Azie sedang sibuk menyiapkan diri. Ada majlis yang memerlukan khidmatnya hari ini. Lagipun tempahan telah diterima. Kalau ikutkan hati mahu saja dia menemankan Aliya, mendengar luahan hati sahabatnya itu. Memujuk dan menasihatinya semampu daya. Nak tak nak, dia terpaksa keluar juga, tapi dia sudah merancang sesuatu yang mampu untuk membuat Aliya tersenyum gembira nanti.
“Apa rancangan kau sekarang Liya? Semalam Laili telefon aku. Dia cari kau. Dia kata dia call kau tak dapat.” kata Azie kepada Aliya sambil tangannya ligat merapikan tudung di hadapan cermin. Azie sedang bersiap-siap untuk ke set. Musim cuti sekolah, banyak majlis perkahwinan yang berlangsung. Jadualnya agak padat dengan tempahan andanan yang telah diambil di sekitar kawasan Klang.
Azie membuang pandang ke arah Aliya yang sedang termenung sepi. Matanya bengkak. Badannya masih berselimut. Mindanya merawang entah ke mana. Soalan yang Azie tanyakan kepadanya tidak berjawab. Aliya dihampiri sebelum bahu sahabatnya itu ditepuk lembut.
“Liya kau ok ke tak ni? Apa yang jadi sebenarnya? Kau nak aku temankan ke?” soalnya prihatin. Aliya menggeleng. Dia tidak mahu menyusahkan Azie lagi. Cukuplah dengan apa yang telah Azie lakukan selama ini. Berkat usaha Azie jugalah dia dapat merasai erti cinta itu sekali lagi.
“Betul ni?” soalnya lagi untuk mendapatkan kepastian. Aliya segera mengiakan.
“Kalau nak makan, ada nasi goreng kampung special dengan telur mata kat atas meja tu, aku buat khas untuk kau tau. Ada apa-apa call aku. Lagi satu jangan lupa call Laili, kang meroyan pulak budak sorang tu.” pesan Azie lagi sambil mencapai beg perkakasan solekannya yang sudah disiapkan lebih awal.
“Azie…terima kasih.” ucap Aliya perlahan. Sebuah senyuman hambar dilemparkan ke arah Azie.
“Happy la sikit. Dah tak comel dah muka tu aku tengok. Petang nanti aku balik aku nak kau cerita semua. Jangan lupa makan lepastu tidur. Rehat banyak-banyak. Jangan fikirkan sangat masalah kau tu. Aku gerak dulu. Assalammualaikum.” tuturnya sebelum berlalu pergi meninggalkan Aliya yang masih duduk termenung seorang diri.
“Hello Liya. Kau ni kan. Kau ke mana? Puas seharian aku call kau semalam. Buat aku risau je. Kau ok ke tak ni?” soal Laili bertalu-talu. Hanya tuhan yang tahu kerisauan yang dirasainya itu. Sepanjang hari dia cuba menghubungi Aliya tapi tidak berhasil. Dari pagi merangkak lah ke malam. Tak pernah Aliya seperti itu. Dia mula bimbang sesuatu perkara buruk berlaku terhadap Aliya, sehinggakan Azie turut dibabitkan sama.
“Sorry, tak perasan. Bateri aku dah kong la tu.” balasnya. Tak mahu membuka cerita. Dia belum bersedia.
“Kenapa ada masalah ke kat sana?” soal Aliya sambil tangannya memicit-micit kepala yang terasa berat. Betul kata Azie, dia sangat perlukan rehat. Rehat yang banyak kerana dia betul-betul dah penat.
“Kilang ok, tapi semalam ada orang datang cari kau. Katanya dari KL.” balas Laili. Tujuannya mahu menyampaikan hal tersebut, tapi apa boleh buat panggilannya tak disambut.
“Siapa? Lelaki ke perempuan?” soal Aliya acuh tak acuh.
“Perempuan, dah tua dah pun, dalam 60’an macam tu aku rasa.” jawab Laila pula.
“Siapa pulak yang nak cari aku. Aku bukannya ada saudara mara lain. Kau sendiri tahu kan, semuanya dah tak ada. Dah tu kau bagitau apa kat dia?” soalnya kembali.
“Aku cakaplah yang kau tak ada. Pastu aku cubalah tanya dia ada hal apa cari kau? Tapi dia tak cakap apa-apa pulak. Aku tanya lain, dia jawap lain. Pening kepala. Macam nak sorok benda je dari aku. Aku tanya nama pun dia tak mahu cakap, agak mencurigakan.” jelas Laili suspen.
