Bab 3
SERAKAN di atas katil tidur dibiarkan Thia. Rasa geram pada pelajar perempuan yang
bernama Yaya masih lagi menggigit hatinya. Setelah letih ke hulu ke hilir dalam
ruang biliknya, dia duduk di penjuru katil dan termangu sendirian.
Perutnya
pula tidak henti-henti berbunyi sejak tadi. Semuanya gara-gara makanan di kafe
yang tak berapa enak, lalu nasi yang diambilnya tak habis dimakan. Semuanya
serba tak kena saja hari ini.
Sesekali terlayang di matanya wajah Yaya dan wajah
Hafiz bersilih ganti. Bagaikan menari-nari di ruangan matanya. Sedetik
kemudian, rasa gusar menerjah hatinya. Takut juga sekiranya kedua-dua insan itu
berdendam dengan dirinya.
Tidak sangka, baru hari pertama kuliahnya bermula,
dia sudah mendapat dua orang musuh. Dia pasti, Hafiz tentu akan mencarinya
lagi. Lebih menakutkan, mereka berkongsi kelas yang sama.
Sejurus itu, setitis air mata mengalir di pipinya yang
halus. Satu demi satu menuruni pipi kini hingga esakan tangis mula kedengaran.
Walaupun hatinya kadang-kadang kental seperti besi dan perwatakannya yang
tampak kasar di mata umum namun tidaklah sehebat mana. Masih terselit jiwa
wanitanya yang lemah dan ingin rasa dilindungi.
Tiba-tiba dia dilamun rindu pada ibunya yang berada
jauh di mata. Saat ini dia amat memerlukan pujukan dan belaian ibu tercinta
untuk melenyapkan segala keluh kesah yang semakin membelenggu dan menyesakkan
dadanya. Tangannya segera mencapai telefon bimbit di dalam beg lantas mengusik
skrin telefon untuk mencari nama ibunya. Tidak sampai seminit suara ibunya
sudah terdengar di corong telefon.
“Assalamualaikum, ibu. Ibu sibuk ke sekarang? Thia
rindulah pada ibu.” Thia menyapa lembut ibunya namun masih lagi bergetar
suaranya dek tangisan yang baru ditumpahkan.
“Waalaikumussalam. Thia telefon ibu? Eh, tak payahlah
telefon. Minggu depan aje Thia telefon ibu, ya? Tak pun tahun depan ke…” Puan
Seha bersuara seakan berjauh hati dengan Thia kerana hampir empat hari anaknya
itu tidak menelefonnya langsung. Ada nada perli di situ.
“Ala… ibu. Janganlah cakap macam tu. Kecik hati Thia
dengar ibu cakap macam tu tau. Ibu tak suka Thia telefon ibu ke? Tak rindu
Thia?” soal Thia seolah-olah tidak faham dengan sindiran ibunya tadi. Puan Seha
pula geram dengan Thia yang blur itu. Niat di hati ingin mengenakan
anaknya tapi nampak gayanya dia yang terpaksa memujuk Thia.
“Tak adalah. Ibu gurau aje, sayang. Anak ibu sihat? Thia
dah makan ke belum ni?” pujuk Puan Seha lembut. Risau anak manjanya itu merajuk
terlebih pula.
“Thia sihat aje. Thia dah makan tadi, tapi kan ibu… tiba-tiba
Thia rasa rindu nak makan masakan ibu. Lauk-lauk dekat sini tak sedaplah. Sedihnya,”
sambungnya lagi. Beria-beria dia memasamkan muka macamlah ibunya ada duduk di
sebelah.
“Takkan semua lauk dekat situ tak sedap? Thia aje yang
cerewet, kan? Bukan ibu tak kenal perangai Thia tu. Ni tak makan, tu tak makan.
Nak makan burger aje. Muka jadi macam burger nanti… tahulah. Tak sampai hati
ibu nak kenalkan dengan mak mertua,” sakat ibunya nakal. Thia pula sudah pecah ketawa.
