Home Novel Cinta Ops! Dia Buah Hatiku
Bab 23 (P2)

Bab 23 (Part 2)

“THIA… saya nak cakap sikit dengan awak,” rayu Hafiz langsung menarik tangan Thia. 

Ketika itu mereka dalam perjalanan pulang ke khemah apabila sebuah rakit telah berjaya disiapkan dengan hasil tangan yang cukup kemas walaupun mereka yang menghasilkannya bukan daripada mereka yang berpengalaman. Tepat pukul 6.00 petang mereka mula bersurai.

Sebenarnya, kerja yang sepatutnya boleh siap lebih awal menjadi lambat gara-gara Thia yang terkial-kial mengikat rakit. Dia memang tidak boleh mendatangkan untung.

“Aduh! Nak apa lagi awak ni? Rimas tau tak… rimas!” jerkah Thia kasar. Dia merentap tangannya dari pegangan Hafiz. Mukanya kelat dan berbisa. Bosan barangkali dengan sikap Hafiz yang tidak pernah jemu mengacaunya.

Suasana makin sunyi dan sepi di situ. Hafiz sempat mengerling kawan-kawannya seketika yang makin menjauh. Misinya bakal terlaksana apabila hanya ada dia dan Thia saja di situ.

“Thia sudi tak jadi girlfriendsaya? I’m in love with you, Thia. No doubts!” sapanya tanpa rasa gentar. Dia tidak mahu berkias-kias lagi. Dia letih mengejar Thia yang sentiasa berkeras hati dengannya.

Thia melongo mendengar kata-kata Hafiz itu tadi. “What the…? Eh, awak dah gila ke apa?” tengking Thia melulu. Dia mula memalingkan tubuhnya ingin meninggalkan Hafiz. 

Hanya beberapa langkah, dia terasa tangannya direntap kembali.

“Thia, tolonglah. Saya betul-betul sukakan Thia. Kenapa Thia susah sangat nak faham?” luahnya tanpa dipaksa-paksa. Tindakannya sudah di luar kawalan.

“Kau ni gila! Kau lepaskan aku sekarang. Kalau tak aku menjerit! Lepas!” Thia mula beraku kau. Dia meronta-ronta minta dilepaskan namun pegangan Hafiz semakin kejap dan kukuh. 

Sakit sudah pergelangan tangannya. Sejurus itu, dia teringat pisau Rambo di dalam beg. Ahah! Keselamatan diri makin terjamin.

“Saya takkan lepaskan Thia selagi Thia tak balas cinta saya,” ujarnya berbaur ancaman. Dia menarik Thia lagi rapat. Thia pula semakin resah. Panik! Lebih-lebih lagi sekarang dia berada di dalam hutan. Berdua-duaan saja dengan Hafiz yang sudah pun berubah seperti singa kelaparan kasih sayang.

“Okey, relaks dulu. Tarik nafas, lepaskan tangan saya. Saya tak boleh jawab kalau awak macam ni. Takut tau tak!” Thia berdalih. Dia tidak mahu berkasar. 

‘Karang dia heret aku ke dalam semak, lagi haru. Ya ALLAH… lindungi hamba-Mu ini,’ mohon Thia bermunajat kepada Tuhan. Sungguh, dia mula ketakutan.

Hafiz mula melonggarkan cengkaman pada tangan Thia. “Thia terima saya tak sebagai kekasih Thia?” tekannya lagi. Dia mahu Thia menyatakan ‘ya’ saja. Sekalipun Thia tidak menerima, dia akan paksa Thia dengan kekerasan. Biarlah apa pun yang terjadi.

Thia menelan air liurnya, pahit dan masam. 

‘Dia ni cakap senang aje. Kut ya pun nak ajak couple, bagilah teddy bear ke, bunga tahi ayam dekat tepi-tepi ni pun aku bantai aje. Tak ada inisiatif langsung nak mengurat cara mahal. Ni nak menggertak pulak. Apa muka aku ni ada iras-iras penyangak antarabangsa ke?’ Thia merungut di dalam hati.

“Macam mana saya nak suka awak? Terima cinta awak? Awak ni suka memaksa. Takut saya nak terima. Take it easy, okay? Mengucap. Takkan lari gunung dikejar,” Thia masih bersikap tenang. Dia harus tenang untuk menenangkan Hafiz yang sekarang tidak ubah seperti perogol bersiri 7. Lantas jarinya dipetik dan menyambung kata lagi.

