Home Novel Cinta Ops! Dia Buah Hatiku
Bab 1

Bab 1

“INGAT semua pesan ibu. Jaga diri Thia tu, jangan lupa diri, jangan lupa ibu, solat jangan tinggal, ya? Ibu jauh dah lepas ni. Tak dapat nak tengok-tengok Thia selalu. Ibu harap Thia tak lupa semua pesan ibu. Ibu sayang Thia, ibu tak nak anak ibu ni tersasar dan terpesong. Pasang niat nak belajar saja datang sini. Faham tak?” Puan Seha berpesan kepada anaknya. Begitu panjang nasihat ibunya sehingga boleh buat novel bersiri.

Yes, mother. I know how to take care of myself. You just need to care about your welfare, okay? Ibu tu dahlah sakit. Thia datang sini semata-mata nak belajar aje. Bukan nak pergi berfoya-foya,” jawab Thia dengan nada bergurau.

Ibunya hanya mampu menganggukkan kepala. Cuba menahan sebak yang menghentam dadanya.

“Thia mesti rindu ibu nanti, kan? Tapi ibu janganlah risau. Kalau Thia ada cuti nanti, Thia balik rumah kita,” jelas Thia lagi sambil mengusap lembut bahu ibunya yang tercinta. Hari ini, hari pertama dia berjauhan dengan ibunya dalam tempoh masa yang agak lama kerana melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan.

Thia, anak tunggal Puan Seha dan Tuan Adam malah satu-satunya anak emas bagi pasangan itu. Tuan Adam telah meninggal dunia sejak Thia berusia sepuluh tahun lagi akibat sakit jantung. Puan Seha yang bekerja sebagai setiausaha di sebuah firma guaman di Shah Alam masih mampu untuk menyara hidup mereka berdua walaupun pendapatannya tidaklah setinggi mana namun ia mencukupi menampung segala perbelanjaan.

“Yalah, Thia. Tapi kalau Thia sibuk tak usahlah balik selalu. Ibu bukan tak suka anak ibu balik. Cuma ibu nak Thia fokus pada study. Lagi satu, ibu tak nak Thia keluar malam. Kalau kawan ajak pun ibu tak benarkan. Faham tak ni, Rana Fathiah?” Puan Seha bersungguh-sungguh menasihati anaknya.

Serta-merta Thia menarik muka masam. “Faham, ibu. Dah sejuta kali ulang dah. Thia belum nyanyuk lagi. Thia ingat semua pesan ibu tu. Thia sayang ibu, kan.” Thia mula terasa bengang. Asyik diulang benda yang sama. Tapi tidak mengapa, anggap saja ini kali terakhir sebelum berbulan lagi dia bertemu ibunya.

“Ya. Ibu pun sayang Thia. Ibu balik dulu. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam,” balas Thia sambil menghulur tangan kepada ibunya. Setelah itu, ibunya pun berlalu pergi. Tangannya melambai ibunya yang kian jauh dari pandangan mata. Sayu rasa hatinya. Setelah itu, dia pun menuju ke pintu masuk asrama. Berat sungguh dia melangkah jalan. Terasa macam ada Batu Caves dekat celah kakinya itu.


THIAyang mengheret dua bagasi besar secara tidak sengaja telah terlanggar seorang wanita ketika menuju ke lif. Bahu mereka berlaga. Ah! Dia hampir terpijak sesuatu.

“Hei! Buta ke?” tengking wanita itu dengan wajah menyinga. Cermin mata hitam yang dipakai oleh wanita itu terjatuh lantaran dilanggar oleh Thia.

Cemas. Thia segera menunduk untuk mengambil cermin mata yang terjatuh di kakinya lalu diserahkan kepada wanita yang berani mengherdiknya tadi.

Sorry,cik. Sorrysangat-sangat. Saya tak sengaja tadi.” Thia memanggung kepala dan menoleh tepat ke arah wanita itu yang memandang tajam ke arahnya. Dia yang berwajah serius terus tergelak kecil apabila melihat wanita yang baru saja dia langgar tadi begitu menawan tetapi bermata juling.