“Rupa dia macam mana? Rupa dia?” Aliya mula tergerak hati. Dia sudah mahu ambil tahu perihal wanita tersebut.
“La… aku tak bagitau lagi ke?” soal Laila.
“Bila?” Aliya kehairanan.
“Rupa dia mestilah macam orang. Ada mata, ada hidung, ada mulut.” laju sahaja Laili melawak, pantang dapat peluang. Geli hati Aliya dibuatnya.
“Kau ni kan. Aku tanya elok-elok, kau main-main pulak. Entah bilalah masanya kau nak serius kan.” balas Aliya. Sedikit sebanyak laranya terubat.
“Bila masa pulak aku tak serius? Kau tu lah tanya soalan bukan-bukan. Betul apa? Dah orang mestilah ada mulut, mata ngan hidung.” balasnya kembali dengan ketawa yang cuba ditahan.
“Ye lah tu. Kalau bercakap tak pernah nak kalah. Ada je jawapnya.”
“Iyalah. Kau tak ingat ke dulu Cikgu Maznah pernah cakap, kalau ada soalan, mesti ada jawapan. Sampai sekarang aku tak lupa pesan dia tau. Kiranya aku ni pelajar yang baik jugalah sebab tak pernah lupa pesan guru.” jawapnya kembali. Wajah Cikgu Maznah yang pemurah terbayang di mata. Lembut dalam pertuturan namun tegas dalam mendidik. Contoh guru yang terbaik.
Aliya tidak dapat menafikan yang Laili memang seorang yang ceria. Bila bercakap ada saja caranya untuk menghiburkan hatinya. Kesedihan yang ditanggung terasa berkurangan mendengar celoteh rakannya itu.
“Tak payah nak fikir sangat la pasal mak cik ni. Kalau betul ada hal penting mesti dia datang balik nanti. Lagipun aku dah bagitahu yang kau tak ada kat sini. Kat sana macam mana? Zaim ok ke?” soal Laili ingin tahu.
“Semuanya ok.” jawab Aliya. Dia terpaksa berbohong. Kalau Laili tahu kebenarannya pasti jenuh dia bersoal jawab. Dia masih belum bersedia. Dia perlukan masa untuk mengatur kembali semua, baik fikiran mahupun hatinya.
“Dah tu kau ni bila nak balik? Dah berbulan kau off, tak rindu ke kat kilang kita ni? Tak rindu kat aku? Staf-staf semua tanya pasal kau. Aku tau la boss, tapi...” tuturnya tak puas hati.
“Tapi apa?” soal Aliya.
“Aku dah kangan bangat sama kamu ni, cepatan pulang ya bu.” tuturnya mengajuk dialog sinetron yang selalu disiarkan di kaca telivisyen itu. Aliya ketawa.
“Ok, nanti aku ajak Azie sekali. Apa-apa aku call kau balik k.” ucap Aliya berjanji.
“Ha…tu lagi sorang. Dah lama bebenor tak nampak batang hidung. Mentang-mentanglah dah jadi orang KL, dah lupa asal-usul lah tu. Takpe nanti balik aku tumbuk-tumbuk jadi sambal belacan.” gurau Laili.
“Okeylah kalau macam tu. Aku nak gerak gi ofis ni. Liya take care, jumpa nanti tau. Aku dah rindu sangat dengan kau ni. Cepatlah balik.” katanya lagi. Dia bosan duduk sendirian di rumah tanpa teman bicara.
“Insya-ALLAH.” balas Aliya mengakhiri perbualan. Perutnya mula berkeroncong. Dia teringatkan nasi goreng kampung yang disediakan oleh Azie tadi. Dia menyusun langkah menuju ke dapur.
Nasi goreng yang sedia terhidang disuap perlahan. Keningnya berkerut. Tekaknya terasa pahit. Dia langsung tidak dapat merasai kenikmatan makanan kegemarannya itu. Tapi disebabkan dadanya terasa mencucuk-cucuk digagahinya juga suapan ke mulut, takut melarat. Tiba-tiba wajah Zaim terlintas di fikiran. Suapannya terhenti sebelum air matanya jatuh lagi.
“Makan.” ajak Aliya sebaik Azie pulang dari kerja.
“Emm…sedapnya. Kau masak apa ni, sampai ke luar baunya. Kang terliur pulak jiran sebelah rumah tu.” kata Azie sebelum meletakkan begnya di sofa.
