Home Novel Keluarga Cinta Senget-Benget
Cinta Senget-Benget
Nina Rose
23/9/2013 21:05:35
83,776
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Beli Sekarang
Bab 35

PUAN NORA kembali sihat dan ceria. Penjagaan rapi dan layanan sempurna yang Ayumi berikan buat dia gembira. Selepas ini dia pasti takkan jatuh sakit lagi. Kini dia selesa berada di rumah sendiri. Cuma apa yang disembunyikan daripada keluarganya saja yang buat hatinya masih dibebani. Dia perlu mencari helah untuk mengakhiri perkara itu.

Ayumi yang baru selesai membaca sebahagian dari buku bersaiz poket bertajuk Panduan Fardu Ain pemberiannya diperhatikan. Puan Nora sedang menilai gadis itu. Baik hati, jujur dan mungkin juga boleh dipercayai. Semoga Ayumi akan menjadi lebih baik dengan apa yang bakal dipelajari hari demi hari. Sebagai ibu, pasti dia bangga mempunyai anak yang baik budi dan akhlaknya. Lagipun mengajar seorang dewasa tentang TUHAN dan solat bukanlah semudah mengajar anak kecil. Ayumi tidak mungkin memahami terlalu banyak dalam satu masa. Cukuplah sebagai permulaan dia meminta Ayumi membaca dan merujuk tentang pentingnya mengenal agama sebelum menjalankan peraturannya dan penting juga mengenal ALLAH sebelum menjalankan suruhan-NYA. Kerana awal agama itu mengenal ALLAH dan awal ilmu pula mempelajari usul.

Semakin dia membawa Ayumi mendekati agama, semakin Puan Nora juga rasa insaf dengan pembohongannya. Jika terus berkeadaan begitu, pasti sukar hendak menemani Ayumi menghadiri kelas agama di masjid berdekatan. Ayumi perlukan bantuan orang yang lebih dalam pengetahuannya. Dan dia perlukan Ayumi sebagai penyebab untuk keluar dari pembohongan itu. Tanpa Ayumi, masalah Dian juga akan berlarutan. Dia tidak mahu Dian terus menipu diri. Ah, penyakit menipu itu turun daripadanya. Tahu pula dia mahu risau. Puan Nora mengeluh dalam hati.

Nafas ditarik dalam-dalam. Ruang bilik rehatnya di tingkat bawah itu dipandang seketika. Selepas ini, dia tak mahu berkurung di rumah lagi. Nafas dihembus perlahan. Apa yang dilakukan selama ini tidak menjadi seperti yang diharapkan. Dia pula yang penat dan rasa terhukum begitu. Sangkanya tindakan itu akan memisahkan Afif dan Regina. Tapi Regina pula bertindak bijak dengan menangguhkan perkahwinan. Cara lain diperlukan demi memisahkan Afif dan Regina. Dan rasanya senjata itu sudah ada dalam genggamannya. Terserah bagaimana cara dia mahu gunakan saja. Ayumi dipandang. ‘Kenapa tidak?’ bisik hatinya yang tersenyum jahat.

“Natasa...” panggil Puan Nora.

Ayumi memandang Puan Nora. Selesa pula rasanya duduk bermain kaki di tepi katil Puan Nora.

“Pandang saya baik-baik,” arah Puan Nora.

Ayumi tersenyum. Memang dia tengah pandang Puan Nora pun. Dalam hati tertanya juga, kenapa? Tapi pertanyaannya terjawab dengan pergerakan Puan Nora. Kaki yang lumpuh itu kini sudah berdiri dari kerusi roda yang membantu pergerakan harian Puan Nora. Ayumi terlopong sambil menutup mulutnya dengan tangan. Biar betul?

Puan Nora tersenyum. Dia bukan mahu membuat magis atau mengejutkan Ayumi. Tetapi dia mahu mengakui kebenaran yang disembunyikan selama ini. Penat rasanya bermain seorang diri. Sekarang dia perlukan rakan sekutu.

Ayumi melihat Puan Nora berjalan mendekatinya. Dah sembuh? “Auntie dah boleh berjalan?” tanyanya masih tidak percaya.

Puan Nora duduk di sebelah Ayumi. Dia tersenyum sinis. “Aku tak pernah lumpuh pun,” akuinya perlahan.

“Apa!?” Antara percaya dan tidak saja Ayumi mendengar. Maknanya selama ini semua orang tertipu dengan kepura-puraan Puan Nora. Fuhhh... hebat wanita di sebelahnya ini. Mengerunkan. Pandai berdrama. Lepas ini entah apa lagilah pula. Malang sekali dia juga terkena dengan penipuan itu. Semogalah penyakit asma itu bukan sebahagian dari kelicikan Puan Nora.

“Tak payah nak terkejut sangat. Aku ada alasan sendiri buat semua ni. Tapi sekarang aku dedahkan kat kau, sebab aku percayakan kau. Bila aku percayakan kau bermakna aku tak nak kau bocorkan rahsia ni. Kalau tak...” Puan Nora memandang Ayumi dengan wajah mengugut.

