Home Novel Cinta Gadisku Rabitta
Bab 27

SEBAIK menyudahkan kerja yang tertangguh semalam, Hakimi keluar meninggalkan Maniera. Rasanya hari itu dia tidak sempat menemani Ila makan tengah hari. Dia tersenyum mengenangkan perang dingin mereka.

Sudah dua malam mereka tidak bersua di balkoni sambil berkongsi melihat bintang di langit dan bergurau senda sebelum masuk tidur. Hatinya rindu semua itu tetapi kesibukan menghalang segalanya.

Pasti marah Ila semakin membukit. Sudahlah dia tidak pandai memujuk. Sampai ke hari ini pun dia masih belum meminta maaf. Betul punya teruklah sikapnya ini. Jika sudah terperangkap dengan tugas, selalu gagal menjaga perasaan orang lain. Telefon bimbit dikeluarkan dari poket seluar.

Jangan tunggu saya untuk lunch. Hari ni saya busy.

Ila tersenyum tawar menerima mesej itu. Sejak mereka bertengkar tempoh hari, Hakimi seolah-olah menjauhkan diri daripadanya. Lantaklah. Dia bukan kisah pun. Begitu lebih baik daripada mereka selalu berkepit setiap masa.

Okey.

Ila menyambung kerja yang tergendala tadi. Buat apa hendak memikirkan Hakimi. Kerja yang ada perlu disiapkan cepat. Dia tiada masa lagi. Bukan senang hendak memotong rekaan serumit itu. Sudah berkali-kali dia mencuba tetapi masih gagal. Bagaimanakah cara yang betul hendak memotong potongan gaun itu agaknya? Ila merenung bentangan kain di atas meja yang selalu digunakan Cdans untuk mengunting pakaian yang mahu diubah suai.

Bella menghampirinya dengan mug di tangan.

“Dahlah, berhenti kejap. Asyik nak siapkan benda tu aje,” rungut Bella. Mug diserahkan kepada Ila.

“Terima kasih... sayang Kak Bella,” ucap Ila. Minuman itu diteguk.

Bella tersenyum. “Nampak gayanya kain yang kau beli tu dah nak habis kau kerjakan, tapi tak jadi juga,” tegur Bella risau melihat percubaan Ila yang masih belum berhasil.

“Itulah, Kak Bella. Macam mana ni?” Ila menggaru kepala. Kalau memotong gaun biasa, pandailah dia melakukannya. Tetapi gaun yang hilang itu mempunyai potongan khas. Kalau mahu ditiru dia perlu menceraikan gaun itu terlebih dahulu, baru boleh melukis polanya.

Bella turut mengaru kepala. Hendak ditolong pun tidak boleh. Dia bukannya pandai membuat baju. Pakai baju bolehlah. Teruklah Ila kali ini.

Cdans masuk dan menghampiri mereka. Dia menggeleng melihat sebahagian kain yang sudah rosak dipotong Ila. Kain itu disentuh.

‘Mahal,’ bisik hati Cdans. Ila yang memandang perilakunya dipandang. “Kesian kau. Nak menipu tapi tak pandai,” ujar Cdans.

Ila tarik muka sambil menyerahkan mug ke tangan Bella. Dia terasa hati dilabel penipu. Tetapi memang itupun yang sedang dilakukan, cuba memalsukan gaun Pasio. Kalau ditangkap Maniera paling tidak pun, dia akan dibuang kerja. Tetapi kalau ditangkap Pasio, silap hari bulan dia disaman kerana meniru rekaan mereka. Fuh... tidak dapat hendak dibayangkan bagaimana huru-haranya episod itu nanti.

“Ke tepi, biar aku yang buat.” Cdans menolak tubuh Ila jauh sedikit daripada meja itu. Pantas tangannya mencapai gunting dan memotong baki kain yang masih tinggal. Untung masih cukup besar. Kalau tidak memang Ila kena membuang duit lagi membeli kain semahal itu.