“Ibu nak kenalkan Thia dengan mak mertua? Ibu dah ada
calon untuk Thia? Ibu nak Thia kahwin awal ke? Oh, my goodness! Thia tak
ada hal lah!” Thia mengusik ibunya dengan nada yang sengaja dilembutkan.
Baru
18 tahun dah nak kahwin? Mandi wajib pun bersepah, ada hati nak kahwin muda.
“Ada. Anak UncleRaja depan rumah kita tu. Nak
tak? Bila-bila masa Thia nak anak dia tu, ibu boleh pergi jumpa dia. Nanti dah
kahwin senanglah. Dekat pun dekat. Ibu jerit panggil nama Thia, Thia dah
menonong datang,” seloroh Puan Seha diiringi ketawa besar.
“Yang Raja Gopal tu ke? Ibu ni macam tak ada orang
lain nak bagi kat Thia.” Ayatnya berhenti di situ kerana mulutnya sudah
melepaskan tawa. “Hmm… tak hendaknya Thia dengan dia tu. Dahlah dia tinggalkan
bini dia yang cantik, alim bertudung labuh tu untuk perempuan club yang
celah mana dia rembat entah. Tak kacak, tak apa kalau perangai elok. Ni, kerja
mengurat perempuan aje dia handal. Baik tak payahlah,” protes Thia dengan tawa
yang masih bersisa.
Bukan dia tidak kenal dengan anak UncleRaja itu.
Berkulit hitam manis, mukanya tidaklah teruk mana tapi kalau hendak
dibandingkan dengan Sofi Jikan, kalah teruk lelaki itu. Tahap kegatalannya pula,
tak tahulah nak cakap macam mana. Lelaki itu selalu menggodanya walaupun dia
tak pernah rasa dirinya tergoda dengan Raja Gopal atau nama sebenarnya Raja
Zafran.
“Sekarang anak Uncle
Raja tu pun nak kahwin dah. Dengan perempuan yang sama. Ibu harap dapatlah
dia ubah perempuan tu. At least, tak adalah kerja di clubtu lagi.
Jangan makin teruk, sudah.”
Thia terkejut dengan berita itu namun dia mampu
menghempas nafas lega. Tidaklah dia diganggu dengan lelaki miang tahap dewa
kayangan itu lagi. Alhamdulillah.
“Sebelum ibu lupa, hujung bulan depan ibu nak buat
majlis tahlil dekat rumah kita. Genap lapan tahun ayah Thia pergi ke
rahmatullah. Ibu ada hantar makanan di masjid nanti. Thia kalau busytak
payahlah balik,” tambah Puan Seha lagi. Memahami keadaan anaknya yang sudah bergelar
pelajar universiti.
“Oh, rasanya Thia baliklah, ibu. Lagipun dah lama Thia
tak jumpa ibu. Ibu pun mesti dah mula rindu Thia, kan…” ucapnya sambil ketawa.
“Mestilah ibu rindu Thia tapi aman sikitlah rumah kita
ni bila Thia tak ada. Kurang sikit kepala ibu ni pening. Darah tinggi ibu pun
dah turun sikit ibu check hari tu.” Puan Seha menyakat lagi anaknya.
“Sampai hati ibu cakap macam tu. Thia tak kira. Thia
nak balik jugak. Ibu tunggu Thia balik, ya?” Manja suara Thia berkata. Hati pun
kian tidak sabar mahu pulang.
“Yalah, Thia. Ibu nak letak telefon dah ni. Bos ibu
panggil. Encik Rizqi tu kadang-kadang ada angin. Nanti dia bising pulak kalau
ibu lambat masuk ke pejabat dia.” Puan Seha ingin menamatkan panggilan namun
segera ditahan oleh Thia. Masih belum puas berborak.
“Ala… Thia baru aje nak berbual panjang dengan ibu.
Bukan ibu kata bos ibu tu baik ke? Dah bertukar angin pulak ke?” soalnya tidak
puas hati.
