SAMBIL duduk bersama ahli keluarga Ila yang
lain, Hakimi memasang telinga. Dia tumpang mendengar kisah Puan Nadia
dirantauan.
Menurut Puan Nadia, semua kemewahan dan
perniagaan mereka lenyap kerana penyelewengan adik-beradik suaminya yang gila
harta. Tanpa memikirkan nasib orang lain, ipar-iparnya mengambil kesempatan
ketika suaminya, Encik Ali sakit. Dengan alasan mahu membantu menguruskan
syarikat kerana kesibukan Puan Nadia menjaga keperluan Encik Ali di hospital.
Encik Ali yang semakin tidak berdaya didesak
pula menandatangani sebuah dokumen. Tanpa menyemak, dia menurut sahaja. Dia
percaya ahli keluarganya tidak akan menipu. Apa lagi menganiaya anak dan
isterinya. Setelah kematiannya, dokumen itu telah mengistiharkan segala
kekayaan yang dimiliki berpindah milik kepada adik perempuannya.
Puan Nadia tidak boleh berbuat apa-apa kerana
dokumen itu sah di sisi undang-undang. Dia juga orang asing yang mempunyai had
batasan untuk bersuara dan menuntut. Demi meneruskan hidup di bumi asing, Puan
Nadia terpaksa bekerja dengan adik iparnya. Adik iparnya berjanji akan menjaga
kebajikan mereka selama mana dia tidak berusaha menuntut semula apa yang sudah
dirampas. Kesengsaraan itu sudah berlalu. Kini Puan Nadia hanya mampu
mengenangnya sebagai pengalaman dalam hidup.
Hakimi memandang Puan Nadia. Pasti bukan itu
sahaja kisah duka wanita itu. Dia rasa pasti ada babak penderaan seperti di
sinetron yang tidak diceritakan wanita itu.
ILA dan Atika sudah siap mengemas peralatan
di dapur. Biarpun kenduri itu tidak semeriah kenduri kahwin, tetapi agak
memenatkan juga. Ramai sanak saudara dan jiran tertangga serta rakan taulan
yang datang.
Kerana kepenatan, Atika memilih untuk merehatkan
diri di dalam bilik sahaja. Ila pula terpaksa melayan Hakimi yang belum mahu
pulang. Biarpun tetamu lain sudah habis pulang.
Ila mengambil tempat di sebelah Hakimi.
Mengingati gadis yang dihantar Hakimi pulang malam tadi, membuatkan Ila kecewa
sendiri. Entah-entah Hakimi pun seperti Andrew, menganggap dirinya seperti adik
sahaja. Cukuplah dia termalu kali itu. Dia mengeluh.
“Mana kawan awak?” tanya Hakimi perlahan. Sempat
matanya mencari kelibat Atika. Namun, gadis itu tidak kelihatan di mana-mana.
“Tidur,” jawab Ila sepatah. Dia masih terasa
hati dengan apa yang berlaku antara Hakimi dan Kirana semalam.
“Kenapa awak tak tidur lagi?” tanya Hakimi.
Kasihan melihat wajah letih Ila. Kalau Mak Leha menerima tawarannya untuk
membiayai khidmat mengupah pembantu rumah secara harian, tidaklah Ila kelihatan
begitu.
“Dah awak tak balik, macam mana saya nak tidur,”
protes Ila.
“Tak sampai hati ke nak biarkan saya balik tanpa
melihat awak?” usik Hakimi.
Ila menjongketkan bibir. Kemudian mata
dikecilkan memandang Hakimi. Dia buat senyum jahat. Dia memandang neneknya.
“Nek... Hakimi nak balik.”
Mak Leha yang duduk tidak jauh daripada mereka
memandang Hakimi.
Hakimi tersengih menunjukkan giginya yang cantik
teratur. Dia terasa seperti hendak menggigit Ila sahaja. Tak apa, tak apa.
Tunggu dia balas balik kejap lagi.
“Nak balik dah?” Suara Mak Leha.
Hakimi melihat jarum jam dipergelangan
tangannya. Dia mengangguk. Sudah pukul 11.00 malam.
“Ila... pergi ambil lauk-lauk yang nenek dah
bungkus kat dapur tu. Bagi Hakimi,” arah Mak Leha.
Tanpa bantahan, Ila ke dapur. Hakimi rasa geram.
Kalau iya pun nak dia segera pulang, janganlah tunjuk sangat. Macam menghalau
pula.
Hakimi bangun dan menyalami seorang demi seorang
ahli keluarga Ila.
Sementara menunggu Ila datang semula Mak Leha
menemani Hakimi di ruang hadapan pintu. Dia melihat Hakimi menyarung kasut.
