Suara bilal melaungkan azan Subuh mengejutkan Taufik yang sudah terlelap. Perjalanan yang memakan masa agak lama membuatkannya keletihan. Tambahan pula tidurnya sentiasa terganggu sejak kebelakangan ini. Fikiran dan jiwa runsing memikirkan cinta Aliya yang telah beralih arah. Dari malam ke dinihari, tidurnya tak pernah lena. Matanya sukar untuk dilelapkan. Kedinginan malam terasa mencengkam hati, kerana sayangnya pada Aliya tiada tolok ganti dan kini dia hanya boleh berharap yang Aliya akan menerimanya kembali.
“Kata semalam nak ikut sekali. Kenapa tak siap lagi?” soal Laili pada Aliya yang masih berbaring di atas katil.
“Aku rasa tak sedap badan la hari ni. Kalau aku tak ikut kau marah?” soalnya.
“Kau tak sihat? Betul ke ni? Kalau macam tu, jom ikut aku. Aku bawakan ke klinik nanti.” balas Laili yang agak terkejut mendengarnya. Dia segera mendapatkan Aliya yang masih berselimut.
“Aku cuma rasa penat sikit. Macam tak larat je nak keluar hari ni. Kau ok ke kalau aku tak ikut?” katanya lagi.
“La. Tak ada apanya. Lagipun kan harini hujung minggu, dah memang hari cuti. Kau yang beriya sangat nak ikut semalam. Bukannya aku paksa pun. Aku cuma nak review kerja-kerja semalam, takut ada yang terlepas pandang. Lagipun aku dah janji nak faxkan sebut harga tu hari ni pada Kak Zawiyah. Aku keluar pun sekejap je. Sejam dua nanti aku balik. Kau rehat k. Apa-apa call aku.” balasnya.
“Ok. Tapi sebelum tu aku nak minta maaf.” tuturnya.
“Untuk apa?” soal Laili hairan.
“Untuk segala-galanya.” balasnya ringkas. Laili menggeleng kepala.
“Kau kenapa? Minta-minta maaf bagai pagi-pagi hari macam ni. Kau jangan buat aku risau. Betul ke kau ok ni? Jomlah aku hantarkan ke klinik.” tuturnya lagi. Dia bimbang melihat perubahan Aliya. Pagi-pagi lagi dah nak minta maaf. Bukannya dia ada buat salah apa pun. Hatinya mula jadi tak tenang. Dia mula rasa bimbang.
“Aku ok. Cuma penat je sikit. Kau pergilah nanti lambat. Aku janji, kalau ada apa-apa aku call.” ucap Aliya yakin, Laili mula tak sedap hati. Sungguh dia bimbangkan keselamatan sahabatnya itu. Tak betah rasanya meninggalkan Aliya sendiri, nak-nak pada waktu-waktu seperti ini, takut perkara yang tak diingini terjadi. Malang kan tak berbau, mujur pun bukannya dapat nak diraih. Kalau jadi apa-apa nanti macam mana? Dia makin tak senang hati.
“Tak pun aku tak jadi keluarlah. Aku temankan kau kat rumah je hari ni. Nanti-nantilah aku sambung kerja tu. Dokumen tu pun sebenarnya dia minta faxkan hari Isnin, cuma aku yang nak hantar hari ni. Nanti aku telefon Kak Zawiyah balik, kata yang aku tak dapat hantar hari ni.” balasnya. Dia sudah berkira-kira mahu meleraikan simpulan tudung di kepala.
“Kau pergilah, aku ok. Kau jangan buat aku rasa lagi bersalah.” tutur Aliya ketika melihat tindakan sahabatnya itu, serentak tangan Laili dicapai. Dia tak mahu menyusahkan Laili lagi.
“Betul ke kau ok ni?” soalnya kembali.
“Betul. Kau pergilah. Aku janji kalau ada apa-apa aku call kau cepat-cepat. Lagipun kau kan Ultrawoman. Kan kau juga yang selalu kata, dengan sepantas kilat kau akan datang. Janganlah risau. Aku bukan nak pergi mana-mana pun. Aku cuma nak sambung tido kejap lagi.” tuturnya meyakinkan Laili. Laili mengalah kerana dia tak mahu Aliya rasa bersalah.
