Bab 17
WAJAH Tengku Safura pucat lesi.
Dia saling berpandangan dengan Puan Kamelia yang jelas rasa bersalah. Dia
menjeling semula ke arah Rizqi yang sedang terketar-ketar. Sesekali
pandangannya melorot pada Adreena yang sedang menundukkan wajah, enggan
bertatapan dengan sesiapa. Hatinya kian diserbu pilu.
Tengku Razif pula tidak
mampu berbuat apa-apa. Keputusan Rizqi ingin membatalkan perkahwinan dengan
anak gadisnya telah menimbulkan seribu macam persoalan dan kekecewaan.
“Saya dan isteri sebagai
ibu bapa kepada Rizqi amat kesal dengan apa yang berlaku tapi kami pun tak mahu
terus berdiam diri. Jika kami tak berterus terang, lagi kami rasa bersalah,”
tutur Tuan Razak tenang.
Dia mahu bersikap lebih terbuka supaya keluarga Tengku
Razif dapat menerima keputusan Rizqi untuk membatalkan perkahwinan tanpa ada
calar di hati.
“Ya Saf, Razif. Lia juga
terkilan tak dapat nak berbesan dengan kamu berdua tapi apa yang kami boleh
buat. Anak-anak kita dah tertulis tiada jodoh. Lia harap sangat-sangat pada Saf
dan juga Razif, janganlah berkecil hati. Niat kami ikhlas datang ke sini untuk
berterus terang sebelum kamu berdua menyiapkan sebarang persediaan untuk
perkahwinan. Kami sekeluarga benar-benar minta maaf,” Puan Kamelia mencurahkan
isi hati.
Tengku Razif berkali-kali
melepaskan keluhan berat. Dia kecewa tidak dapat bermenantukan Rizqi.
“Saya hormat keputusan Rizqi
untuk membatalkan perkahwinan cuma saya rasa sedikit terkilan sebab kami nak tau
juga mengapa Rizqi membuat keputusan sebegitu? Adakah Adreenaa tidak layak
untuk jadi isteri Rizqi?” serkap Tengku Razif. Jelas menyorot suaranya yang
kecewa. Anak matanya menyambar reaksi Rizqi yang takut-takut saja.
Rizqi menelan air
liurnya, pahit. Dia mengambil gelas berisi air jus di hadapannya lalu mengocak perlahan.
Dia meneguk sedikit untuk menghilangkan rasa gugup.
“Hmm… sebelum Rizqi
berkata apa-apa yang boleh buat aunty, uncle dan juga Adreena terasa
hati, Rizqi mohon maaf terlebih dahulu,” ujar Rizqi setelah membisu selama
beberapa minit sejak tiba di rumah mertua tak jadinya. Dia memandang sekilas ke
arah Adreena yang hanya menundukkan wajah. Tertumpah rasa simpatinya pada gadis
itu.
“Kenapa Rizqi bertindak
untuk membatalkan perkahwinan, tiada kena-mengena dengan Adreena mahupun uncle
dan aunty. Salah Rizqi sendiri kerana masih lagi tak bersedia untuk
berkahwin dalam masa yang terdekat ni. Masih banyak lagi benda yang Rizqi kena
uruskan sebelum Rizqi buat keputusan untuk berkahwin.
Tapi ini tak bermakna Rizqi
langsung tak nak berkahwin. Rizqi masih menunggu masa yang sesuai. Lagipun Rizqi
tak nak Adreena terlalu lama menunggu Rizqi. Yalah, Adreena cukup cantik, muda,
berkerjaya, mesti boleh dapat lelaki yang jauh lebih bersedia untuk memikul
tanggungjawab sebagai suaminya. Sekali lagi Rizqi minta maaf sangat-sangat,” lembut
saja suara Rizqi menerangkan.
Sudah lama dia menyusun
ayat itu. Dia siap buat sembahyang hajat semoga keluarga Adreena dapat menerima
keputusannya dengan hati yang terbuka. Biarpun lagaknya tampak tenang namun
peluh tetap memercik di seluruh tubuhnya. Sesekali tangannya mengelap peluh di
dahi.
Tubir mata Adreena sudah
bergenang apabila mendengar kata-kata Rizqi sebentar tadi. Ternyata Rizqi
langsung tidak mencintainya walaupun secebis. Dia ingin pergi dari situ.