Ila memerhati tidak percaya.

Hebat betul lelaki lembut itu menggunting kain. Bekas pelajar kolej mana agaknya? Mata Ila tidak mahu berkalih daripada melihat kelincahan tangan Cdans.

Kemudian Cdans mencantumkan bahagian yang dipotongnya atas meja. Dia menarik lengan Ila supaya mendekatinya.

“Yang bahagian dada ni, kau kenalah potong besar sikit untuk jahit smocking,” beritahu Cdans. “Kalau kau potong macam ni.” Dia mengangkat bahagian dada yang dipotong Ila tadi. “Dah siap nanti, kau bagi kucing aje yang pakai masuk pertandingan Ratu Friscos,” tambah Cdans.

Ila tersengih.

“Dah... jangan nak buat iklan gigi depan aku. Ambil ni pergi jahit. Kalau tak siap, memang kaulah yang siap,” arah Cdans sebelum berlalu ke mejanya. Dalam hati dia tersenyum sendiri mengenangkan keberanian Ila memalsukan gaun itu. Entah apa yang bakal terjadi nanti dia pun belum pasti. Tiga minggu mengenali gadis itu, Cdans rasa Ila ada bakat luar biasa.

“Terima kasih,” ucap Ila. Dia terasa hendak memeluk Cdans sebagai penghargaan kerana baru menyelesaikan masalahnya. Tetapi tidak boleh... mereka berlainan jantina.

“Aku tak rasa kau mampu siapkan jahitan smocking dan manik tu dalam masa sehari,” laung Cdans dari mejanya. Dia sedar hanya tangan tukang jahit yang mahir sahaja boleh menyudahkan dua jenis jahitan itu dengan kemas. Lainlah kalau Ila ada mengenali mana-mana tukang jahit yang hebat untuk membantunya. Pasti dia terkejut dengan kemampuan gadis itu menyelesaikan masalah nanti.

Ila buat muka sedih semula. Cakap Cdans itu betul. Bagaimana ni? Tiba-tiba dia teringat neneknya. Yes, nenek boleh tolong aku. Dia tersenyum dalam hati.

Ambik kau Pasio, gaun mahal kau dah kena klon dengan aku. Lagi malang nenek aku tukang jahit kampung tu yang akan sumbangkan jahitan manik juga, gumamnya sambil melipat potongan kain ke dalam beg kertas.

“CANTIK,”puji Kelvin sambil memandang gadis yang dibawa Hakimi ke agensi mencari model itu. Dello memang memerlukan gadis seperti itu untuk mewarnai dunia model.

“Cuba you berjalan ke sana dan buat dua pusingan,” arah Kelvin lagi.

Gadis itu menurut. Kelvin dan Hakimi memerhati.

“Bagus, bagus. Kamu ada bakat. Tapi perlukan banyak latihan lagi.” Kelvin tersenyum puas hati.

Hakimi tersenyum. Memang dia sudah tahu gadis itu berbakat dan boleh menyelesaikan masalah Maniera. Mira sahaja yang tidak mahu percaya. Mata lelakinya tidak pernah tersilap menilai. Mulalah dia mahu berlagak sendiri.

Kelvin menepuk bahu Hakimi. “I pasti dia akan memeriahkan dunia model tak lama lagi. Fotogenik, potongan badan menarik dan ketinggian sempurna,” puji Kelvin berterusan.

“I harap you bukan cakap aje,” ujar Hakimi risau ketua jurulatih model di Dello itu hanya mengampunya.

Kelvin tersengih. “I bukan jenis orang yang cakap kosong. You beri I tiga bulan untuk jadikan dia popular,” beritahu Kelvin sambil mengerakkan sebelah keningnya ke arah gadis itu. Mindanya mula membayangkan masa depan gemilang gadis itu.

Hakimi mengangguk. Hendak membantah pun dia bukan faham tugas seorang model. Ikut sajalah apa yang dikatakan Kelvin.

