Home Novel Cinta BERARAK MENDUNG KELABU
Bab 17

Setibanya di kedai, Aliya disapa Kak Mek yang kebetulan sedang menyusun pakaian di rak yang disediakan.

“Lama tak nampak. Liya pergi mana? Rindu pulak rasanya.” ujar Kak Mek sambil tersenyum gembira. Nurbaiyah adalah nama sebenar Kak Mek tapi dia lebih selesa dipanggil dengan nama jolokannya itu. Maklumlah dia berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang dan dia bangga pada akar budayanya.

“Liya ke Kuala Lumpur kak. Duduk rumah kawan. Ada kerja sikit. Sepanjang Liya tak ada, semua urusan kilang Laili yang handle. Bukan akak je, Liya pun sama, dah rindu kat Kak Mek. Rindu nak dengar Kak Mek kecek Klate tu.” balas Aliya gembira.

“Ha ni, akak nak bagitahu Liya ni. Stok yang akak order bulan lepas tu dah nak habis dah. Ramai yang suka kat tudung shawl satin batik Liya tu, pakat puji cantik la. Tambah pulak corak yang Liya reka tu nampak lebih glamor dan moden. Cuba Liya kasi banyak variasi warna lagi, gerenti meletop, kebaa boom.” terang Kak Mek sepenuh hati dalam bahasa ibundanya. Aliya ketawa melihat gelagat Kak Mek yang ramah-tamah itu. Hatinya terhibur dengan kehadiran kenalan di sekelilingnya yang sentiasa bersikap positif. Setidak-tidaknya aura itu dapat menyerap ke jiwanya yang perlukan rawatan dan terapi saat ini.

“Akak memang hajat nak call. Dari sehari ke sehari tapi asyik miss je. Alang-alang Liya dah datang ni, beres bolehlah akak order terus.” katanya sambil langkah diatur menuju ke meja sebelum mereka berurusniaga.

Kereta dipakir. Mata Aliya tertancap pada sebuah kereta mewah yang kelihatan amat asing padanya. Sepengetahuan Aliya tidak ada mana-mana kenalannya yang memakai kenderaan tersebut. Tiba-tiba dia teringatkan janji yang dibuat Laili dengan pemilik kedai pakaian dari Kuantan yang dikatakan berminat dengan produk kilang mereka setelah melayari laman sesawang syarikat. Aliya mengangguk. Baru saja hendak melangkah keluar dari kereta, suara Laili menyapa di telinga.

“Liya, Mak Cik KL yang aku cakap hari tu ada kat dalam. Aku suruh dia tunggu kat bilik kau. Dah lama dia tunggu. Puas aku call kenapa tak jawab?” kata Laili ketika melihat kelibat Aliya di pintu kereta.

“Sorry-sorry. Phone aku tinggal dalam kereta tadi kot. Masa singgah kedai Kak Mek lah agaknya. Dah lama dia sampai? Siapa?” soal Aliya penuh minat.

“Tanya aku pulak. Manalah aku tahu, kan ke dia datang cari kau bukannya aku. Ha…kau dah buat apa ni Liya? Kau jangan cakap…” Laili sengaja menambahkan debaran di hati Aliya dengan sifat penyakatnya itu. Jarinya dimain-mainkan di hadapan muka Aliya. Serentak jari tersebut diraih.

“Apa?” soal Aliya ringkas.

“Kau jangan cakap yang kau ada pinjam dengan Along Bukit Beruntog sudah.” Laili tergelak besar. Wajah Aliya berubah geram. Dia gembira dapat mengenakan Aliya seperti selalu.

“Nak kena gigit ke?” soalnya. Genggaman di jari Laili dikuatkan. Sekali-sekala Laili perlu mendapat pengajaran.

“Gigitlah kalau berani. Aku baru korek hidung tadi, tak sempat nak basuh lagi. Ha…nah gigitlah kalau berani.” balas Laili sambil tersenyum sumbing. Akal jahatnya datang lagi. Dia tahu Aliya pasti akan geli.

“Hiss…teruknya perangai. Harap muka je comel tapi perangai fail.” jawap Aliya sebelum segera melepaskan pegangan. Tangannya digosokkan pada bahu Laili untuk membersihkan kotoran. Laili menjenggilkan mata tak puas hati.

“Aku tipu je sebenarnya. Kau ingat aku ni habat sangat ke.” tuturnya puas hati kerana Aliya berjaya diakali lagi.