Bimbang sekiranya air mata akan deras mengalir bila-bila masa saja. Dia tidak
mahu berkata apa-apa jauh sekali untuk memprotes. Hanya diam dan terus memendam
rasa.
Rizqi sedar Adreena
enggan bertentang mata dengannya. Namun dia tidak sampai hati untuk menipu
gadis itu dengan mewujudkan suatu hubungan yang bakal mencipta kedukaan
sekiranya dia gagal mencintai Adreena kelak sebagai isterinya.
Setelah selesai
berbincang dan makan tengah hari, Rizqi berdua-duaan dengan Adreena di taman
bersebelahan dengan kolam renang. Dia ingin berbincang dari hati ke hati pula tanpa
gangguan sesiapa.
Adreena mengajak Rizqi
duduk di kerusi buaian. Melihat panorama air terjun buatan manusia bersebelahan
dengan kolam renang yang luas memberi sedikit ketenangan kepada dua jiwa yang
bercelaru.
“Riz, cuba tengok air
terjun tu. Deras, kan? Begitulah cinta Reena pada Riz. Ia tetap deras mengalir
dan tak pernah surut.” Pertama kali Adreena mengungkapkan kata cinta tanpa
disorok-sorok cukup buat Rizqi terpana. Rizqi menoleh dan mengamati raut wajah Adreena.
‘Jika sebelum ni aku malu
untuk berterus-terang, biarlah kali ni aku menterjemahkan cinta buat kali
pertama dan terakhir. Semoga ia terus kekal dalam ingatan kau, Riz,’ bisik hati
Adreena penuh duka.
“Reena, Riz… Riz minta
maaf. Riz tak sangka semua benda ni akan terjadi,” Rizqi menggeleng kepalanya
lemah. Dia menghela nafasnya lama-lama dan melepaskan perlahan-lahan. Hatinya
dipagut rasa bersalah yang teramat sangat.
“Riz tak perlu minta maaf
pada Reena. Dah tersurat kita memang tak ada jodoh. Siapalah kita nak mencabar
takdir ALLAH, kan?” jelas Adreena dengan nada yang sedikit bergetar menahan
sebak. Dia mengusap lembut jari jemarinya. Cincin tanda merisik di jarinya
masih tidak ditanggalkan.
Rizqi senyap. Suasana
membungkam sepi antara mereka.
“Riz, boleh Reena tanya something?”
Reena menoleh. Rizqi segera memanggung kepala seraya mencari anak mata Adreena
di sisinya.
“Em… tanyalah.” Rizqi
kembali menunduk.
Adreena mengetap
bibirnya. Mengambil masa untuk meluahkan segala persoalan. Dia ingin bersikap
lebih matang biarpun di hati sendiri bagaikan dicakar-cakar.
“Siapa perempuan bertuah
yang bertakhta dalam hati Riz? Boleh Reena tahu?” soal Adreena tiba-tiba. Dia
tahu Rizqi mencintai seseorang. Dia cukup dewasa untuk menilai semua itu. Tidak
mungkin Rizqi membatalkan perkahwinan semata-mata tidak cukup bersedia. Sekalipun
Rizqi belum bersedia, mungkin Rizqi hanya minta tarikh perkahwinan mereka
ditangguhkan tetapi tidak membatalkannya terus.
Rizqi dengan mendadak
menoleh Adreena semula. Soalan yang ditanya bagai tersembunyi suatu hakikat
yang benar. Jelas sangatkah air mukanya?
“Riz tak perlulah pandang
Reena macam tu. Reena bukan nak makan Riz pun kalau Riz cerita pada Reena pasal
gadis tu. Reena ikhlas nak tahu,” teguran Adreena membuatkan Rizqi tergelak
kecil. Tentu Adreena tahu dengan wajah kalutnya itu, benarlah telahan gadis itu
tadi.
“Riz baru saja kenal dia
dan Riz tak sangka boleh jatuh hati pada dia. Dia terlalu muda untuk Riz tapi
entahlah… dia lain. Riz rasa dia… dia sangat istimewa buat Riz,” jelas Rizqi
dengan senyuman yang tidak lekang di bibir. Wajah Thia melekat di seluruh ruangan
matanya.
Adreena yang melihat
senyuman Rizqi berasa cemburu dengan gadis itu secara tidak langsung namun
cepat-cepat dia beristighfar. Rasa cemburu daripada syaitan akan membawa perbalahan
sekiranya tidak dikawal.