“Kelvin,you ajar dia cara bergaya untuk seisi photoshoot dulu. Iperlukan dia petang esok,” beritahu Hakimi mengharapkan kerja sama daripada Kelvin sepenuhnya. Kalau Kelvin gagal, dia juga akan gagal. Rosaklah tugasan pertamanya itu. Hmm...

“Kalau macam tu, I kena mula sekaranglah.” Kelvin melambai gadis itu menghampirinya. Melatih seorang modelmemang tugasnya, tetapi kejayaan menjadi model tergantung kepada kemampuan dan kesungguhan gadis itu untuk berjaya. Kalau gadis itu jenis yang perasan bagus, memang seisi latihan mereka akan bermasalahlah nanti.

“Terpulang youlah,” balas Hakimi. Yang pasti masalahnya selesai.

Gadis itu tersenyum di hadapan Kelvin dan Hakimi.

“Eh, apa nama you tadi? Ilupa,” tanya Kelvin. Baru sebentar tadi mereka berkenalan dia sudah hilang ingatan.

“Kirana,” jawab Hakimi bagi pihak gadis itu.

Gadis itu memandang Hakimi lalu mengangguk.

“Nama sudah cantik, orang pun cantik. Mari kita mula buat latihan,” puji Kelvin sambil mengangkat fail berisi maklumat peribadi Kirana yang diisi tadi. Sebenarnya dalam dunia model bukan kecantikan rupa yang diutamakan tetapi sifat unik pada diri. Keunikan Kirana di mata Kelvin gaya lincahnya. Gadis itu pasti seorang yang berani dan sesuai mengayakan apa sahaja jenis pakaian kelak.

“Kita guna bilik tiga. Bilik tu kosong dan besar sedikit,” beritahu Kelvin sambil berjalan menuju ke bilik itu.

Hakimi dan Kirana mengikutnya dari belakang.

“Okey, sekarang you nampak garisan putih yang lurus ni. I nak you jalan ikut garisan ni dengan meletakkan buku tebal atas kepala,” arah Kelvin. Fail ditangannya di letak atas meja dan sebuah buku tebal diangkat dan diberikan kepada Kirana. Latihan asas.

“Tapi buku tu jangan jatuh. Lepas you dah boleh imbang buku tu, baru I ajar cara berjalan seorang model. Masa you jalan tu bahagian belakang you mesti nampak cantik bergerak macam ada spring,” jelas Kelvin sudah memulakan seisi latihannya. Itu proses pertama untuk menetukan lengkok tubuh seseorang itu sesuai menjadi model catwalk atau sekadar model fotografi sahaja. Seorang model catwalk harus bijak mengimbangi tubuh dan cara berjalan agar persembahannya nampak bertenaga dan menarik. Model fotografi pula cukup sekadar pandai bermain dengan bahasa tubuh dan memek muka.

Hakimi hanya mendengar dan memerhati.

30 MINIT berlalu. Kelvin menepuk tangan. “Bagus. You memang cepat pandai,” puji Kelvin. Pertama kali dia mendapat seorang model yang cepat faham cara latihan asas yang diberikan. Kebiasaannya seminggu masa diperlukan untuk mencantikan gaya jalan sesetengah pelatih.

Kirana tersenyum puas. Dia berjaya melakukan latihan asas itu. Nampaknya ada peluanglah dia pergi lebih jauh dalam bidang itu dan meninggalkan kerjaya penuh masalahnya sebelum ini.

“Sekejap lagi I ajar cara bergaya depan kamera. Bagaimana mahu mempersembahkan memek muka dan bahasa tubuh dalam menyampaikan mesej iklan yang you mahu tunjukan,” beritahu Kelvin. Dia rasa Kirana tiada masalah untuk menerima latihan secara berlebihan.

Hakimi memandang jam di pergelangan tangannya. Dia harus pulang ke pejabat semula.

“Kelvin, I pergi dulu. You ajar dia baik-baik,” beritahu Hakimi.