“Kau ni kan memang. Dalam sehari memang tak sah kalau tak menyakat aku.” tutur Aliya geram.

“Kau tulah yang mudah sangat percaya kenapa?” balasnya dengan sisa-sisa senyuman yang menghiasi pipi. Tiba-tiba dia teringatkan Mak Cik yang dimaksudkannya tadi.

“Pergilah tengok cepat. Dah berkematu agaknya punggung mak cik tu tunggu kau seharian. Naik kesian pulak aku tengok. Tadi aku offer air dia tak nak. Kau buatlah apa-apa yang patut ye. Aku nak sambung kerja.” sebelum dia melangkah menuju ke kilang yang terletak bertentangan dengan bangunan pejabat.

“Tapi sebelum aku terlupa. Ada satu lagi.” Laili mematikan langkahnya kemudian menuju ke arah Aliya semula. Mukanya serius. Satu keluhan dilepaskan. Aliya perasan perubahan di wajah rakannya itu.

“Liya, kita kan…kita…kita dapat pengedar baru. Kedai kain tu berminat dengan hasil kerja kilang kita ni.” mereka berpelukan keriangan meraikan berita yang menggembirakan.

“Alhamdulillah.” ucap keduanya. Senyuman mereka sampai ke telinga. Gembira, bahagia, semuanya ada. Tak sia-sia segala usaha yang dicurahkan selama ini. Kini syarikat telah berjaya meluaskan pasaran mereka. Pasti tak menang tangan dibuatnya nanti.

“Buat permulaan ni En. Razak minta kita hantar 200 helai untuk setiap produk yang kita keluarkan. Tudung terutamanya. Dia betul-betul berminat untuk jadi pengedar. Tak pa la, nanti kita story lagi. Kalau cite sampai esok pun tak habis. Pergi la cepat. Tak baik biar tetamu menunggu lama-lama macam ni.” ujar Laili yang masih dibuai keterujaan. Mereka boleh menyambung keraian tu kemudian. Dia tahu sudah terlalu lama Mak Cik KL itu ditinggalkan sendirian.

“Ok, nanti kita sambung lagi.” balasnya sebelum berlalu meninggalkan Laili dengan perasaan teruja yang masih banyak berbaki.

Pintu pejabatnya diketuk perlahan sebelum dibuka dengan berhati-hati. Aliya masih berteka-teki mengenai identiti mak cik yang sedang menunggunya itu.

“Assalamualaikum.” ujarnya sepatah sebelum dia kehilangan kata-kata. Bibirnya terketar-ketar. Dadanya rasa macam nak pecah tadkala terlihat gerangan wanita yang sedang berada di hadapannya itu.  

“Waalaikummussalam.” jawapnya. Salam yang diberi disambut dari dalam. Aliya masih tercegat di muka pintu. Pn. Hayati desisnya di dalam hati. Mukanya pucat lesi. Kedua-duanya terus membisu. Aliya mati arah tak tahu apa yang harus dilakukan. Dia belum bersedia untuk berhadapan dengan Pn.Hayati. Dia masih perlukan masa. Kekuatannya masih belum ada.

Tempoh masa 5 tahun masih belum cukup untuk dia menyiapkan diri. Malah pertemuanya di rumah banglo itu dengan identiti berbeza juga belum cukup menyediakannya untuk berhadapan dengan ibu mertuanya itu secara bersemuka. Dia takut amarahnya akan menguasai hati dan dia juga takut akan terlanjur kata nanti.

Mengingatkan penghinaan yang pernah dilemparkan oleh wanita itu padanya dulu menguatkan semangat Aliya untuk bersemuka dengannya. Aliya tahu dia dah sampai ke jalan mati. Dia tak dapat mengelak lagi dan dia tak mahu sentiasa dilihat kalah di hadapan wanita itu. Dikumpul segala kekuatan yang ada. Ditarik nafasnya dalam-dalam mengharap tenang gelodak di hati. Dia tahu dia perlu kuat. Kuat untuk membuktikan yang dia mampu menyerap tekanan. Kalau dia berundur sekarang, samalah seperti dia mengaku kalah dan sekali lagi Pn.Hayati telah diberi menang mudah.

