Bab 22
RAIHAN termenung di perbaringannya. Matanya masih tidak mengantuk walaupun
badannya dibebani rasa letih yang teramat sangat. Sehari suntuk badannya tidak
berehat di atas tilam.
Waktu ini, dia bukan berehat di atas tilam tetapi
sekadar beralaskan tikar mengkuang yang nipis di dalam khemah.
Itu pun macam orang
gila dia dan Hafiz curi-curi ambil di luar yang pada awalnya tikar itu
digunakan untuk mengalas peralatan memasak dan makanan yang berbaki malam tadi.
Raihan merengus kecil. Gadis itu masih berlegar-legar
di mindanya. Ternyata Thia tidak menegurnya langsung apabila dia minta gadis
itu supaya jangan pedulikannya.
Dia berasa lega kerana seburuk-buruk Thia,
gadis itu masih mendengar kata. Mungkin malas mahu memanjangkan perbalahan.
Raihan masih tertanya-tanya dan musykil dengan sikap Thia
yang sering dingin dengannya. Seumur hidup, dia tidak pernah mencari musuh dan
tidak pernah bermusuh apatah lagi dengan perempuan.
Dia bukanlah dungu untuk
menilai sikap seseorang dan Thia boleh dikatakan seorang gadis yang cukup
membenci dirinya walaupun dia sendiri tidak tahu hujung pangkal mengapa gadis
itu begitu membencinya.
‘Aku pernah kenal dia ke sebelum ni? Tak mungkin. Aku
ingat dengan siapa aku pernah berkawan. Tapi… kenapa Thia benci aku? Aku ada
buat salah pada dia ke? Atau masa tadika dulu aku pernah curi getah rambut dia?
Ah! Aku nak curi pun buat apa? Aku bukannya ada rambut panjang pun. Lainlah
kalau aku curi duit dia, tapi aku taklah miskin sangat sampai kena pergi
mencuri duit orang,’ hati Raihan berbicara panjang.
Tiba-tiba ada suara berbisik kepadanya.
‘Ala… apa yang kau nak sibuk sangat? Dia tu bukannya
siapa-siapa. Kalau dia tak suka pada kau, biarkan saja. Buat tak tahu sudahlah.
Yang kau nak kalut sangat, kenapa?’
Raihan membalas kata hatinya. ‘Aku bukan apa. Aku tak
suka cari masalah dengan orang. Lagi-lagi dengan awek. Cantik pulak tu.’
‘Cantik? Bukan kau kata perempuan tu macam budak cina
jual sayur depan rumah kau ke?’ Suara itu berbisik lagi.
Raihan ketawa mendengar kata hatinya. ‘Memanglah aku
cakap muka dia macam budak cina jual sayur sebab budak cina jual sayur depan
rumah aku tu memang cantik. Muda lagi baru 17 tahun. Cuma aku tak habiskan ayat
aku tadi.
Lagipun, Hafiz kan dah cop dia dulu. Aku malas nak berebut ni. It’s
just worthless!’ kata hati Raihan terus berbicara. Entah mengapa… dia teringat
kembali perbualannya bersama Hafiz sebentar tadi.
“AKU
nak tukar group dengan kau, boleh?” Hafiz menyuarakan hasrat tatkala
usai aktiviti malam tadi.
“Tukar group? Tukar macam mana?” Raihan
mengerutkan dahinya.
“Why don’t we make this trip more interesting. Kau
masuk group aku, aku masuk group kau. Then, kau escapedaripada
kena denda. Biar aku saja yang kena denda. Kau kan, kawan baik aku,” ujar Hafiz
penuh dengan makna yang mendalam.
“Murninya hati kau. Terus-teranglah yang awek kau ada
dalam group Raihan tadi, kan?” Farris mencelah lalu menepuk belakang
badan Hafiz perlahan.
Mendengar usikan Farris itu, Raihan dapat menangkap niat
di sebalik ‘pertolongan’ yang cuba dihulurkan oleh Hafiz.
“Suka hati akulah kalau ya pun ada awek aku dalam group
dia. Kau susah ke tengok aku senang hati?” balas Hafiz sedikit berang. Masam
mencuka wajahnya.