“Okey bos, jangan bimbang,” balas Kelvin dengan senyuman.

“Kirana, saya balik pejabat dulu. Nanti awak dah habis latihan, jangan lupa call,” pesan Hakimi. Dia yang membawa Kirana ke situ, seharusnya dia jugalah yang wajib menghantar gadis itu balik.

Kirana mengangguk. Rasanya dia mahu berada lebih lama di situ. Ada banyak lagi yang mahu dipelajari.

BALIK dari menjemput dan menghantar Kirana pulang dari Dello tadi, Hakimi terus bersandar di sofa ruang tamu rumahnya. Penat. Banyak betul urusan yang perlu diselesaikan. Mujurlah masalah model itu sudah selesai. Esok dia hanya perlu melihat hasil fotografi. Semoga tiada masalah lain pula yang bakal timbul. Dia meraup muka sebelum berdiri.

“Kim, baru balik?” sapa Sarah, kakak iparnya sebaik terpandang Hakimi yang masih dengan pakaian yang dipakai ke pejabat pagi tadi.

Hakimi sekadar mengangguk.

Sarah yang baru turun dari tingkat atas tersenyum. Dia tahu Hakimi sedang berusaha untuk bertahan dalam dunia pekerjaan.

“Kak, macam mana keadaan mama hari ni?” tanya Hakimi sebaik teringatkan mamanya yang masih di hospital.

Pertanyaan Hakimi mematikan langkah Sarah ke dapur. “Mama dah sedar. Tapi, doktor cadangkan dia berehat dua atau tiga hari lagi untuk tenangkan tekanan dalam fikiran dia tu,” beritahu Sarah yang setiap hari terpaksa meluangkan waktu menjaga ibu mertuanya itu di hospital. Rutin kehidupannya juga sedikit berubah beberapa hari itu.

Hakimi mengeluh.

“Kim tak sempat nak tengok mama hari ni. Kim banyak kerja,” adu Hakimi.

Sarah mengangguk. Dia memahami kesibukan Hakimi itu. Suaminya, Firdaus juga sering mengeluh terbeban dengan tugas. Kalau sudah mereka adik-beradik menjadi sebahagian daripada tulang belakang Maniera, pastilah pekerjaan yang terpaksa dilakukan lebih berat berbanding pekerja lain.

“Jangan risaulah, mama faham tu,” pujuk Sarah .

Hakimi mengangguk.

MASUKke dalam bilik, Hakimi terus menuju ke balkoni. Biasanya pukul 10.00 malam Ila masih di balkoni, mengira bintang atau mengintai bulan. Langsir diselak. Dari celah cermin hitam itu dia dapat melihat pintu balkoni Ila terbuka. Bibirnya mengukir senyuman.

Mungkin malam ini dia boleh bercakap dengan Ila. Harapnya masih ada ruang untuk membincangkan salah faham antara mereka. Pintu kaca ditolak. Hakimi melangkah keluar. Dia berdiri di balkoninya sambil bersiul kecil sebagai isyarat memberitahu Ila akan kehadirannya di situ.

Sepuluh minit kemudian, dia nampak budak hamster menarik pintu kaca balkoni Ila. Dia angkat kening.

“Siera... Kak Ila mana?” laung Hakimi. Dia tidak puas hati melihat Siera yang berdiri di situ. Mana Ila? Sudah tidak sudi hendak memandang mukanya di situ ke?

Siera memandang Hakimi.

“Tak ada,” jawab Siera ringkas.

Hakimi mengangkat kening. Pelik, malam-malam begitu Ila tiada di rumah. Ini tidak lain budak hamster sengaja hendak mempermainkan dirinya. Dia tidak percaya Ila tiada. Gadis arnab tu mesti sengaja tidak mahu bersua muka dengannya malam itu.

“Kak Ila pergi mana?” tanya Hakimi. Kalau budak hamster itu menipu, mesti dia teragak-agak hendak menjawab.