“Ok la tu. Aku masak banyak ni, nanti kau boleh bagi sikit kat jiran sebelah tu.” kata Aliya.
“Eee… kau jangan nak buat fasal. Tak kuasa aku. Kat sebelah tu orang lelaki bujang je tau. Kang dia kata aku nak mengorat pulak, idok le teman.” balasnya sambil menghampiri Aliya yang masih sibuk di dapur. Aliya tersenyum mendengar kenyataan Azie.
“Wah, banyaknya lauk. Dah lama aku tak makan kenduri macam ni, bertuah badan.” tutur Azie berseloroh. Tangannya pantas mencapai seketul sotong goreng tepung yang terhidang. Nampak sedap sampai dia tak boleh tahan mahu menjamahnya.
“Kot ye pun, basuhlah tangan tu dulu.” tegur Aliya. Azie tersengih menampakkan barisan giginya yang putih bersih. Azie menuju ke sinki seperti yang diarahkan sementara Aliya duduk dan menyendukkan nasi ke pinggan.
“Kau punya mana?” soalnya tadkala melihat hanya pinggan makannya saja yang diisikan.
“Aku tak ada selera la. Lagipun aku dah makan nasi goreng kau tadi. Perut ni rasa kenyang lagi.” jawab Aliya. Seleranya betul-betul telah hilang diganti kekesalan yang tak pernah kurang. Kesal kerana sekali lagi dia meninggalkan lelaki-lelaki yang tersayang.
“La…janganlah macam tu Liya. Kau makan pagi tadi kan? Ni dah nak malam dah. Janganlah zalim pada diri sendiri. Makan lah sikit. Paling tak pun cuba dulu. Takkan aku sorang yang makan. Kau dah penat-penat masak, makan lah sikit.” kata Azie. Tangannya pantas menyendukkan pula nasi ke pinggan Aliya.
“Makan, pastu tidur. Esok lepas subuh kita gerak.” ujar Azie serius.
“Gerak ke mana?” soal Aliya kehairanan.
“Mana lagi, pergi spot kegemaran kita la. Tempatkan jatuh lagi dikenang inikan pula tempat berlari. Eh? Betul ke apa yang aku cakap tu? Maaflah aku fail sikit dalam hal-hal peribahasa dan pantun Melayu ni. Dahlah makan.” balas Azie dengan senyuman. Aliya kegirangan. Dia tak sangka Azie seperti dapat membaca fikirannya. Lantas seleranya bertunas kembali. Sesuap demi sesuap nasi dimasukkan ke mulut dan dia telah berusaha semampunya.
Semilir bayu laut terasa mendamaikan. Dingin dan menyegarkan. Bau laut yang sering dirindui terasa mengubat derita. Sedikit-sebanyak turut membawa pergi sisa-sisa kesedihan dan kekecewaan di hati. Aliya pasrah atas ketentuan takdir. Dia melabuhkan punggungnya disebelah Laili yang sedang duduk bersebelahan dengan Azie. Mereka duduk berhadapan dengan laut yang luas terbentang. Terasa kekerdilan diri dihadapan kekuasaan Allah.
Bot-bot nelayan berhampiran kawasan persisiran pantai kelihatan melambung-lambung dipukul ombak. Dalam kepayahan mereka tetap meneruskan usaha mencari nafkah demi membahagiakan orang yang tersayang. Ada kalanya hasil tangkapan banyak dan ada kalanya kurang terutama pada musim tengkujuh yang panjang. Begitulah kehidupan di kampung nelayan berdekatan dengan bandar Kuantan itu. Kecekalan yang mereka tunjukkan membuatkan Aliya mula reda dan pasrah dengan segala dugaan yang diterimanya. Buat seketika mereka sepi melayan perasaan sendiri.
“Ujian yang aku lalui tidak seberapa jika dibandingkan dengan mereka semua. Tak ada apa yang lebih menyedihkan daripada melihat ahli keluarga menangis kelaparan. Dugaan Allah padaku terlalu sikit jika di bandingkan dengan mereka.” bisik hati kecilnya. Dia cuba menguatkan kembali semangat yang tertinggal bersama Zaim dan Taufik di rumah banglo tersebut. Dia perlu segera menguatkan kembali hatinya kerana masih banyak tugasan yang menanti.
