Home Novel Cinta Ops! Dia Buah Hatiku
Bab 4

Bab 4


TELEFON bimbit Raihan berbunyi lantang ketika dia melangkah keluar dari makmal fizik. Dia menyeluk tangannya ke dalam poket seluar dan mengeluarkan telefon bimbit yang berjenama Iphone. Tertera nama Hafiz yang sedang memanggilnya ketika itu lantas dia menjawab panggilan tersebut.

Hey, big fella! Kau dekat mana tu? Aku nak jumpa kau sekarang. Kau free tak?” Telinga Raihan menelan suara garau Hafiz yang ceria menyoalnya.

“Aku dekat depan lab ni. Apa hal kau nak jumpa aku?” Raihan bertanya macam nak ajak bergaduh.

“Aku nak hantar laptop aku dekat kau. Ada problem sikit. Kita jumpa di kafebawah. Kita makan-makan sekali,” jelas Hafiz tenang.

“Okey. Dalam dua minit aku sampai. Kau tunggu aje dekat situ sampai aku datang. Assalamualaikum.” Sejurus itu, dia menuju ke kafe untuk bertemu dengan Hafiz yang merupakan teman baiknya dan mereka juga sudah berkawan sejak kecil lagi. Nasib mereka baik kerana dapat melanjutkan pelajaran di satu universiti yang sama walaupun berlainan kursus.

Secara tidak langsung hubungan dia dan Hafiz semakin rapat. Ibu bapanya pernah menyarankan agar menyambung pelajaran di luar negara namun ditolaknya bulat-bulat. Bagi dia, belajar di dalam atau di luar negara sama sahaja. Yang penting adalah niat belajar itu sendiri.

Raihan sengaja memilih universiti ini kerana ramai di antara rakan-rakannya di sekolah mengatakan universiti yang hanya menempatkan pelajar berbangsa Melayu ini tidak sama taraf dengan universiti lain di Malaysia ataupun di luar negara. Benarkah?

Oleh itu, dia ingin mencabar dirinya untuk menyambung pelajarannya di sini. Bukan dia tidak menerima tawaran belajar di universiti terkemuka di luar negara namun sengaja ditolak. Dia bernasib baik kerana ibu bapanya langsung tidak memaksa. Lagipun Hafiz juga berjaya menyambung pelajaran di universiti yang sama dengannya.

Dia sudah menganggap Hafiz persis adiknya sendiri walaupun jarak yang membezakan umur mereka hanya tiga bulan. Ibu bapanya juga sudah menganggap Hafiz sebagai anak angkat mereka sementelah Hafiz daripada kecil memang rapat dengan keluarganya dan tambahan pula Hafiz sudah kehilangan ibunya sejak dia berumur tiga belas tahun. Hidupnya sekadar bertemankan seorang adik perempuannya, Hawa dan ayahnya Malik.


HAFIZ yang sedang mengendeng beg komputer riba berjalan menuju ke kafe dengan tenang. Apabila dia ingin turun memijak tangga, dia memalingkan mukanya ke kanan dan seraya itu dia ternampak seraut wajah yang sering mengganggu tidur malamnya sejak beberapa minggu yang lalu.

‘Thia!’ jerit hatinya teruja. Tanpa menunggu walau sesaat, pantas kakinya beralih menuju ke arah Thia pula. Ketika itu Thia baru sahaja keluar dari kelas.

Hafiz betul-betul tidak sangka bahawa Thia sanggup menukar ke kelas lain semata-mata ingin menjauhkan diri daripadanya. Sudah empat minggu dia mencari Thia. Sehari selepas kali terakhir dia bersemuka dengan Thia di taman beberapa minggu yang lalu, dia berasa teruja mahu ke kelas keesokan harinya untuk bertemu dengan Thia namun semangatnya luntur apabila kelibat Thia langsung tidak menjelma.

Oleh disebabkan hatinya meronta-ronta ingin tahu ke mana perginya Thia, dia gegas bertanya kepada sahabat Thia, Lisa. Hampa sungguh jawapan yang diterima. Begitu sekali Thia ingin melarikan diri daripada bersemuka dengannya sehingga sanggup menukar ke kelas lain tetapi hatinya tidak pernah berputus asa. Lagi jauh Thia melarikan diri, lagi pantas dia ingin mengejar.

“Thia!” teriak Hafiz lantang. Thia yang sedang berbual dengan rakan sekelasnya terus mencari suara garau yang menjerit panggil namanya.