“Memanglah baik tapi sekarang ni ibu banyak kerja
sikit. Lain kali ibu call Thia pulak. Bye, sayang.
Assalamualaikum,” ujar ibunya pantas. Risau pula bosnya menunggu lama di dalam
pejabat.
“Bye,ibu.Waalaikumussalam.” Senyuman
terukir di bibirnya setelah meletakkan telefon. Rasa lega menyelinap di dalam
hatinya setelah berbual dengan ibu tersayang. Sedikit sebanyak perasaan gelisah
yang menggamit hatinya dapat diusir. Dia mengelamun sebentar.
Tiba-tiba muncul wajah Fitri di sebalik pintu
biliknya. Diikuti Lisa dan Yani di belakang. Wajah mereka tampak seperti penat
dan termengah-mengah. ‘Kenapa dengan dia orang ni? Kena kejar perompak ke?’ desis
hatinya meneka.
“Apa hal termengah-mengah ni? Ada sukan lumba lari ke
kat bawah tadi?” soal Thia dengan muka pelik apabila melihat rakan-rakannya
tercungap-cungap macam bilik ini tidak cukup membekalkan oksigen saja.
“Bukanlah. Kita orang naik tangga. Lif… lif rosak.
Semput aku naik tangga sampai tingkat sepuluh ni. Mahunya kaki aku lepas ni berotot-otot.
Tak guna punya lif,” jelas Yani dengan suara yang tersekat-sekat. Rakus dia
menunggang botol air mineral di tangan ke corong mulut.
“La… tadi masa aku balik lif tu okey lagi. Kesiannya.
Tak apalah, dapat buat exercise besarkan betis. Tak payah pergi gim.
Kau orang dah makan?” soal Thia. Dia melihat Fitri dan Yani sudah telentang di
atas katil.
“Dah. Makan dekat kafe tadi. Babe, kau okey
tak? Macam mana tadi kau boleh terjatuh dalam kelas? Lepas tu pengsan pulak.
Pelik aku tengok. Kau berangan mamat handsomesebelah kau tadi, eh?”
Lisa menyoal Thia lantas menghenyakkan punggungnya di sebelah rakannya itu. Dia
mengambil nafas dengan rakus. Berlumba-lumba oksigen masuk ke lubang hidungnya.
“Yalah. Macam mana kau boleh pengsan, Thia?” soal
Fitri tiba-tiba bangun dari perbaringannya.
“Cepatlah cerita. Aku tak sabar ni,” desak Lisa. Yani juga
sudah bangun dari perbaringannya.
Tiga pasang mata sedang mengamati Thia dengan penuh
tanda tanya. Sepi seketika. Akhirnya dia berdehem.
“Aku pura-pura pengsan aje tadi,” perlahan Thia
menuturkan ayat itu. Dia menundukkan wajahnya menekur pada permukaan lantai
bilik yang menggerutu.
“Hah??? Kau tipu kita orang semua? Tapi macam mana kau
boleh jatuh pulak?” soal Lisa pantas. Fitri juga berasa musykil melihat Thia
tiba-tiba terjatuh di dalam kelas pagi tadi.
“Itu semua Yajul punya pasallah. Dia yang bentes kaki
aku. Tu yang aku jatuh berguling-guling tadi. Malu aku tadi tau. Tak pasal-pasal
kena pengsan sekejap,” jelas Thia sambil memuncungkan bibirnya. Yani yang
mendengar sudah ketawa terbahak-bahak.
“Kau buat-buat pengsan lepas tu? Hee… sengetlah kau ni,”
Yani menggelakkan Thia. Dalam hati dia menangis juga sebab tidak berpeluang nak
menyaksikan drama yang Thia lakonkan. Kalau tidak, mesti dia join sekali
Thia berlakon.
“Yajul? Siapa Yajul?” tanya Fitri. Seingat dia,
sewaktu sesi perkenalkan diri pagi tadi tiada seorang pun yang bernama Yajul.