“Rumah nenek,” beritahu Siera dengan muka berlagak.

Lorat betul gaya Siera di mata Hakimi. Eeii... geram. Hakimi rasa hendak tarik sahaja kedua-dua pipi Siera. Kau tunggulah sampai jadi adik ipar aku nanti.

“Rumah nenek?” tanya Hakimi sedikit terkejut. Kenapa Ila tiba-tiba ke sana? Mak Leha sakit ke? Dia mula tidak sedap hati. Tetapi kalau Mak Leha sakit pasti Siera pun tiada di situ. Hmm... Ila merajuk sampai ke sana ke? Tak boleh jadi gadis arnab ni. Jauh sangat perginya. Nak kena pujuk bawak balik ni.

Siera mengangguk.

“Kenapa?”

Siera menggeleng. Dia pun tidak tahu kenapa Ila ke sana.

Hakimi mengeluh.

“Abang... selamat malam,” ucap Siera. Dia sempat menghadiahkan flying kiss sebelum menutup pintu kaca.

Hakimi tersenyum melihat telatah nakal gadis kecil itu. Hatinya mahu tahu kenapa Ila ke rumah neneknya? Apa yang berlaku? Kalau malam-malam begini sudah ke sana dengan motosikal, bilalah mahu baliknya? Gadis arnab tu tak kerja ke esok? Takkan merajuk sampai hendak mengelakkan diri daripadanya? Telefon bimbit dari poket seluarnya dikeluarkan.

Awak, kenapa balik rumah nenek tak ajak saya?

Mesej dihantar. Dia menunggu jawapan. Tetapi hampir tiga puluh minit, Ila tidak juga membalasnya. Berangin betul hatinya. Dia punyalah ambil berat akan gadis arnab itu, tetapi masih tidak dipedulikan. Malas mahu menaip mesej lagi panggilan terus dibuat. Tetapi tidak dijawab juga.

Ini betul-betul mendatangkan marah!

“Ini yang terakhir, kalau tak jawab juga... siap kau,” ujar Hakimi pada telefon bimbit di tangannya. Selesai menghantar mesej dia masuk ke dalam menuju ke bilik mandi. Hati yang panas perlu disejukkan.

“SUDAH Ila, menjahit tu bukan boleh ditenun sangat. Nanti loya jadinya. Berpinar biji mata tu. Esok kamu sakit kepala kat tempat kerja. Sambung esok aje,” nasihat Mak Leha. Dia risau melihat Ila terlalu bersungguh menyiapkan jahitan itu. Sudahlah banyak kali jari cucunya itu tercucuk jarum kerana mahu menyudahkan jahitan smocking itu. Manakan tidaknya, kalau sudah malam-malam begitu baru hendak menjahit.

“Tak boleh, nek. Gaun ni nak pakai esok, pukul 11.00 pagi. Kalau tak siap, susahlah,” beritahu Ila. Ini baru jahitan smocking. Jahit manik lagi? keluhnya dalam hati. Kata-kata Cdans siang tadi merasuk fikirannya. Cdans betul dia tidak mungkin menyiapkan gaun itu secepatnya. Matanya memang sudah terasa berpinar. Dua tiga kali juga jarinya sudah tercucuk jarum.

“Kalau nak siapkan juga, tak payah tidurlah kamu,” balas Mak Leha. Dia bukan tidak tahu berapa lama masa diperlukan untuk menyudahkan dua jenis jahitan itu. Mahu mengambil masa sehari lebih lagi.

Ila senyum paksa.

“Nenek tidurlah dulu. Lagipun nenek dah ajar Ila cara nak jahit manik tadi. Lepas ni bolehlah Ila siapkan,” ujar Ila sambil memandang Mak Leha. Kalaulah Mak Leha tahu hatinya mahu mencampakan sahaja gaun itu ke tepi dan mencari tilam serta bantal untuk merehatkan diri. Tengkoknya sudah lenguh mengerjakan gaun yang sehelai itu. Kenapalah pereka gaun itu mereka perhiasan yang menyusahkan seperti itu? Mungkin sebab rekaan dan potongannya mengarutlah yang menjadikan harganya mahal, teka Ila.

