Home Novel Cinta Ops! Dia Buah Hatiku
Bab 16

Bab 16


ARIF leka merenungi Lisa yang sedang menumpu sepenuh perhatian pada buku-buku di atas meja. Dia sebenarnya sudah lama perhatikan Lisa sebelum ini sehinggalah gadis itu kini sudah mengubah imej dan penampilan seperti perempuan sejati. Tidak lagi menyerupai lelaki.

Ternyata benar anggapannya selama ini bahawa Lisa sememangnya seorang gadis yang cantik. Walaupun tidak secantik Lisa Surihani namun tetap menarik untuk dipandang.

Arif akui niatnya benar-benar ikhlas menegur Lisa supaya tidak lagi berpakaian seperti lelaki tetapi bila Lisa sudah pun berubah, dia tetap ingin mendekati gadis itu. Bukankah tanggungjawabnya sebagai saudara sesama Islam sudah dilaksanakan? 

Untuk apa dia terus mendekati Lisa? Masih ada sesuatu yang tidak terlunas oleh Arif berkisar tentang gadis itu.

Dalam keasyikan dia menelaah bukunya, tiba-tiba Lisa dapat menangkap pandangan mata Arif yang leka memerhatikannya sejak tadi. Bukan dia tidak perasan ada sepasang mata yang enak saja memandangnya dari jauh. 

Walaupun matanya tertumpu pada buku di hadapannya, tetapi dia tidak lupa pada keadaan di sekelilingnya.

Lantas dia memeluk tubuh dan separuh berani memandang tepat ke arah lelaki itu. Dia ingin membuat perhitungan dan meluahkan ketidakpuasan hati. Apabila lelaki itu tidak mengalah dengan panahan matanya, dia bingkas bangun.

“Aku ada benda nak bincang dengan mamat yang duduk dekat hujung sana. Kau tunggu sini. Kalau dalam masa lima belas minit aku tak masuk ke sini balik, kau buat reportpolis,” mendatar saja suara Lisa menerangkan kepada Thia di sebelah.

Belum sempat Thia membuka mulut, Lisa sudah bergerak menuju ke arah lelaki yang diusulkan sebentar tadi. Dia ingin bertanya atas urusan apa Lisa ingin berjumpa dengan lelaki berkenaan tetapi Lisa sudah pun menjauh. 

‘Dia ni memang dilahirkan suka cari masalah ke? Belum settle masalah yang lama, dah cari masalah yang baru,’ Thia mengomel dalam hati.

Arif terkedu melihat Lisa yang menghampiri namun dia tidak melarikan pandangan. Dia tahu Lisa pasti ingin bersua muka dengannya. Sejurus itu dia menutup bukunya dan duduk dengan tegak. 

Tapak tangannya digenggam antara satu sama lain. Dia menunggu dengan debaran di hati. Apabila kelibat Lisa sudah menghampiri, dia memanggungkan kepala.

“Kau keluar kejap ikut aku,” ringkas dan padat arahan yang diberi oleh Lisa. Selepas itu, dia terus melangkah pergi. Walaupun suaranya tegas tetapi rasa takut menyelinap juga dalam hatinya. 

Manalah tahu nanti lelaki itu datang dengan geng sekali menyerangnya.

Lama Lisa menunggu Arif muncul namun sebatang gigi lelaki itu pun dia tidak nampak. Apabila dia sudah menunggu lebih dua minit, dia masuk kembali ke dalam perpustakaan dengan hati yang mendongkol marah. Dia mengendap sedikit ke dalam perpustakaan, ingin mengintai. Harap tak juling mata.

Ah! Ternyata lelaki itu sedang rancak berborak dengan rakannya sambil ketawa dan berbisik-bisik.

“Eh, aku tunggu dia lama di luar, dia sedap-sedap aje berborak? Tadi aku sempat bercakap dengan dia ke tak sebenarnya?” Lisa membebel seorang diri. 

Dia masih lagi berkira-kira sama ada mahu pergi ‘serang’ sekali lagi lelaki itu atau terus masuk ke dalam dan sambung menelaah bersama Thia macam tiada apa-apa yang berlaku sebenarnya.

