Bab 6
JAM
4.00 petang, Hakimi bangun dengan ceria. Manakan tidak ceria, tidurnya sampai
ke petang. Dia bersiap-siap mahu bersiar-siar di taman berdekatan. T-shirt
levis berwarna merah terang disarung ke badan. Track short putih dan
kasut sukan Adidasdisarung ke kaki. Sambil berjalan menuju ke pintu
pagar rumahnya, cap diletakkan atas kepala.
Laluan pejalan kaki di kawasan perumahan itu
disusuri. Awal petang begitu tidak ramai yang beriadah di kawasan taman.
Sepuluh minit kemudian dia sampai di kawasan riadah Taman Botanik, taman yang
bersebelahan dengan kawasan perumahannya.
Sedang berjalan, dia terdengar seperti ada
sesuatu menghampirinya dari belakang. Dia segera menoleh. Dia terkejut.
“Argh...” jerit Hakimi kemudian. Dia sudah pun terjatuh di atas jalan dan tangannya
terkena batu yang menjadi penghadang jalan itu. Dia mengerang kesakitan.
‘Bodoh!’ marahnya di dalam hati. Anjing yang melompat tinggi di sebelahnya tadi
sudah berlari jauh ke depan. Dia terkejut melihat anjing itu tiba-tiba melompat
bagaikan mahu menerpanya.
Sebenarnya anjing itu cuba menangkap piring
terbang yang dilontarkan tuannya. Tapi tak pasal-pasal piring itu terbang
berhampiran Hakimi. Mahu tidak luruh jantungnya. Anjing itu begitu besar. Ah,
kecut perutnya.
Seorang remaja lelaki India berusia 14 tahun
menghampiri Hakimi. Dia menundukkan sedikit badan dan meminta maaf kepada
Hakimi sebelum berlari mengejar anjingnya yang sudah jauh ke depan.
Hakimi menggeleng. Dia tidak puas hati dengan
suasana seperti itu.
Ila yang sedang berbasikal menghampiri Hakimi
yang masih terduduk menahan sakit. Dia pun terkejut melihat anjing itu melompat
di belakang Hakimi tadi. Mujur perkara yang lebih buruk tidak terjadi. “Awak
okey?” tanya Ila sebaik turun dari basikalnya dan menghampiri Hakimi.
Hakimi memandang Ila dengan muka menahan sakit.
Dia rasa ada bahagian tubuhnya yang cedera. Tetapi tidak tahu bahagian mana.
“Cuba luruskan kaki awak,” arah Ila. Manalah
tahu kaki lelaki itu terseliuh setelah jatuh.
Hakimi menurut. Memang kaki dan punggungnya
terasa sengal. Hisy! Kalau mereka bukan tinggal dalam negara demokrasi dan
harus menghormati hak berbilang bangsa, sudah lama anjing itu ditembak.
Menyusahkan orang aje.
“Sakit?” tanya Ila sebaik melihat Hakimi sudah
meluruskan kakinya.
Hakimi menggeleng.
“Saya bantu awak bangun. Kita duduk kat sana
sekejap,” kata Ila sambil menunding bangku tidak jauh di tepi mereka.
Hakimi mengangguk. Sudah ada orang hendak
memberi bantuan, baik jangan banyak cerita. Beberapa orang yang berada di taman
itu bukannya mahu menolong. Hanya tahu menonton dan tergelak sesama mereka
sambil berbisik. Geram!
“Nak pergi klinik ke? Depan tu ada klinik
kesihatan,” tanya Ila sebaik Hakimi duduk di atas bangku kayu.
Hakimi menggeleng.
Ila menggaru dahi. Lelaki di hadapannya ini bisu
ke? Daripada tadi senyap sahaja. Tetapi dia cam wajah itu. Sengaja dia
buat-buat tidak kenal. Kalau ditegur nanti, bimbang terjadi seperti malam tadi.
“Awak nak pergi klinik tak?” tanya Ila sekali
lagi.
Hakimi menghembus nafas kasar. “Tak payahlah,
sikit aje,” jawab Hakimi sedikit keras. Gadis yang membantunya ini banyak cakap
pula. Rimas rasanya dalam sakit-sakit begitu terpaksa menjawab banyak
pertanyaan.