“Relakslah, bro. Asal cepat sangat nak
melenting? Aku gurau aje,” Farris memujuk. Hairan melihat Hafiz tiba-tiba
meninggikan suara. Niatnya hanya untuk menyakat kawannya itu. Tidak sangka
Hafiz menganggapnya serius. Suasana menjadi sepi seketika.
“Sebab Thia?” Raihan meneka. Anak matanya dikecilkan
memandang Hafiz yang menekur pandang ke bawah dan Hafiz mengangkat wajahnya
apabila nama Thia disebut. Dia cuba berlagak bodoh.
“Sebab Thia ke kau nak tukar group dengan aku?”
duga Raihan lagi.
Hafiz mengeluh kasar. “Yalah. Sebab apa lagi. Lagipun
kira okey apa aku nak tolong kau dari kena denda. You should thank to me,”
Hafiz berkata megah.
Dia tahu bagaimana mahu memancing Raihan kerana sejak dulu
lagi Raihan tidak suka didenda dan tidak pernah didenda. Bukankah Raihan
pelajar terbaik?
“Aku ingat kau ikhlas tolong aku sebab aku kawan kau,
hmm… rupanya ada udang di sebalik batu,” Raihan menyindir Hafiz. Dia
benar-benar terasa diperalatkan oleh Hafiz untuk mendekati Thia.
“Bro, aku menyelam sambil minum air. Aku tolong
kau, dalam masa yang sama aku nak try Thia. Maksud aku… aku nak approach
dia. Kau tahu kan, aku suka pada Thia tu.” Hafiz berkata jujur.
“Siapa Thia? Oh… ada awek cun kau orang senyap-senyap aje
dengan aku, kan? Macam ni lah kawan nak makan sorang-sorang. Eh, Thia tu yang
berdiri sebelah kau masa kau dekat depan tadi tu ke?” Farris menyampuk apabila
ada nama perempuan yang tidak dikenali meniti di bibir kawannya.
Dia menoleh sambil
mata memandang Raihan pula.
“Haah. Kau kenal ke?” jawab Hafiz bagi pihak Raihan.
Dia tidak suka sekiranya ada lelaki lain yang turut mengenali Thia walaupun
Farris.
“Aku main teka aje. Senang sangatlah nak kenal. Dah
perempuan tu yang paling cun. Serius, bro. Lupa sekejap aku pada Husna,”
getusnya bersemangat memuji kecantikan Thia. Bibir tersenyum meleret.
Wajah Hafiz berubah. Terjegil biji matanya memandang
Farris yang sudah senyum seakan gatal saja gayanya. Dia marah!
“Kenapa kau senyum? Take my advice for free. Tak
payahlah kau mimpi nak dapatkan dia. Kau simpan sajalah Husna kau tu baik-baik.
Kau takkan dapat Thia dari aku,” jelas riak tidak puas hati terpamer di raut
wajahnya namun Farris hanya mencemikkan muka.
“Ada aku kisah?” jawab Farris selamba.
Raihan terkesima. Matanya tajam menyorot ke arah Hafiz
dan Farris.
“Cop, cop, cop. Kau orang ni dah kena rasuk hantu
minyak tanah ke? Setakat perempuan macam tu kau orang nak berebut-rebut? Dia
tu, jangankan sebelah mata, sebelah hidung pun aku tak nak dia dekat dengan
aku.
Dahlah, baik kau orang tidur daripada tercangak kat sini bercakap pasal dia,”
dengus Raihan. Dia mula terbongkok-bongkok mengemas tempatnya tidurnya dan
mengambil kain pelekat untuk dijadikan bantal dan baju sejuknya dijadikan
selimut.
“Bro, jadi kau setuju tak, nak tukar group
dengan aku esok?” soal Hafiz masih belum berpuas hati selagi tidak mendapat
jawapan yang jelas daripada Raihan.
“Boleh ke main tukar aje? Aku malaslah nak cari
masalah. Karang Encik Mokhtar tu dapat tahu, kan niaya tak pasal-pasal.
Lagi-lagi Encik Mokhtar tu kenal sangat dengan aku. Kantoi free-free aje
nanti bila esok dia tengok kau yang tercongok dalam kumpulan tu. Bila masa
pulak aku buat plastic surgery dekat dalam hutan ni,” Raihan memberi
alasan. Dia melihat Hafiz sudah menggaru kepala.
“Tu… tak jadi masalah. Aku boleh handle.