Mata terpejam rapat. Dia cuba memikirkan tindakan sewajarnya. Tidak lama kemudian dia pantas bergerak masuk ke dalam perpustakaan. Tanpa menghubungkan sel-sel otak, dia terus menerpa ke arah lelaki yang memakai baju t-shirt biru berkolar dan butangnya terkancing penuh.

“Kau pekak ke… tak faham bahasa? Kau tak dengar ke aku suruh kau ikut aku tadi? Sekarang kau nak atau tak nak, kau tetap kena ikut aku sekarang jugak,” suara Lisa masih perlahan namun masih dapat didengar dengan baik oleh Arif.

Sebaik sahaja dia menghabiskan ayatnya, Lisa menarik tangan Arif supaya mengikutnya. Arif terkejut namun dia memaksa juga kakinya mengikut arah yang dipandu oleh Lisa. Tajam dia memandang tangan yang sedang melingkari lengannya. 

Seperti ada satu aliran elektrik menjalar di urat sarafnya. Segera dia beristighfar dan melarikan pandangannya. Tidak mahu memikir apa-apa yang tidak sepatutnya.

Akhirnya mereka berhenti di suatu sudut yang agak tersembunyi namun masih ada beberapa hamba ALLAH yang melintasi tempat itu.

“Kenapa kita ke sini? Apa kata kita ke kafe saja? Boleh berbincang dengan aman,” pelawa Arif dengan sopan. Bibir mula tersenyum.

“Tak payah!” tolak Lisa dengan kasar. Suasana kian menjadi tegang. Masing-masing menunggu siapa yang mahu mulakan bicara. Lisa makin hangat!

“Kita pernah kenal ke?” Lisa memulakan pertanyaan. Dia mempamerkan wajah yang penuh tanda tanya. Dahinya berkerut seribu. Dia melihat lelaki di hadapannya menundukkan wajah dan tersenyum.

“Eh, aku tanya aje… kenapa kau bagi senyum yang tak berapa nak lawa tu?” Lisa memandang pelik. Arif masih lagi mengukir senyuman. Dia suka melihat Lisa panasaran.

“Mungkin Cik Lisa kenal dan mungkin juga tidak. Rasa-rasanya?” balas Arif seolah-olah ajak Lisa bermain teka-teki. Namun dia pasti, Lisa masih mengecam mukanya. Mustahil Lisa lupa pada wajahnya kerana dialah lelaki yang sangat berani menegur Lisa secara berhadapan sedangkan Lisa langsung tidak mengenalinya.

“Aku tak suka main pop kuiz tengah-tengah panas macam ni. Seriuslah! Aku ada kelas kejap lagi.” Lisa mula membentak. 

Sesekali jam tangannya dipandang. Buat-buat lewat hendak ke kelas padahal mana ada kelas lagi.

“Sekali-sekala bergurau apa salahnya? Kita hidup dalam dunia ni bukannya lama, Cik Lisa. Jadi kita jangan membazirkan masa yang ada dengan perkara yang merunsingkan fikiran. Bergurau senda, menghiburkan hati, bergelak ketawa… itulah pengubat untuk hati yang rosak,” Arif bercerekarama di situ. Sengaja ingin melambatkan masa. 

Dia melemparkan pandangan ke arah pokok yang menghijau di sisinya. Udara di sini sedikit nyaman kerana banyak rimbunan pokok yang sedia membekalkan oksigen yang segar.

“Pandai kau berfalsafah. Tapi maaf, aku tak nak dengar. Tak payah nak putar belit dengan aku. Kalau kenal… cakap ajelah kenal. Kenapa? Tak berani?” Kata-kata Lisa seperti mencabar. Dia ketawa kecil seakan mempersendakan lelaki di hadapannya.

Arif ikut ketawa seiring dengan Lisa. Memang diakui kata-kata itu ada benarnya. Berpeluh juga dahinya tatkala Lisa mengheret dia keluar dari perpustakaan. Mana tahu silap hari bulan, Lisa membawanya terus ke pejabat Hal Ehwal Pelajar untuk membuat aduan.

