PERLAHAN sahaja pintu bilik Ila ditolak. Hakimi
menjengok ke dalam. Ila yang sudah sedar memandangnya dan tersenyum lemah.
“Hai, dah sihat ke?” sapa Hakimi cuba
mempamerkan wajah ceria walau hatinya tesentuh melihat wajah Ila yang agak
pucat.
Ila mengangguk. Tangannya yang terpasang tiup
getah ditunjukan kepada Hakimi. Antara pandangan wajib pesakit di hospital.
“Sakit,” beritahu Ila seakan berbisik. Dia tidak selesa berkeadaan begitu.
Hakimi tersenyum sambil meletakkan bungkusan
yang di bawanya ke atas meja.
“Nak makan?” tanya Hakimi lembut. Mangkuk kecil
dari dalam beg kertas dikeluarkan. Dia mahu melayan Ila sebaiknya.
“Tak ada selera. Tekak saya sakit,” tolak Ila
perlahan. Suaranya kedengaran garau. Dia benar-benar hilang selera dan tekaknya
masih terasa bengkak dan sakit.
“Alah... makanlah sikit. Tambah power,”
usik Hakimi. Penutup mangkuk itu dibuka. Dia mahu Ila segera sembuh dan
bertenaga semula. Sepilah harinya jika Ila lambat sembuh.
Ila memerhati. Dia tahu kepakaran memaksa Hakimi
bukan boleh ditolak. “Saya tak larat nak bangun. Nanti ajelah saya makan.”
“Awak tak payah bangun. Sandar sikit aje. Biar
saya yang suapkan,” ujar Hakimi. Ila mesti makan walaupun sedikit. Dia mahu Ila
pulih dengan cepat. Dia resah melihat Ila terlantar di hospital.
Bulat mata Ila memandang Hakimi. Dia memang
tidak boleh menolak. Kena biarkan tekaknya berdarah jugalah ni, omel hati Ila.
Pantas sahaja tangan Hakimi meninggikan sedikit
bahagian katil di kepala Ila. Dia mengangkat sedikit kepala gadis arnab itu dan
meninggikan bantal.
Ila segan dilayan demikian. “Siapa yang masak?”
tanya Ila mahu menyembunyikan rasa hati.
Hakimi tersengih. “Saya upah Cik D tadi.”
Ila angkat kening. Tetanya-tanya siapa pula Cik
D itu? Hakimi ni berkawan dengan chef juga ke?
Hakimi tersenyum.
“Jangan buat muka tak sudah macam tulah,” tegur
Hakimi. Suka hatinya melihat wajah polos Ila.
“Siapa Cik D tu?” tanya Ila tidak puas hati.
Entah siapa-siapa lagilah yang Hakimi susahkan untuk dirinya. Cukup-cukuplah
sahaja Puan Alia yang menunggunya sehingga Hakimi menyelesaikan urusan di
pejabat tadi.
“Jelous ke?” tanya Hakimi. Alangkah
gembira hatinya kalau Ila cemburu. Itu bermakna dia semakin berjaya mengumpil
pintu hati gadis arnab itu. Sikit sahaja lagi dapatlah dia masuk.
Ila mencebik.
Hakimi tersengih.
“Tengok mangkuk ni aje dah tahu siapa Cik D tu,”
mangkuk itu Hakimi angkat sedikit dan menayangkan labelnya kepada Ila.
Ila tersenyum malu. “Ingatkan siapalah yang
masak tadi. Cik D ni, kalau ada duit memang dia akan tolong masakkanlah,”
ujarnya sambil memandang mangkuk putih berlebel McDonalds itu. Hakimi ini
ada-ada sahaja. Kafe hospital itu pun ada menjual buburlah. Cuma beza rasanya
ajelah. Tawar, desis hati Ila.
Hakimi tergelak kecil. “Buka mulut tu,” arah
Hakimi.
“Hah?” Ila buat muka terkejut melihat Hakimi
sudah mencedok bubur itu.
“Alah, tadi dah cakap nak suapkan, kan?
Buat-buat lupalah pulak,” ujar Hakimi bersahaja. Dia boleh nampak pipi Ila
merona kemerahan tetapi dia tidak peduli. Dia suka melihat muka gadis arnab
berpipi merah itu. Dimatanya gadis itu tetap cantik walaupun sedang sakit.
Ila mempamerkan muka bersalah. Malulah dirinya
dilayan begitu. Alah Hakimi ni... buat jantungnya berdebar kencang pula. Hisy!
“Buka mulut cepat,” desak Hakimi. Bubur
disudunya betul-betul hampir ke mulut Ila.
Ila tiada pilihan.
“Nak saya beritahu nenek ke?” tanya Hakimi.
Ila menggeleng.
“Jangan. Nanti nenek saya risau pulak.”
“Andrew?” sengaja nama itu Hakimi sebut. Dia
hendak melihat reaksi Ila.
