Bab
13
Hakimi memerhatikan kawasan halaman rumah yang luas sebaik sahaja enjin
keretanya dimatikan. Dia turun dan memandang kawasan sekeliling. Eh, apasal
tempat ni tak macam kampung yang bersifat kampung? Kawasan kampung dalam bandar
memang moden dan teratur macam ni kot, fikirnya lagi. Ah, lantaklah. Janji dah
sampai. Dia memandang Ila yang sedang menangalkan sandal.
“Assalamualaikum?” laung Ila sambil cuba menolak
pintu. Tak berkunci pun. Ila menggeleng. Neneknya memang begitu. Selalu sangat
lupa mengunci pintu. Dia terus melangkah masuk.
Hakimi yang tidak dipelawa masuk menunggu di
luar. Takut juga hendak masuk ke rumah orang sesuka hati.
“Waalaikumussalam,” jawab Mak Leha. Dia
memandang Ila yang sedang membuka daun pintu dengan lebih luas.
Ila berpaling dan tersenyum sebelum beralih
memandang Hakimi. “Awak... masuklah,” pelawa Ila.
Hakimi mengangguk. Masih teragak-agak juga
hendak masuk kerana wajah tuan rumah masih belum kelihatan di matanya.
“Ila...” sapa Mak Leha.
Ila tersenyum sambil memeluk erat tubuh Mak
Leha. “Hmm... rindunya. nenek sihat?” tanya Ila.
“Sihat...” jawab Mak Leha gembira. Mata masih
memandang Hakimi yang terkial-kial menangalkan kasut.
“Achik kirim salam,” kata Ila.
“Waalaikumussalam,” jawab Mak Leha. Dia
menjeling Hakimi lagi.
Ila tersenyum, faham dengan maksud pandangan Mak
Leha. Dengan selamba, Ila menarik sedikit baju Hakimi.
Hakimi terasa malu diperlakukan sebegitu.
Ila senyum kambing. Biarlah Hakimi rasa apa yang
dia rasa pada malam parti di rumah Hakimi dulu. “Dia ni driver, nek,”
kata Ila.
Mak Leha memandang Hakimi atas dan bawah. Dia
tersenyum. Suka sangat Ila mempermainkan orang. Hendak kata itu kawan sekolah
Ila, bukan. Paras anak muda itu jauh lebih matang berbanding Ila. Entah
siapa-siapalah yang dibawa Ila.
Ila tersenyum bila melihat neneknya meneliti
Hakimi atas dan bawah. “Dia ni anak jiran belakang rumah, nek. Tak malu tadi
merengek-rengek nak ikut,” beritahu Ila selamba. Dia pun tidak mahu Mak Leha
terlalu jauh berfikir. Manalah mungkin dia mengajak lelaki sebarangan ke rumah
itu.
Hakimi membesarkan mata memandang Ila. Teruk
betul gadis arnab ni. Bila pula dia merengek? Dia merayu dengan cara yang penuh
gaya sahaja. Hendak memujuk hati gadis haruslah berlemah lembut.
Mak Leha angkat kening, dipandangnya Hakimi.
Tiada pula rupa orang tidak cukup akal hendak merengek seperti yang Ila
cakapkan. Elok sahaja. Ila ni pandai sahaja hendak mengada-adakan cerita. Suka
sangat menyakat.
Hakimi tersengih. “Nek,” sapa Hakimi sepatah.
Ringan sahaja tangannya hendak mengetuk kepala Ila. Tetapi cepat-cepat tangan
dihulurkan kepada Mak Leha.
“Duduklah,” pelawa Mak Leha.“Siapa nama?”
“Romeo.” Ila pula yang tolong jawabkan. Jawapan
daripada kesan sampingan mendengar lagu Taylor Swiff tadi.
Hakimi memandang Ila. “Bukan. Nama saya Hakimi,”
Dia memperbetulkan kesilapan yang disengajakan Ila. Gadis arnab ni dapat
membuli memang teruk dirinya dipermainkan. Tidak boleh jadi, dia pun nak
membuli juga. Siaplah kau!