Setelah berfikir sejanak, digagahkan juga kaki menapak memasuki bilik pejabat yang hilang kedamaiannya akibat dari kedatangan tetamu yang tak diundang itu. Aliya teringatkan beban hutang yang mesti dilangsaikan. Dia bertekad untuk memulangkan kembali wang pemberian Pn.Hayati beserta dengan faedahnya sekali saat itu juga. “Alang-alang dia dah ada kat sini, baik aku selesaikan terus.” bisiknya dalam hati.

Aliya melabuhkan punggungnya di kerusi berhadapan dengan Pn.Hayati yang sedang memerhatikan tindak tanduknya sejak tadi. Sedaya upaya dia menahan perasaan. Jantungnya terasa berdegup kencang seperti baru selesai melakukan larian maraton yang panjang. Debaran yang menyesakkan dada. Sekali lagi dia menarik nafas dalam-dalam untuk menstabilkan dirinya sebelum menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal terjadi.

“Aliya ada jumpa Zaim ke?” soal Pn.Hayati dengan nada yang bercampur baur antara sedih dan kecewa. Aliya terdiam. Dia tak menyangka rahsianya telah terbongkar. Tiada apa lagi yang perlu disembunyi. Dia sedar dia yang bersalah kerana dia telah mungkir pada janji.

Aliya memberanikan dirinya untuk bertentang mata dengan ibu mertuanya buat pertama kali sejak kali terakhir berbuat begitu 5 tahun dahulu. Kenangan yang menyedihkan itu kembali lagi. Seperti wayang gambar, satu demi satu adegan yang berlaku malam itu diulang tayang. Perasaan kecewa dan marahnya kepada Pn.Hayati kembali menyapa.

“Ya, saya ada datang, tapi saya rasa saya tak buat salah. Lagipun dia anak saya. Saya yang mengandung dan melahirkannya dan puan tak ada hak nak menghalang.” balas Aliya dengan perasaan marah yang cuba untuk dikawal sebaiknya, sambil tangan merapikan fail-fail di meja. Saja dibuat-buat, sebab dia perlu dilihat kuat.

Dia tidak rela menjadi seorang yang kurang ajar kerana dia sedar wanita di hadapannya itu tetap ibu kepada suaminya, merangkap ibu mertuanya, sampai ke akhir hayat. Mengasarinya samalah seperti mengasari ibu kandungnya sendiri. Aliya masih ingat ajaran agama yang diterima dari gurunya dahulu. Dia tidak mahu dan tak rela menjadi anak yang derhaka.

Aliya beristigfar dan berdoa di dalam hati meminta agar keadaan yang sedang dihadapinya itu dapat diselesaikan sebaiknya. Dia tidak seharusnya membiarkan amarah menguasai fikiran. Dia tak mahu syaitan bertepuk tangan suka hati.

“Aliya memang kejam. Sampai hati Aliya datang lepastu tinggalkan Zaim lagi macam tu je. Aliya tahu tak yang Zaim sakit sebab Aliya.” ujar Pn.Hayati. Dia kecewa pada Aliya. Tapi jauh di sudut hati, dia mengakui segala yang terjadi adalah hasil dari perbuatannya sendiri. Dia yang menghalang pertemuan antara keduanya. Dia pasti Aliya melakukan semua itu kerana kata-kata yang pernah diungkapkannya lama dulu.  

Aliya terdiam. Perasaan bersalah menyelubungi diri. Dia yang mungkir pada janji, tapi naluri keibuannya tak dapat dibendung lagi. Setiap masa ingatannya pada Zaim tak pernah padam bahkan semakin lama semakin dalam. Dia teringin untuk menatap wajah anak yang dirindukan. Membelai dan mengucupnya manja sama seperti ibu-ibu yang lain. Saban malam dia termimpikan Zaim yang berada dalam dakapannya dan peluang kedua untuk mendampingi anaknya itu pasti tidak akan disia-siakan begitu saja.

Bukan niatnya untuk menyakiti sesiapa. Selebihnya dia juga menanggung beban kesedihan yang hanya dia saja yang tahu betapa peritnya. Dia tidak pernah menjangka Zaim akan terluka sedalam itu. Kalau diizinkan pasti dia tidak akan sekali-kali meninggalkan anaknya itu sendiri. Wajah Zaim yang ceria menyapa ruangan mata, begitu juga dengan wajah Taufik, suami yang tercinta.