“Cik Lisa dah lupa pada saya?” soal Arif kembali apabila ketawanya reda. Sedetik, dia berasa keliru pula melihat riak muka Lisa bagaikan benar-benar tidak mengenalinya. Benarkah Lisa tidak cam mukanya? Rasa curiga menyentak hatinya kini.

Lisa tersenyum seraya menggelengkan kepalanya. Mana mungkin dia lupa pada lelaki yang begitu tegar menegurnya cara berpakaian suatu ketika dahulu. Sengaja dia menunggu lelaki itu memulakan bicara mengenai kisah itu.

“Tolonglah… aku, kalau boleh, tak nak ulang soalan banyak kali. Bila aku tanya, maknanya kau kena jawab. Bukan soal aku balik. Simple as that. Tu pun susah sangat ke nak faham?” Lisa mula bengang apabila lelaki itu seperti mahu melengah-lengahkan masa. Lagi-lagi apabila dia melihat cara lelaki itu memakai seluar yang dirasakan sangat ‘old fashion’.

Masih adakah lagi lelaki zaman sekarang yang memakai seluar sampai ke atas pusat, dan butang baju terkancing penuh sehingga mencekik leher? Sungguh dia meluat melihat gaya lelaki itu yang tidak mengikuti stail peredaran masa.

Okay, straight to the point. Cik Lisa ingat tak, ada seorang lelaki tiba-tiba datang dan dia menegur Cik Lisa berpakaian yang tidak ubah seperti lelaki? Ketika tu Cik Lisa sedang studi di library. Em… saya lah orangnya,” jelas Arif lembut dan Lisa berpura-pura terkejut. Dia membesarkan keluasan rahangnya. Berdrama.

“Oh, jadi kaulah orangnya. Patutlah aku rasa macam pernah tengok aje budak nerdmacam kau ni. Ingatkan gaya aje nerd tapi boleh tahan juga kau condemned aku masa tu, kan? Okey, dah alang-alang kau ada depan aku ni, aku nak tanyalah. Kenapa kau dengki sangat dengan aku? Aku tak pernah kacau kau pun. Kenapa kau tiba-tiba sibuk kacau hidup aku.”

“Saya tak ada niat pun nak kacau hidup Cik Lisa. Maaf sekiranya Cik Lisa anggap saya ni pengacau saja. Saya cuma…”

“Cuma apa?” potong Lisa pantas. Matanya membulat memandang anak mata Arif menjadikan Arif tersentak seketika dengan tengkingan dia sebentar tadi.

“Saya cuma nak Cik Lisa berubah menjadi yang lebih baik. Tak salah, kan?” Suara Arif menyapa lembut gegendang telinganya. Dia terasa berat hati pula untuk terus meninggikan suaranya bilamana suara Arif tetap tenang biarpun dia terus-terusan menghentam.

“Jadi, kau bangga dengan perubahan aku sekarang?” soal Lisa sambil tersenyum sinis. Seketika, dia berasa culas sungguh untuk memandang tepat ke arah lelaki itu.

“Sedikit,” jawab Arif singkat namun menimbulkan rasa tidak puas hati kepada Lisa.

“Apa yang tak kena lagi ni? Apa sebenarnya yang kau tak puas hati dengan aku?” Lisa meraup mukanya. Jelas dia sedang mengumpul rasa marah.

“Kenapa Cik Lisa bertanya seperti itu? Adakah Cik Lisa mengharapkan jawapan yang lebih bermakna?” Giliran Arif pula ingin mengusik hati Lisa.

Keadaan semakin berbahang lantas Lisa terkedu. Tidak menduga soalan itu yang meluncur keluar. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Dia seolah-olah sudah terperangkap.

“Bukan itu maksud aku. Kau nak aku berubah, kan? See, I'm totally changed.Tapi bila aku dah berubah walaupun bukan sebab kau, kenapa kau masih tak puas hati? Secara peribadi, kau ada masalah ke dengan aku?” Lisa cuba merungkaikan kekeliruan yang bersarang di benaknya.