Mak Leha mengherotkan bibir sebelum memandang
Hakimi semula.
“Kamu jangan ambil hati. Ila ni kalau bercakap
bukan kira orang. Sedap mulut dia aje,” beritahu Mak Leha.
Hakimi tersenyum. Bukan kerana mendengar teguran
Mak Leha tetapi tersenyum kerana sudah mengetahui sebaris nama gadis arnab itu.
Ila, sipi sedikit sahaja dengan huruf T. Dia beri nama Rabbita, Willy pula
memanggil Ita. Hakimi tergelak dalam hati.
“Kenapa buat muka tak sudah tu?” tegur Ila.
“Ila,” tegur Mak Leha.
Ila menjelir lidah sedikit mengejek Hakimi.
Hakimi tersenyum dan menggeleng. Memang nakal
gila gadis arnab ni. Tetapi comel. Habislah hatinya sudah mula tersuka.
Huhuhu.... Hakimi menelan liur.
“Duduklah, buat apa berdiri.” Mak Leha memandang
Hakimi.
Hakimi mengangguk.
“Ila, pergi buat air,” arah Mak Leha lembut.
Ila angkat kening. “Tak payah buat air tak apa
kot, nek? Kita orang kejap aje ni.” Ila memeluk belakang neneknya sambil dia
tersenyum jahat kepada Hakimi.
“Ila, tetamu kena dihormati,” tegur Mak Leha.
“Tetamu tu rezeki,” tambahnya lagi.
Ila mencebik. Kalau rezeki itu betullah agaknya,
sebab ada kuih-muih yang dibeli menggunakan duit Hakimi tadi.
Hakimi mengangkat kening mengejek. Seronok pula
menjadi tetamu. Ngeh... ngeh.. ngeh...
“Atuk mana, nek?”
“Keluar dengan acu kamu tadi,” jawab Mak Leha.
“Atuk tak cakap ke dia pergi mana?” tanya Ila
lagi.
Mak Leha menggeleng. “Tak… Dah pergi buat air,”
arah Mak Leha.
“Baiklah nenekku yang tercinta.” Ila memandang
Hakimi. “Awak nak air apa?” tanya Ila. Kalau Hakimi kata mahukan air kosong
sahaja pasti kerjanya menjadi lebih mudah.
Hakimi tersenyum jahat. “Boleh ordermacam-macam
ke?” usik Hakimi.
Ila mencebik.
Mak Leha tersenyum. Tidak menyangka dua kali
lima rupanya dua orang manusia di depannya ini.
“Jangan nak mengadalah,” balas Ila sebelum
melangkah ke dapur.
“Awak jangan buat macam dalam drama, ya?” pesan
Hakimi.
Ila berpusing ke belakang dan memandang Hakimi
semula. “Apa? Tak faham,” tanya Ila.
Hakimi tersengih. Kalau Ila boleh selamba badak
sahaja membuli dia, dia pun boleh buat.
“Tak ada apa. Cuma jangan letak garam dalam air tu,” beritahu Hakimi.
Mak Leha memandang Ila. Betul ke cucunya berniat
seperti itu?
Hisy, jangan buat benda bukan-bukan budak ni.
Ada pula masuk garam dalam minuman tetamu, gerutu hati Mak Leha. Dia tidak
pernah mengajar Ila begitu.
Ila buat tidak peduli. Langkah ke dapur
diteruskan.
“Kamu duduklah dulu,” ujar Mak Leha.
Hakimi mengangguk.
Cepat-cepat Mak Leha ke dapur. Risau Ila buat
apa yang dikatakan Hakimi. Liar matanya memerhatikan Ila membancuh minuman.
“Siapa budak tu?” tanya Mak Leha perlahan. Dia belum puas hati dengan jawapan
tadi. Takkan jiran sahaja Ila berani bawa balik ke rumah. Entah-entah teman
lelakinya yang dikenali di mana-mana. Tidak boleh jadi ni, dia mesti bertanya
kepada Hanim nanti.
Ila tersenyum. “Anak kawan achik,” jawab Ila.
Dia ke almari mengambil gelas.
