Home Novel Cinta Gadisku Rabitta
Bab 12

Bab 12

HAKIMI mengeliat kemalasan. Mata dibuka. Dia tersenyum sendiri. Kenapalah muka gadis arnab yang mula-mula diproses akal sedarnya? Dia bangun daripada katil. Nyanyian kecil Ila menyapa cuping telinganya. Dia tersenyum lagi. Dia rasa terhibur didendangkan begitu. Suara itu boleh tahan juga lunaknya.

Dia melangkah menuju ke pintu kaca. Langsir diselak dan pintu dibuka. Rasa seronok pulak dapat menatap wajah itu di pagi hari. Uittt... tidak habis lagi ke pesona gadis itu memikat sukmanya? Jangan buat pasal. Dia hendak berkawan sahaja. “Senang hati nampak, princess.

Ila terkejut mendengar suara Hakimi. Segan pula rasanya bila Hakimi mendengar dia terpekik terlolong membuat latihan vokal di situ. Hakimi yang kelihatan kusut tidak terurus dicebik.

“Tak mandi lagi ke?” tanya Ila buat muka geli. Hari sudah meninggi, lelaki itu masih dengan baju tidur.

Hakimi tersengih. “Baru bangun. Belum mandilah,” jawab Hakimi tanpa rasa bersalah. Rambut pendeknya cuba dirapi. Biar nampak elok sedikit. Selama ini punyalah dijaga penampilan diri di depan perempuan, tetapi dengan gadis arnab ni dia boleh buat tidak kisah sahaja. Ish, kenapa?

“Kalau dah nak malam macam ni baru bangun... sah tak solat subuh tadi, kan? Zohor jauh sekalilah tu,” tegur Ila. Hmm... Dia tidak berkenanlah sepisis lelaki seperti ini. Sah-sah memang masa depannya ke belakang.

Hakimi tersenyum selamba. Gadis arnab tu siapa nak persoalkan tindakannya? Dia punya hidup, dia punya sukalah, omel hatinya.

“Hmm... tak...” akui Hakimi. “Awak nak pergi mana pakai cantik-cantik ni?” Hakimi menukar topik. Dia tidak suka gadis arnab tu mula membuka kitab. Kalau hendak mendengar ceramah agama, dia pergilah ke surau atau masjid nanti. Tidak pun kalau malas sangat, dia duduklah depan TV tengok siaran berkaitan agama.

“Saya memang hari-hari cantik,” balas Ila dengan muka comel. Pantang dipuji, mulalah kembang.

Hakimi gonyoh matanya. Sakit matanya melihat Ila buat muka seperti itu. Diayat sedikit sudah kembang seperti belon.

“Saya nak pergi rumah nenek sayalah.” Ila membetulkan ikatan rambutnya. Sudah lama tidak menjenguk nenek dan datuknya. Rindu pula rasanya.

Hakimi membuka mata lebih luas. “Jauh ke?”

“Taklah, sebelah rumah awak aje.” Ila buat loyor buruk. Biar Hakimi rasa, bangun tidur muka tidak dicuci terus sahaja hendak ushar anak dara orang. Ada law ke tu?

“Orang tanya betul-betul, dia main-main pulak.” Hakimi tarik muka masam.

Ila tersengih. ‘Apa hallah dengan mamat sorang ni. Demam ke?’ tanya hati Ila. “Tak jauh... naik dua buah bas sampailah,” beritahu Ila.

“Dua bas?” Hakimi menjegilkan matanya. Tangan diangkat ke atas dengan dua jarinya. Kalau dah turun naik dua buah bas tu, jauhlah. Kampung celah mana agaknya gadis arnab ini nak pergi? Negeri Sembilan? Melaka? Johor? Perak?

Ila mengangguk. “Kenapa?” Pelik sangat ke.

“Kampung awak kat mana?” tanya Hakimi. Gadis arnab ni sengaja hendak menipu agaknya.