Pantas Thia buat mimik muka yang menyakitkan hati
sambil berkata, “Hai! My name is Tengku Dayana binti Tengku…
Tengku… Tengkujuh. Just call me, Yaya. I’m from Kuala Lumpur and
bla… bla… bla…” Dia mengajuk cara percakapan Yaya. Dia sendiri
pun sudah lupa siapakah nama ayah kepada Yaya.
Lisa dan Fitri sudah melongo namun masing-masing dapat
menangkap siapakah yang Thia maksudkan itu. Cuma Yani yang masih buat muka blur.
Tentulah dia tidak mengenali Yaya!
“Oh, artis dalam kelas kita tadi tu ke?” tanya Lisa
sambil gelak. Thia pula sudah buntang matanya mendengar Lisa memanggil Yaya
dengan gelaran artis.
“Artis??? So creepy! Dia tu bukan artis tapi
bala kau tau tak. Bala!” Thia menguatkan sedikit suaranya. Mana tidaknya?
Setiap kali bersemuka dengan Yaya, pasti dia ditimpa bala. Apa maksudnya kalau
macam itu?
“Cakaplah Yaya. Ni Yajul, mana pulak datang nama pelik
ni?” Tidak berkelip mata Lisa memandang Thia menagih jawapan.
“Tu nama timang-timangan dia aku bagi. Saja aje...” terang
Thia separuh mengejek. Lisa dan Fitri sudah ketawa pecah perut namun tidak
berkata apa-apa. Rasa berpikul-pikul pula dosa sekiranya dia turut mengejek anak
orang sebegitu rupa.
“Macam-macam kau ni, Thia. Tak larat aku nak layan
kau. Tapi unik juga nama tu, kan?” Lisa berkata apabila ketawanya sudah reda. Tiba-tiba
dia teringatkan ‘Asyraf Muslim’ yang keluar dari kelas sebelum habis waktu.
Hatinya seakan sudah terpaut dengan jejaka itu. Tanpa sedar dia mengukirkan
senyuman di bibir. Sekonyong-konyong itu bahunya terasa dicuit.
“Ni… tersengih-sengih sampai cecah ubun-ubun ni
kenapa?” tegur Thia apabila dia melihat Lisa mendiamkan diri dan tersengih macam
orang tak ada arah hidup.
“Taklah. Aku teringat pada seseorang. Mamat handsome
yang duduk sebelah kau tadi, nama dia Hafiz Fikri,” jelas Lisa sambil menghulurkan
senyuman yang tampak nakal di mata Thia.
“Alahai. Ada aku kisah dengan dia? Dia tu pun satu
lagi gila. Lupakan ajelahmamat tu, Lisa. Kau tahu, lepas aje aku keluar
kelas pagi tadi, aku pergi berehat sekejap dekat taman sebelah blok akademik
tu. Tiba-tiba dia datang duduk sebelah aku. Ayat dia… hah! Memang dia nak tackle
habis. Tapi maaflah aku nak layan.”
Ternganga mulut Lisa mendengar ujaran tersebut. Segera
Thia meneruskan lagi ceritanya dari A sampai Z. Lisa betul-betul tak sangka
Hafiz mempunyai sikap seumpama itu. Terus patah semangatnya hendak berkenalan
dengan Hafiz. Masam mencuka wajahnya mendengar cerita yang dibawa oleh Thia
itu.
“Apalah nasib aku hari ni diganggu oleh dua hamba ALLAH
yang sengal ni. Yang sorang bala, yang sorang lagi gila. Kan bagus mereka
berdua tak wujud dalam hidup aku. Mesti rasa tenteram, aman aje hidup aku,” luah
Thia dengan suara yang penuh kekecewaan.
“Mungkin kau yang salah anggap dengan Hafiz tu.
Entah-entah dia memang baik, ikhlas nak berkawan dengan kau. Lagipun biasalah
lelaki nak berkenalan dengan perempuan,” jelas Lisa seolah-olah masih tidak
berpuas hati. Yani dan Fitri pula tiba-tiba sudah ghaib entah ke mana. Pergi
mandi barangkali.