Aliya jadi hiba. Rindu terhadap keduanya kembali di ruangan hati. Cepat-cepat Aliya mengawal diri. Soalan Pn.Hayati sengaja dibiarkan sepi. Laci meja dibuka, serentak buku ceknya dicapai. Tangannya laju mengisi bahagian yang terbabit sebelum sekeping cek ditarik dan dihulurkan kepada Pn.Hayati yang masih memerhatikannya sejak tadi.

“Saya pulangkan pemberian puan 5 tahun dulu berserta dengan faedahnya sekali.” tutur Aliya dengan intonasi yang tegas. Sudah lama dia bermimpikan keadaan seperti itu. Keadaan dimana dia dapat menguris keegoan seorang wanita bernama Pn.Hayati yang mementingkan darjat serta keturunan.

“Saya dah gandakan pelaburan yang puan beri dulu, atau puan nak lebih lagi? Kalau masih tak mencukupi, saya boleh tuliskan yang baru.”  tambahnya.

Lama cek itu dipegang di tangan tanpa sebarang sambutan. Mata mereka bertentang, agak lama kali ini. Dia sudah dapat membiasakan diri. Aliya dapat melihat wajah Pn.Hayati lebih jelas. Ibu mertuanya itu kelihatan jauh berbeza daripada sebelumnya. Sinar matanya sayu, pipinya makin cengkung, malah badannya juga sudah susut tidak seperti Pn.Hayati yang dijumpainya dulu. Dalam diam terbit perasaan simpati di hatinya.

Perlahan-lahan huluran cek disambut oleh Pn.Hayati. Dia tahu dia yang memulakan semuanya. Dia menyesali perbuatannya selama ini. Dia menyesal menghancurkan kebahagiaan rumahtangga Taufik dan Aliya. Dia menyesal kerana memisahkan seorang anak dengan ibu kandungnya sendiri sedang dia juga adalah seorang ibu. Dia juga menyesal kerana dia sedar dia tidak mampu untuk menggantikan kasih sayang seorang ibu yang diperlukan oleh Zaim selama ini, dan kini, dia betul-betul menyesali keterlanjurannya itu. Riak muka Pn.Hayati berubah. Matanya merah, menunjukkan tanda-tanda empangan matanya yang hampir pecah.

Kepingan cek ditangan dipandang sejenak sebelum pandangannya dilemparkan ke arah Aliya. Aliya kini jauh berbeza dengan Aliya yang dikenalinya dahulu. Lebih cantik dan ayu, sedap mata memandang. Dia juga dilihat lebih matang dan berketerampilan dengan gaya muslimah sejati. Sejuk hati Pn.Hayati menatapnya.

Pn.Hayati meletakkan kembali cek berkenaan di hadapan Aliya. Hanya ALLAH yang mengetahui perasaannya tika itu. Dia dihambat rasa berdosa dan bersalah terhadap segala tindakannya dulu. Rancangan untuk menjodohkan Taufik dan Zulaikha sepupunya itu terkubur apabila dia dimaklumkan oleh Datin Aida yang anaknya itu telah berkahwin dengan lelaki tempatan yang dikenalinya semasa sama-sama menuntut di UK.

Tindakannya meruntuhkan satu masjid demi membina masjid yang lain membuatkan Pn.Hayati sedar tentang perancangan Yang Maha Pencipta. Dia mula menyesali perbuatannya itu, tapi dia dah tak ada arah. Nasi sudah menjadi bubur. Aliya lenyap entah ke mana. Puas dia menjejeki Aliya tapi tidak berhasil. Hasrat hatinya ingin menjernihkan kekeruhan yang melanda dalam keluarga tersebut, tapi Aliya hilang tanpa kesan malah jejaknya pun tak kelihatan.

Jauh di sudut hatinya dia tahu Taufik masih lagi mengharapkan kepulangan Aliya ke sisinya. Setiap kali isu perkahwinan dibuka, Taufik cepat-cepat mengalihkan topik perbualan. Susun atur perabot dan hiasan dalam kamarnya juga tidak dibenarkan untuk diubah sejak pemergian Aliya. Walaupun tidak pernah mendengar sendiri dari mulut Taufik tapi dia tahu yang Taufik masih menantikan kepulangan Aliya.  