“Dua kali dah tanya benda yang sama. Macam polis,” protes Ila. Entah apa yang berada dalam kepala Hakimi agaknya. “Dekat-dekat sini aje. Kalau jauh saya tak pergi sorang-sorang,” beritahu Ila.

Hakimi masih tidak percaya. Pandangannya dialihkan ke sekitar kawasan perumahan mereka. Manalah tahu dia ternampak bayangan kampung dari balkoni itu.

“Sibuk sangat nak tahu tu kenapa?” tanya Ila tidak puas hati. Hakimi seperti sengaja hendak mencari pasal dengannya.

“Alah, nak tahu pun tak boleh.” Hakimi menarik muka. Dia pun tidak faham kenapa sikapnya begitu. Hatinya bagaikan sudah mengenali gadis itu beribu tahun yang lalu.

Ila mecebik. “Boleh,” jawab Ila meleret. Menyampah. Dia menggeleng. Tidak tahu kenapa Hakimi berperangai seperti budak-budak. Hakimi ni jenis lelaki fleksibel agaknnya. Sesuai memohon jawatan badut dikala moodnya boleh berubah mengikut sesuka hatinya.

“Kat sini ada kampung ke?” Hakimi tidak putus asa bertanya. Dipandang lagi kawasan sekeliling. Seluas-luas kawasan itu semuanya sudah menjadi bandar.

“Adalah, kalau tak ada saya ni nak ke mana? Mestilah ke tempat yang ada, kan?”

Hakimi memandang Ila. Memang lorat gadis arnab ni. “Okey, kalau ada... kampung awak kat mana?” Hakimi masih tidak percaya. Dia rasa negeri itu sudah dibangunkan keseluruhannya.

“Adalah,” jawab Ila malas.

“Kalau ada, tunjuklah,” desak Hakimi.

“Hah?” Ila sedikit ternganga. “Nak tunjuk kat mana? Google map?” tanya Ila lurus.

Hakimi ketawa kecil. “Google map tak boleh tengok dengan jelas,” protes Hakimi.

“Dah tu?” Ila tidak puas hati. Ada-ada sahaja permintaan mengarut lelaki ini. Ingat dia ahli sihir ke boleh menjelmakan kampungnya di depan Hakimi sekelip mata.

“Nak ikut boleh?” pinta Hakimi selamba. Dia teringin hendak melihat suasana kampung gadis arnab tu. Agaknya sama tak seperti suasana kampungnya semasa kecil dulu? Dia rindu tempat kelahiran mamanya itu. Kalau betul sama, bolehlah pergi selalu. Dia buat muka simpati.

Ila terperanjat. Mandi pun belum, nak ikut orang pula? Hilang akal ke mamat ni? “Ish, kenapa pulak awak ikut saya?” tanya Ila tidak selesa.

“Saja. Nak tengok kampung awak tu wujud ke tak,” jawab Hakimi.

Ila mengerut dahi.

“Bolehlah...” rayu Hakimi seperti budak kecil.

“Tak payahlah,” tolak Ila.

Please…” pinta Hakimi sekali lagi. Tangan digoncang berkali-kali seperti hendak mengucapkangong xi fa chai.

‘Apa kena mamat sorang ni? Kalau iya pun buang tabiat nak mati, janganlah dengan aku,’ bisik Ila dalam hati.

“Kenapa susah sangat awak nak bawak saya? Awak bukan nak balik kampung, kan? Awak nak keluar dengan boyfriend tapi takut mak awak tahu,” duga Hakimi. Sengaja hendak mendesak secara halus.

“Hah?” Ila angkat kening. “Mana ada...” Cepat-cepat dinafikan.

“Kalau tak ada, bawaklah saya sekali. Saya bosanlah duduk rumah.” Hakimi buat muka dan suara mengada.

Ila tergelak dan menggeleng. “Yalah… pergilah mandi dan solat dulu. Ada masa lagi ni,” kata Ila. Tidak tahan hati betul dengan perangai tidak terduga Hakimi.