Ayumi telan liur. Tak pernah lagi nampak muka menakutkan Puan Nora seperti mahu menelannya. Kalau tak apa? tanyanya setakat di kerongkong.

“Kalau tak, kau akan keluar dari rumah ni. Kau tak ada tempat nak pergi, kan?” Puan Nora terus mengugut.

Ayumi menggeleng.

“Kau tak nak aku bagi kau masalah, kan?”

Ayumi mengangguk.

“Bagus.” Puan Nora tersenyum. Salah Ayumi menceritakan kisah diri sendiri dari mula sampai habis. Sekarang dia dah tahu siapa Ayumi dan Ayumi tiada pilihan selain patuh kepadanya. Hati Puan Nora tersenyum menang. Bukan susah mahu menguasai seseorang, asal tahu kelemahannya pasti tidak menjadi masalah.

“Tapi saya tak faham. Kenapa auntie buat semua ni? Auntie tipu semua orang,” tanya Ayumi. Kalau yang ditipu itu orang luar seperti dirinya tidak mengapalah, tapi Puan Nora menipu ahli keluarga sendiri. Anak-anaknya. Atas alasan apa? Ayumi tidak puas hati.

“Kenapa? Kau tak perlu tahu,” jawab Puan Nora tidak mahu Ayumi tahu tentang Regina, tentang niatnya mahu menguji kesanggupan Regina menerima Afif jika mempunyai ibu yang lumpuh dan memerlukan perhatian. Dia juga sengaja mahu Afif bekerja lebih dengan menguruskan Dawson dan restoran mereka supaya Afif tidak punya banyak masa untuk Regina. Tapi semakin Afif sibuk, Regina juga mewah dengan tawaran penggambaran sana sini. Usahanya tidak berhasil! Niat tidak menghalalkan cara memang takkan membuahkan hasil yang baik. Sudahnya dia yang terhukum di atas kerusi roda itu.

“Yang perlu kau buat sekarang, bantu aku tamatkan penipuan ni. Mulai esok aku akan berpura-pura beransur pulih dan kau sampaikan berita gembira tu. Jadikan alasan kau urut kaki aku setiap hari tu sebagai punca,” arah Puan Nora. “Lagipun aku dah tak tahan nak terima urutan kau tu. Sakit!” beritahu Puan Nora.

Ayumi tahan senyum. Sakit? Patutlah selama ini terangkat-angkat kaki Puan Nora setiap kali diurut dengan kuat. Nasib dia tak melumur minyak panas secara berlebihan. Kalau dia buat macam tu mesti Puan Nora berlari ke bilik air untuk membasuh kaki. Padanlah muka, siapa suruh menipu macam tu.

“Doktor pun tak tahu ke auntie pura-pura lumpuh?” tanya Ayumi. Mustahil doktor yang menjalankan rawatan rapi boleh ditipu begitu saja.

Puan Nora tersenyum. “Tahu... aku berpakat dengan doktor tu.” Akuinya.

Ayumi kemam bibir. Rupanya manusia licik di mana-mana pun ada. Tak kira apa bangsa pun hati manusia tetap sama, ada hitam, kelabu dan putih. Lebih parah yang bersikap hipokrit di hadapannya ini seorang ibu.

“Dahlah. Sekarang kau tak payah tanya aku banyak sangat. Kau bantu aku akhiri pembohongan ni, aku beri kau tinggal kat sini dengan selesa dan selamat. Tapi selagi kau masih patuh dengan akulah,” kata Puan Nora tidak mahu Ayumi terlalu memikirkan halnya. Fikirkan kepentingan diri sendiri sudah mencukupi.

Ayumi diam. Memang dia tiada pilihan pun. Lagipun Puan Nora bukan mintanya membunuh. Bolehlah.

“Lagi satu, sebagai penghargaan... mulai hari ni aku tak nak dengar kau panggil aku auntie. Tak sedap langsung bunyinya, terasa aku ni tua sangat,” protes Puan Nora. “Kau panggil aku mummy. Mulai sekarang kau anak angkat aku. Bererti seorang anak kena patuh pada ibunya,” tambah Puan Nora cuba menguasai Ayumi. Bukan ke orang Jepun bangsa yang patuh dan sopan pada orang tua? Dia yakin Ayumi takkan menolak. Besar kelebihan yang diberikan itu. Nita juga tidak dilayan begitu.

Haa... Ayumi terkelip-kelip tidak percaya. ‘Oh, TUHAN... mudahnya aku mendapat seorang ibu. Tapi ibu ini tak ikhlas menjadikan aku anak dia? Dia hanya mempergunakan aku,’ bisik Ayumi dalam hati.

“Kau faham, tak?”

Ayumi memandang Puan Nora. Liur ditelan. Berat. Namun, anggukkan kecil diberikan sebagai tanda faham dan setuju dengan semua yang Puan Nora katakan.