Ila tersenyum. Bersuara juga rupanya. “Tapi
belakang tangan awak tu luka,” beritahu Ila. Dia baru nampak luka itu sebaik
Hakimi menyengetkan sedikit duduknya. Dari air muka lelaki itu, Ila tahu lelaki
itu sedang menahan malu dengan egonya.
Hakimi memusingkan sedikit belakang tangannya.
Ah, ini yang dia tidak suka. Pasti berparut nanti. Besar juga luka itu.
Patutlah daripada tadi terasa pedih dan sakit.
Ila pantas mendapatkan botol air mineral di
basikalnya. Penutup botol itu dibuka. “Hulurkan sikit tangan awak,” arah Ila.
Dia sudah bersedia mahu membasuh luka di belakang tangan Hakimi. Daripada
membiarkan darah itu terus mengalir dan luka Hakimi dijangkiti kuman eloklah
dibersihkan.
Hakimi memandang Ila. Mahu tidak mahu dia
menurut juga. Nasib baik terjumpa jururawat percuma ini.
Ila mencurah air dari dalam botol itu
perlahan-lahan.
Hakimi mengerang kecil sambil punggungnya
sedikit terjungkit menahan rasa pedih.
“Okey dah bersih. Awak ada sapu tangan?” tanya
Ila.
Hakimi mengangguk dan segera menyeluk ‘key’ yang
berada dalam poket belakang seluarnya. ‘Key’ itu diserahkan kepada Ila.
Ila membuka lipatan kain empat segi itu. Dia
melipat tiga segi dan mengecilkan sedikit lipatan memanjang supaya dapat
menutup luka Hakimi. “Saya rasa elok awak pergi klinik,” cadang Ila. Dia sudah
bersedia mahu terus berbasikal di sekitar taman itu.
“Saya... Hakimi,” beritahu Hakimi. “Nama awak siapa?”
Ila tersenyum. Dia terus bangun dan mengahmpiri
basikalnya. Dia menoleh ke arah Hakimi.
“Saya?”
Ila memandang Hakimi dengan mata yang sengaja dikecilkan. “Sayaaa...” Sengaja
Ila buat Hakimi tertunggu-tunggu. Dia tersenyum lagi.
“Saya ni jiran belakang rumah awak. Yang awak
marah malam tadi,” beritahu Ila pantas.
Kening Hakimi terangkat. Wah, dia betul-betul
terkena hari itu. Malunya dia. “Hal malam tadi tu... saya minta maaf,” ucap
Hakimi. Tengoklah apa yang sudah terjadi dengan dirinya sekarang. Orang tidak
bersalah yang dimarah malam tadi menjadi penyelamatnya hari itu. Argh! Terasa
mahu pindah dari situ pula.
“Itulah, lain kali jangan suka-suka hati aje nak
marah orang. Maaf diterima. Saya pergi dulu,” beritahu Ila.
Hakimi buat muka tidak berperasaan. Memang dia
yang bersalah pun. “Awak... janganlah pergi dulu. Nama awak siapa?”
Ila memandang Hakimi seketika. Perlu ke dia
beritahu siapa namanya? Tak perlulah kot. Biarlah Hakimi tertanya-tanya
sendiri. “Saya rasa awak dah okey, kan?”
Hakimi terus memandang Ila. Dia menggeleng.
Rasanya dia malu hendak berjalan pulang dengan kaki yang terdengkot-dengkot.
Ila memandang Hakimi atas dan bawah. Apa masalah
lelaki di hadapnnya itu lagi?
“Boleh tolong hantarkan saya balik?” pinta
Hakimi walau sebenarnya kurang senang mahu menaiki basikal. Terasa seperti
zaman kanak-kanak pula.
Ila tersengih. “Tak takut ke kalau tiba-tiba boyfriend
saya ternampak dan dia salah faham? Saya takut awak kena pukul dengan kayu
pulak.” Dia sengaja mahu mempermainkan Hakimi. Alah, bergurau sedikit apa
salahnya. Hakimi boleh sahaja marah-marah orang sesuka hati.
“Sayakan sakit. Takkanlah boyfriend awak
tu tak ada mata,” balas Hakimi.
Ila memandang Hakimi. Pandai Hakimi mencipta
alasan. “Okey...” Menumpangkan Hakimi sehingga ke rumahnya bukan masalah besar
pun.