“Solat?” Hakimi tersengih. Semenjak menyambung pelajaran di luar negara, dia sudah meninggalkan kewajipan yang satu itu. Kalau diukur ‘tanduk’ yang tidak kelihatan di atas kepalanya itu, mungkin sudah panjang dan boleh dapat pangkat sarjan dalam barisan konco-konco iblis agaknya. Biasalah hidup masih muda, yang wajib pun dilalaikan seolah-olah mati itu jauh sangat lagi dari kehidupan. Seolah-olah apa yang ditinggalkan itu takkan dituntut di kemudian hari. Dia sedar kesilapan itu, namun imannya yang tidak kukuh melangkaui rasa bersalah di hati.

“Kenapa?”

“Yalah... saya mandi dan solat dulu.” Hakimi melangkah masuk. Dia menghentikan langkah dan berpaling menghadap Ila semula apabila teringatkan sesuatu. “Eh! Tapi kalau saya dah siap, macam mana nak panggil awak?”

“Awak naiklah kereta awak. Hon depan rumah saya. Nanti saya keluarlah,” beritahu Ila.

Hakimi pandang Ila lagi.

“Kenapa? Nak naik bas ke?” tanya Ila tidak faham dengan renungan itu.

Hakimi tersenyum dan menggeleng.

Hakimi melangkah turun ke tingkat bawah sambil menyanyi kecil. Dia rasa senang hati. Kebosanannya mula terisi dengan kehadiran gadis arnab tu.

“Kim nak pergi mana?” sapa Puan Alia yang baru selesai mengalihkan pasu bunga di halaman rumah mereka. Entah apa yang menyapa fikiran Hakimi agaknya sehingga anak itu tersenyum sendiri.

“Dah siap macam ni nak keluarlah, ma,” jawab Hakimi.

“Dengan siapa?” Puan Alia buat muka kurang senang. Anak bujangnya ini memang tidak boleh melekat di rumah. Panjang sungguh langkahnya.

“Dengan anak kawan mama yang kat belakang rumah ni,” beritahu Hakimi sambil menunding ibu jari ke arah dimaksudkan. Itu sahaja yang boleh diberitahu.

Puan Alia mengeluh. “Baik-baik bawa anak dara orang, Kim,” pesan Puan Alia risau.

Hakimi angkat kening. Macam tidak percaya ibunya yang mengucapkan kata-kata itu. Kebiasaannya dia akan dibebel kalau beritahu hendak keluar dengan perempuan. Perempuan itu nanti begini, begitulah. Kecuali dengan Juliesa. Dia mengangguk sebelum melangkah masuk ke dalam kereta Harriernya.

Tidak sampai dua minit, hon dibunyikan di halaman rumah Hanim.

Ila menjenguk ke pintu. “Tak sangka dia betul-betul datang.” Dia tergelak kecil. Jimat tambang bas aku. Tangannya diraup ke muka. “Achik. Ila pergi dulu,” beritahu Ila. Tangan Hanim yang sedang duduk menonton TV di ruang tamu itu disalami.

“Jaga diri. Kirim salam kat semua orang,” pesan Hanim.

Ila mengangguk dan terus melangkah keluar. Dia melemparkan senyuman pada Hakimi sebelum masuk ke dalam kereta.

“Cepatnya siap?” tanya Ila sambil mengenakan tali pinggang keselamatan.

Hakimi hanya tersenyum. Orang lelaki kalau bersiap, 15 minit sudah cukup.

“Boleh saya tanya satu soalan?”

“Apa dia?” Hakimi tidak sabar hendak mendengar.

Ila mempamerkan muka pelik dahulu sebelum bercakap. “Nama awak Hakimi, kan? Tapi... kenapa panggil Kim?”

Hakimi tersenyum. “Sebab saya tak suka orang panggil saya Kimi. Bunyinya menjengkelkan. Macam nama budak perempuan pun ada juga.”