Sebaik saja Lisa melontarkan ayatnya, buat seketika Arif memandang baju yang tersarung di tubuhnya. Lelaki itu diam dan meneliti. Kelihatan gelang hitam yang sering dipakai oleh Lisa juga telah tiada. Ya, Lisa sudah berubah. Seratus peratus berubah!

“Hmm… adakah Cik Lisa ikhlas berubah… kerana ALLAH SWT?” soal Arif tersekat-sekat. Bimbang jika soalan cepumasnya itu mengundang kemarahan Lisa.

Tiba-tiba saja Lisa terasa seperti badannya dicampak ke dalam gaung berduri. Pucat wajahnya dek terlalu kaget. Arif terlalu berterus terang sehingga dia hilang punca untuk mencari jawapan. Dia berpaling ke arah lain. Entah kenapa dia berasa malu. Dia hanya mendiamkan diri dan tidak mahu menjawab.

“… atau Cik Lisa berubah hanya kerana seorang lelaki?” soal Arif lagi apabila Lisa enggan membalas. Memang soalan-soalannya agak pedas didengar oleh Lisa namun dia ikhlas membantu gadis itu.

Kali ini Lisa terasa badannya seperti dilenyek dengan steamroll. “A… apa kau merepek ni? Kenapa kau kata aku berubah kerana seorang lelaki?” Dia menjadi gagap dan dirinya berasa cuak. Ketenangannya berkocak hebat. Sejauh manakah lelaki ini mengenalinya? Adakah lelaki ini mengenali siapa kekasih hatinya?

“Tanyalah pada diri Cik Lisa sendiri. Saya ikhlas menegur Cik Lisa sebelum ni. Lagipun itu adalah tanggungjawab kita sesama umat Islam untuk saling menegur. Saya tidaklah terlalu mengenali Cik Lisa tapi saya pernah terserempak Cik Lisa bersama dengan teman lelaki Cik Lisa di… di sebuah kelab malam. 

Don’t get me wrong. Saya tidak menuduh yang bukan-bukan. Saya hanya lalu di situ dan ternampak Cik Lisa baru saja nak masuk. Yalah, mungkin Cik Lisa ke sana sekadar mahu melepaskan tekanan belajar. Saya faham,” Arif pantas meluah manakala peluh Lisa sudah merintik-rintik di dahi. Kepalanya bagaikan berpusing tanpa henti.

Sejauh itu lelaki di hadapannya dapat menangkap aktivitinya bersama kekasih hati. Apa lagi yang lelaki itu tahu??? Tubuhnya serta-merta menggigil hebat. Namun dia cuba mengawalnya.

“Hmm… banyak sangat yang kau tahu pasal aku. Kalau macam tu, aku rasa aku tak perlu nak jelaskan apa-apa lagi pada kau. Kau boleh anggap apa saja mengenai diri aku sebab kau… bukan siapa-siapa bagi aku. Hairan, kan? Orang macam kau ni ada hati nak menjaga tepi kain orang lain. 

Aku nasihatkan kau, tolong jangan menyibuk hal aku lagi. Kau jaga saja hal kau sendiri dan tolong anggap kita tak pernah jumpa sebab aku tak nak orang tau yang kita pernah kenal. Aku pergi dulu. Assalamualaikum,” terang Lisa lalu beredar dari situ. Dia takut untuk mendengar apa lagi yang bakal dibongkar oleh Arif. Hanya dua, tiga langkah diambil, dia kembali berpaling ke arah lelaki itu.

“Oh ya, aku terlupa nak cakap terima kasih pada kau di atas keikhlasan kau untuk menegur aku. Thanks a lot. Tapi lepas ni kau janganlah tunjukkan muka kau depan aku. Aku tak suka,” Lisa terus berlalu pergi tanpa menoleh lagi ke belakang dengan hati yang sebal.

Arif termenung di kedudukannya. Rasa sebak menjalar di dadanya. Keikhlasannya tidak dihargai.