“Dua jam lagi kalau tak siap juga, kamu tidur. Sambung esok aje.” Mak Leha mengerut dahi. Degil betul cucunya ini.

Ila akur. Telefon bimbitnya berbunyi. Dia tiada masalah mahu melayan mesej. Siapa pun itu wajib menunggunya menyudahkan jahitan, baru dia akan membaca dan membalas jika perlu. Kalau tidak sabar, tidurlah dulu.

Mak Leha menggeleng. Sampaikan mengangkat telefon bimbit pun Ila tidak mahu.

30 minit berlalu, telefon bimbit Ila berbunyi lagi. Kali ni ada orang yang menghubunginya. Melalui lagu love story yang dikhaskan Ila tahu siapa yang memanggil. Sengaja diabaikan.

“Kenapa tak jawab dulu telefon tu,” tegur Mak Leha yang sudah mengemas peralatan jahitannya.

Ila tersengih. Mahu tidak mahu dia kena terima juga panggilan itu. Tetapi baru sahaja mahu dijawab panggilan itu tamat. Dia buka peti mesej. Baru mesej itu hendak dibalas satu lagi mesej masuk. Dia mengeluh dan membaca mesej itu pula.

Kalau tak nak beritahu kenapa awak pergi rumah nenek, saya pergi sana sekarang!

“Gila punya Hakimi!” rungut Ila perlahan. Hakimi ni selalu sangat menganggu dirinyalah. Dia menjadi semakin tertekan. Kalau lelaki itu bosan sendirian di rumah tiada berteman, pergilah keluar. Jumpa Rudy atau Dion di istana separa syaitan yang mereka seronokkan sangat tu, geram pula hati Ila dibuat Hakimi.

“Kenapa, Ila?” tanya Mak Leha yang terdengar rungutan itu. Cucunya ini kelihatan pelik sepanjang berada di situ. Bagaikan ada yang disembunyikan. Beria-ia menyuruhnya mengajar cara menjahit smocking sedangkan pekerjaannya kerani sahaja. Sudah ditukar menjadi tukang jahit pula ke? Bukan ke cucunya itu bekerja di syarikat majalah.

“Tak ada apa, nek. Hakimi tanya esok Ila datang kerja ke?” dalih Ila. Kerana Hakimi suka menyibuk dia terpaksa menjadi pembohong pula. Eeii... Hakimiii... kenapalah awak wujud dalam hidup saya? Kalaulah waktu boleh diputar ke belakang dia tidak mahulangsung terjebak dengan kehidupan lelaki yang bernama Hakimi itu.

Mak Leha mengangguk. Senang hatinya mendengar nama Hakimi. “Bagus budak Hakimi tu, dah lewat macam ni pun masih nak ambil berat soal pekerja,” puji Mak Leha.

Ha’ah, baguslah sangat. Dah nak jadi setan bertanduk tu, gumam Ila begang. Kalaulah neneknya tahu Hakimi itu suka ke disko, pasti neneknya tidak suka. Mahu juga Hakimi diceramah setiap kali bertandang ke situ. Persekitaran bilik jahitnya neneknya yang sudah siap berkemas itu dipandang seketika. Matanya perlu direhatkan seketika.

“Lama dia tak datang. Nanti bila ada cuti, ajaklah dia datang,” ujar Mak Leha.

Ila pandang Mak Leha dengan muka kurang setuju. Nenek nak ajak Hakimi datang sini nak buat apa? Nak turunkan ilmu pelihara ayam ke? “Tengoklah, nek. Dia tu sibuk sekarang ni,” balas Ila malas. Kalau tidak dijawab lagi banyak neneknya bertanya. Jahitannya disambung semula. Kalau tidak siap nanti, tidak dapatlah dia menyerahkan gaun itu untuk fotografi. Bila tidak boleh berbuat begitu pasti Hakimi naik hantu dan dia akan ditelan hidup-hidup.