‘Bapuk mana pulak yang panggil nama aku tiba-tiba ni?’ hati Thia menggerutu geram. Sejak di dalam kelas tadi, dia gigih menahan perutnya yang menjerit-jerit kelaparan.

“Thia, tunggulah dulu. Thia!” Hafiz bersuara termengah-mengah lantaran mengejar Thia yang semakin laju meninggalkannya di belakang.

Tubuhnya berpaling. Thia kaget apabila melihat Hafiz yang sedang terpekik-pekik memanggilnya. Dia malu dengan keadaan di sekeliling. Semua mata tajam memandangnya seolah-olah dia sedang melakukan kesalahan termasuk Iqa, rakan sekelasnya.

Mahu atau tidak, terpaksa juga dia mematikan langkah. Mencerlang matanya memandang wajah Hafiz. Menyirap darahnya ketika itu. Dia benar-benar rasa menyampah sekarang kerana disebabkan lelaki itu semua orang memerhatikan tingkah lakunya.

“Awak nak apa ni? Saya ada banyak kerja nak buatlah,” tukas Thia dengan nada yang agak keras. Dia cuba menahan suara daripada menengking lelaki di hadapannya. Iqa pula hanya mengerutkan dahi memandang ke arah Thia dan Hafiz bergilir-gilir.

“Saya nak ajak awak keluar makan dengan saya. Awak sudi tak? Hmm… tapi sebelum awak kata tak sudi, saya janji pada awak yang ini kali terakhir kita keluar bersama. No second time. Mark my words.” Hafiz berkata dengan penuh semangat. Dia mengangkat tangannya seolah-olah sedang berikrar. Berharap sangat agar jeratnya kali ini mengena.

‘Thia, kau tengok ajelah nanti. Sekali kau sudi keluar dengan aku, perlahan-lahan aku akan buat kau tergila-gilakan aku,’ bisik akal jahat Hafiz. Dia sudah berfikir di luar kesedaran minda. Otaknya kian berselirat dengan benda-benda keji yang bakal dilakukan terhadap Thia.

Bosan. Thia mengeluh kasar seraya memalingkan wajahnya. Dia menyampah sungguh melihat wajah kasanova yang semakin rakus mengacau hidupnya. Sejenak, kata-kata Lisa beberapa minggu yang lepas bermain di ruang minda. Dia melangut sebentar.

‘Thia, tak semua lelaki di dunia ni jahat tau. Kau tak bolehlah set mind kau macam tu. Tak adil bagi lelaki-lelaki yang memang ikhlas nak berkawan dengan kau. Kalau kau teruskan sikap kau macam ni, nanti ramai lelaki yang berdendam dengan kau, kau nak?’ Thia memikirkan kata-kata itu. Tiba-tiba bahunya digoncang oleh Iqa. Dia kembali memalingkan wajahnya ke arah Hafiz yang menanti dengan penuh sabar.

“Saya hanya akan setuju keluar dengan awak kalau kawan saya join kita sekali. Is that okay with you?” Setuju Thia bersyarat. Manalah tahu Hafiz ada muslihat di sebalik wajahnya yang kacak itu. Resah juga.

Hafiz segera mengukirkan senyuman tatkala mendengar jawapan positif daripada Thia. Bercahaya matanya kerana taktiknya kali ini berjaya. Ternyata Thia sudah termakan dengan janji yang ditaburkan sebentar tadi. Mungkin tuah akan memihak kepadanya kali ini.

“Kalau itu syarat yang awak letak, saya setuju. Lagi ramai lagi seronok kan, cik...” Hafiz sengaja mematikan ayatnya sambil tangannya dihulurkan kepada Iqa.

“Syafiqah, panggil Iqa aje,” Iqa menyambungkan ayat Hafiz tadi sambil menyambut huluran tangan lelaki itu. Dalam diam, dia memuji kekacakan Hafiz yang memikat hatinya.

Thia memaksa bibirnya untuk tersenyum tatkala melihat adegan mesra itu.


RAIHAN berang apabila orang yang dinanti-nantikan belum kunjung tiba. Ikutkan hatinya yang panas mahu saja dia meninggalkan tempat ini. Sudah dua gelas air oren diminumnya dan sepinggan nasi sudah ditelannya namun Hafiz tetap tidak menjelma. Dia cuma bagi masa seminit saja lagi pada Hafiz. Jika Hafiz tetap juga tidak muncul, dia angkat kaki.

