Home Novel Cinta Gadisku Rabitta
Bab 32

USAIsarapan pagi, Ila berbaring di sofa. Dia mulai bosan duduk di rumah. Apa yang hendak dilakukan untuk menghabiskan masa sebulan ini? Alat kawalan jauh ditekan. Pagi-pagi begitu, semua siaran TV bagaikan berserabut sahaja di matanya. Dia tekan butang tutup semula.

Alat kawalan jauh diletak atas meja kopi. Bantal kecil dipeluk kuat. Ah, memang tekanan betul melalui hari tanpa pekerjaan. Dia mula merindukan kawan-kawan sekerjanya. Sakitnya perasaan.

Hanim yang memandang hanya menggeleng. Dia faham keresahan Ila itu.

“Chik...” panggil Ila. Ada sesuatu mencuit hatinya. Hatinya disapa kerinduan.

Hanim mengalihkan pandangan dari majalah. “Kenapa?” tanyanya.

“Ila ingat mama,” adu Ila. Dia memang asyik teringatkan mamanya dua, tiga hari ini.

Hanim terdiam seketika. Wajahnya sedikit berubah. Kepalanya tertunduk ke bawah. Boleh ke dia buat-buat tidak dengar sahaja kata-kata Ila itu? Tidak boleh... dia bukan pekak.

“Chik... dengar tak?” Ila merengek.

Hanim mengukir senyuman tawar. Air liur ditelan. “Sabarlah. Pak cik kamu masih usahakan lagi,” pujuk Hanim. Tidak tahu bagaimana harus membuka mulut.

“Hari tu achik pergi Jakarta tak jumpa apa-apa klu mengenai mama ke?” tanya Ila.

Hanim mengeluh.

“Achik, ada yang tak kena, ya?” teka Ila.

Hanim tersenyum hambar. “Sebenarnya Ila...”

“Cakaplah, chik,” desak Ila.

“Kami dah jumpa mereka,” beritahu Hanim perlahan.

“Hah?” Ila terkejut. Kemudian dia bangun dari sofa dan melompat mendapatkan Hanim. Tubuh ibu saudaranya itu dipeluk sekuat hati, menzahirkan perasaan gembira yang tidak terungkap.

Hanim tersenyum hambar.

“Dia orang sihat ke achik?” Ila betul-betul tidak sabar. Bibirnya mengukir senyuman. Hatinya bahagia.

Hanim mengusap rambut Ila sebelum menarik tubuh Ila merapatinya. “Dia orang sihat,” beritahu Hanim perlahan. “Tapi...” Hanim mengeluh lagi. Susahnya dia mahu memberitahu Ila hal yang satu itu. Dia pejam mata sesaat sambil mengemam bibir.

“Tapi apa?” Ila buat muka tidak puas hati.

Hanim tersenyum hambar. “Ila... dengar apa yang achik nak cakap ni baik-baik.”

Ila mengangguk.

“Mama dan adik-adik Ila akan balik selepas Pak Cik Rais selesaikan urusan dengan pihak wisma putra,” beritahu Hanim. Dia tahu banyak hal yag perlu diuruskan suaminya bagi membolehkan kakak dan anak-anak saudaranya kembali ke Malaysia melalui saluran yang betul. Apalagi pasport mereka sudah terlalu lama tamat tempoh. Ada beberapa denda juga harus dibayar kepada kerajaan Indonesia bagi melicinkan proses itu.

Ila mengangguk. Tetapi dia tidak faham pula kenapa keluarganya perlu pulang dengan bantuan wisma putra? Hanim dipandang. Ada sesuatu yang Hanim tertinggal rasanya. Mana lengkap keluarganya tanpa seorang lagi. “Tadi achik cakap mama dan adik-adik aje, kan?” tanya Ila.

Hanim mengangguk.

“Papa?” Ila buat pandangan pelik. “Papa tak balik sama?” Hati Ila mula tidak sedap rasa. Apakah papa dan mamanya sudah bercerai? Dia mula membuat andaian. Ah, dia tidak peduli. Dia tetap mahu mempersoalkan kenapa dirinya ditinggalkan sekian lama? Kenapa susah sangat mereka hendak mengirim berita kepadanya, sedangkan mereka hidup senang-lenang di sana.