Hakimi tersenyum. Mujurlah gadis di depannya ini
tidak banyak ragam. Jika tidak seksa juga dia mahu balik ke rumah.
Perlahan-lahan dia cuba berdiri. Nasib baik tidak sakit. Hanya terasa
sedikit sengal sahaja. Dia melangkah dengan berhati-hati ke basikal Ila.
Berhati-hati dia duduk di seat belakang. Tiba-tiba dia berdiri semula.
Ila menoleh Hakimi dengan perasaan pelik.
“Kenapa? Tempat duduk tu ada duri ke?” tanya Ila pelik.
Hakimi memandang Ila seketika. Bukan berduri
tetapi dia tidak selesa mahu duduk beralaskan besi tu. “Awak duduk belakanglah.
Biar saya yang bawak,” beritahu Hakimi.
“Hah?” Ila sedikit pelik. Hakimi ni sakit ke
pura-pura?
“Err, saya lelaki. Eloklah saya yang kayuh,”
dalih Hakimi.
“Tapi awak tu sakit,” tolak Ila. Hakimi ini
sudah dibantu banyak pula kerenahnya. Hisy!
“Sikit aje ni. Cukuplah saya malu tadi.
Janganlah bagi orang gelakan saya lagi sebab awak yang bawak saya,” ujar
Hakimi. Ada sahaja alasan yang melintasi akalnya. Asalkan Ila setuju dia akan rasa
menang.
Ila menghembus nafas. Kepala digaru. Boleh ke
Hakimi hendak memboncengnya? Hmm... tak cuba mana tahu, kan? Sudahnya dia
beralah juga.
Hakimi tersengih. Kedudukan mereka pun bertukar.
Dia di depan dan Ila di belakang. Hakimi menaikan kakinya yang sakit ke atas
tempat pengayuh terlebih dahulu, sementara yang sebelah lagi masih bertahan di
atas tanah.
“Awak berat tak?” tanya Hakimi.
Ila menjeling ke langit. Apa lagilah Hakimi ni.
Buat dia rimas pula. “Saya bukan batu konkrit,” jawab Ila.
Hakimi tersenyum sumbing. “Bukan macam tu.
Sebenarnya saya ni tak berapa pandai bawak basikal. Kalau awak berat karang
kita ke longkang.”
Ila buat muka ngeri. Macam tulah pulaknya...
Hisy! Dia rasa tidak sedap hati. Cukuplah Hakimi seorang sahaja yang terjatuh,
dia tidak mahu.
“Kalau macam tu kita tukarlah. Saya tak ada
masalah nak bawak orang berat macam mana pun,” beritahu Ila lurus.
“Eh, tak apa. Kita cuba dulu,” tolak Hakimi.
Jangan mimpilah dia hendak duduk di belakang. Apa jadi sekejap lagi itu lain
cerita. Dia bukannya tidak tahu membawa basikal, cuma sudah lama tidak buat
semua itu sahaja.
Ila diam. Dia kena percayakan Hakimi. Tidak
salah memberi lelaki itu peluang. “Awak duduklah diam-diam. Banyakan baca
bismilah,” beritahu Hakimi sebelum mula mengayuh. Terasa sakit juga kakinya
tetapi ditahan. Dia lelaki, takkan sakit sedikit seperti itupun hendak meraung.
Ila herotkan bibir.
Selepas 15minit akhirnya mereka sampai juga di
halaman rumah Hakimi. Hakimi berjaya mengawal basikal yang dikayuh sebaiknya
walaupun dia terlanggar bonggol dan membuat Ila terjerit kesakitan tadi. Merah
padam muka Ila menahan rasa sakit yang tiba-tiba sahaja menghentak punggungnya.
Dia hanya boleh mengenggam tanggan sekuat hati sahaja. Kalau dipukul Hakimi
dari belakang kerana tidak memperlahankan kayuhan sewaktu melanggar bonggol itu
tadi, pasti mereka terjatuh. Argh... Hakimi, dah tahu awak tu bawak basikal pun
tak stabil, ada hati nak bonceng orang, gumam Ila dalam hati.
Ila turun dari tempat duduk belakang dan
menunggu Hakimi juga turun dari basikalnya.
Hakimi memandang Ila. “Nah, take the bike.