“Ha… apa kata kita pergi makan dulu. Perut kenyang, hati pun berbalas sayang,” ajak Thia pantas. Dia tergelak dalam hati. Peribahasa mana yang dia kutip pun, dia tidak tahu.

“Thia ingat saya ni budak kecik?” Hafiz tenang berkata. Dapat menangkap jerat Thia. Sesungguhnya dia bukan budak 5 tahun yang berhenti menangis apabila disogok dengan gula-gula.

Thia gigit jari. Tak sangka Hafiz itu cerdik orangnya. Ingatkan sama adik-beradik dengan MR. Bean. Oh, tersalah menduga rupanya.

“Awak, saya janji saya takkan lari. Lepaskan tangan saya, boleh? Awak tak kesian pada saya ke? Darah saya tak mengalir dengan baik kalau awak asyik genggam nadi saya. You’re hurting me. The circulation is stuck in here. You know the biology rules,” Thia berpura-pura marah pula. Matanya sengaja dibesarkan lagi.

Hafiz makin rakus merenung Thia dengan pandangan yang sukar diertikan. Dia benar-benar terpikat dengan Thia. Bibir Thia yang merah-merekah dijeling tajam. Thia nampak lebih menyerlah hari ini.

“Thia nampak cantik sangat. Kenapa?” Tiba-tiba Hafiz bersuara romantis. Dia memandang tepat anak mata Thia. Tangan kanannya cuba menyelak rambut Thia ke belakang, sedikit menggoda. Namun Thia cepat-cepat menjauhkan kepalanya.

‘Aku tengah marah, dia masih lagi nak menggoda aku. Sah, kau ni gila hukum masuk Hospital Tampoi! Tak pun kau tinggal terus dalam hutan ni, kawan dengan beruk sebab perangai kau dengan beruk tak jauh beza pun,’ Thia mendongkol geram dalam hati. Mahu dilepaskan kata-kata itu, bimbang dia menjadi korban nafsu serakah Hafiz pula.

I’m begging you now. Please let me go. I will not trying to escape. Trust me,” pujuk Thia lembut. Dia menganggukkan kepalanya apabila wajah Hafiz jelas menunjukkan bahawa lelaki itu masih tidak percaya.

“Okey, saya lepaskan.” Hafiz akhirnya melepaskan cengkaman. Percaya pada Thia.

Selamat! Thia menghempas nafas lega. Dia mengurut sedikit pergelangan tangannya bagi memastikan darah mengalir seperti biasa. Hafiz pula masih setia menanti jawapan Thia. 

Suasana menjadi hening. Diam Hafiz… diam menanti, diam Thia… diam mengatur strategi.

“Kan lebih selesa berbual macam ni. Sekarang awak tarik nafas panjang-panjang dulu supaya otak awak terima oksigen dengan baik. Macam ni.” Thia menghela nafasnya lama dan melepaskannya dengan pantas. Mengajar Hafiz supaya bertenang.

“Sekarang awak buat pulak,” arah Thia bersemangat sedangkan hatinya bergolak hebat! Dia takut sekiranya taktiknya tidak menjadi.

“Okey, sayang,” jawab Hafiz mengikut kata. Bebola matanya bersinar-sinar. Dia mula lakukan seperti apa yang dilakukan oleh Thia sebentar tadi. Dalam pada masa yang sama, Thia mula mengira 1,2,3 di dalam hati. Dia ingin melarikan diri ketika Hafiz sedang menghela nafas.

Apabila Hafiz mula menutup mata, Thia pun berpaling dan berpusing melarikan diri sekuat hatinya. Apa pun yang terjadi, dia takkan biarkan Hafiz berjaya mendapatkannya. Laju kakinya melangkah sehingga mengeluarkan bunyi.

Hafiz tersedar apabila derap tapak kaki Thia kedengaran menyapa di telinganya namun ketika itu Thia sudah lima belas meter jauh darinya. Dadanya berombak kencang. Tidak sangka Thia sampai hati menipu dirinya. Ah! Dia sekadar diperdayakan!

***

Previous: Bab 23 (P1)
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hanani Bahadin