Hanim kemam bibir. Sebak dadanya mahu menjawab pertanyaan itu. Dia memandang karpet seketika mencari kekuatan untuk terus bercerita.

“Achik...” desak Ila. Bahu Hanim digoncang.

Hanim mengangkat muka dan memandang Ila. Matanya mula berkaca. “Sebenarnya... papa Ila dah tak ada.” Air mata Hanim luruh juga. Kesal kerana mereka terlambat mendapat berita itu. Bukan mudah juga mahu mendapatkan berita itu. Andai Rais tidak terserempak dengan Nadia di kedai menjual barang kraf tempat Nadia bekerja, pasti pencarian itu tidak berakhir. Kerana pertemuan itu, Rais mengajaknya ke Jakarta. Mereka merancang strategi bersama Nadia. Membawanya lari ke pejabat kedutaan Malaysia, membuat laporan polis sebelum mendapatkan adik-adik Ila semula. Nadia tidak mahu hal itu diperbesarkan, asal dia dan anak-anaknya dapat kembali ke Malaysia semula dah cukup.

“Hah?”

“Bila papa pergi?” tanya Ila sayu.

“Dua tahun lepas,” jawab Hanim. Itu yang diberitahu Nadia kepadanya.

Ila mengangguk. Pasrah menerima berita itu. Air mata yang mengalir disapu dengan belakang tangan.

“Macam mana kehidupan mama dan adik-adik kat sana bila papa dah tak ada, chik?”

Hanim mengeluh. Itu lagi satu masalah. Geram hatinya mahu bercerita. Melihat keadaan Nadia yang tidak ubah seperti babu dalam kedai sendiri membuat hatinya mendidih. Andai tidak disabarkan oleh suaminya ketika itu, mahu sahaja adik ipar Nadia dibelasah seenak rasa. Mujurlah juga dia di tempat orang. Andai di tempat sendiri pasti dicampaknya wanita bermuka jahat itu ke dalam lokap. Baru puas hatinya.

“Lepas papa Ila tak ada, mama dan adik-adik Ila hidup sengsara. Keluarga papa Ila rampas semua harta yang ditinggalkan. Mereka kata mama dan adik-adik Ila tak berhak. Mama Ila tak mampu melawan sebab tiada siapa mahu menolong. Dia terpaksa biarkan semua hasil titik peluh mereka suami isteri dirampas begitu aje. Demi meneruskan hidup dan menyekolahkan adik-adik Ila, dia dipaksa bekerja sebagai pembantu kedai di salah sebuah kedai yang dulu milik dia dan papa Ila.” Hanim menarik nafas sebelum menyambung lagi.

“Dia nak bawa adik-adik Ila balik sini. Tapi ipar-iparnya tak mahu menanggung kos. Dia diugut takkan diberi makan dan minum kalau terus menyuarakan hasrat tu,” cerita Hanim lagi.

Ila diam. Patutlah dia selalu bermimpi pelik kebelakangan ini. Keluarganya dalam sengsara di sana. Keluhan dilepaskan. “Achik cepatlah bawak dia orang balik,” desak Ila. Sedih mengenangkan kekejaman yang berlaku atas ibu dan adik-adiknya. Dia tidak mahu mereka menderita lagi.

“Sabarlah. Achik pun harap dia orang cepat pulang,” pujuk Hanim. Suaminya sedang mengusahakan semua itu dengan bersungguh-sungguh. Mungkin dalam masa sebulan lagi, semuanya akan selesai dan keluarga mereka akan berkumpul semula.

“Kita doakan semuanya berjalan lancar, ya,” pujuk Hanim.

Ila tersenyum hambar sambil mengangguk.

Hanim menepuk bahu Ila perlahan, menyuntik ketenangan ke dalam jiwa muda itu.

“Chik, Ila nak masuk bilik dulu,” pinta Ila.

Hanim mengangguk.

Previous: Bab 31
Next: Bab 33

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.