Bab
17
HUJAN masih mencurah bumi. Belum ada tanda-tanda mahu berhenti. Ila
memandang kaca tingkap yang basah terkena tempias. Keluhan kecil dilepaskan.
Mata beralih memandang majalah di tangannya. Tiada minat hendak membaca. Hati
terus sahaja mengharapkan hujan cepat berhenti. Telefon bimbitnya berbunyi.
Malas betul hendak menjawab. Tetapi dijawab juga. “Assalamualaikum...”
“Hmm...” balas Hakimi.
Ila besarkan mata. “Tak reti nak jawab salam
dulu ke?” marah Ila.
“Waalaikumussalam,” jawab Hakimi perlahan di
hujung talian.
“Hah, boleh pun,” ujar Ila kasar. “Awak nak
apa?” tanya Ila dengan nada sama.
Hakimi terperanjat. Kenapa gadis arnab itu
menengkingnya tanpa sebab? “Saya nak beritahu, lusa awak dah boleh mula kerja.”
“Oh, okey,” balas Ila tanpa perasaan.
“Awak...” panggil Hakimi.
“Hmm...” jawab Ila malas.
“Free tak?” tanya Hakimi. Manalah tahu
andai dibawa bersiar-siar, hati gadis arnab itu akan kembali ceria.
“Tak,” jawab Ila sepatah.
“Awak nak keluar ke?” tanya Hakimi kecewa.
“Ha’ah...” jawab Ila.
“Bila?” tanya Hakimi lagi.
Ila mengerutkan dahi. Tidak suka Hakimi banyak
bertanya. Kenapa akhir-akhir ini Hakimi terlalu rapat dengan dia? Tak ada kawan
lain ke mamat tu? Persoal Ila di dalam hati. “Kejap lagi. Dalam pukul 2.00,”
beritahu Ila.
“Awak nak pergi mana?” tanya Hakimi.
Agaknya kalau tidak dijawab Hakimi puas hati ke?
Ila menggaru telinga. “Saya dengan Andrew nak pergi main ice skating kat
Sunway Piramid.”
Hakimi mencebik. Tidak suka betul mendengar nama
Andrew. “Nak ikut boleh?” pinta Hakimi sengaja hendak mengacau. Dia tidak
senang hati Ila dan Andrew meluangkan masa bersama. Dia hendak menjadi orang
ketiga. Hendak mencelah sehingga jarak Ila dan Andrew menjadi jauh.
“Kalau tak malu, ikutlah. Lagipun tempat tu
bukan saya punya. Awak boleh pergi bila-bila aje.” Ila tahu Hakimi bukannya
peduli kalau dia cakap tidak boleh.
“Okey sayang, nanti abang tunggu kat sana.”
“Hah?” pekik Ila. Tetapi Hakimi sudah menamatkan
panggilan. “Mamat ni memang nak kena tikam!” marah Ila.
Ila menjerit. Sudahlah dia tidak pandai bermain. Terkial-kial kakinya
hendak mengimbangi badan dan membiasakan diri supaya tidak jatuh terduduk di
gelangang ais itu. Setiap kali hendak terjatuh, Andrew akan menjadi penyelamat.
Ila semakin penat mencuba. Dia meminta Andrew
membiarkan dirinya memapah di palang bahagian tepi lapangan itu sahaja. Andrew
tidak kisah. Sementara Ila berehat, Andrew beraksi sendirian di tengah lapangan
ais Sunway Piramid seluas 877.5 meter itu. Kehebatan Andrew memukau pandangan
Ila. Ah, memang pro bagaikan peluncur dalam kaca TV. Berpusing-pusing
dengan cekapnya.
Leka Ila memerhatikan Andrew, Hakimi menyapa.
Ila tersenyum memandang Hakimi dan memberi isyarat supaya Hakimi menyertai
Andrew. Hakimi tersengih. Ingat dia pandai seperti Andrew ke?
“Kenapa duduk tepi? Jomlah,” ajak Hakimi
berlagak. Sempat dia mencuri pandang di mana Andrew berada. Mujur pemuda Cina
itu berada di tengah lapangan ais.
Ila menggeleng. Dia tidak mahu terjatuh dan
terlentang sorang-sorang di tengah lapangan itu.
“Jomlah,” ajak Hakimi hendak menunjuk
kehebatannya.
“Nanti jatuh,” tolak Ila takut-takut. Sedar
dirinya tidak sehebat mereka yang sedang beraksi di situ. Dia juga tidak
sehebat budak perempuan berusia sembilan tahun yang diperhatikan dari tadi.
Hebat juga budak perempuan itu beraksi. Langsung tidak terjatuh. Mungkin sudah
terbiasa sejak dari kecil.
“Buat apa saya ada kalau tak boleh tolong sambut
awak?”
“Awak pandai main ke?” tanya Ila curiga. Hakimi
ni bukannya boleh dipercayai sangat. Dia selalu sahaja tidak yakin dengan
Hakimi.
Hakimi mengangguk. Kalau dia cakap tak pandai,
mesti Ila tidak mahu mengikutnya ke tengah lapangan.
Ila tersenyum sambil menghulurkan tangan.
Perlahan sahaja dia mengikut Hakimi. Hakimi pula kelihatan stabil. Fikirnya
Hakimi memang pandai bermain. Yalah... itukan permainan masa lapang golongan
seperti Hakimi dan Andrew.
Tidak pasal-pasal seorang pemain terbabas dan
melangar bahu Hakimi. Hakimi hilang kawalan dan menarik Ila jatuh bersama.
Mereka saling berpandangan. Hendak cover malu, Ila terlebih dahulu
ketawa sebelum Hakimi juga begitu. Tetapi babak itu sekejap sahaja. Andrew
datang mendapatkan mereka. Dia menghulurkan tangan kepada Ila dan membiarkan
Hakimi bangun sendiri.
“Tadikan nak berehat sekejap,” tegur Andrew.
Ila tersengih. “Dia ni nak tunjuk pandai. Ingat
dia pandai tadi, tapi tak,” beritahu Ila sambil mencebik kepada Hakimi.
Andrew tersenyum dan memandang Hakimi.
Hakimi tersenyum juga tetapi dalam hati terasa
menyampah. Entah kenapa dia merasakan Andrew seolah-olah sedang mentertawakan
dirinya dalam hati.
“Awak tak pandai main ke?” tanya Andrew sengaja
hendak beramah mesra dengan Hakimi.
Hakimi tersenyum. Malu hendak mengaku kekurangan
dirinya.
“Kalau tak pandai main tak apa. Ada Instructor
boleh tolong awak,” beritahu Andrew sambil melirik kepada beberapa orang
petugas di situ. “Kami pergi dulu.”
Andrew menarik Ila mengikutnya.
Hakimi hanya memerhatikan langkah mereka. Takkan
dia hendak berebutkan Ila seperti budak-budak main pondok-pondok berebut
barang?
Padan muka kau Hakimi. Gatal sangat nak datang
sini. Buat sakit hati sendiri aje. Hakimi cuba meluncur perlahan-lahan ke tepi.
Tetapi belum pun sampai ke tepi dia terjatuh lagi. Dia memejamkan mata menahan
geram sebelum memandang Ila dan Andrew yang sempat menoleh dan tersenyum
kepadanya. Argh...