“Bukan pakwekamu?” duga Mak Leha. Bukan
dia tidak suka, tetapi cucunya itu masih terlalu muda untuk membawa calon suami
pulang ke rumah.
Ila ketawa. Hakimi boyfriend aku? Tak
naklah dia. Biar dia pilih Andrew. Lebih sopan dan baik hati. Tiba-tiba dia
teringatkan pemuda Cina itu. Hampir seminggu mereka tidak bersua muka. Sempat
berbalas mesej sahaja.
“Bukanlah, nek. Tadi dia nak ikut sangat. Dia
nak tengok kampung kita,” jelas Ila sambil meletakkan gelas yang diambilnya
atas dulang. Dia mencapai piring.
Mak Leha memerhati setiap gerak-geri Ila. Antara
percaya dengan tidak sahaja dia mendengar. “Hmm... pergilah hantar air tu dulu.
Nenek nak ke belakang tengok anak ayam baru menetas kejap.”
“Nenek ni, asyik-asyik ayam!” kata Ila. Entah
apa yang seronok sangat memelihara ayam agaknya?
HAKIMI memerhatikan setiap sudut ruang tamu rumah itu. Perabotnya daripada
kualiti tempatan tetapi ukirannya tampak mewah dan menarik. Dinding ruangan itu
dihiasi dengan gambar keluarga, lukisan dan cermin besar. Sedikit bunga digubah
kemas di bahagian sudut berhampiran tingkap menjadikan suasa lebih kemas. Bunga
hidup yang terletak dalam vas kaca di hadapannya juga menambah seri dan kesegaran.
Hakimi bangun, menghampiri dinding yang dihiasi
gambar keluarga. Gambar itu diamati. Ramai betul ahli keluarga Ila.
“Awak, minumlah air bergula tak bergaram ni,”
usik Ila. Dulang berisi minuman dan piring kosong diletak atas meja.
Hakimi tersenyum. Pandangan masih kekal pada
gambar keluarga Ila. “Ramainya,” ujar Hakimi.
“Biasalah... keluarga besar,” balas Ila sambil
tangannya mengatur kuih-muih yang dibeli tadi ke dalam piring.
“Eh, betul ke Auntie Hanim tu mak awak?
Dia nampak muda sangat nak punya anak dara sebesar awak.”
“Itu mak cik sayalah,” beritahu Ila.
“Mak cik awak...” Patutlah Hanim dan Ila
berbeza. “Kalau itu mak cik awak, mak awak mana?” tanya Hakimi lagi. Ila itu
anak yatim ke? Simpati pula hatinya. Dia sudah membuli insan yang memerlukan pelindungan.
“Tak ada...” jawab Ila tanpa perasaan. Tangannya
masih menyusun kuih-muih yang dibeli tadi ke dalam piring kosong.
“Tak ada?” Hakimi tercegang. Dia merenung Ila.
Jadi betullah Ila anak yatim. Sebab itu gadis itu hidup bersama Hanim.
“Tak ada,” jawab Ila bersungguh.
“Awak anak buluh betong ke?” gurau Hakimi sambil
duduk semula.
“Dia tak ada kat sini,” beritahu Ila sambil
mengambil tempat di sofa.
“Oh, dia tinggal kat mana?” tanya Hakimi lagi.
Ila mengeluh. Hakimi ni memang banyak soal
jawablah. Sepatutnya dari dulu dah jadi pegawai polis. Korek maklumat daripada
orang yang disyaki bersalah itu dan ini, gumam hatinya.
“Angkasa,” beritahu Ila dengan muka bosan.
“Angkasa?” Hakimi tersengih. Ila dah mula hendak
berlawak lagilah tu. Jika benar Ibu Ila berada di angkasa, gadis arnab itu
memang luar biasa. Spesis Alien! Patutlah suka menerjah bila bercakap, kerana
tamadun mereka berbeza. Kekeke...
“Dahlah. Awak ni banyak tanya. Rimas,” protes Ila.
Hakimi menyengetkan bibir. Dia hendak tanya
juga. Tak kira! “Nenek awak pergi mana? Dah balik angkasa juga ke? Tak nak
minum sama?” tanya Hakimi.
Ya ALLAH, Ila mula penat duduk dalam balai polis
imiginasi versi Hakimi. Mata dipejamkan. Perlahan-lahan sebelah matanya dibuka
untuk mengintai Hakimi. Sebaik Hakimi menoleh, Ila pejamkan mata semula.
Sengaja membuat perangai pelik untuk hilangkan tekanan.
“Awak buat apa?” tanya Hakimi. Dia perasan apa
yang dilakukan Ila.
Ila tersengih. “Saya tengah fikir, macam mana
nenek saya boleh ingat awak tu boyfriendsaya.” Punyalah lurus, dia
boleh beritahu Hakimi semua tu. Memang sengaja minta dibulilah.
“Oh, mungkin dia suka awak jadi girlfriendsaya,”
beritahu Hakimi. Dia meneguk air oren yang dihidangkan Ila.
“Mimpilah,” balas Ila.
“Kenapa pulak mimpi? Dalam mimpi pun saya
sudilah,” sakat Hakimi.
“Tak ada maknanya,” jawab Ila.
“Kenapa? Saya tak handsomeke?” Hakimi
merenung mata Ila. Cuba hendak mempesona jiwa yang baru hendak kenal cinta itu.
Manalah tahu Ila terjatuh cinta, berteman lagilah dirinya.
Ila menjeling. “Handsomeaje tak cukup!”
“Habis awak nak yang macam mana?” Hakimi
merenung Ila.
“Yang bekerja. Taklah nanti nak belanja girlfriend
air mineral pun tak ada duit.” Ila mempamerkan muka jahat. Dia tahu Hakimi
tidak bekerja pun masih ada duit. Namun, dia tetap mahu Hakimi tahu, lelaki
yang tidak bekerja bukan sahaja tidak layak berkahwin, malahan tidak layak juga
bercinta.
“Alah... boyfriend aje kot, bukan suami.
Saya tak kerja pun boleh aje nak belanja awak sepuluh botol besar air mineral
saiz besar,” kata Hakimi berlagak.
Ila memandang Hakimi. Agaknya kategori bagaimana
Hakimi melabelkan teman wanitanya? Mungkin bila jemu ditinggalkan dan mencari
yang lain kot. Malang sekali sesiapa yang terpikat dengan lelaki seperti itu.
Ila mencapai donat dalam piring kecil. Daripada melayan Hakimi mengarut, elok
perutnya diisi.
“Biasanya budak-budak lepas SPM suka cari kerja
nak isi duit poket, kan? Awak tak nak kerja?” tanya Hakimi. Manalah tahu Ila
sudah tidak mahu menanam anggur lagi. Sepilah dia nanti.
“Kerja?” Ila memandang Hakimi. Dia ada juga
terfikir hendak bekerja setelah tidak terpilih ke PLKN. Tetapi tinggal dua
bulan sahaja lagi keputusan SPM diumumkan. Nak bekerja di mana?
“Jom kerja dengan saya?” tawar Hakimi. Andai Ila
sudah tidak mahu menanam anggur, dia pun terfikir hendak berhenti juga. Tetapi
dia sebenarnya kurang faham dengan hati sendiri. Kenapa pula gadis arnab tu
bagaikan memberi efek besar kepada dirinya? Sampai hendak bekerja bersama pula.
Dia tidak percaya dia sudah tergoda dengan gadis itu.
“Kerja dengan awak?” Ila tergelak. “Siapa nak
bayar gaji saya?” soal Ila. Kerja apalah orang tak kerja seperti Hakimi hendak
tawarkan kepadanya. Mengarut!
Hakimi diam. Ila ni suka sangat pandang orang
tiada mata. Jangan main-main. Ini Hakimilah.
Ila mengerling jam tangannya. Sudah agak lama
dia dan Hakimi berbual. Neneknya menghilang tidak muncul-muncul. Konon hendak
memberi peluang kepada dia dan Hakimi berbuallah tu. “Awak duduklah. Saya nak
ke belakang,” ujar Ila.
Melihat Ila bangun, Hakimi turut bangun. “Ikut,”
pinta Hakimi. “Saya nak tengok kawasan rumah nenek awak.”
“Saya nak solat,” beritahu Ila sebaik sedar
sudah beberapa minit masuk waktu asar. “Awak nak solat juga ke?” tanya Ila.
Hakimi mempamerkan muka serba salah. “Hmm… awak
solatlah dulu.”
Ila mengangguk. “Okey. Awak berbuallah dengan
nenek saya kat belakang tu. Boleh belajar cara-cara nak bela ayam.” Ila
menghantar Hakimi sehingga ke pintu belakang. Orang banyak alasan seperti
Hakimi itu biar Mak Leha sahaja yang uruskan. Siaplah Hakimi. Ila terkekeh di
dalam hati.
Hakimi mengangguk. Dia duduk atas buaian besi
sambil memerhatikan nenek Ila memetik cili yang ditanam ke dalam mangkuk.
Pandangannya beralih ke tempat lain. Dia rindukan suasana kampung. Walau agak
asing tetapi persekitaran di situ masih ada sedikit persamaan dengan
kampungnya. Basikal tua yang kelihatan masih elok terletak di tepi rumah itu
danserkap ayam daripada jalinan buluh mengingatkan dia kepada arwah datuknya.
Melihat Hakimi sendirian di situ, Mak Leha
menghampiri. “Mana Ila?” tanya Mak Leha.
“Err, dia solat,” jawab Hakimi.
Mak Leha memandang Hakimi. Seorang lagi sedang
bersolat dan yang seorang lagi ini duduk bermain buai di situ buat apa?
Rumahnya ada bilik solat untuk tetamu dan lengkap dengan peralatan solat.
Rasanya tiada alasan untuk anak muda sesihat Hakimi itu mengelak daripada
bersolat. “Kamu tak solat?”
Hakimi tersengih. “Saya solat kat rumah ajelah,”
dalih Hakimi.
“Solat aje kat sini. Tak elok melewat-lewatkan
waktu solat. Nenek pun dah lewat ni. Jom kita solat sekali,” ajak Mak Leha.
Hakimi mengangkat kening. Alamak, masalah
betul. “Saya tak nak menyusahkan nenek. Lagipun baju ni dah berpeluh. Tak
selesa nak pakai,” dalih Hakimi.
“Dahlah, jangan buat alasan. Orang lelaki ni
khalifah utama kat dunia. Kalau diri gagal dipimpin macam mana nak buat lebih
lagi,” tegur Mak Leha.
Hakimi tiada pilihan. Hendak beri alasan datang
bulan dia bukan perempuan. Ikut jugalah.
“Ambil ni pergi mandi. Nanti solat dalam bilik
depan tu.” Mak Leha memberi tuala dan pakaian anak bongsunya sebagai persalinan
buat Hakimi membersihkan diri.
Hakimi mengambil kain itu dan terus ke bilik
mandi. Dalam bilik mandi dia memandang kain sarung yang diberikan Mak Leha.
Mana dia reti pakai kain tu? Kalau seluar pendek tu biasalah. Puas digayakan
tidak juga menjadi. Sudahnya, diikat sahaja asalkan tidak terlucut. Itulah,
dulu-dulu tidak mahu belajar memakai sarung. Sarung masa berkhatan aje.
“Jom
balik?” ajak Ila sebaik melihat Hakimi berdiri di pintu utama.
“Sebenarnya saya balik sini nak ambil motor ni,”
Ila duduk atas motosikal yang dimaksudkan. Tanpa motosikal itu, agak leceh dia
hendak berjalan-jalan. Takkan nak menumpang Andrew selalu. Dia pun sudah mula
sasau, angau pada mamat Cina tu. Hisy!
“Siapa nak bawak?” Hakimi menyentuh bahagian
depan motosikal tu.
“Sayalah,” jawab Ila.
Hakimi termenung sesaat. “Boleh ke?” tanya
Hakimi kurang yakin.
“Boleh.” Ila tersenyum nipis. Perempuan zaman
ini serba bolehlah.
Hakimi angkat kening. Langsung tidak percaya.