Mak Leha diam.

“Nenek nak masuk tidur dulu. Kamu jangan tidur lewat sangat,” pesan Mak Leha sambil berjalan keluar.

Ila sekadar mengangguk. Pandangan beralih ke telefon bimbit pula. Keluhan dilepaskan.

“Hakimi ni pun satu, tak habis-habis perangai memaksa tu. Dia ingat aku ni dia punya ke?” rungut Ila masih tidak puas hati.

“Daripada aku buang-buang masa balas mesej kau, biar aku telefon aje. Kalau dah berbalas mesej karang, kerja aku ni tahun depan pun tak siap,” omel Ila.

“Assalamualaaikum,” ucap Ila sebaik panggilan dijawab. Telefon bimbit dikepit di celah telinga dan bahu sambil tangannya masih menjahit.

“Waalaikumussalam. Kenapa pergi sana tak cakap?” Hakimi terus menerjah.

Ila mencebik. Aku ni bini dia ke? gumamnya. “Perlu ke saya buat report?

“Taklah...” jawab Hakimi mendatar.

“Tapi kalau awak tak beritahu saya awak kat sana, esok saya tunggu awak depan rumah auntie awak pulak,” ujar Hakimi. Dia pun tidak mahu kelihatan seperti hendak mengawal Ila 24 jam.

Ila mengeluh. Hakimi selalu sangat bijak mencipta alasan.

“Hmm... sorry. Saya lupa,” pinta Ila.

“Dah tu macam mana awak nak ke Maniera esok?” tanya Hakimi.

“Naik motorlah,” beritahu Ila. Pelik betul pertanyaan Hakimi itu. Kalau sudah dia di situ takkan hendak menyuruh Hakimi datang menjemputnya pula.

“Eh, tak boleh. Esok saya jemput awak kat sana.”

“Hah?” Ila berhenti menjahit dan duduk tegak. Telefon bimbit dipegang ke telinga pula. Grrr... rasa hilang sabar dengan perangai gila-gila Hakimi.

“Eh, tak payahlah. Awak bukan tahu jalan nak datang sini pun,” tolak Ila. Perlu ke Hakimi bersikap terlalu baik kepadanya? Dia rimaslah.

Papa go saya ada,” balas Hakimi.

Ila menggaru kepala. Hakimi ini memang spesis tidak reti bahasa. Degil! Cakap dia sahaja mesti didengari.

“Macam ni ajelah, esok awak tunggu saya depan rumah Achik Hanim macam biasa. Pukul 5.00 pagi nanti saya balik sana,” beritahu Ila terpaksa beralah. Mahu tidak mahu dia mesti balik ke rumah Hanim juga.

“Hah? Bahayalah!” tegah Hakimi.

“Saya tak yakin langsung awak naik motor tu balik sini.” Hakimi risau Ila mengantuk. Manalah tahu nasib tidak baik nanti, gadis arnab tu jatuh di pertengahan jalan. Dia juga yang menangis.

“Bahaya apanya? Jangan mengarutlah. Saya datang tadi selamat aje,” marah Ila. Bila dia kahwin dengan Hakimi ni? Apasal Hakimi dah mula berlagak macam suami dia?

Hakimi diam.

Ila pun diam. Terasa sakit hati melayan kedegilan Hakimi. Sudahlah masanya terbuang berbual begitu. Gaun ditangannya belum disiapkan lagi.

“Okeylah...” Hakimi terus mematikan panggilan.

Ila besarkan mata. Merajuklah tu. Huh! Telefon bimbitnya diletak ke tepi. Dia menyambung kerja menjahit lagi walaupun matanya sudah patut disengkang dengan anak mancis.

Previous: Bab 26
Next: Bab 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.