Hakimi berdiri tegak dan matanya masih mahu
menjengah ke dalam rumah. Senyum jahat diukir sebaik ternampak Ila menghampiri
mereka dengan beg kertas di tangan. “Nek,” panggil Hakimi sebaik Ila berdiri di
belakang Mak Leha.
Mak Leha memandang Hakimi.
Ila juga begitu, mahu tahu apa yang hendak
disampaikan Hakimi.
“Saya selesa berkawan dengan Ila. Kalau...”
Hakimi memandang Mak Leha dan Ila silih berganti. Tetapi pada Ila dia buat muka
jahat. Hehehe... habislah kau gadis arnab!
“Kalau apa?” Mak Leha pandang Hakimi.
Hakimi tersengih buat muka malu-malu.
Ila mengerut dahi. Dia sudah boleh teka reaksi
Hakimi. Pasti Hakimi mahu mengenakan dirinya.
“Saya ingat nak suruh mama datang pinang Ila,”
kata Hakimi.
“Hah?” Ila terjerit.
Mak Leha tersenyum simpul. Dari riak muka Hakimi
dia tahu anak muda itu sekadar menyakat cucunya. Hah, baru padan dengan muka
Ila. Suka sangat mengenakan orang. Sekarang sudah bertemu buku dengan ruas.
Rasalah.
“Kalau baik niat tu, apa salahnya,” balas Mak
Leha.
Hakimi tersenyum mengejek kepada Ila. Yes!
Tak ada bantahan.
“Ish! Tak naklah. Siapa yang nak kahwin dengan
dia?” bantah Ila. Muka sudah dicebikkan. Nak kena patah leher ke mamat ni?
marah Ila dalam hati.
“Helo, girl! I tak cakap pun nak kahwin
dengan you,” ujar Hakimi.
Ila buat muka menyampah bila mendengar intonasi
mengada Hakimi.
“Saya cakap nak meminang aje,” ulang Hakimi.
Ila menggenggam tangan. Memang betul-betul
penumbuk melayang ke muka Hakimi ni.
Hakimi buat muka selamba. Seronok tengok Ila
marah. Hilang perasaan segan bila Mak Leha bagaikan menyokong. Hehehe...
agaknya boleh buli lebih-lebih tak? Tanya hatinya.
“Awak ni kenapa? Terlebih makan kari ke?” marah
Ila.
“Eh, sudah. Hakimi tu bergurau aje,” tegur Mak
Leha.
Ila merengus dan menjeling. “Nah! Ambik ni.” Beg
plastik ditangannya dihulurkan.
“Cubalah berlembut sikit. Nanti mama saya tengok
awak garang macam ni, terus dia tak jadi nak ambil awak buat menantu,” usik
Hakimi.
Ila menjeling. Malas mahu menjawab.
“Nek, balik dulu. Kepala cucu nenek ni dah
berasap,” sakat Hakimi.
Mak Leha tersenyum sambil menoleh kepada Ila di
sebelahnya.
Hakimi menekan hon keretanya sekali sebelum
melambai tangan dan berlalu pergi.
“Nenek ni suka sangat layan Hakimi tu mengarut,”
rungut Ila sambil mengikut neneknya masuk ke dalam.
“Dah tetamu, kenalah dilayan. Bukan dia minta
benda tak elok,” balas Mak Leha.
Ila mengerut dahi. Tidak suka betul mendengar
jawapan itu. “Kalau dia serius macam mana?” Hakimi tu bukannya boleh dipercaya
sangat. Rumah Hanim pun berani ditempuh hanya kerana mahu memujuk dirinya.
Tidak mustahil juga apa yang dikata akan dikota. Waaa... tak mahu!
“Kalau dia serius, untunglah kamu,” usik Mak
Leha.
“Nenek...” bentak Ila separuh merengek. Mana
mungkin dia setuju.
Mak Leha memandangnya. Dia tersenyum lalu
menggeleng.
Ila buat muka begang dan terus ke biliknya.
Bayangan muka Juliesa dan gadis yang Hakimi hantar semalam menerjah ke ruang
fikirannya. Mulalah dia membandingkan dua orang gadis cantik itu dengan dirinya
yang manis-manis gula itu. Memang jahat cara Hakimi mengusiknya tadi. Kalau dia
terus terperasan dan tersyok bagaimana? Ya ALLAH... Tolonglah Hakimi! Jangan
dera perasaan aku macam ni, rayu hati Ila.
Bunyi mesej mengejutkan lamunannya. Ila
memuncungkan bibir. Sudah tahu siapa yang menganggunya waktu itu.
Saya nak tuntut syarat lagi.
Ila mengeluh. Ini lagi satu malapetaka. Dia kena
cepat-cepat lupuskan syarat-syarat itu. Tidak tahan sudah terus dibuli.