dengar suara kekasih hati yang lantang dipasang anaknya itu. Suara Aliya mengalunkan zikir terus sampai ke hatinya. Sedikit sebanyak kerinduannya terubat. Kekeruhan yang terpancar di mata Aliya waktu dulu melambangkan hatinya yang sarat dengan kesedihan dan kekecewaan.

“Taufik apa yang kau dah lakukan. Kau memang tak guna!” bisiknya sendiri, sedar yang dialah punca segala musibah yang melanda.

“Kau memang pengecut.” tambahnya lagi sebelum menumbuk dadanya berkali-kali, menyesali segala keterlanjuran diri. Taufik bungkam memikirkan perjalanan hidup yang perlu ditempuhi nanti. Perlukah dia melepaskan Aliya pergi kepada kekasih hatinya itu? Mampukah dia menerima kehilangan Aliya untuk selamanya? Dia menggeleng-gelengkan kepala. Dia tahu dia belum mampu untuk melakukannya. Serentak beg bimbitnya dicapai sebelum dia berlalu pergi.

 

Dia duduk bersandar di luar bilik. Langkahnya mati di situ tadkala terdengarkan suara Aliya yang sedang mendodoikan Zaim. Dia tak mahu mengganggu ketenangan keduanya. Akhirnya dia hanya terduduk sunyi di situ. Suara Aliya yang sentiasa dirindui dapat didengar dengan jelas. Alunan zikir 99 nama Allah yang didendangkan menerbitkan kesayuan di hati membawa dia melayan perasaan sendiri.

“Liya.” tuturnya perlahan. Tanpa dia sedari air matanya turut membasahi pipi.   

 

Previous: Bab 32
Next: Bab 34

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati