SEMENJAK perang dingin dilancarkan, hati Hakimi tidak keruan. Ila langsung
tidak mahu memberi peluang padanya. Hendak bercakap empat mata pun asyik
mengelak aje. Mesej langsung tidak dijawab. Panggilan telefon lagilah sepi.
Dia tidak sanggup lagi berkeadaan begitu.
Rasanya selepas menyelesaikan masalah Pasio bersama Mira sekejap lagi, dia akan
ke bahagian pakaian. Tidak kisahlah kalau terpaksa memujuk 30 jam di situ.
Hakimi masuk ke bilik Mira dengan muka serius.
Dia masih terasa hati dengan teguran yang dilemparkan Mira kerana pergaduhannya
dengan Fradie. Mira tetap sahaja Mira, selalu tegas dalam menguruskan hal
Maniera.
Hakimi duduk.
“Kak Mira dah tengok gamba photoshoot
ni,” beritahu Mira. iPad atas mejanya dihulurkan kepada Hakimi. Dia mahu Hakimi
turut melihat hasil kerja yang sudah dihasilkan adiknya itu.
Hakimi memandang
skrin iPad. Terpampang gambar Kirana mengayakan gaun palsu Pasio. Dia sudah
melihat gambar itu banyak kali sebelum Mira menlihatnya. Semuanya nampak elok
bagaikan tidak punya kesalahan. Kira okeylah tu.
“Kak Mira mengaku kalah dengan Kim. Model tu
memang berbakat,” beritahu Mira berpuas hati dengan apa yang dilihatnya. Tidak
perlulah dia memikirkan soal model gantian lagi. Tidak perlu juga merisaukan
kemampuan Hakimi menyelesaikan tugas yang diberi walau Hakimi kurang
berpengalaman.
Hakimi mengangkat sedikit mukanya memandang
Mira. “Kak Mira dah tengok model ni buat latihan?” tanya Hakimi. Manalah tahu
Mira meluangkan masa ke Dello. Lebih dekat dia melihat Kirana, lebih baiklah
penilaiannya.
Mira menggeleng. “Tak perlu. Laporan dari Kelvin
dah cukup,” beritahu Mira. Dia tiada masa hendak ke Dello semata-mata mahu
melihat gadis itu membuat latihan. Cukuplah Kelvin sahaja yang memberi laporan.
Lagipun dia yang menetapkan Kelvin untuk melatih gadis itu. Wajah gadis itu
yang mirip model asal membuat dia bersetuju dengan cadangan Hakimi. Lagipun
Hakimi benar, dia harus memberi peluang sebelum menilai.
“Jadi, masalah ni selesai?” tanya Hakimi mahukan
tugasan itu benar-benar selesai walau gaun Pasio masih menjadi masalah.
“Mungkin,” jawab Mira. Dia tidak boleh putuskan
hal itu sehingga wakil Pasio bersetuju.
Hakimi memandang Mira minta jawapan. Dia tidak
faham apa lagi masalahnya. Panas pula punggung Hakimi belama-lama di situ.
Seolah-olah Mira boleh nampak apa yang cuba dirahsiakan berkaitan Pasio.
“Kita tunggu jawapan daripada Pasio. Mungkin
paling awal petang ni,” jelas Mira. Lagipun dalam pukul 2.00 petang nanti wakil
Pasio akan datang bersama pereka fesyen mereka. Ada beberapa lagi perkara yang
perlu dibincangkan.
Hakimi menelan liur. Risau kalau wakil Pasio
mahu memeriksa gaun mereka semula. Atau ada bahagian gambar itu yang kelihatan
mencurigakan. Argh... macam mana ni?
“Kak Mira, kalau dah tak ada apa lagi Kim nak
keluar dulu,” pinta Hakimi. Hatinya resah. Ah, janganlah masalah baru datang
lagi, doa Hakimi dalam hati.
“Okey,” Mira mengangguk. Dia harap Hakimi
bersedia menemui wakil Pasio nanti.
Hakimi cepat-cepat bangun menuju ke pintu.
“Kim...”
Panggilan Mira membuat Hakimi terkejut. Pucat
mukanya seketika. Mira dipandang.
“Tahniah sebab dapat selesaikan masalah ni,”
ucap Mira dengan senyuman.
Hakimi tersenyum hambar dan cepat-cepat berlalu
pergi. Sebaik Hakimi memasuki lif, Fradie pula keluar dari lif bersebelahan.
Dia menuju ke meja penyambut tetamu. Muka Shasha dipandang.
Shasha memandang Fradie kembali dengan muka
cuak. Beberapa kali liurnya ditelan.
Fradie meletakkan tangannya di atas meja.
“Mana?” pinta Fradie sebagai isyarat mahukan apa
yang sudah Shasha janjikan.
Shasha tidak banyak cakap. Dia terus meletakkan
beg kertas miliknya ke atas meja. Dia yang mencari masalah, sekarang padanlah
mukanya. Shasha buat muka minta simpati.
Fradie mengambil beg itu dan menjenguk ke dalam.
Dia tersenyum.
“Good girl,” ucap Fradie.
“Encik Fradie...” panggil Shasha dengan nada
bersalah. Berat sahaja mahu membuka mulut.
Fradie merenung Shasha.
Shasah menjadi takut.
Fradie tersenyum. “Teruskan kerja awak. Jangan
risau,” ujarnya sebelum berlalu dengan perasaan gembira.
ILA
membantu Vinda meneliti senarai barang-barang yang
mahu dikeluarkan dari bilik simpanan. Dalam pada itu mindanya memikirkan
perihal Hakimi dan Juliesa semalam. Kebelakangan ini Hakimi seakan menjauhinya.
Tiada masa untuk makan tengah hari dan minum petang bersama. Mungkin ke Hakimi
sudah kembali kepada Juliesa dan setiap hari mereka memang keluar makan
bersama?
Ila mengeluh. Kenapa aku nak jelous
hubungan Hakimi dengan Juliesa pulak? Lantak dialah. Kami bukan ada apa-apa
pun. Yang hati aku ni tak sedap rasa dan bergelora tengok dia orang bersama tu
kenapa? Ila termenung sampaikan Vinda dan Lufi hilang ke bilik belakang untuk
menyusun kotak yang sudah diisi pakaian dan aksesori pun tidak disedari.
Bahunya ditepuk dari belakang. Ila terkejut.
Sangkanya Vinda yang memeranjatkannya. Dia berpusing ke belakang.
Hakimi? Menyampah! Keluhnya dalam hati. Asal
teringat aje mesti muncul.
Ila berdiri. Malaslah nak layan. Buat serabut
otak sahaja. Lagi elok sambung pekerjaannya memasukan rekod ke dalam fail
komputer di meja sana.
“Ila...” Hakimi terus mengikut gadis arnab tu
dari belakang. Dia mahu menjernihkan suasana. Masalah Pasio sudah sedikit
selesai. Rasanya tidak perlulah mereka memanjangkan salah faham itu lagi.
Ila hanya diam.
“Hmm... jom teman saya minum kat pantry,”
ajak Hakimi. Harap tindak balas positif. Dia tahu tidak mudah memujuk Ila.
Kalaulah Ila seperti perempuan-perempuan yang pernah dikenali bukan ke senang.
Bolehlah dihadiahkan barang-barang berharga untuk memujuk.
“Tak boleh, Encik Hakimi. Saya banyak kerja.
Karang kerja-kerja ni tak siap, encik kata saya nak jadi cik puan pulak,”
sindir Ila.
Hakimi terdiam. Susah betul. Ila perempuan
pertama yang susah dipujuk dan harapnya yang terakhir juga. Egonya terpaksa
diketepikan demi menceriakan suasana hati mereka semula. Kerana rajuk Ila,
tidur malamnya tidak lagi lena. Hatinya sudah pandai membuat mogok kerana tidak
dapat pemanis mimpi daripada Ila. Dia mesti berbual dengan Ila di balkoni
dahulu baru lena tidurnya.
Hakimi memandang Ila dan tangan gadis itu cuba
dicapai.
Ila mengelak. Dia tidak suka Hakimi selalu
sangat cuba memegang tangannya sesuka hati. Lelaki ini selalu tidak faham batas
antara mereka. Selalu mengabaikan pandangan masyarakat dengan tindakannya.
Pandangan Tuhan lagilah
diabaikan. Di mana mata hati lelaki bernama Hakimi itu sebenarnya? Mungkin
sudah dibutakan lonjakan graf nafsu yang selalu menjadi juara pengasut.
Hakimi mengeluh. “Awak... sayakan dah mintak
maaf. Apalagi awak tak puas hati? Lagipun saya bukan sengaja nak marah awak.”
Hakimi masih mahu membela diri. Dia rasa dalam urusan kerja tindakannya benar.
Semua pekerja harus dilayan sama rata ketika membuat kesilapan. Tiada layanan
istimewa sehingga menyukarkan urusan pekerjaan antara mereka nanti. Jika
kesalahan Ila tidak boleh ditegur, berkali-kalilah Ila akan melakukan kesilapan
yang sama nanti.
Ila buat muka menyampah sekali lagi. Maaf?
Asyik-asyik itu sahaja penyelesai masalah Hakimi. Bosan!
“Saya dah maafkan Encik Hakimi,” balas Ila tidak
ikhlas. Dia tahu Hakimi mungkin tidak puas hati dengan caranya memaafkan,
tetapi hatinya tidak boleh menerima maaf Hakimi. Dia nak buat macam mana?
Mungkin Hakimi terpaksa tunggu seminggu lagi baru hubungan mereka akan okey
kot. “Jadi sekarang tak payah nak fikir-fikir lagi. Saya pun banyak kerja nak
buat,” tambah Ila pula sebelum memusingkan badan mahu menuju ke mejanya.
Hakimi rasa gadis arnab ni sengaja mahu buat
hatinya berdarah. Geram punya pasal, bahu Ila ditarik kuat ke belakang,
membuatkan Ila hilang kawalan dan jatuh terduduk.
“Hakimi!” jerit Ila. Geram betul hatinya. Bodoh
punya Hakimi! marahnya dalam hati.
Alamak!Macam mana Ila boleh jatuh? Aduhai... dia
segera mencangkung cuba melihat jika kaki Ila tercedera.
“Sakitlah kaki saya!” marah Ila. Tetapi
sebenarnya yang sakit punggungnya. Malu punya pasal, dia cakaplah kaki.
Lufi dan Vinda yang terdengar jeritan Ila terus
menjengah ke luar pintu. Tetapi sebaik ternampak Hakimi di situ mereka berpatah
ke bilik simpanan semula. Kononnya hendak memberi peluang kepada dua orang
manusia itu menyelesaikan masalah mereka.
Ila menjeling geram dan berusaha untuk bangun.
Hakimi membantunya.
Tetapi tanpa mereka sedar, muncul Mira, Zalikha
dan Fradie di situ.
Ila mengerut dahi melihat tiga orang penting
Maniera di situ. Zalikha memegang sampul surat putih. Fradie pula memegang beg
kertas. Kenapa mereka ke situ? Ila tidak faham. Tangan Hakimi yang masih
memegang lengannya ditepis. Hakimi ini tidak tahu ke hendak berdiri jauh
sedikit daripadanya?
“Kau orang buat apa ni?” tanya Mira. Dia pasti
hanya Ila dan Hakimi sahaja di situ. Dahinya berkerut-kerut melihat Hakimi
terlalu rapat dengan Ila. Sudahlah sekejap tadi Hakimi bagaikan memeluk gadis
itu.
“Tak buat apa pun,” jawab Hakimi dengan muka
tidak bersalah. Dia hanya membantu Ila untuk berdiri semula. Salah ke? Dia
betul-betul tidak faham dengan sikap serkap jarang yang ditunjukkan Mira.
Ila tertunduk diam. Apa tujuan mereka ke sini?
Tetapi nampak gayanya ada malapetaka bakal berlaku.
“Tak buat apa?” tanya Mira sinis. Kaca mata yang
terlekap di mukanya diturunkan sedikit. “Kim, Kak Mira tak nak campur hal Kim.
Tapi ni pejabat. Jangan jatuhkan reputasi keluarga kita kat sini,” tegur Mira.
Belum sempat lagi masalah yang timbul diajukan, Hakimi sudah timbulkan yang
baru pula.
Hakimi buat muka menyampah. Salah ke apa yang
dia buat? Memberikan bantuan tu satu kesalahan ke? Mira memang sudah hilang
akal.
Ila faham apa yang dimaksudkan Mira. Kalau bukan
kerana Hakimi menariknya tadi, pasti benda canggung begitu tidak timbulkan syak
di mata Mira. Eeii... geram bercampur malu beradun menjadi satu. Teruk rasannya
terjerumus dalam dunia permainan Hakimi.
“Ila Nadirah tu kamu, kan?” tanya Mira. Muka Ila
dipandang. Dari dulu dia memang tidak berkenan Hakimi membawa masuk gadis itu
ke Maniera. Dia rasa ada yang tidak kena antara mereka.
“Ya, puan,” jawab Ila sambil mengangguk.
Mira mengukir senyum manis. “Tolong ambilkan
saya gaun Pasio,” pinta Mira lembut walau dalam hati ada bom yang bakal meledak
sebentar lagi.
Ila menelan liur. Gaun itu sudah menjadi benda
berhantu setiap kali didengari.
Hakimi pandang Ila. Ila pandang Hakimi.
“Kenapa?” sergah Mira. Hakimi dan Ila dipandang
silih berganti.
Ila tersenyum dan segera ke almari gaun itu
tersimpan atau lebih tepat gaun palsu.
“Kenapa mintak gaun ni?” tanya Hakimi kurang
senang.
Mira pandang gaun itu sebelum memandang Hakimi.
Dia tersenyum.
“Rasa pelik bila gaun ni ada dua,” beritahu Mira
sambil menadah tangan kanannya ke belakang.
Fradie yang faham dengan isyarat yang diberikan
terus menyeluk ke dalam beg kertas di tangannya. Sehelai lagi gaun Pasio
dikeluarkan dan diserah kepada Mira.
Ila tutup mulut dengan tangan. Dia terkejut.
Berdebar-debar jantungnya. Tidak faham bagaimana gaun itu boleh berada pada
Fradie? Fradie tolong palsukan gaun itu juga ke? Tanya hati Ila.
“Kau yang ambil?” Tidak mahu banyak tanya,
Hakimi terus menunding jari ke arah Fradie. Dia rasa Fradie sengaja mahu
mengenakan dirinya. Merosakkan kebolehannya dalam mengendalikan projek pertama.
“Kim, jangan nak timbulkan masalah baru!” tegur
Mira. Hakimi ingat mereka masih kanak-kanak ke hendak mencetuskan pergaduhan
setiap kali bersua muka.
“Tapi dia dah menyusahkan Kim!” Tuduh Hakimi
tidak puas hati melihat Fradie di situ.
Fradie tunjuk muka selamba.
“Bukan dia yang menyusahkan Kim. Tapi Kim yang
menyusahkan diri,” tekan Mira sambil menjeling Ila. Geram dia melihat gadis
itu. Pasti gadis itu jugalah yang mencetuskan pergaduhan antara Fradie dan
Hakimi tempoh hari. Menurut pengawal, ada seorang gadis terlibat dalam
pertengkaran Hakimi dan Fradie sebelum mereka bertumbuk.
Hakimi kecilkan matanya. “Kenapa pulak?” persoal
Hakimi. Menyampah melihat senyuman mengejek Fradie. Pandangannya dialihkan ke
meja kerja Cdans. Bersusun lipatan baju atas meja itu.
Mira ketawa mengejek sambil menjeling.
Cukup-cukuplah mereka berdrama dan memperbodohkan dirinya dengan gaun palsu
itu.
“Kalau bukan dia, siapa yang palsukan gaun
Pasio?” tanya Mira tegas sambil memandang Ila.
Ila kemam mulut dengan muka kasihan. Memang dia
sudah tidak boleh lari.
Hakimi memandang Ila. Mati! Bagaimana dia hendak
menyelamatkan gadis arnab kali ini? Kenyataannya Fradie sedang memerangkap
mereka.
“Kim sebagai salah seorang ketua di Maniera
bertanggungjawab menjaga nama baik syarikat. Bukan tolong orang bawahan
menipu!” herdik Mira mula menunjuk kuasa.
“Kim...” Ah! Hakimi kehilangan kata. Soal
penipuan itu dia memang bersalah kerana menyembunyikannya. Tetapi dia sudah pun
merancang jalan keluar.
“Memang salah saya, puan,” akui Ila. Mahu tidak
mahu dia harus bertanggungjawab dengan pemalsuan gaun Pasio itu.
“Ya, salah kamu kerana lalai dalam tugas!” marah
Mira.
Ila tertunduk diam.
“Kak Mira, benda kecik tak payahlah nak
besarkan.” Hakimi cuba membela.
“Kecik? Kau kata kecik?” soal Mira geram. Hakimi
terlalu lembut hati dengan kesalahan gadis itu. Jika begitulah sikap Hakimi,
Maniera bakal bermasalah.
“Sudahlah kau terlibat sama,” rengus Mira dengan
jelingan.
Hakimi pejam mata sesaat. Geram betul hatinya.
Bagaimanalah rahsia itu boleh bocor? Mulut siapalah yang membocorkannya? Vinda?
Bella? Atau Cdans? Tetapi lebih pelik bagaimana gaun tu boleh berada di tangan
Fradie?
“Pekerja yang cuai dan pandai menipu macam ni,
tak boleh berada di sini lagi,” ujar Mira sambil memandang tajam ke arah Ila.
“Kak Mira
nak buat apa? Nak pecat dia?” tanya Hakimi. Dia tidak bersetuju dengan tindakan
yang bakal diambil Mira. Gaun itu boleh diganti. Bukan wakil Pasio tahu pun apa
yang sedang mereka hadapi. Lainlah mulut Fradie tu jahat sangat hendak
menyusahkan mereka.
Ila diam. Selain menerima hukuman apalagi
pilihannya.
“Ya!” jawab Mira tegas.
“Tak, Kim tak setuju!” bantah Hakimi. Tidak
sangup melihat Ila diperlakukan begitu. Tidak rela juga Ila pergi dari situ.
“Zalikha...” Mira memberi isyarat kepada
setiausahanya.
Zalikha yang faham menyerahkan sampul surat
putih ditangannya kepada Mira.
“Cik Ila Nadirah binti Ali.” Mira membaca nama
yang tertera atas sampul itu sebelum memandang Ila. “Ini gaji awak bulan ni.
Mulai sekarang awak bukan lagi pekerja Maniera. Sila tinggalkan bangunan ini
dengan segera.”
Ila mengambil sampul surat itu. Apalagi yang
hendak dikata. Hal sudah dijangkakan. Tetapi hatinya sebak. Kenapalah nasibnya
begitu?
“Sebelum Kak Mira pecat Ila, Kim nak tahu...
macam mana gaun Pasio yang asli ada pada Fradie?” tanya Hakimi.
Mira memandang Fradie dan memberi isyarat supaya
menjelaskan pertanyaan itu.