HATI Thia tidak tenang sejak Lisa keluar bersama lelaki misteri yang tidak dia ketahui namanya. Dia tidak boleh menumpukan perhatian tatkala hatinya sedang runsing.

Sudah sepuluh minit Lisa pergi namun tiada tanda-tanda bahawa Lisa akan muncul. Dia menongkat kepalanya dengan tangan.

“Lisa pesan tadi, kalau dia tak muncul dalam masa lima belas minit, aku kena buat laporan polis tapi… bukan ke dalam masa 24 jam baru boleh lapor kes penculikan? 

Dia ni nyanyuk ke kurang tengok berita? Itulah, orang suruh tengok berita, dia bantai tengok cerita Khurafat. Inilah makannya,” Thia bercakap seorang diri. Keluhan berat segera dilepaskan.

“Hai, Thia. May I sit here?” Tiba-tiba ada suara menegur dan Thia pantas mengangkat wajahnya dengan harapan, orang yang menegurnya itu adalah Lisa yang bersuara garau. Logik tak?

Hafiz! Thia menelan air liurnya apabila matanya menjamah wajah Hafiz. Lelaki itu terus melabuhkan punggung bertentangan dengannya sebelum sempat dia berkata ‘tidak boleh’. Tegak terus tulang belakangnya apabila Hafiz memandangnya tajam sehingga menikam pandangannya.

“Thia study apa tu? Boleh kita study sama-sama?” ajak Hafiz mesra. Memang rezekinya untuk berjumpa dengan Thia hari ini. Sudah lama dia mengejar Thia namun gadis itu sukar untuk menerima kehadirannya. Namun dia tidak mudah berputus asa.

Panas! Thia pula naik rimas mendengar suara lunak Hafiz. Dia menyelak sedikit rambutnya ke belakang. Tiba-tiba dia terasa membahang di dalam bilik itu walhal penghawa dingin ada di merata.

Dia tak nampak ke muka aku ni tertulis ‘jangan ganggu’? getus hati kecil Thia. Dia menyibukkan dirinya dengan menulis itu dan ini.

Sorry, Hafiz. Saya kena fokus lebih sikit. Do you mind if I ask you to leave or maybe you should keep silent for a while? I've got so many things to do right now,”ujar Thia lembut sedangkan hatinya rasa mahu menjerit di telinga Hafiz. Dan seperti biasa senyuman manis tetap tersungging di bibirnya.

Hafiz menganggukkan kepalanya sambil mengetap bibir. Dia terpukul dengan kata-kata Thia itu. Berubah terus wajahnya. Dia geram dengan senyuman manis yang dilontar oleh Thia. Tulang pipinya jelas menonjolkan diri. Dia benar-benar rasa terhina seolah-olah kedatangannya langsung tidak diharapkan malah memberi‘bencana’ kepada Thia.

“Saya tak minta lebih pun daripada Thia. Cuma nak duduk sini danstudy bersama Thia tapi nampak gayanya Thia tak sudi malah menghalau saya pula. Tak apa. Apa saja yang Thia nak, saya turutkan tapi Thia jangan menyesal layan saya macam ni,” balas Hafiz dan bingkas bangun menuju ke pintu keluar. Dia sudah hilang mood untuk terus berada di situ.

Thia pula terkejut dengan ujaran Hafiz yang berbaur ugutan. Serba salah mencengkam lubuk hatinya. Dia terasa seperti ingin berlari mengejar Hafiz semula dan memujuk kembali lelaki itu supaya duduk menemaninya. 

Rasa cemas sudah merajai seluruh tubuhnya dengan ugutan Hafiz sebentar tadi. Serta-merta dia melepaskan keluhan panjang. Tangannya memicit dahinya, lembut.

Untuk yang keseratus kali, Thia termenung buat seketika waktu. Dia memikirkan kata-kata yang baru saja terhambur oleh Hafiz. Semakin lama… semakin terserlah sikap Hafiz yang agresif.