Tiba di kafe, Hafiz ingin mencari tempat duduk namun matanya menangkap wajah Raihan yang sedang melilau dan menoleh ke kiri dan ke kanan. Dia hampir-hampir terlupa dengan temu janjinya bersama Raihan.

“Thia, mari kita duduk di meja hujung sana,” ajak Hafiz. Thia hanya membuntuti dari belakang diikuti Iqa yang kemas berada di sisinya.

“Raihan! Sorry aku terlambat sikit. Aku terlupa tadi aku ada kerja nak buat kejap. Lupa pulak nak mesej kau,” bohong Hafiz tanpa rasa berdosa seraya meletakkan beg komputer riba di sisi meja.

Thia yang berdiri hanya memandang kosong ke arah pelajar-pelajar yang sibuk menjamu selera di situ. Dia tidak suka dengan situasinya sekarang ini.

Hafiz segera menarik kerusi untuk Thia dan Iqa dengan gaya yang paling memikat.

Pantas Thia mencebik bibir. ‘Aku ada tangan nak tarik kerusi sendiri lah,’ marah Thia dalam hati. Dia cepat-cepat melabuhkan punggungnya di sebelah Iqa dan dibiarkan saja Iqa duduk bersebelahan dengan Hafiz. Konon ingin menyelamatkan diri sekiranya ada apa-apa berlaku.

“Lama aku tunggu. Naik kematu buntut aku ni tapi kau tak muncul-muncul jugak. Sekali datang bawa awek,” sindir Raihan sambil matanya menjeling pada dua orang gadis yang dibawa oleh Hafiz itu. Dia masih lagi terasa bengang dengan Hafiz yang lewat.

“Aku pun baru terserempak dengan dia orang ni tadi. Bro, aku nak kenalkan kau dengan kawan aku. Yang gorgeous duduk sebelah aku ni Iqa dan yang comel berbaju kemeja kuning tu, Rana Fathiah. Iqa, Thia, ni pula member saya, Raihan.”

“Hai!” Iqa menyapa Raihan ramah namun Raihan hanya melemparkan senyuman kepada Iqa. Thia pula masih memalingkan muka tanpa memandang ke arah rakan yang sedang diperkenalkan oleh Hafiz itu. Dia benar-benar tidak selesa. Menyesal pula dia bersetuju untuk keluar makan bersama Hafiz.

Sejurus itu, Hafiz mengambil pesanan untuk Thia dan Iqa. Hanya suara Hafiz, Iqa, dan Raihan saja yang kedengaran semasa mereka semua menjamu selera. Thia sekadar menadah telinga.

‘Biarlah dia orang berborak. Malas aku nak menyibuk. Aku nak balik!’ hati Thia menjerit. Pinggan ditolak ke tepi tanda seleranya sudah terbantut. Kuku jarinya diketuk kuat di permukaan meja tanda protes. Jelas terpalit di wajahnya yang sedang menahan bosan. Boleh dikatakan sesiapa yang memandang wajahnya ketika ini, rasa mahu lemparkan batu saja.

Dalam melayani perasaan bosannya sendiri, tiba-tiba segelas air tertumpah lalu terkena pada bajunya. Melopong mulut Thia melihat bajunya sudah basah kuyup dek air oren yang melaut menyirami bajunya.

Sorry, sorry!Aku tak sengaja.” Menggelabah Raihan mengelap air yang membasahi baju Thia namun Thia yang terkejut terus saja menjerit.

“Hoi! Apa hal pegang-pegang ni?!” Thia meradang. Nyaring suaranya dilontarkan lantas mengangkat mukanya memandang wajah Raihan. Matanya yang mencerlang memandang Raihan tadi tiba-tiba bertukar menjadi redup.

Dia tersentak. Anak mata mereka saling bersabung. Degupan jantungnya bergerak pantas seakan baru sahaja menyertai acara balapan. Tubuhnya kaku di situ. Matanya tidak berkelip memandang Raihan yang sedang tajam memandangnya. Aneh situasi yang berlaku kini.

‘Dah kenapa pulak ni?’ Raihan bermonolog. Pelik pastinya melihat Thia seakan tertegun memandang ke arahnya.