Fradie tersenyum sambil memandang Ila. “Hari tu
kan Cik Ila Nadirah minta saya carikan gaun Pasio yang hilang,” beritahu
Fradie.
Hakimi memandang Ila. Hisy... geramnya mendapat
tahu Ila memberitahu Fradie mengenai kehilangan gaun itu.
Ila mengangguk. Memang dia ada beritahu Fradie.
“Itulah Cik Ila, lain kali kalau buat kerja biar
selesai. Janganlah bawak gaun ni keluar dari Maniera. Nasib baik tertinggal kat
kerusi di lobi dan guard yang simpankan. Kalau tak, lagi susah jadinya,”
ujar Fradie mereka cerita. Dia memang mahu Ila menjadi mangsa keadaan.
Ila membesarkan mata. Bila pula dia membawa gaun
itu ke hulu, ke hilir. Hisy, ada yang makan tapak kasut ni.
“Tapi saya tak bawak gaun tu keluar dari sini.”
Ila cuba membela diri. Dia belum hilang ingatan lagi.
Hakimi menghembus nafas. Langsung tidak percaya
Ila menipunya. Kononnya gaun itu hilang kerana dia memaksa Ila balik cepat
petang itu, tetapi sebenarnya lain.
“Awak tak perlu jelaskan apa lagi. Maniera tak
perlukan awak,” ujar Mira. Tugasnya masih banyak yang perlu diselesaikan. Dia
tidak mahu membuang masa berlama-lama di situ. “Hari ni awak menipu, esok awak
mencuri pulak,” cerca Mira pula.
Ila memandang Hakimi tetapi Hakimi memalingkan
muka. Dia mengeluh, banyak cakap pun tidak berguna jika orang tidak mahu
percaya. Elok sahaja dia pergi.
Vinda dan Lufi hanya berani memandang dari jauh.
Mereka takut hendak menghampiri Ila. Mereka sedih Ila diperlakukan begitu.
“Kim betul-betul menyusahkan Maniera kali ni!
Kalau bukan sebab dia, Kim tak jadi penipulah,” marah Mira.
“Kim tahu tak sekarang kita kena jelaskan dengan
Pasio mengenai gaun palsu ni?” tambah Mira lagi. Kalau dia tahu gambar yang
die-mail kepada Pasio itu palsu, memang dia takkan buat begitu.
Hakimi kemam bibir. Berdesing telinganya
mendengar perkataan menipu itu. “Kak Mira tak faham,” ujar Hakimi tidak suka
Mira bercakap mengikut sedap mulut sahaja. Paling tidak dengarlah penjelasannya
dulu.
“Apa yang akak tak faham?” soal Mira kembali.
“Akak faham. tapi Kim jangan campurkan Maniera
dengan urusan peribadi. Akak buat semua ni sebab nak jaga nama baik Kim dalam
Maniera. Akak tak mahu apa yang berlaku menjejaskan reputasi, Kim,” jelas Mira.
“Urusan peribadi apa? Ila tu kawan Kim ajelah,”
jelas Hakimi baran. Dia mencuri pandang Ila yang sedang mengemaskan barang-barangnya.
“Kak Mira rasa tak ada apa yang perlu dicakap
lagi. Keputusan dah dibuat. Kita teruskan kerja kita,” ujar Mira.
Ila menemui Vinda dan Lufi sebelum meninggalkan
bilik itu.
“Sampaikan salam aku pada Cdans dan Kak Bella,”
pesan Ila setelah bertukar salam dengan Lufi dan Vinda.
Dua kawannya itu mengangguk hiba.
Hakimi hanya memandang Ila meninggalkan bilik
itu. Dalam hati masih tidak percaya apa yang Fradie katakan. Mahu bertanya,
egonya masih tinggi. Tidak mahu digelakkan Fradie. Mungkin selepas menjelaskan
dengan Pasio nanti dia akan menemui Ila.