Terima kasih,” ucap Hakimi dengan senyuman.
Ila mengambil basikalnya. Sebelum berlalu sempat
segaris senyuman dihadiahkan buat Hakimi.
Hakimi memerhatikan gadis itu sehingga hilang
dari pandangan. Namanya masih belum diketahui. Dia menggeleng sebelum
terdengkot-dengkot mendapatkan pintu pagar rumahnya.
ILAmasuk
ke biliknya dengan muka letih. Mindanya masih memikirkan apa yang terjadi di
taman tadi. Dia rasa lelaki bernama Hakimi itu memang sengal. Agaknya apalah
rasa hati Hakimi bila mendapat pertolongan daripada orang yang dimarah sesuka
hati malam tadi?
Dia duduk atas kerusi almari soleknya,
menghilangkan rasa kebas di punggung yang masih terasa. Boleh pula Hakimi
melanggar bonggol tadi sesuka hati. Ila tersenyum sendiri dan menggeleng.
20 minit kemudian dia menuju ke balkoni. Pintu
kaca ditolak perlahan. Dia melangkah keluar dan terus bersandar di grill
membelakangkan bilik Hakimi.
“Hai...” sapa Hakimi yang baru keluar dari
biliknya ke balkoni bersama mug di tangan. Walaupun gadis itu
membelakangkannya, daripada baju yang dipakai gadis itu dia tahu itu gadis yang
membantunya tadi.
Ila berpusing ke belakang dan memandang
Hakimi. “Hai...” balasnya sepatah.
“Minta maaflah sebab susahkan awak tadi,” pinta
Hakimi.
Ila hanya diam. Rasanya tiada apa yang hendak
dimaafkan. Hal itu berlaku secara kebetulan dan sebagai manusia yang masih
mempunyai hati dan perasaan, tidak mungkin dia membiarkan Hakimi sendiri dalam
keadaan memerlukan bantuan.
“Awak, tadi tak beritahu pun nama awak. Nama
awak apa, ye?” tanya Hakimi.
“Kenapa nak tahu?” tanya Ila perlahan. Memang
tidak menjadi salah lelaki itu mengetahui namanya, tetapi entah kenapa hatinya
malas hendak memberitahu namanya kepada lelaki itu.
“Kitakan jiran. Takkan saya nak panggil nama
awak hoi, hoi aje?” jawab Hakimi.
Ila mengangguk. Namun, baru sahaja dia mahu
membuka mulut, telefon bimbitnya pula berbunyi. Pantas Ila menjawab panggilan
itu.
Hakimi sekadar memerhati. Minuman dari mugnya
dinikmati sementara menunggu gadis itu habis berbual.
Ila tersenyum sambil berbual dengan orang yang
menghubunginya.
‘Boyfriendlah
tu,’ teka Hakimi sambil mencebikkan sedikit mukanya.
“Okey... saya tunggu kat balkoni,” beritahu Ila
sebelum mematikan panggilan. Dia berjalan ke kanan menghadap balkoni rumah
sebelah. Beberapa minit kemudian, Andrew berdiri di situ.
Hakimi terus memerhati.
“Hai?” sapa Andrew.
“Hai,” balas Ila. Tangannya dilambaikan sedikit.
Andrew yang perasan dengan kehadiran orang lain
di situ menghadiahkan senyuman sebagai tanda hormat buat Hakimi. Perbualannya
dan Ila disambung.
Hakimi membalas. Dia tersenyum melihat mereka
berbual mesra.
“Saya masuk dulu, bye.” Andrew
tergesa-gesa meminta diri.
Ila mengangguk. Dia dan Andrew akan keluar makan
malam pada jam 8.00 malam nanti.
Melihat pemuda Cina itu sudah berlalu pergi,
Hakimi memandang Ila.
“Your taste is not bad,” ujar Hakimi.
Ila tersengih sambil memusingkan badannya
menghadap Hakimi. Apa yang Hakimi maksudkan? Dia tidak faham.
“Boyfriend?” tanya Hakimi.
“Kawan. Kenapa?” jelas Ila.
“Ooo...” balas Hakimi ringkas. Dia tersenyum
sebelum melambai Ila dan berlalu masuk ke biliknya. Terlupa lagi mahu bertanya
nama gadis itu lagi.