Thia tetap tidak menganjakkan matanya daripada terus menatap wajah Raihan. Dia bagaikan terpukau dengan kekacakan jejaka di hadapannya. Tanpa dia sedar, mulutnya terbuka luas seakan dua biji bola keranjang pun boleh muat masuk ke dalam mulutnya itu.

“Thia, apa pasal dengan kau ni? Marah lepas tu senyap pulak. Gila ke?” tegur Iqa lantas menggoyang lembut bahu Thia.

Tersentak. Thia yang bagaikan tersedar daripada mimpi nan indah terus memandang Iqa di sisinya. Dia cuba fahamkan kembali tentang apa yang sedang berlaku ketika ini namun dia masih lagi kabur.

Iqa menolak sedikit dagu Thia ke atas kerana malu melihat Thia yang melopong sejak tadi. Buruk benar rupanya.

Suasana sepi seketika. Thia yang telah sedar dari lamunan yang panjang terus menoleh Raihan, lama. Matanya masih nakal melirik pada mata Raihan, jatuh pada hidung dan berakhir di bibir lelaki itu namun bibir itu sedang mengukir senyuman kepadanya. Sinis dan mengejek!

‘Ya ALLAH! Apa yang terjadi ni? Aku kat mana? Kenapa aku berdebar tengok dia?’ soal Thia sambil tangan memegang pipinya yang makin menghangat. Dia mengerling sedikit dari lewat ekor matanya untuk melihat keadaan sekeliling. Semua orang sedang memerhatikannya.

Tanpa berfikir panjang, Thia terus berlari keluar dari kafe tersebut. Dia mengayunkan langkah tanpa menoleh ke belakang langsung meninggalkan Iqa yang termangu di situ.

Buat seketika, Iqa kaku dan terdiam. Otaknya membeku. Tidak faham dengan tindakan Thia sebentar tadi. Apa yang cuba Thia lakukan???

“Err… sorry guys. I got to go now. See you later. Thanks anyway for the lunch,” ujar Iqa lalu dia juga melangkah keluar dari kafe mengejar Thia.

Hafiz dan Raihan masing-masing sudah berkerut dahi. Insiden pelik itu tadi berlaku dalam sekelip mata sahaja sehingga tiada seorang pun mampu membuat sebarang kesimpulan tentang apa sebenarnya yang berlaku dan kenapa Thia bertindak mendiamkan diri setelah menjerit lantang ke arah Raihan.

Adakah Thia mengenali Raihan? Persoalan itu muncul di benak Hafiz sepintas lalu.


PADA malam itu, Yani mengajak Thia, Lisa dan Fitri makan di luar. Mulanya Thia menolak tidak mahu menyertai namun Yani terus-terusan memaksanya.

“Thia, kau tak sihat ke hari ni? Aku tengok kau asyik termenung saja. Tadi kita orang ajak kau keluar pun kau tak nak. Kau ada masalah dengan budak kelas kau ke?” Lisa membuat serkap jarang. Ketika itu mereka baru sahaja selesai menjamu selera.

Thia hanya memandang kosong ke arah kawannya itu. Segala minatnya untuk berhibur sudah hilang sejak keluar makan bersama Hafiz pagi tadi. Rasa debaran yang memukul jantungnya masih belum mahu berhenti setiap kali wajah ‘lelaki itu’ berlayar di mindanya. Dia mengeluh panjang dan kembali menyambung menung. Rasa kesal jelas terpancar.

“Dia ada hal dengan budak kelas dia lah tu. Itulah siapa suruh tukar kelas,” komen Yani pula. Thia terus-terusan diam tidak berkutik. Enggan menjawab soalan Lisa. Tangannya menguis kulit udang yang berbaki di pinggan makannya dengan sudu.

Lisa yang memerhati menggigit bibirnya, geram.

“Kau tengok mata aku sekarang!” arah Lisa sambil memegang kejap kedua-dua belah bahu Thia. Dia memandang anak mata Thia dalam-dalam. Menyelami jauh ke dasar hati Thia. Cuba menganalisis apa masalah Thia sebenarnya.

“Aku nampak cinta,” duganya persis ahli nujum yang sedang menilik nasib seseorang. Yani dan Fitri cekap saja ketawa terbahak-bahak. Lisa memang pandai buat lawak yang tak logik.

“Tok Wan kau yang bercinta! Celah mana pulak kau nampak cinta dalam mata aku ni? Gila!” Mendadak Thia menguatkan suaranya lalu ditolak kasar tangan Lisa yang memegang bahunya tadi. Dia baran mendengar perkataan cinta dikaitkan dengan dirinya. Tak mungkin dia jatuh cinta. Betulkah?

