Bab
16
USAIsolat, Ila melayan muka buku. Melihat gambar-gambar kawan-kawannya
yang menyertai PLKN. Dia terfikir, kenapa rayuannya untuk menyertai PLKN masih
tidak dijawab? Hurm... mungkin dia memang tidak ditakdirkan ke situ.
Sejam berlalu...
Laptop yang masih
terpasang ditinggalkan atas meja tulis. Port biasa untuk melepak
ditujui. Kereta yang lalu lalang di atas jalan raya utama dipandang.
Pandangannya terhenti pada sekumpulan pengayuh basikal. Dia tersenyum. Dia
teringatkan Hakimi. Pintu kaca bilik Hakimi yang tertutup rapat dipandang.
Mana mamat ni pergi? Seharian tak nampak.
Selalu ada aje dia kat sini dengan gitarnya, tanya hati Ila.
Pantang disebut! Macam tahu-tahu ada yang sedang
merindunya. Hakimi menyelak langsir. Dari sebalik kaca yang berwarna hitam itu
dia boleh melihat Ila berdiri membelakanginya. Pintu dibuka.
Ila berpusing. “Hai?” tegur Ila dengan muka ceria.
“Hai,” balas Hakimi dengan senyuman. Senang hati
melihat Ila.
“Satu hari tak nampak. Mana awak menghilang?”
tanya Ila. Rasanya tidak lengkap harinya tanpa mengusik Hakimi.
“Kenapa? Rindu ke?” tanya Hakimi kembali. Entah
kenapa dia mengharapkan jawapan ya
daripada Ila. Dia sudah mereng agaknya.
Ila buat muka comel. “Rindu juga,” akui Ila. Dia
tersenyum malu sambil meletakkan tangan ke mulut. Alahai hati, mengada sahaja
hendak mengoda lelaki itu.
Hakimi tergelak. Seronok rasa hatinya mendengar
pengakuan itu. “Dari malam tadi saya tunggu awak, tapi tak muncul pun,” keluh
Hakimi. Sampai hati Ila tidak mengajaknya berkaraoke bersama.
“Oh, malam tadi saya keluar dengan Andrew dan
adik-adik,” akui Ila.
Hakimi tersenyum. Dia tahu tetapi sengaja hendak
bertanya. Manalah tahu Ila tidak suka dia menyibuk seperti selalu.
“Kenapa tunggu saya semalam?” tanya Ila.
“Hmm... saya dah dapatkan kerja untuk awak,”
beritahu Hakimi. Walhal semalam dia sendiri tidak pasti jawatan untuk Ila itu
masih ada atau tidak. Sampailah dia berjumpa Mira tadi, baru tahu jawatan itu
masih kosong.
“Kerja?” Ila buat muka pelik. Bila masa dia
mohon kerja kosong? Belum lagi rasanya.
Hakimi megangguk. Alah, janganlah nak buat-buat
lupa. Bukan ke mereka pernah bercakap dengan tentang hal itu kelmarin.
“Kerja apa?” tanya Ila.
“Lebih kurang macam keranilah. Awak kena
rekodkan pakaiaan yang keluar masuk setiap hari,” beritahu Hakimi seringkas
yang boleh. Dia pun belum tahu dengan jelas tentang tugasan yang perlu Ila
lakukan, tetapi dia tahu kerja itu tidak memenatkan.
“Kerja dengan pakaian?” Ila perlukan maklumat
tambahan. Masih belum faham hal berkaitan pekerjaan. Itu pengalaman pertama.
Hakimi mengangguk.
“Alah... nanti awak dah kerja, tahulah apa yang
saya maksudkan,” ujar Hakimi.
Ila memandang Hakimi lagi. Bilalah dia bersetuju
hendak bekerja?
“Awak buat resume dan e-mail pada saya,”
pinta Hakimi.
Ila memandang Hakimi. Dia masih berfikir. Nak
kerja ke tak? Berkaitan dengan pakaian memang dia suka. Tetapi pakaian
bagaimana? Stor atau gudang pakaian? Bundle ke? Dia garu kepala.
“Boleh ke tak?” sergah Hakimi. Suka sangat
berangan gadis arnab ni.
“Hah?
Okey,” jawab Ila.