“Betul ni? Janji ya, apa-apa call aku.” tuturnya, Aliya membalas dengan anggukan.
“Ok lah kalau kau dah halau aku, aku nak buat macam mana lagi kan. Aku pergi dulu. Jap lagi aku balik tau.” tuturnya.
“Nak pesan apa-apa tak? Dekat bawah tu aku ada sediakan roti bakar dengan telur rebus je pagi ni. Kau jangan buat apa-apa pulak, balik nanti aku masak. Semalam kan kita dah beli banyak barang. Hari ni aku nak masak special untuk kau. Tunggu ek.” tuturnya lagi. Tubuh Aliya yang agak terdedah diselimutkan, dia tak mahu sahabatnya itu kesejukan, sebelum bergerak meninggalkan Aliya yang masih setia di perbaringan.
“Nanti kirim salam aku pada Leman.” ucap Aliya tak berapa lama kemudian, perlahan tapi dapat juga ditangkap oleh telinga sahabatnya itu.
“Apa kau cakap tu. Aku tak dengarlah.” balas Laili yang sudah sampai di muka pintu.
“Tak ada apa-apa. Aku cakap jalan tu elok-elok.” jerit Aliya kuat.
“Okey. Kau tu jaga diri. Nak buat apa-apa tunggu aku balik. Assalammualaikum.” balas Laili sebelum berlalu pergi.
“Waalaikummussalam.” balasnya kembali. Aliya tersenyum penuh makna. Dia tahu Laili pasti akan dikejutkan nanti. Sulaiman sudah bersedia untuk menjalankan rancangan mereka yang seterusnya.
Sesampainya di pintu pagar, Laili terkejut melihat kehadiran Sulaiman yang sedang tercegat di situ.
“Apa hal pulak si Leman ni. Pagi-pagi buta lagi dah tercongok kat sini. Pagi tadi dah mula massage suruh bangun subuh balik. Dia ni dah kenapa? Sengaja nak main-mainkan aku agaknya. Dia tak kenal lagi siapa Nur Laili binti Zainal Abidin ni. Nak kena sangat agaknya. Tunggu, kau tunggu kat situ, jangan berani nak pergi mana-mana.” gerutunya sendiri sebelum memakir kereta bersebelahan dengan kereta Sulaiman. Laili kesal dengan sikap Sulaiman yang dilihat sengaja mahu bermain tarik tali dengannya.
Massage yang diterimanya pagi tadi agak mengejutkan setelah lama Sulaiman tak berbuat begitu. Tapi kenapa mesti pagi ni. Laili geram kerana terasa diri seperti dipermainkan.
Sulaiman telah sedia menanti seawal jam 8.00 pagi lagi dan sudah hampir sejam dia berdiri di situ, menanti kedatangan kekasih hati. Semalam dia sudah dimaklumkan oleh Kak Aliya yang Laili sudah mula merindukannya. Tak sia-sia dia menahan diri selama ini. Rancangan mereka akhirnya menjadi kerana tanpa dia sedari, Laili juga menaruh perasaan yang sama. Dia gembira dan bersyukur setelah sedar cintanya tak bertepuk sebelah tangan saja.
Sejak awal pagi dia sudah bersiap-siap untuk bertemu dengan Laili. Penampilannya juga agak berbeza hari ini. Rambut ketaknya sudah dipotong pendek hasil kerja Abu Za, jiran sekampungnya yang memang mempunyai kemahiran memotong rambut juga merupakan kedai gunting tak berbayar mereka dan rakan-rakan. Gaya yang dicadangkannya adalah gaya potongan askar untuk menampakkannya lebih matang dan kemas dari yang sebelumnya.
Laili menghampiri Sulaiman yang kelihatan sudah malu-malu. Tanpa teragak-agak, sejambak mawar putih yang diselindungkan di belakang badan dihadiahkan pada Laili. Dia nyata terkejut. Baru semalam dia menyatakan kekesalan pada tindakan Sulaiman yang sudah tak menghiraukannya, kini lelaki itu berada di hadapan mata dengan jambangan bunga yang dihias cantik. Mata mereka bertentangan sejenak sebelum keduanya mengalihkan pandangan masing-masing. Sulaiman nampak lain di pandangan matanya hari ini dan debaran di dada jelas terasa. Panas mukanya menahan rasa.