“Sepatutnya mama saya letak nama saya Hakim,” protes Hakimi tidak puas hati. Mulalah fikirannya melayang ke dunia ribena dan mendarat ke alam tadika. Muka rakan sekelas yang selalu berusaha merapatkan diri dengannya terpampang. Entah kenapa lidah budak itu susah sangat hendak menyebut namanya? Setiap hari memanggilnya Kiss me, Kiss me...sampaikan dia tidak larat hendak memperbetulkan panggilan itu. Kawan-kawan yang lain turut terikut-ikut. Ada juga yang sengaja mengejek, sengaja juga membuat dia terasa hendak memukul orang masa itu.

Sudahnya, cikgu mereka menyuruh semua pelajar memanggil namanya Kim sahaja. Lekatlah panggilan itu sampai hari ini bila semua ahli keluarganya juga dipaksa memanggil begitu.

“Oh, macam tu. Baru saya tahu.” Ila mengangguk. Memang manis kisah Hakimi itu.

“Beritahulah nama kampung awak tu,” pinta Hakimi.

“Kenapa?” tanya Ila.

“Senang saya nak cari,” beritahu Hakimi.

“Pandai ke?” tanya Ila lagi. Hakimi fikir senang ke hendak mencari rumah neneknya.

“Dengan Papa Go semua boleh,” jawab Hakimi berlagak. Keretanya semakin menghampiri simpang ke jalan utama.

“Hah? Apa tu?” Ila membuat muka pelik. Baru hari ini dia mendengar perkataan itu.

Hakimi lagilah pelik. Hidup tahun ke berapa gadis arnab ni? Papa Go pun tak tahu!

“GPS,” beritahu Hakimi mendatar.

“Oh...” Ila buat muka selamba. Tahulah dia tidak memiliki telefon bimbit yang canggih seperti Hakimi. “Tak payahlah nak guna Papa Go awak tu. Saya boleh Mama Go nak pergi sana. Bukan susah pun,” balas Ila. Mengarut sahaja dirasakan jika dia sudah berada di sebelah untuk menunjuk jalan, tetapi Hakimi masih sengaja hendak menayangkan kecangihan gajet yang dia ada.

Hakimi tergelak kecil. “Dari simpang ni, nak ambil jalan kanan ke kiri?” tanya Hakimi sebaik mereka sudah berada di jalan keluar kawasan perumahan itu.

Ila pandang depan sebelum menoleh ke kanan. “Kanan boleh, kiri pun boleh. Tapi nak senang ikut kanan,” beritahu Ila. Dia sudah menoleh ke kiri pula.

“Sebab?” tanya Hakimi. Semua yang dicakapkan Ila asyik dipersoalkan. Sengaja mahu membuli.

“Sebab jalan tu menuju ke Syurga,” gurau Ila. Hakimi dipandang.

“Orang suruh tunjuk jalan betul-betullah!” marah Hakimi.

“Betullah. Selalunya yang sebelah kanan tu merupakan pilihan terbaik, sebab Malaikat Atid pun catit pahala daripada bahu sebelah kanan,” omel Ila.

Hakimi menarik muka. Gadis arnab ni sudah mula nak mengarut.

“Betul-betullah. Kereta belakang dah hon tu,” tegur Hakimi.

“Ish, dari tadi dah cakap kanan, kananlah. Kenapa awak teragak-agak sangat?,” rungut Ila.

“Memanglah teragak-agak nak belok, awak main-main,” balas Hakimi geram. Gadis arnab ni ingat dia boleh menyelami fikiran ke?

“Hmm... kalau ikut kanan, jalan tu lurus aje. Tak payah nak belok sana sini. Tapi kalau ikut kiri, faham sendirilah,” jelas Ila.

“Ooo...” jawab Hakimi. Dia menghidupkan pemain cakra padat. Lagu Love Story nyanyian Taylor Swiffmula menghibur mereka.

Ila tersenyum mendengar lagu itu. Terbayang video klip yang ditontonnya.

Hakimi menoleh sekilas. “Kenapa senyum?”

“Oh, teringat video klip lagu ni. Taylor Swiff pergi kolej, jumpa lelaki handsome dan berangan jadi Juliet,” jawab Ila. Mulutnya menyanyi kecil mengikut lagu itu.