“Beri saya nombor telefon awak. Saya nak mesej
alamat e-mail,” arah Hakimi mula hendak menjadi bos.
Ila menggaru leher. Tidak ada pilihan. Nombor
telefon bimbitnya disebut satu per satu.
“Jangan lupa e-mail,” pesan Hakimi sebaik
menghantar mesej ke telefon bimbit Ila.
“Kejap lagi saya hantar,” beritahu Ila. Sekali
lagi dia terpaksa melayan kerenah Hakimi.
Hakimi tersenyum puas. Lepas ni siaplah kau. Aku
jauhkan kau daripada budak Cina tu, bisik hatinya sambil ekor mata menjeling ke
balkoni bilik Andrew. Akan dipastikan Ila tidak punya banyak masa untuk selalu
bersama Andrew. Sekarang masa Ila untuk dirinya. Hakimi tergelak jahat dalam
hati. Tetapi kenapa dia hendak berebut perhatian Ila dengan Andrew? Sekali lagi
Hakimi tidak faham dengan kemahuan hati sendiri.
HANIM memandang jalan di hadapan rumahnya. Jam sudah melewati pukul 6.00
petang. Rais jarang-jarang pulang awal
kerana masih banyak kerja yang harus diselesaikan di pejabat. Lagi pun
suaminya itu berniaga sendiri, kenalah berusaha bersungguh-sungguh untuk
memantapkan kedudukan syarikatnya.
Hanim teringat kakaknya di rantau orang. Jika
benar wanita yang ditemui Rais itu Nadia, dia tidak sabar mahu terbang ke
Jakarta dan melihatnya sendiri. Ila pasti gembira.
“Achik mengelamun apa sampai senyum sorang diri
ni?” tegur Ila. Entah apa yang difikirkan Hanim agaknya. Jauh lamunan ibu
saudaranya itu. Barangkali sudah sampai ke pejabat pak ciknya.
“Achik tengah fikir nak pergi Jakarta.” Hanim
memandang Ila. Dia tahu hati Ila pasti tersentuh dengan berita itu. Namun, dia
masih belum boleh memberi Ila berita gembira.
“Nak bercuti ke?” tanya Ila. Seronok betul kalau
dapat bercuti sekeluarga. Tetapi hatinya tidak rasa begitu. Dia rasa Hanim mahu
ke Jakarta kerana keluarganya. Ada apa-apa berita ke?
“Rasanya macam tulah,” jawab Hanim
menyembunyikan niat sebenarnya. Sebelum dia benar-benar bertemu Nadia, dia
tidak mahu Ila mengetahui hal itu.
Tiba-tiba Andrew menyapa dari tepi pagar yang
memisahkan rumah mereka.
“Selamat petang, auntie?” tegur Andrew.
“Petang,” balas Hanim sambil tersenyum memandang
Andrew.
Ila juga tersenyum.
Hanim bangun daripada duduk. Dia rasa Andrew ada
hal mahu dicakapkan dengan Ila.
“Auntie masuk dulu,” beritahu Hanim
sebelum berjalan masuk.
Melihat Hanim sudah masuk, Ila menghampiri
Andrew. “Esok petang awak free?” tanya Andrew. Dia semakin selesa
berjiran dan berkawan dengan Ila. Setiap kali mereka keluar bersama,
perasaannya menjadi gembira. Hatinya terasa terisi, tidak seperti sebelum ini
dia rasa kosong dan sendiri sahaja walau ramai kawan-kawan yang mengelilingi
hidupnya.
“Kenapa?” tanya Ila.
“Saya nak ajak awak pergi main ice skating,”
beritahu Andrew dengan muka penuh harapan. Berlagu rianglah hatinya andai Ila
bersetuju.
Teruja Ila mendengar pelawaan itu. Selama ini
dia memang teringin menyertai kawan-kawannya bermain permainan mahal itu.
Tetapi dia tidak punya waktu. “Boleh juga.” Alang-alang sudah diajak apa
salahnya diterima.
“Okey, esok pukul 2.00 petang,” beritahu Andrew.
Ila tersenyum lagi. Seronoknya jejaka pujaan
ajak keluar dating. Hehehe...
Dia perasan sendiri.