Ya. Wanita itu pada pandangannya sungguh cantik, tinggi, putih gebu, dan potongan badannya pula, persis kerengga. Namun yang menghalang kesempurnaan wanita itu ialah bermata juling.

‘Astaghfirullahalazim.Teruknya aku menghina ciptaan tuhan.’ Dalam kalut, sempat juga Thia beristighfar.

“Kurang ajar! Kau dah langgar aku lepas tu kau gelakkan aku pulak? Apa yang kau gelakkan tadi?” terjah wanita itu lagi sambil mencekak baju Thia pula. Mukanya sudah mengalahkan harimau jadian. Takut!

Thia yang terkejut dengan tindakan drastik wanita itu terus saja mengecutkan diri. Ditelan air liurnya rakus. Sejurus kemudian, dengan perlahan dia menolak tubuh wanita itu jauh-jauh agar tidak terus mencekak leher bajunya. Maaf. Tidak semudah itu dia membenarkan dirinya dibuli.

“Err… cik,kan saya dah minta maaf tadi. Apa masalah cik lagi ni? Saya gelak sebab tadi saya terkejut sangat. Terkejut dan saya pun tergelaklah. Laughing is free, right? Untuk pengetahuan cik, itu adalah salah satu cara bagi saya nak mengatasi rasa terkejut. Maaf jika ia buat cik tersinggung pula,” Thia cuba berlembut. Dalam hati cuak juga. Mungkin dia seram tengok mata wanita itu. Ha… ha… ha…

“Oh, macam tu ke? Memang patutlah. Muka kau tu pun dah menggambarkan betapa ceteknya akal kau. Anyway,malas aku nak layan orang terencat akal macam kau ni,” tempelak wanita itu lantas berlalu pergi meninggalkan Thia. Sedikit saja lagi, Perang Dunia Ketiga bakal tercetus sekiranya dia tidak beransur pergi.

Mulut Thia separuh melopong. Hatinya menggeletik panas mendengar bahasa kasar daripada wanita itu.

“Eh, apa hal dia nak tengking-tengking aku? Woi! Kalau kau ada masalah dengan sugar daddy kau pun, tak payahlah nak lepas kat aku! Gila!” bentak Thia. Kakinya seperti mahu mengejar gadis bongkak itu namun muka ibunya seakan terpampang di hadapan mata. Menghalang.

Oh, God! Please! I need a shower here like seriously!” rengus Thia dengan penuh perasaan. Dadanya diurut perlahan bagi meredakan api kemarahan. Dengan hati yang masih lagi belum turun suhu panasnya, dia pun masuk ke dalam lif. Mukanya masam mencuka.

Sebaik sahaja menembusi perut lif, butang ke tingkat sepuluh segera ditekan. Apabila kakinya menapak tiba di tingkat sepuluh, ternyata matanya terpesona dengan kebersihan dan kemudahan yang tersedia. Dia berdiri tegak sebentar sambil melihat sekelilingnya.

Jelas, Thia berasa sangat beruntung kerana asramanya boleh dikatakan mewah dengan tersedianyatelefon awam,lif, laundry, bilik televisyen dan setiap aras mempunyai empat buah rumah. Dengan adanya lif, tidaklah dia bersusah payah untuk naik dan turun tangga jika ingin ke kelas.

Thia tersenyum puas. “Baguslah ada lif kat sini. Tak adalah berlecak ketiak aku kalau hari-hari pergi ke kelas turun naik tangga. Fuh!”


“ASSALAMUALAIKUM,” sapa Thia. Dia membuka pintu rumah kediamannya yang bakal dihuni selama tiga tahun. Saat dia bergerak masuk ke dalam rumah itu, matanya menjamah wajah-wajah penghuni yang bakal menjadi teman rapatnya sepanjang dia berada di situ.