Sekarang ni cuma ikut kau saja. Kau setuju atau tak? Kalau kau setuju, biar aku
settle dengan Encik Mokhtar.”
“Senangnya kau cakap. Benda merepek apa kau nak
beritahu kat Encik Mokhtar? Aku sakit semput? Badan aku gatal-gatal kalau aku
pegang buluh?” duga Raihan seperti membuakkan rasa marah.
“Kau menggelabah tak pasal-pasal aje. Ini Hafiz tau.
Budak paling cerdik putar belit. Kan aku cakap, aku boleh settlekan. You
just need to say, yes!”
Raihan terdiam. Kelu lidahnya untuk membidas. Dia
tidak tahu sama ada perlu ataupun tidak untuk dia akur dengan permintaan Hafiz.
Dia sendiri tidak tahu mengapa ada sesuatu yang menghalang dirinya untuk terus
berkata, ya.
Bagaikan ada kuasa veto yang menahan akalnya untuk memberi arahan
kepada mulutnya untuk berkata setuju. Dia benar-benar berada dalam
persimpangan. Dia menjadi was-was dengan kata hatinya. ‘Apa yang perlu aku
putuskan? Ya atau tidak?’
“Tengoklah dulu. Esok pagi aku beritahu. Sekarang aku
nak tidur.” Akhirnya Raihan memberi jawapan tergantung. Dia meneruskan
perbaringannya. Dia berdoa semoga Hafiz tidak lagi menyoalnya apa-apa.
Hafiz merengus kasar. Serta-merta dia bangun dan
keluar dari dalam khemah. Jelas reaksinya yang sedang marah dengan jawapan
Raihan tadi.
Raihan hanya memandang tanpa memberi apa-apa respons.
Memang sikap Hafiz terlalu panas baran. Gagal mendapat apa yang diinginkan,
pasti menjemput api kemarahan buat lelaki itu.
“Hafiz bengang dengan kau. Kenapa kau tak setuju aje?
Kau taulah Hafiz tu baran. Kau tengok tadi, aku baru aje nak bergurau, dia dah sound
macam tu. Gila betul mamat tu pada Thia. Aku pulak naik tension tengok
dia,” komen Farris. Dia turut rebahkan badannya di sisi Raihan.
Dia sebenarnya
tidaklah rapat sangat dengan Hafiz kerana Hafiz jarang lepak dengannya. Dia
mengenali Hafiz pun melalui Raihan.
“Aku bukan setakat naik tension. Aku rasa kaki
aku pun nak naik atas kepala dia. Kemaruk sangat dengan Thia tu. Dah kena nasi
kaki kut,” tuduh Raihan.
“Nasi kangkang lah,” tegur Farris, membetulkan. Dia
tergelak kecil mendengar Raihan tersasul menyebut nasi kaki sebentar tadi. Nasi
kaki itu, nasi letak dekat kaki!
“Tak kiralah nasi kaki ke, nasi kangkang ke, kuku cagu
ke… asal kau faham dahlah. Aku rasa Hafiz tu baik kahwin lagi bagus daripada
dia terus jadi gila talak macam tu. Dapat jugak pahala mendirikan masjid. Hidup
aku pun sejahtera lepas tu,” rancak Raihan protes.
“Mana tak gilanya Si Hafiz tu. Thia tu cantik. Seriously
dude, Hafiz is deadly mad on her right now. You better watch him out!”Farris
berkata tegas.
Raihan diam memikirkan kata-kata Farris sebentar tadi.
Ada kesahihan dalam kata-kata tersebut. Nampak seperti Hafiz beria-ia merebut
cinta Thia. Namun dia sedikit keliru.
‘Adakah Hafiz benar-benar sudah jatuh cinta atau masih
macam dulu? Hanya bermain dengan cinta. Ikhlaskah dia suka pada Thia? Dan aku
sendiri, kenapa susah sangat aku nak bagi Hafiz tukar kumpulan dengan aku?’
RAIHAN tersentak dari lamunannya apabila Hafiz membuka zip khemah mereka. Dia lantas
menutup mata rapat-rapat dan serentak itu hidungnya diterjah dengan bau asap
rokok. Mungkin Hafiz keluar tadi bagi melepaskan tekanan perasaan, detik
hatinya. Selepas itu, matanya terus terlena apabila dengkuran Farris menjadi
irama tidurnya.
***