“Liya, maafkan Mak.” tutur Pn.Hayati terketar-ketar. Dia sedar, kerana egonya dulu dia telah menghancurkan kebahagiaan anaknya sendiri, dan kerana egonya jugalah Zaim turut menerima tempiasnya sekali. Aliya terkedu dengan tindakan Pn.Hayati itu. Dia tidak pernah menjangka yang sangkaannya selama ini meleset sama-sekali. Kedatangan Pn.Hayati bukan bertujuan untuk memarahinya, tapi demi sebuah kemaafan? Dia memang tak pernah menduga semua itu akan berlaku, malah tidak didalam mimpi.

“Mak yang bersalah. Mak dah hancurkan hidup Liya. Dalam tak sedar mak juga dah musnahkan kedahagiaan Taufik dan Zaim yang tak bersalah.” tambahnya lagi. Ikhlas dan sayu, sampai Aliya sendiri tak mampu berkata apa.

“Mak tahu yang Mak bertindak keterlaluan. Maafkan mak Liya.” pengakuan ibu mertuanya itu membuatkan hati Aliya tersentuh. Terasa terubat kekecewaan yang bermukim di hatinya terhadap kelakuan dan layanan buruk ibu mertuanya selama ini.

Setitik air mata gugur membasahi pipi cengkung Pn.Hayati yang sudah dimamah usia itu. Dia mula sebak. Perasaannya tak terbendung lagi serentak tangan Aliya diraih, dia nekad untuk mencari kemaafan dari Aliya kali ini. Masanya sudah tidak ada banyak lagi. Entah esok atau lusa dia sendiri tak pasti. Dia perlu menterbalikkan semula keadaan. Genggaman pada tangan Aliya dieratkan. Matanya tepat memandang ke arah Aliya yang jelas masih terkejut diperlakukan begitu.

“Liya, tolong maafkan mak ya. Mak mengaku mak dah buat silap. Tuhan dah balas segala perbuatan mak pada Liya dulu. Mak dah tak ada banyak masa lagi.” rintihnya sedih. Airmatanya semakin berlinangan.

Aliya tetap membisu. Lidahnya kelu untuk berkata. Kalau diikutkan hati mahu saja dia menarik tangannya dari genggaman Pn.Hayati. Dia tak rela diperlakukan begitu kerana marahnya masih ada. Tidak semudah itu dia dapat memaafkan perbuatan wanita tersebut. Hatinya masih terasa sakit. Namun melihatkan keadaan Pn.Hayati dia jadi tak sampai hati. Walau seteruk manapun kelakuan Pn.Hayati dia masih tetap ibu yang wajib dihormati.

“Apa maksud puan?” soal Aliya tenang. Dia inginkan kepastian. Wajah mendung ibu mertuanya itu seperti menceritakan sesuatu. Aliya tahu pasti ada sesuatu yang berlaku sehingga dapat mengubah Pn.Hayati. Kata-kata yang keluar dari mulutnya juga dah tak sekasar dulu. Sayu, sampai dapat mencairkan tembok sekatan yang dibina di hatinya.  

“Mak dah terima balasan atas dosa yang mak dah buat pada Liya. Mak dah terima hukuman atas kesalahan Mak menghancurkan kebahagiaan Liya. Umur mak dah tak panjang Liya. Allah dah sedarkan mak. Mak mengaku mak yang bersalah. Liya tolong maafkan Mak ya. Mak tak nak mati dengan membawa beban dosa mak pada Liya.” tuturnya dalam tangisan. Aliya kaget. Kesedihan ibu mertuanya itu sedikit sebanyak dapat dirasakannya juga. Dia sedar, dia memang menyayangi wanita di hadapannya itu. Rasa sayang yang tersemai dulu, bercambah kembali.

“Mak ada kanser usus Liya. Doktor kata yang mak dah tak ada banyak masa lagi. Dah beberapa kali mak buat rawatan kimoterapi, tapi tiada berhasil. Sel kenser tu dah merebak. Dah tak ada apa lagi yang boleh diusahakan. Agaknya inilah balasan Allah pada mak sebab menghancurkan hidup Liya selama ini.” balas Pn.Hayati. Air matanya semakin laju menuruni pipi menyesali perbuatan diri. Degupan jantung terasa seperti terhenti. Aliya tak tahu mahu berkata apa. Kanser? Fikirannya masih bercelaru.