“Aku gurau aje. Dah tu, aku tanya apa masalah kau, kau tak nak jawab. Ingatkan dah bisu tadi.” Lisa memandang Thia yang sedang memeluk tubuh. Muka temannya itu seperti menanggung masalah saja.

Akhirnya, Thia mengeluh kecil. Ingin meluahkan perasaan yang semakin membelenggu fikirannya. “Aku tak ada masalah pun dengan budak kelas aku,” jelasnya pendek.

“Habis tu?” tanya Lisa pantas.

“Hmm... aku asyik fikirkan seseorang aje daripada petang tadi. Entahlah,” jawab Thia lambat-lambat. Dia sendiri bingung dengan perubahan dalam dirinya. Mengapa dia jadi begini?

Lisa mula memahami maksud Thia.

“Kan aku dah cakap tadi. Aku nampak cinta dalam mata kau tu. Ada hati nak nafikan benda yang sudah terang lagi bersuluh. Aku dah tilik tadi, kan?” Lisa berkata bangga seolah-olah mengiakan kebolehannya menilik nasib.

“Tapi aku tak rasa aku dah jatuh cinta. Cuma aku… aku… rasa aku suka tengok dia aje,” luahnya tersekat-sekat. Sungguh gugup jiwanya sekarang! Lantas dia menggigit bibirnya, malu. Tidak sangka sahabatnya itu bijak membuatkan dirinya terperangkap dengan kata-katanya sendiri.

“Kau serius? Kacak ke dia tu?” Yani mencelah masuk.

“Aku baru jumpa dia sekali. Itu pun sekejap aje. Aku tak pernah ada perasaan macam ni. Ini kali pertama hati aku nervous sangat bila tengok seorang lelaki. Aku tak fahamlah,” jelasnya dengan nada yang bergetar. Cuba mengawal gelodak perasaannya.

“Ala, normal lah tu. Itu tandanya kau straight dan bukan senget,” komen Fitri tanpa menoleh Thia di sisi. Dia menyeluk barli di dalam cawan minumannya menggunakan sudu lalu disuakan ke dalam mulut.

“Thia, aku betul-betul tak sangka akhirnya kau boleh suka pada seseorang. Aku ingat hati kau tu keras sangat tapi tidaklah sekebal mana. Teringin pulak aku nak kenal siapa lelaki bertuah tu. First time dapat cairkan hati seorang perempuan yang tak pernah dicairkan oleh mana-mana lelaki dengan hanya sekali pandang aje. Fuh! Betul-betul hebat lelaki tu,” seloroh Lisa pula. Dia tersengih penuh makna.

Thia hanya mencebik mendengar kata-kata Lisa tadi. “Tak hebat mana pun. Ala… aku rasa benda ni sekejap saja. Aku bukan jenis orang yang suka melayan perasaan. Tak reti nak jiwang-jiwang ni. Geli anak tekak aku,” komen Thia separuh tegas. Yakin sungguh dengan kebenaran kata-katanya tadi.

“Okey, aku nak tengok anak tekak kau geli ke tidak nanti. Jangan cakap besar, Thia. Belum kena batang hidung sendiri, bolehlah cakap. Jangan suatu hari nanti kau menangis dekat aku sebab lelaki. Masa tu, aku gelakkan aje.” Suara Lisa kedengaran seperti menakut-nakutkan Thia. Dia ingin lihat sejauh mana Thia dapat mengelak daripada rasa cinta.

Thia tidak peduli langsung dengan ugutan Lisa itu. Dia gelak saja. “Aku harap perasaan ni singgah sekejap saja dalam hati aku. Aku tak nak terbeban dengan masalah-masalah remeh macam ni. Ibu aku pesan datang sini dengan niat untuk belajar. Bukan menyemakkan otak fikir pasal cinta. Insya-ALLAH… kalau niat aku betul, aku akan berjaya. Benda lain kena tolak ke tepi dulu,” katanya bersemangat.

‘Ya, aku akan buang perasaan ini daripada terus berleluasa di dalam hatiku. Aku akan sekat perasaan ini. Aku tidak mungkin jatuh cinta. Harapan ibu tidak boleh disia-siakan,’ janji hati kecilnya.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hanani Bahadin