“HAI,” sapa Afif kepada Ayumi yang berselisih dengannya di pintu. Dia terus melangkah mendapatkan Puan Nora yang sedang bersandar di atas katil.

“Baru balik Fif?” tanya Puan Nora sambil mencuri pandang Ayumi yang sedang menyimpan minyak angin di atas almari.

“Ha’ah. Hari ni banyak kerja mi. Letih. Lagipun restoran kekurangan pekerja,” adu Afif.

“Sabarlah. Tak lama lagi mungkin mummy boleh kembali ke Dawson dan kau boleh beri tumpuan penuh kat restoran tu,” pujuk Puan Nora.

Afif buat muka tidak percaya. “Maksud mummy?”

Puan Nora ukir senyum. “Hari-hari Natasa tolong urut kaki mummy, sekarang kaki mummy macam dah boleh rasa,” beritahu Puan Nora sambil memandang Ayumi dengan isyarat mata supaya gadis itu mendekatinya.

“Betul ke mi?” Afif tidak percaya.

“Betul. Pagi tadi mummy cakap dia boleh rasa urutan yang saya buat kat kaki dia. Malam ni dia minta urut lagi,” kata Ayumi mula terjebak dalam permainan Puan Nora.

Afif pandang Ayumi dengan perasaan pelik. “Apa awak panggil mummy saya?” Dia lebih tertarik dengan panggilan Ayumi berikan kepada Puan Nora berbanding berita kesembuhan Puan Nora.

Puan Nora kemam bibir dan tahan senyum. Itu bererti Ayumi lebih penting daripadanya di hati Afif. Bagus. Dia suka. “Hmm... Natasa tak salah panggil mummy macam tu. Mulai hari ni dia anak angkat mummy,” beritahu Puan Nora.

“Mummy serius?” Afif semakin tidak percaya mendengar semua itu. Ayumi guna magis lagi ke?

Puan Nora mengangguk.

Afif cuba senyum dan tidak mahu banyak bantah. Asal ibunya gembira dia tidak kisah.

“Fif, kaki mummy sembuh dengan Natasa diambil sebagai anak angkat, mana yang lebih penting?” tanya Puan Nora pura-pura merajuk.

Afif tersenyum. “Pastinya segala yang berkaitan dengan mummy.” Kaki Puan Nora disentuh. Dia mahu mencari kebenaran dari kata-kata Puan Nora tadi. Betul ke kaki ibunya semakin pulih? “Mummy rasa tak sentuhan Afif yang ni?” kaki itu diusap perlahan.

Puan Nora mengangguk.

“Betullah mummy dah ada rasa. Esok kita pergi jumpa doktor, mi,” kata Afif gembira.

Puan Nora menggeleng. “Belum lagi. Biarlah lebih berasa baru kita pergi. Mummy tak nak kecewa,” balasnya.

Ayumi sekadar kemam bibir. Gila hebat Puan Nora berdrama. Dia saja sudah hampir tergelak. Hmm...

Afif mengangguk.

“Mummy, kalau tak ada apa-apa lagi saya keluar dulu,” pinta Ayumi. Kalau lebih lama di situ dia risau gagal untuk menjadi watak seperti dikehendaki Puan Nora.

“Ya, terima kasih,” ucap Puan Nora.

Ayumi tersenyum dan segera meninggalkan bilik itu.

“Mi, Afif pun nak naik mandi. Mummy rehat ya,” beritahu Afif sambil menyelimutkan kaki Puan Nora.

Puan Nora mengangguk. “Tolong padam lampu,” pintanya.

Afif mengangguk dan segera keluar. Dia melangkah ke ruang keluarga di tingkat satu itu. Dia tidak silap pandang tadi. Ayumi memang ke situ.

“Hei,” sapa Afif.

Ayumi yang sedang merenggangkan tulang belakang menoleh kepada Afif yang berdiri di belakangnya. “Hai,” balasnya.

“Terima kasih jaga mummy saya baik-baik,” ucap Afif.

“Mummy kita,” usik Ayumi.

Afif simpul senyum. “Awak nak jadi isteri siapa?” usiknya pula.

Ayumi tersenyum nakal. Afif dipandang dengan mata yang sengaja dikecilkan. “Ada dua pilihan, kan?” balasnya sambil membayangkan Fizi dalam fikiran.

Afif turun naik kening. Nakal Ayumi ni.

Ayumi senyum lagi. “Adik terlalu muda tapi manis, macam mana?” tanyanya mahu Afif memberi pendapat tentang pilihan itu.

Afif tersengih. “Bunuh abang dia dulu,” jawabnya sebelum berlalu ke bilik.

Ayumi tersenyum lebar. Adakah itu bermaksud Afif menyukai dirinya juga? Dia memandang Afif meniti anak tangga ke tingkat dua satu per satu.

“Night,”ucap Ayumi perlahan sambil kenyit sebelah mata. Dia melangkah ke bilik. Entah kenapa indahnya perasaan kala itu.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.