“Tak payahlah susahkan sesiapa,” tolak Ila. Lagi
elok kalau hanya Puan Alia dan Hakimi sahaja yang tahu dirinya di situ. Dia
tidak suka kecoh-kecoh.
Hakimi tersenyum suka. Ila menolak supaya Andrew
tidak diberitahu.
“Lain kali, kalau tak sihat cepat-cepat telefon
saya. Saya boleh hantar awak pergi klinik,” ujar Hakimi.
“Saya dah telan Panadol, tapi tak jalan.
Lagipun malas nak menyusahkan awak.”
“Awak dah menyusahkan saya pun,” balas Hakimi
mendatar. Dia tiada maksud apa-apa, tetapi terasa hati bila Ila tidak
menganggap dirinya sebagai orang yang tepat untuk berpaut. Dia mahu diberi penghargaan
sebagai tempat pertama Ila meminta pertolongan ketika memerlukan. Dia mahu
menjadi orang pertama dalam hidup Ila. Tolonglah faham gadis arnab, oi. Saya
merajuk nanti, bisik hati Hakimi.
Ila tersengih. “Sorry,” pinta Ila. Kalau
lebih awal ke klinik pasti dia tidak perlu terlantar atas katil itu.
“Kali ni saya maafkan. Lain kali saya akan hukum
awak.” Hakimi buat suara kartun pula. Sengaja mahu menghibur Ila, walau hatinya
sedikit kemek dengan layanan Ila.
Ila ketawa kecil sambil mengangkat tangan ke
dahi. Tabik untuk Hakimi. “Awak, macam mana dengan mesyuarat hari ni?” tanya
Ila. Itu mensyuarat pertama Hakimi. Agaknya berjaya ke Hakimi mengendalikannya?
Hakimi mencebik. Tidak suka ketika sedang
bergembira dan bergurau seperti itu, Ila bangkitkan hal kerja. “Ada masalah
sikit,” jawab Hakimi lemah.
“Kenapa?” tanya Ila. Baru mesyuarat kali pertama
Hakimi sudah menghadapai masalah. Dia risau Hakimi tidak mungkin bertahan lama
dengan pekerjaan itu.
“Model yang dah dipilih untuk gayakan baju tu
masuk hospital sebab buat pembedahan kosmetik. Pembedahan tu tak berjaya,”
beritahu Hakimi menyampah. Entah kenapa model tu tidak reti bersyukur dengan
apa yang sudah dimiliki. Hendak cantik bagaimana lagi agaknya.
Ila memandang Hakimi. Nasib baiklah bukan kerana
Hakimi yang menyebabkan masalah. Dia terasa lega.
“Apa susah, kan banyak lagi model lain. Tukar
ajelah,” cadang Ila. Dia tahu pakaian yang mahu dimasukan ke dalam majalah
keluaran bulan depan itu merupakan pakaian dari syarikat keluaran penaja
mereka. Tetapi apa yang boleh mereka lakukan jika bukan model itu yang
ditakdirkan untuk bekerjasama.
“Tak semudah tu. Syarikat Jepun tu, kalau dah
setuju dengan apa yang kita cadangkan, itu jugalah yang dia mahu. Dia orang pun
rasa muka dan saiz tubuh model tu menyerlahkan rekaan dia orang,” jelas Hakimi.
Ila menggaru kepala. Susah juga memenuhi
permintaan pelanggan dalam bidang media, ya? “Kalau beritahu dia orang masalah
yang kita hadapi tak boleh ke?”
Hakimi menggeleng. Kalau semudah itu tidaklah
dia pening kepala. “Tak boleh. Nanti kita dikira tak profesional tangani
masalah. Kita kena ada plan B, baru boleh beritahu dia orang tentang masalah
kita,” jelas Hakimi.
“Oh.” Ila cuba memikirkan sesuatu. Manalah tahu
buah fikirannya dapat membantu menyelesaikan masalah Hakimi.
“Macam mana kalau dapat cari penganti yang mirip
model tu?” tanya Ila lagi. Dia rasa itu jalan penyelamat yang terbaik.
Hakimi tersenyum. “Itu yang saya fikirkan tadi.”
“Kalau macam tu carilah.”
Hakimi menggeleng.
“Nak cari kat mana?” tanya Hakimi. Kalaulah
model yang bermasalah itu anak patung Barbie, bolehlah dia dapatkan satu lagi
di kilang anak patung itu. Sekarang dia bukan sahaja perlu mencari penganti
yang mirip tetapi berbakat juga. Dalam hati dia berharap sangat tugas itu
dipermudahkan Tuhan.
“Fikirlah, awakan ada ramai kawan perempuan,”
ujar Ila.
Hakimi memaksa otaknya untuk membayangkan muka
siapa mirip model yang bermasalah tu. Dia rasa ada, tetapi tidak jelas lagi.
“Nantilah. Balik nanti saya fikirkan.” Bubur diceduk lagi dan disuap ke mulut
Ila.
Ila menjeling geram kerana terpaksa membuka
mulut sekali lagi.