“Kau pasti ke kau takkan menyesal Liya?” soal Laili memecahkan kesunyian, seraya tangannya memaut bahu Aliya yang berada di sebelahnya. Aliya membalas dengan pandangan kosong. Wajah Zaim terlintas di fikirannya saat itu. Keletahnya mampu menghiburkan hati siapa saja yang memandang. Wajahnya yang sentiasa ceria terasa membahagiakan. Senyumannya yang ikhlas dan suci takkan pernah lekang dari ingatan.
Aliya mula jadi sedih kembali setiap kali teringatkan Zaim yang terpaksa ditingalkan. Mungkin pada masa ini anaknya itu sedang bermanja dengan Pn. Hayati, getus hati kecilnya. Ketiadaannya pasti tidak berapa dirasakan oleh anaknya itu. Paling tidak dia lega kerana ada Pn.Hayati yang mengganti. Serentak dia menarik nafas dalam-dalam untuk mengusir pergi kekecewaaan yang sedang bermukim di hati.
“Dia dah besar sekarang. Aku ingat lagi masa aku tinggalkan dia dulu dia kecil je. Masa tu dia masih tak tahu nak buat apa-apa, baru nak kenal dunia. Tapi sekarang aku tengok, dunia dah mula kenal dengan dia.” balas Aliya dengan senyuman, sayu kedengaran suaranya. Koleksi gambar Zaim yang disimpan di dalam telefon bimbitnya tanda kenangan ditunjukkan kepada Laili dan Azie.
Tangan Laili pantas menyambut huluran Aliya. Wajah Zaim di hadapannya ditenung lama. Kemudian telefon bertukar tangan. Azie tidak sabar untuk turut melihat gambar Zaim buah hati rakan karibnya itu.
“Kejap la, aku tak puas tengok lagi.” ujar Laili tak puas hati dengan tindakan Azie.
“Cepat sikit boleh? Aku pun nak tengok jugak.” Azie mencebik geram, Laili saja buat tak faham. Aliya hanya tersenyum melihat gelagat mereka.
“Comelnya anak kau Liya. Mata dia tak dapat dinafikan memang ikut mata kau, tapi tang hidung dia tu yang lain sikit.” bibirnya dimuncungkan, sambil jari telunjuknya menggaru-garu dagu kehairanan. Aliya ditenung, mereka berbalas pandang.
“La…patutla. Nasib baik dia tak menurun hidung kemek mamanya ni.” serentak mereka tergelak besar. Satu cubitan hinggap dipinggang Laili yang sedang cuba melarikan diri setelah membuat onar sebentar tadi.
Sesungguhnya Aliya bersyukur dipertemukan dengan sahabat sebaik Azie dan Laili. Seingat Aliya sepanjang mengenali satu sama lain di Rumah Anak Yatim Al-Hidayah belasan tahun dulu, mereka jarang-jarang benar bertengkar. Paling teruk pun bermasam muka sejam dua sebelum keadaan kembali seperti sedia kala.
“Tipulah kalau aku kata aku tak menyesal. Aku sesal sebab terpaksa tinggalkan dia tanpa kasih sayang seorang ibu. Aku juga sesal sebab tak dapat membesarkan anak sendiri seperti ibu-ibu yang lain. Aku kesal bila memikirkan yang aku adalah seorang ibu yang gagal. Aku gagal mengembirakan anak aku sendiri. Aku tahu aku dah buat dia sedih. Aku dah janji takkan tinggalkan dia lagi, tapi tengoklah apa yang aku dah buat. Aku mungkir janji.” ujar Aliya sebak. Air mata kesedihan mulai bergenang. Tanpa dipaksa, air mata laju menuruni pipi.
Laili menggigit bibir. Tidak disangka pertanyaannya itu mengundang kembali kedukaan yang cuba untuk dilupakan.
“Maafkan aku, aku tak sengaja Liya. Sorry. Aku janji tak tanya lagi.” tutur Laili menyedari keterlanjuran diri. Satu cubitan hinggap di pipi kanan Laili. Azie mencebik kearahnya tanda tidak puas hati dengan perangai Laili yang tak pandai jaga mulut itu. Cakap tak pernah nak beralas. Tengok apa yang jadi. Akhirnya Aliya mula sedih kembali.
“Aduhai, sakit la…apa lah nasib aku dapat kawan yang macam ketam, suka sangat menyepit. Sakit tau!” balas Laili sambil bibirnya dimuncungkan, buat-buat merajuk.
Melihat keadaan itu Aliya dan Azie berbalas pandang, serentak kedua-duanya menggeletek pinggang Laili, kawasan titik kelemahannya itu. Laili melatah tanpa henti. Aliya dan Azie ketawa memerhati.