“Berapa umur dia?”
Adreena ramah bertanya.
“Err… 19. Masih
menyambung pengajian,” jawab Rizqi mendatar.
Adreena agak terperanjat.
Gadis itu memang terlalu muda untuk dibandingkan dengan Rizqi yang sudah pun
menganjak 30-an.
“Oh, muda lagi. Mesti
kalau Riz nak kahwin pun, tunggu dia habis study lah, kan? Sanggup ke
pak cik tunggu?” gurau Adreena menceriakan suasana. Dia mula menerima hakikat
sebenar walaupun hatinya masih berduka. Tiba-tiba hatinya jadi tidak keruan
untuk bersemuka dengan gadis yang diidamkan oleh Rizqi itu.
“Janganlah panggil pak
cik. Tua sangatlah, Reena. Em… Insya-ALLAH, ada jodoh… tahun depan pun menjadi,
kan?” Rizqi mula selesa untuk berbual seperti biasa apabila Adreena sudah bergelak
ketawa. Sesungguhnya hati Adreena terlalu suci. Tidak marah walau apa yang
berlaku. Dalam diam dia bangga dengan sikap Adreena yang sangat tenang dan
matang.
Adreena menganggukkan
kepala. “Ya, kalau dah tertulis jodoh Riz dengan dia esok, esok jugalah Reena
merasa nasi minyak Riz.” Adreena mengusik Rizqi.
“Nasi minyak? Tak naklah.
Riz nanti kalau kahwin nak buat BBQ aje. Jimat kos. Jemput ahli keluarga dan
saudara-mara terdekat aje. Reena mesti kena datang.”
“Hah? BBQ aje? Hee…
kedekutlah Riz ni. Kesian bakal isteri Riz tu sebab dapat Riz yang kedekut tahi
hidung masin ni. Fuh! Nasib baiklah Reena tak jadi kahwin dengan Riz. Kalau
tak, makin keringlah badan Reena ni. Lemak tak sempat nak melekat,” Adreena
berseloroh. Agak kasar gurauannya.
Rizqi sudah ketawa
terkekeh-kekeh mendengar bebelan Adreena. “Yalah… Riz jimat pun untuk isteri
Riz jugak. Mana tahu dia nak hantaran gelang emas berbakul-bakul. Kereta
Ferrari ke… tak ke haru-biru jadinya.” Adreena tersengih saja mendengar ulasan Rizqi.
“Ala… kata sayang,
mestilah kena ikut cakap. Baru isteri sayang,” ujar Adreena penuh semangat. Dia
melihat Rizqi mengangguk saja dan menoleh ke arahnya.
“Yalah, Reena. Betul apa
Reena cakapkan tu. Tak dapat disangkal lagi. Dah ada pengalaman, kan?” usik Rizqi
sambil mencuit hidung Adreena. Serentak itu tangan Adreena mencubit paha pejal Rizqi.
“Malaslah Reena nak layan
Riz lagi. Reena masuk dalam dululah,” ujar Adreena sambil mengangkat
punggungnya dari buaian untuk beredar namun segera ditahan oleh Rizqi. Dia
terduduk semula dan memandang Rizqi dengan serius.
“Reena, terima kasih
kerana memahami Riz. Riz rasa bertuah dapat berkawan dengan Reena. Riz tak tahu
nak cakap apa. Riz terharu sangat Reena masih sudi berkawan dan bergurau-senda
dengan Riz. Sedangkan Riz… Riz dah…” Cukuplah sampai di situ apabila Adreena
menggeleng perlahan dan jari telunjuknya di bibir Rizqi, enggan membenarkan lelaki
itu melanjutkan kata-kata.
“Reena tak nak dengar
apa-apa lagi. Reena sayang Riz sebab tu Reena tak nak putuskan persahabatan
kita walaupun kita tak jadi kahwin. Menyayangi tak semestinya bersama, kan?” ujar
Adreena lembut di telinga Rizqi. Dia kemudiannya langsung melangkah pergi.
Rizqi membiarkan lenggok
tubuh Adreena hilang di pandangan. Dia masih berteleku di buaian. Akhirnya dia
tersenyum lega kerana segala-galanya sudah selesai dengan cara baik. Terima
kasih, Adreena, desis hatinya bahagia.