Setelah seminggu berehat di hospital, hari ini Puan Alia dibenarkan pulang
ke rumah. Keadaannya masih agak lemah dan tidak boleh banyak bergerak, mungkin
kesan ubat yang membuatkan dia jadi begitu.
Hakimi memapah mamanya naik ke tingkat atas.
“Mama rehatlah dulu. Kim nak mandi,” beritahu Hakimi sebaik melihat Puan Alia
sudah duduk melunjur sambil bersandar di kepala katil. Selimut yang menutupi
sebahagian kaki Puan Alia dibetulkan.
Puan Alia tersenyum lemah. “Hmm... pergilah,”
balas Puan Alia.
Firdaus pula menjenguk Puan Alia.
“Hashim tak balik, Fir?” tanya Puan Alia. Sedih
hatinya kerana Hashim langsung tidak mahu menghubungi mereka untuk bertanyakan
khabar berita. Tidak rindukah anak itu kepada mamanya yang sedang sakit ini?
“Tak ada, ma,” jawab Firdaus sambil membetulkan
ikatan langsir yang menutup tingkap kaca bilik Puan Alia.
“Mama nak apa-apa? Fir boleh suruh Sarah
ambilkan.” Firdaus menghampiri Puan Alia.
Puan Alia menggeleng. “Mama nak tidur. Sekejap
lagi kalau mama haus, mama beritahu,” jawab Puan Alia. Dia tidak mahu
menyusahkan Sarah lagi. Cukuplah kebaikan yang sudah diberikan menantunya itu
sewaktu dia di hospital.
“Baiklah, ma.” Firdaus tersenyum. “Fir keluar
dulu.” Dia berjalan ke luar.
Puan Alia merebahkan badan. Dia berpaling ke
tingkap kaca. Memandang rembang cahaya. Dia berusaha memejamkan mata walau
sebenarnya ada rasa terkilan dalam dada. Terguris benar perasaannya dengan
sikap yang ditunjukkan Encik Harun. Sepatutnya bukan Hakimi yang menjemputnya
dari hospital tadi.
HAKIMI tersedar daripada lenanya. Dia
tertidur. Sudah lama dia tidak dapat tidur lena. Dia melangkah ke balkoni.
Semenjak mengenali gadis arnab, berdiri di situ setiap hari sudah menjadi
perkara wajib. Sambil memerhatikan kawasan persekitaran perumahan yang
membosankan dia mencuri pandang balkoni bilik Ila.
Ke mana gadis arnab itu menghilang di hari Sabtu
ni? Hakimi menggaru kepala sebelum masuk ke dalam bilik semula. Tuala mandi
dicapai dari ampai kayu. Baru sahaja dia mahu menolak pintu bilik mandinya,
satu suara sayup-sayup menyapa gegendang telinganya. Suara mamanya ke? Hakimi
resah. Lekas-lekas dia meluru ke luar.
“Mana anak kurang ajar
tu!” jerit suara lantang dari tingkat bawah.
Siapa yang membenarkan
perempuan itu masuk ke rumahnya? Hakimi mengeluh. Silap hari bulan ada yang
bakal makan penumbuknya. Anak tangga dituruni dengan cepat.
“Hei, kau nak apa
datang sini, hah” marah Hakimi dengan suara yang sedikit perlahan. Dia tidak
mahu mamnya sedar kehadiran perempuan itu.
Perempuan itu memandang
Hakimi dengan muka meluat. “Ada pun kau!” jerit perempuan itu. Melihat Hakimi
sahaja perasaan marahnya semakin berapi. Berani Hakimi mencari pasal dengannya.
Siaplah anak itu, pasti akan dikerjakan nanti.
“Adalah! Kalau aku dah
mampus, aku takkan berdiri depan kau!” balas Hakimi kasar.
“Kau ni memang kurang
ajar! Perangai macam samseng!” herdik perempun itu. Hubungan antara mereka
memang tidak mungkin aman selagi dia membenci Puan Alia dan anak-anaknya. Dia
selalu berfikir Puan Alia dan anak-anaknya mahu membolot harta Encik Harun.
Andai sahaja punya jalan untuk menyingkirkan mereka daripada kehidupan Encik
Harun, pasti sudah dilakukan.
Hakimi buat muka tidak
berperasaan. Dia bukan suka tetamu tidak diundang itu berlama-lama di situ.
Sebelum perempuan itu mencipta lebih banyak onar, baik dia bertindak.
“Kalau dah tahu aku ni
samseng, kau datang sini buat apa? Nak aku pecahkan muka kau ke?” soal Hakimi
geram. Datang rumah orang tak beri salam, nak marah-marah orang pulak, cemuh
hatinya.
Perempuan itu merengus
geram. “Aku nak Tanya, kenapa kau pukul Adie?”
Hakimi tergelak. Memang
sudah dijangkakan hal itu yang membawa perempuan itu ke situ. Alahai, memang
Fradie tidak berguna menjadi anak jantan. Dari dahulu suka sangat menggunakan
ibunya sebagai perisai. Tetapi Hakimi pelik, kenapa ibu tirinya itu tidak
datang menyerang lima hari yang lalu? Kenapa menunggu ibunya keluar dari
hospital dahulu baru hendak datang. Sajalah tu mahu mencari pasal.