“Tak apalah, Lisa. Kalau dia baik pun, kaulah yang
kenal dengan dia, ya? Aku ni sensitif sikitlah kalau hal berkaitan dengan
lelaki. Baik atau tak bukan persoalannya. Aku yang tak boleh terima mana-mana
lelaki dalam hidup aku. Belum sampai masanya lagi. Aku nak bebas tanpa ada
lelaki yang mengacau hidup aku. Biarlah jodoh aku datang dengan sendirinya.” Thia
menundukkan wajah. Kemudian dia sambung lagi.
“Tapi kadang-kadang aku nak juga tahu siapa jodoh aku.
Dia di mana, tengah buat apa dan macam mana cara dia approach aku nanti.
Aku bukan tak ada nafsu ataupun tak tertarik dengan lelaki cuma… cuma aku tak
jumpa lagi lelaki yang boleh buat hati aku berdebar-debar. Setiap kali dia renung
mata aku, aku jadi gelisah dan setiap kali dia dekat dengan aku, aku tak tentu
arah. Tak kacak pun tak apa asalkan sejuk mata aku pandang dia. Boleh
membahagiakan aku sampai ke akhir hayat aku.” Thia senyum ketika bercerita.
“Amboi, buku cerita kau. Ni dunia realiti. Bukan macam
cerita Hindustan yang kau selalu tengok tu. Bila hero datang selendangku ditiup
angin, dunia seakan-akan terhenti dan tika itu cuma ada kita berdua. Ceh! Itu
semua karut! Karut komedia tahu tak!” komen Lisa panjang lebar.
Memang parah sekitanya Thia memang serius menunggu
lelaki yang benar-benar boleh mencairkan hatinya yang keras sebegitu. Dia tahu
sikap Thia yang pantang kalau ada lelaki yang sibuk hendak memikatnya. Pasti
gadis itu menjadi rimas dan meluat.
“Thia, tak semua lelaki di dunia ni jahat tau. Kau tak
bolehlah set mind kau macam tu. Tak adil bagi lelaki-lelaki yang memang
ikhlas nak berkawan dengan kau. Kalau kau teruskan sikap kau macam ni, nanti
ramai lelaki yang berdendam dengan kau, kau nak? Kau tu kalau tak layan aje, tak
apa. Ni tidak, siap dengan mengutuk, memaki-hamun semuanya!” Nasihat Lisa tekun
didengar oleh Thia.
“Then, kau nak aku terima semua lelaki yang approach
aku? Macam tu? Ibu aku pesan, datang sini sebab study, bukan cari
jodoh!” jerkahnya pula. Cuba membela diri. Begitu sukar untuk menerima nasihat yang
diberikan oleh rakannya itu walaupun ada kesahihannya.
“Maksud aku, at least kau sudi berkawan dengan
dia orang. Janganlah kau over pulak. Aku tahu kau muda lagi. Aku suggest,
kau berkawan dulu. Untung-untung, dapat kawan yang baik,” ujar Lisa sambil
mengangkat keningnya. Berharap agar nasihatnya tadi diterima pakai oleh Thia
namun tiba-tiba saja Thia menjeling tajam ke arahnya.
“Pandai kau nasihat aku. Aku tengok kau pun dah macam lelaki,”
perli Thia selamba.
“Excuse me! Aku straight tau walaupun
aku dress up macam ni. Dahlah, aku nak mandi. Nasihat aku bukan kau nak
dengar pun. Membazir air liur aje,” ujarnya sambil berlalu meninggalkan Thia.
Lucu. Thia melihat Lisa mengambil tuala mandi di
penyidai yang menegak di sebelah pintu bilik. Yani pula keluar dari bilik air
sambil membawa baldi. Seketika, dia termangu di atas katil. Berfikir.
‘Perlu ke aku ikut nasihat Lisa tadi? Em... mungkin,’
pujuk hati Thia.