“Untuk awak. Tanda persahabatan.” ujar Sulaiman. Laili masih teragak-agak untuk menerimanya. Namun dia nampak keihlasan dalam sinar mata lelaki di hadapannya itu. Dia tak mampu untuk menolak, akhirnya lambat-lambat huluran di sambut.
Dia sendiri tak pasti perasaannya saat itu. Lega? Memang dia berasa lega kerana dia tak perlu ternanti-nanti lagi. Gembira?? Memang dia gembira dilayan seumpama itu. Bahagia??? Laili mula runsing. Adakah benar seperti apa yang Aliya katakan yang dia sudah mula menaruh hati pada lelaki ini. Debaran di dada terasa semakin ketara dan mula merimaskannya.
“Saya nak awak tahu yang saya sangat menghargai persahabatan kita selama ini. Cuma saya harap kita boleh pergi lebih jauh lagi. Saya tahu yang awak tak sedia lagi kan? Awak jangan risau, saya akan tunggu awak sampai awak dah bersedia. Saya takkan paksa. Cuma saya harap, awak tolonglah pertimbangkan cinta saya ni.” ujarnya berani. Tegas, sampai Laili tak dapat nak membalas.
“Lagipun saya tahu, awak pun suka kat saya juga kan?” tambahnya lagi. Serentak Sulaiman tersedar. Dia telah terlanjur kata. Rahsia mereka sudah terbongkar. Kak Aliya pasti akan memarahinya nanti. Laili menaikkan alisnya. Dia sudah dapat menghidu apa yang berlaku. Hanya Aliya yang tahu, pasti semuanya kerja sahabat karibnya itu.
“Siapa yang bagitahu awak? Aliya?” pantas dia menduga. Sulaiman tak tahu nak cakap apa.
“Jadi semua ni rancangan awak berdualah.” ujarnya marah. Muka Sulaiman berubah kecut. Dia mula takut. Cepat-cepat dia memboloskan dirinya ke dalam kereta sebelum enjinnya dihidupkan.
“Awak nak ke mana tu? Awak belum jawab soalan saya tadi?” tutur Laili geram. Malu kerana isi hatinya yang disimpan selama ini akhirnya diketahui Sulaiman juga. Semuanya jasa Aliya. Aliya memang nak kena! Gerutunya dalam hati.
“Saya sayang awak.” jeritnya kuat, sebelum memecut kenderaannya meninggalkan Laili sendirian yang mula dikuasai perasaan geram.
Laili masih lagi tercegat di situ dan masih cuba untuk menerima situasi yang baru sahaja dihadapinya itu.
“Liya, kau kan. Memang nak kena. Tengoklah nanti.” tuturnya sebelum mengatur langkah ke dalam kilang. Sekali lagi jambangan mawar putih ditatap. Ada bunga senyum di wajahnya. Dia tak dapat menafikannya lagi, hatinya mula menunjukkan reaksi dan dia sememangnya berasa gembira.
“Hello Liya. Apa yang kau dah rancang dengan Leman ha?” ujarnya buat-buat marah.
“Rancangan apanya? Kenapa? Dia ada buat apa-apa pada kau ke?” balasnya sambil tersenyum. Pasti yang Sulaiman telah bertindak seperti yang telah diarahkan.
“Ye lah. Pagi-pagi lagi dah tercongok menunggu depan pagar kilang. Lepastu siap bagi bunga lagi. Betul ke kau sakit sebenarnya? Ke kau saja pura-pura sakit ha? Aku tahu, ini semua mesti rancangan kau kan. Sampai hati, malu aku tau tak. Mana aku nak sorok muka lepas ni.” tuturnya.
“Ini petanda baik. Kalau malu, tu tanda suka. Lagipun, kan malu tu dari Allah, maksudnya Allah sayangkan kau dan beri perasaan tu pada kau.” balasnya membela diri.
“Kau tu lah lama sangat nak memikir. Leman sampai minta bantuan aku, tak sampai hati pulak nak tolak. Kesian aku tengok budak tu. Kau bagi lah dia peluang. Tak susah kan?” ujarnya. Dia gembira untuk keduanya. Akhirnya cinta mereka berjaya disatukan.