Hakimi tersenyum. “Menarikkan video klip tu?” tanya Hakimi. Sengaja hendak tahu apa pendapat Ila. Budak perempuankan suka berangan.

Ila mengangguk. Sambil itu matanya memerhatikan arah jalan. “Lepas traffic light ni, awak belok kiri,” beritahu Ila. “Depan tu awak belok kanan.”

Hakimi menurut. Sampai dipersimpangan dia berhenti lagi. “Sekarang nak ke mana pulak?” tanya Hakimi. Keretanya memang sudah memasuki kawasan kampung. Jadi memang betullah dalam bandar Klang itu masih ada kampung yang tersorok.

“Kiri… awak drive sampai hujung jalan ni. Lepas tu belok kanan. Lepas tu jalan terus sampai hujung jalan. Nanti jumpalah rumah nenek saya,” beritahu Ila. Hatinya berbunga ceria, tidak sabar mahu sampai di rumah neneknya.

“Berbelit jugak nak pergi rumah nenek awak ni. Kalau awak suruh saya balik sorang ni, confirm saya sesat ni. Jalan ni macam nak cari harta karun. Susah nak keluar kalau dah masuk,” protes Hakimi. Dia langsung tidak boleh menghafal laluan ke menuju ke kampung Ila itu. Mungkin perlu beberapa kali berkunjung ke situ baru dia dapat menghafal arah menuju ke kampung itu.

Ila mengerutkan dahinya. “Eh, bukan Papa go awak boleh tolong ke?” sindir Ila.

“Err...” Hakimi terdiam. “Tak nak beli buah tangan untuk nenek awak ke?” Dia tidak biasa melawat atau berkunjung ke rumah orang dengan tangan kosong.

“Tak payah… rumah nenek saya tu macam-macam ada,” jawab Ila. Matanya memandang ke depan. Perlu ke mereka membeli buah tangan jika keperluan di rumah neneknya sudah seperti kedai runcit mini? Buat apa hendak bersusah-susah.

“Saya tak biasalah kalau pergi rumah orang tak bawak sesuatu,” luah Hakimi. Hal yang satu ini memang dia tidak boleh mengalah. Dia rasa pipinya akan menjadi tebal andai ke rumah nenek Ila dengan tangan kosong. Tolonglah jangan menunjukkan yang dirinya itu tidak berkemampuan hendak membawa buah tangan ketika berziarah.

“Hmm...” Ila berfikir seketika. “Berhentilah depan tu.”

Hakimi menoleh tidak faham. Tetapi tidak membantah.

“Awak tunggu sini.” Ila memberi arahan sambil membuka pintu. Baru sahaja dia hendak turun dari kereta, Hakimi bersuara.

“Awak nak pergi mana?” tanya Hakimi sambil memerhati kawasan persekitaran. Apa yang ada di situ? Hanya gerai-gerai tepi jalan yang menjual pisang goreng dan beberapa jenis kuih-miuh serta minuman.

Ila berdiri sambil membetulkan bajunya. Kemudian dia menghulur tangan. “Duit?” pinta Ila. Pertanyaan Hakimi tidak dijawab. Jari-jemarinya digerakkan sambil menadah tangan.

“Duit?” Hakimi kerut dahi. Namun walletnya dikeluarkan juga. Not lima puluh ringgit diserahkan.

“Nak beli buah tangan awaklah, nak buat apa lagi,” beritahu Ila dan terus berlalu.

Beberapa minit kemudian, mereka meneruskan perjalanan. Hakimi kelihatannya tidak puas hati. Sudah dua kali dia melirik beg plastik yang diletakkan Ila ke tempat duduk belakang.

“Kenapa?” tanya Ila. Apalah yang diresahkan Hakimi.

“Saya ingat awak nak beli hamper tadi,” jawab Hakimi separuh hampa.

“Nak buat apa? Itu pun dah cukup,” beritahu Ila. Buat apa nak berhamper bagai. Bukannya hari raya. “Dahlah... tak payah nak fikir. Sampai simpang depan tu, awak masuk,” arah Ila.

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.