“Hmm.. aku pasti Hafiz mesti akan serang aku bila-bila masa. Takkan aku nak pasrah saja-saja? No! Aku harus bersiap sedia. Aku kena bawa pisau Rambo aku setiap kali aku keluar. Hah! Lagipun aku tahu sikit-sikit asas silat gayung yang ibu ajar. Inilah masa untuk aku praktik benda tu,’ Thia mengatur strategi dalam diam.

Tiba-tiba dia kembali teringatkan Lisa yang masih belum muncul sejak tadi. Dia melemparkan pandangan ke arah jam di pergelangan tangannya. Sudah empat belas minit Lisa pergi. Masih ada baki lagi seminit. Cepat-cepat dia menegakkan batang lehernya menoleh ke pintu masuk namun muka ala-ala Lisa pun langsung tidak kelihatan.

Thia lantas mengemas segala barangnya. Dia sudah bersedia untuk ke balai polis untuk melaporkan tentang kehilangan Lisa. Bimbang sungguh dengan keselamatan kawannya itu. Lebih-lebih lagi apabila Lisa keluar bersama seorang lelaki yang tidak dikenali.

Baru saja dia mengangkat punggung, wajah kusam Lisa sudah terjengul dengan bibir yang muncung. “Kau pergi mana tadi? Saja buat aku risau, tahu tak?” bisik Thia sambil menekankan sedikit suaranya. Bengang pastinya dengan kelewatan Lisa.

Lisa tidak berkata apa-apa. Dia cuma memberi isyarat ‘diam’ dengan jari telunjuknya di bibir. Sambil berdiri, dia mengemas segala buku miliknya di atas meja.

“Aku tanya yang kau suruh aku diam, kenapa?!” Tanpa Thia sedar, dia telah meninggikan suara. Dia menarik tangan Lisa sehingga Lisa terduduk di kerusi.

Sejurus itu dia menjeling ke kiri dan ke kanan. Berpuluh pasang mata memandang dengan tajam ke arahnya seolah-olah dia telah mencemarkan suasana sunyi di bilik itu. Lupa dirinya di dalam perpustakaan.

Tiba-tiba ada orang membaling papan plastik berwarna hitam berukuran dua puluh sentimeter lebar yang tertera dengan tulisan ‘TOLONG SENYAP’ di atas meja. Thia terkejut dan memandang lesu ke arah papan tanda itu. Lisa pula sudah menutup mukanya lantas berdiri semula dan mengheret tangan Thia supaya mereka segera keluar dari situ.

“Buat malu aku aje!” Lisa mendongkol geram. Dia masih lagi menutup sebahagian mukanya dengan tapak tangan dan menundukkan wajah. 

Thia pula terkedek-kedek mengekorinya dari belakang. Wajah gadis itu selamba saja macam rasa tak bersalah langsung menjerit di dalam perpustakaan tadi. Tangannya masih memegang kejap lengan Thia.

Tonggg!! 

Lisa terlanggar pintu kaca. Dia jatuh terduduk dan punggungnya melantun dan terhentak kuat di atas lantai. Ah! Lisa terasa seperti punggungnya bagai nak tercabut dari badan. Panas dan berdenyut-denyut sama seperti di dahinya. Dunia ketika itu dirasakan sedang mentertawakannya.

Tiba-tiba Lisa cemas, bimbang sekiranya wajahnya telah cacat dek kemalangan itu tadi. Spontan dia meraba-raba dahinya. Okey masih elok. Tak jendul.

Thia pula terperanjat dengan kemalangan itu segera membantu Lisa untuk bangun semula sambil gelak. Memang jiwanya tiada rasa simpati melihat Lisa yang kesakitan. 

Sempat juga dia menjeling di sekitarnya. Ada beberapa orang pelajar yang sudah gelak sesama sendiri.

“Lisa kau tak apa-apa? Itulah kau gelojoh sangat nak balik, sampai pintu pun kau nampak macam langsir kat rumah kau,” ejek Thia sedikit pesimis. 

Lisa hanya mampu menahan geram dan sakit.

Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hanani Bahadin