“Kau kan tahu aku tak sedia lagi.” balasnya.
“Bagilah masa. Sama-sama kenal hati budi masing-masing. Bukannya Leman tu nak ajak kau kahwin esok. Ke sebenarnya kau dah sedia nak tamatkan zaman solo kau tu?” usik Aliya. Sengaja mahu menyakat Laili, bukan selalu peluang keemasan seperti itu diperolehi. Selama ini hanya Laili yang mendapat peluang mengenakannya, sekarang tibalah masa Laili merasakannya pula.
“Eee. Kau ni kan. Nasib baik tak ada depan mata. Kalau tak…” ujar Laili geram.
“Kalau tak apa?” soal Aliya meneruskan usikan. Dia tahu Laili takkan dapat melakukan apa-apa.
“Kalau tak, boleh terberanak awal kau aku kerjakan. Takpa tunggu. Sekejap lagi aku balik siap lah. Aku akan lancarkan khidmat geletekan aku yang terulung. Bersedialah untuk menyambut serangan aku. Aku dah ingatkan, jangan menyesal nanti.” tuturnya memberi amaran.
“Tak nak lah, kesian adik. Dia tak ready lagi, kan belum sampai masa. Bagilah dia sedia dulu, sampai hati kau kan.” balas Aliya dengan senyuman yang masih menghiasi bibir.
“Aku cuma nak tolong. Leman tu yang beriya-iya sangat nak rapat dengan kau. Sampai sanggup datang jumpa aku minta tips lagi untuk pikat buah hatinya yang sorang ni. Kesian pulak aku tengok. Bukan senang nak jumpa lelaki yang betul-betul sayang kita Laili. Orang kata, kalau nak cari pasangan, carilah yang lebih sayangkan kita. Kau beruntung, Leman tu betul-betul sayangkan kau. Dah bertahun dia setia menunggu jawapan dari kau. Lelaki macam tu susah nak cari zaman ni. Kau tengok aku sendiri sudahlah. Perkahwinan tanpa cinta tak sampai ke mana. Putus kat tengah jalan, dah tak boleh nak disambung lagi dah.” tuturnya sayu. Laili terdiam. Dia tak tahu nak berkata apa.
“Aku sedih setiap kali terfikirkan tentang adik yang bakal lahir tanpa Taufik tahu pun tentang kewujudannya.” Aliya mula sebak. Laili dihambat perasaan bersalah, kerana dirasakan dia menjadi punca Aliya teringatkan Taufik semula.
“Liya sorry. Aku bergurau je tadi. Takkanlah aku nak paksa baby boyot kita tu keluar awal. Banyak mana aku sayangkan kau, banyak tu jugalah aku sayangkan adik, lagipun kan aku mak angkat dia. Dahlah jangan sedih lagi. Apapun yang akan jadi lepas ni, kau dengan adik tetap akan jadi orang yang paling penting dalam hidup aku, lepastu baru Azie.” tuturnya. Aliya gembira dan bangga mendengarnya kerana Laili memang seorang sahabat yang setia.
“Terima kasih Laili, kau memang sahabat yang baik, dan aku pun sayang kau jugak. Itulah sebabnya aku buat semua ni. Kalau boleh, aku nak kau capai bahagia yang aku sendiri tak dapat nak capai dalam satu perhubungan. Aku percaya Leman seorang lelaki yang baik. Kau bagilah dia peluang untuk buktikan. Aku doakan yang terbaik untuk kau dan Leman.” tuturnya ikhlas.
“Aku pun nak ucapkan terima kasih pada kau. Terima kasih sebab buat aku sedar yang dia dah berjaya usik hati ni. Aku pun nak kau tahu yang aku sentiasa doakan yang terbaik untuk kau jugak. Kau rehatlah, tak payah fikir banyak sangat. Sekejap-sekejap lagi aku balik. Assalammualaikum.” tuturnya.
“Waalaikumussalam.” balasnya, setitik air mata kegembiraan menitis di pipi. Bahagia kerana usahanya untuk menyatukan mereka terlaksana. Seketika kemudian, wajahnya berubah muram. Dia terkenagkan Taufik dan Zaim lagi.