“Sepatutnya… dulu kau
bagi papa aku anak perempuan, bukan anak lelaki yang pakai skirt macam tu,” sindir Hakimi sengaja membakar hati ibu tirinya
itu.
Rosmini meluru Hakimi.
“Kurang ajar!” marah Rosmini. Dia mahu menampar muka Hakimi.
Tetapi tangan Hakimi
lebih pantas menangkap dan memulas tangan Rosmini ke belakang. Perempuan itu
terjerit kesakitan.
Sarah dan pembantu
rumah itu berlari melihat apa yang terjadi di ruang tamu. Pembantu rumah mereka
sudah beristifar. Sarah pula hamper terjerit. Tetapi tangan kiri Hakimi pantas
member isyarat diam sambil matanya melirik ke atas menunjukkan yang Puan Alia
sedang berehat.
Sarah menghembus nafas
dan menarik pembantu rumah mereka ke dapur. Rasanya mereka tidak perlu ikut
campur urusan Hakimi dan Rosmini.
“Sakitlah! Lepas!”
Ronta Rosmini.
Hakimi buat tidak
peduli.
Tidak tahan
diperlakukan begiru Rosmini menjerit lagi. “Aliaaa…” laung Rosmini.
Terus Hakimi menekup mulut ibu tirinya.
“Kau tak payah nak babitkan mama aku! Tadi kau
nak tunjuk hebat dengan aku, kan?” gertak Hakimi.
Rosmini meronta-ronta.
Hakimi memperkukuhkan pegangannya ke tubuh
Rosmini.
“Lain kali datang rumah orang, biarlah beradab,”
bisik Hakimi keras. “Sekarang pergi balik!” halaunya sambil berusaha mendorong
tubuh Rosmini ke pintu utama.
Puan Alia yang tidak sedap hati mendengar
kekecohan yang tengelam timbul turun ke tingkat bawah. Terkejut dia melihat
Hakimi menyeret seorang wanita di dalam pelukannya.
“Ya ALLAH! Kim!” tegur Puan Alia.
Hakimi berpaling. “Mama.” Tangan Rosmini
dilepaskan. Dia segera menghampiri Puan Alia. Tubuh itu dipapah. “Kenapa mama
turun? Kim boleh selesaikan perempuan tu.” Hakimi memandang Rosmini yang
berdiri sambil mengosok-gosok tangannya yang sakit. Padan muka! Ejek Hakimi
dalam hati.
“Kau tengok apa anak kau dah buat?” Rosmini
menghampiri Puan Alia.
Hakimi menjegilkan matanya membuatkan langkah
Rosmini kaku. Ingat dia tidak berani hendak mematahkan tangan ibu tirinya itu.
Cubalah kalau berani.
Rosmini tidak puas hati. Selama 26 tahun
bermadu, dia memang tidak menyukai Puan Alia. Baginya Puan Alia selalu cuba
mengawal Encik Harun dan berhasrat mahu memiliki semua harta suami mereka itu.
Apatah lagi, ketiga-tiga anak yang dilahirkan Puan Alia lelaki. Pasti
anak-anaknya yang akan mendapat lebih berbanding madu-madunya yang lain.
“Hei, kau nak balik ke nak aku patahkan leher
kau pulak?” gertak Hakimi.
“Kim...” tegur Puan Alia. Dia tidak pernah
mengajar Hakimi bersikap demikian.
Hakimi diam. Bukan takut tetapi mahu menjaga
hati dan kesihatan mamanya.
“Ros, baliklah. Tak elok kau datang bergaduh
dengan anak-anak sebab hal mereka. Dia orang dah besar, boleh berfikir
sendiri,” ujar Puan Alia.
Rosmini merengus. “Anak dengan mak sama aje!”
marahnya sebelum berlalu sambil menghentak-hentakkan kaki.
Hakimi tersenyum. “Macam budak-budak,” cemuhnya.
“Kim...” tegur Puan Alia lagi.
Hakimi memandang ibunya.
“Tolong... mama nak naik atas,” pinta Puan Alia.
Hakimi mengangguk. “Mama nak Kim dukung ke?
Cepat sikit sampai atas,” usiknya.
Puan Alia menggeleng. Bahu Hakimi dipukul manja
sambil tergelak kecil. Nakal sungguh anaknya itu.
Hakimi turut tergelak.
Sampai di bilik, Puan Alia terus duduk di katil.
“Kim, mama nak cakap sekejap,” beritahu Puan
Alia sambil memandang Hakimi yang menepuk-nepuk bantalnya. Anak itu sudah cukup
dewasa untuk mengetahui kisah lalu dalam kehidupannya. Setelah jatuh sakit
begitu dia terfikir, mati pasti datang menjemputnya pada bila-bila masa. Andai
takdir itu datang dan dia tidak sempat menjelaskan segala-galanya kepada
Hakimi, bagaimana? Dia tidak mahu begitu.
“Cakaplah, ma,” Hakimi meletakkan bantal dan
memandang ibunya.
Puan Alia membalas pandangan Hakimi dan
tersenyum. “Kim duduklah dulu,” pinta Puan Alia.
Hakimi menurut.
“Kim...” bahu Hakimi disentuh.