“Taufik sendiri tak tahu tentang penyakit yang mak tanggung. Setiap kali mak pergi buat rawatan mak bagitahu Taufik yang mak nak pergi bercuti. Tapi sebenarnya mak habiskan masa di atas katil hospital untuk menerima rawatan. Dah lama mak cuba cari Liya untuk betulkan balik keadaan, tapi mak gagal. Mak tak tahu Liya kat mana. Liya maafkan mak ya. Mak berdosa pada Liya.” tuturnya lagi sambil menggenggam erat tangan Aliya membuktikan keihlasannya.

Aliya kaku. Sukar untuknya mempercayai berita yang baru didengari. Selama ini dia menyangkakan yang hidup Pn.Hayati bahagia, tapi sebaliknya yang berlaku. Genggaman tangan ibu mertuanya itu dibalas lembut. Terbit rasa simpati melihat keadaannya yang tidak bermaya itu. Terbang pergi segala perasaan marah dan bencinya selama ini diganti rasa sayang dan simpati yang semakin menebal dalam diri.

“Liya ikut mak balik ya. Mak nak tebus semua kesalahan yang pernah mak buat pada Liya, Taufik dan Zaim. Tolong bagi peluang pada mak untuk menjelaskan segalanya pada Taufik. Selama ini mak takut untuk berterus-terang. Mak takut Taufik kecewa dengan perbuatan yang dah mak lakukan pada Liya.” tuturnya lagi.

“Tapi kalau itu dapat menjernihkan semula keadaan, mak sanggup. Mak sanggup berterus terang dengan Taufik. Liya ikut mak balik. Biar mak jelaskan semuanya pada Taufik. Liya ikut mak ya. Zaim betul-betul dah rindukan Liya.” pujuk Pn.Hayati lagi.

“Mak tak perlu jelaskan segalanya pada Taufik. Biarlah segala yang terjadi kekal sebagai rahsia antara kita.” balasnya.

“Liya tahu, Liya pun salah jugak. Liya sepatutnya lebih berusaha untuk menjernihkan keadaan antara kita. Liya sedar yang Liya bukan menantu pilihan mak sejak dari mula. Tapi Liya nak mak tahu yang Liya hormat mak. Liya sayang mak sama macam Liya sayang ibu Liya yang dah lama pergi.” tutur Aliya sebak. Tanpa dipaksa setitis demi setitis air matanya menuruni lekuk pipi. Semakin lama semakin deras alirannya.

“Sebab tu lah bila mak suruh Liya pergi Liya akur. Liya tahu tempat Liya Mak. Liya tak layak untuk Taufik. Liya tak ada siapa-siapa lagi di dunia ni. Yang ada cuma kawan-kawan masa di rumah anak yatim dulu, tempat Liya dibesarkan.” Air mata di pipi diseka dengan jari, sedihnya datang lagi. Kenangan bersama kedua ibu bapanya serta acu yang dirindui bersilih ganti.

“Liya sanggup lakukannya demi memenuhi permintaan seorang ibu. Liya rela tanggung segalanya demi Abang Taufik dan Zaim andai itu yang mak inginkan. Liya rela korbankan kebahagian Liya.” sendunya semakin tak dapat ditahan. Air matanya semakin galak bercucuran.

“Tapi hati ni yang tak mahu beralah. Liya betul-betul rindukan Zaim. Liya cuma nak melepaskan beban rindu yang terbuku, Liya tak sangka tindakan Liya itu memakan diri sendiri. Perpisahan kali ini lebih perit dari yang sebelumnya.” ujar Aliya sambil menundukkan kepalanya. Dia kecewa kerana bersikap terburu-buru, akibatnya lebih ramai yang terseksa kini.

Pn.Hayati bangun lalu menghampiri Aliya yang masih dijeruk perasaan. Wajah putih Aliya ditenung syahdu. Air mata yang berjuraian disapu dan diganti dengan usapan yang penuh kasih sayang sebelum satu kucupan lembut singgah di kening Aliya lantas mereka berpelukan tanda pendamaian.

“Terima kasih Ya-Allah.” bisiknya dalam hati, mensyukuri erti sebuah kemaafan. Seandainya nyawa berpisah dari badan saat itu dia sudah bersedia kerana dirasakan dia sudah bebas dari segala dosa yang menghantuinya selama ini.

“Liya ikut mak balik ya. Zaim rindu sangat nak jumpa dengan Liya. Taufik pun. Mak pasti mereka akan gembira nanti.” katanya sambil mengusap lembut bahu Aliya. Aliya membalas dengan anggukan dalam tangisan.

Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh anga wati