“Waalaikumussalam,” jawab teman-teman serumahnya. Tanpa membuang masa Thia pun menonong sahaja berlalu ke biliknya. Bukan ingin menyombong tetapi dia berasa kekok dan segan apabila banyak mata yang memandangnya dengan pandangan yang sukar dimengerti.

‘Ala… kenapa dia orang semua pandang aku macam aku tak pakai seluar ni?’ soal hatinya. Bingung seketika. Serta-merta dia membetulkan rambut dan pakaiannya. Manalah tahu mukanya serabai sehingga seram orang melihatnya. Ada yang menatap bagai nak juling biji mata dan ada yang memandang sambil tersenyum manis.

‘Yang senyum tu mesti nak berkawan dengan aku. Kejap lagi aku nak pergi kat dialah,’ bisiknya nakal. Dia tergelak kecil. Setelah kakinya mencecah di depan pintu bilik, lantas dia menguak pintu tersebut. Kelihatan dua buah katil double deckerdan sebuah bilik air yang terletak di cornerbilik itu.

Thia mengambil masa untuk mengemas barang-barangnya sebelum dia keluar untuk meneruskan sesi perkenalan antara dia dan teman-temannya yang tergendala sebentar tadi. Dia berkenalan dengan teman sebiliknya yang bernama Fitri, Lisa dan Yani.

Ketika dia berkenalan dengan Lisa, hatinya berasa sedikit gelabah kerana perwatakan dan cara temannya itu berpakaian agak kelakian. Dengan memakai baju-Thitamberkolar di mana bahagian dada bajunya tertera dengan tulisan ‘my girl my passion,’sudah cukup membuat lutut Thia bergoyang tanpa henti.Mukanya pula bereaksi pelik dan pandangannya melekat ke muka Lisa seakan temannya itu buat aksi tak senonoh.

“Hai! Aku Lisa. Kau mesti tak selesa tengok aku, kan? Relakslah. Tak payahlah nak buat muka macam aku ni makhluk asing yang mendatangkan bahaya kepada orang ramai. Aku ni, perempuan sejati. Cuma aku tak reti nak berpakaian macam perempuan-perempuan lain. Sorrykalau aku buat kau tak selesa,” ujar Lisa berterus-terang sambil tersengih macam kerang busuk.

Thia berasa malu apabila ditegur sebegitu. Pasti ketara sangat air mukanya yang sedang enak mengutuk Lisa. Biasalah, muka tak reti menipu.

“Tak adalah. By the way, kau tinggal di mana?” Thia menguntum senyum. Cuba mengurung rasa malu.

“Aku tinggal di Rawang, Selangor. Kau pulak?”

“Aku tinggal di Puncak Alam. Fitri pula tinggal di mana?” soal Thia kepada seorang lagi teman sebiliknya. Cuba meringankan mulut dan sedaya upaya memaniskan muka. Jelas dia bersusah-payah berlakon menjadi budak baik. Skema sungguh cara dia bertanya. Biasalah di awal perkenalan, kan?

“Aku orang negeri. Kampung aku dekat Jelebu tapi aku baru duduk sana dua tahun,” jawab Fitri ringkas tanpa menyoal kembali. Suasana berubah hening seketika. Masing-masing membisu.

Dari pandangan mata kasar Thia, teman sebiliknya baik-baik saja. Namun dia tidak boleh menilai benda baru dengan cepat. Kadang-kadang apa yang kita lihat lain daripada apa yang sebenarnya. 

Ibunya sering berpesan, kita mesti pandai memilih kawan. Jika kawan baik yang kita pilih kita juga menjadi manusia yang baik. Sebaliknya jika kita bergaul dengan orang yang kurang baik sikapnya, lama-kelamaan kita juga akan terpengaruh sama. Thia benar-benar berharap semoga teman-temannya itu ikhlas hendak berkawan dengannya.

Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hanani Bahadin