Bab
10
RUMAHPuan Alia diperhatikan dari balkoni bilik tidurnya. Dari belakang
hanya beberapa buah kanopi tersusun di ruang tepi rumah itu. Jam menunjukkan
pukul 7.00 malam. Ila memusingkan badan dan bersandar di jeriji. Dia mahu
mengambil angin sambil membetulkan lehernya yang lenguh.
“Hai, sayang?” tegur Hakimi.
Ila berpusing. Matanya tidak berkelip memandang
Hakimi. Hisy! Takkan terpesona pula melihat Hakimi segak berbaju Melayu? Tampan
gila...
“Cik
Rabbita marah saya panggil sayang ke?” tanya Hakimi lembut.
Ila tersedar dan buat-buat menggaru kepala.
Agaknya Hakimi perasan ke dia terjatuh dalam khayalan tadi. Ish, Ila jangan nak
buat malulah. Hati kau jangan mengada nak mengatal! Bisik Ila pada diri. “Apa
awak cakap?”
“Awak? Saya suruh awak panggil, abang, kan?”
Hakimi sengaja hendak menguji Ila merawang ke tidak tadi. Takkan bercakap
depan-depan begitu Ila tidak dengar?
Ila buat muka elergik. Hakimi ni perasanlah.
Sesuai ke lelaki yang tidak nampak matang itu dipanggil abang? Awak tu sudah
dikira panggilan paling mesralah untuk orang yang dia tidak berapa rapat. Kalau
ikut hati, mahu sahaja dia berengkau aku dengan Hakimi. “Tak ada maknanya,”
balasnya sebelum mencebik.
Hakimi tersengih. Sah Ila berangan tadi. Jika
tidak mustahil gadis arnab tu tidak marah masa dipanggil sayang. “Kenapa tak
ada makna pulak? Saya lebih tua daripada awaklah. Memang patut pun awak panggil
saya abang,” jelas Hakimi sengaja hendak mengenakan Ila.
“Tak ada motif pun,” ejek Ila.
Hakimi tersenyum.
“Siaplah awak, saya tak datang nanti,” ugut Ila.
“Pulak? saya bergurau aje. Itu pun nak period,”
protes Hakimi. Dia sudah cakap tadi hati remaja ni sensetif. Maklumlah
pemikiran mereka masih keliru, antara dunia kanak-kanak yang mahu ditinggalkan
dan dunia dewasa yang sedang menjemput mereka. Namun sikap remaja ini manis,
sebab itu orang suka hendak kembali ke alam itu. Dunia gila-gila penuh warna.
Bila usia semakin matang pasti kita tersenyum mengenangkan waktu terindah
itu.
Ila buat muka garang. “Malas layan awak!” Dia
berpaling masuk ke bilik.
“Awakkk...” panggil Hakimi berpura-pura
menjerit. Sudah tiada kerja lagi agaknya dia suka menyakat gadis arnab tu.
“Rabitta...” jerit Hakimi lagi sambil meletakkan sebelah tangan di dada dan
sebelah lagi diangkat ke udara. Ala-ala hero hindustan melaungkan nama kekasihlah
pula.
Ila yang
berdiri mahu menutup pintu kaca biliknya menggeleng dan tersengih. Hampeh punya
Hakimi!
JAM
9.00 malam. Hakimi mula menjenguk-jenguk pintu bilik Ila daripada balkoninya.
Mana gadis arnab ni pergi? Risau hatinya kalau Ila mungkir janji. Tetamu yang
datang mulai ramai. Takkan dia terpaksa melayan kerenah Juliesa juga? Alah, tak
suka betullah dengan orang tak pegang janji ni, rungut hatinya.
Setengah jam berlalu, Ila tidak juga muncul.
Hakimi mula terasa hampa. Apa nak buat ni? Firdaus sudah dua kali mengetuk
pintu bilik menyuruhnya turun. Tiada pilihan lagi selain melaung gadis itu
daripada balkoni. ‘Argh... siapa nama dia? Nak panggil apa?’ gumam Hakimi.
“Rabbita...” Sudahnya nama itu juga yang
dilaung. “Rabbita...” Sekali lagi nama itu dilaung.
Langsir bilik Ila diselak.
Hakimi tersenyum. Tetapi senyumnya berubah
kerana bukan Ila yang keluar.
“Abang… jerit-jerit panggil siapa?” tanya Siera.
Hakimi tersenyum melihat si cilik yang nakal
itu.
“Kakak adik, ada?” tanya Hakimi. Tunggu gadis
arnab, budak hamster pula yang keluar.
“Dah tidur,” beritahu Siera serius.
“Hah? Tidur?” tanya Hakimi tidak percaya. Takkan
belum pukul sepuluh dah tidur. Sengajalah tu hendak mungkir janji.
Siera mengangguk.
Hakimi mengecilkan mata dan memandang Siera.
Rasanya gadis arnab dan budak hamster tu berpakat hendak mengenakan
dirinya. “Cakap kat dia, kalau dia tak datang sini dalam masa lima minit, abang
akan pergi sana dukung dia bawak datang sini. Tak kisahlah kalau dia pakai baju
tidur aje,” arah Hakimi mengugut. Jangan ingat dia takut hendak melakukan semua
itu?
“Hah?” Siera buat muka terkejut. Belakang
kepalanya digaru.
Hakimi tersengih. Budak-budak... gertak sikit
aje, dah takut.
“Tak naklah kacau dia tidur. Abang panggillah
sendiri.” Siera buat muka comel.
“Hah?” Hakimi tercegang. Ingat tadi
senang hendak menakutkan budak hamster. Hisy!
“Bagi nombor telefon dia, biar abang call,”
pinta Hakimi. Tiada cara lebih sopan lagi rasanya.
“Kena mintak kat Celcomlah, bang,” balas Siera.
Matanya dikenyitkan sebelum terus masuk.
Hah? Kali ini Hakimi betul-betul terlopong. Tak
apa... dia bagi Ila satu jam lagi. Kalau gadis arnab itu tidak datang juga, dia
pasti akan ke rumah itu menjemputnya. Ke mana gadis arnab tu hendak lari?
“GIVE me five,” pinta Ila. Mereka
ketawa kerana dapat mengenakan Hakimi.
Hanim menggeleng melihat dua beradik itu menjadi
raja buli. Ada-ada sahaja kenakalan mereka bila bersama. Kadang-kadang, dia
juga boleh mati akal melayan kerenah dua orang gadis besar dan kecil itu.
Namun, itulah penyeri rumahnya, yang selalu mencipta keriuhan setiap kali
berkumpul. Pasti ada sahaja hal yang mahu diguraukan.
“Tak baik buat Hakimi macam tu,” tegur Hanim
sambil menyisir rambut Ila. Dia mahu Ila kelihatan sederhana sahaja malam itu.
Biar sesuai dengan usianya yang masih remaja.
“Biarkan dia rasa,” jawab Ila dengan muka nakal.
Hanim tersenyum melihat sikap Ila yang masih
keanak-anakkan. Mungkin sedikit masa lagi dia takkan melihat Ila dengan sikap
itu. Kedewasaan akan mengubah Ila menjadi gadis yang lebih pandai menjaga
tingkah laku dan harga diri. “Dah siap,” beritahu Hanim. Bahu Ila ditepuk
perlahan.
Ila tersenyum sambil memegang tangan Hanim di
bahunya. Dia bingkas bangun. Rambutnya yang siap di-blowkelihatan
cantik beralun. Dia kelihatan comel dengan solekan semula jadi. Kasut tumit
tinggi berwarna hitam disarung.
“Siera, ambil gambar,” arah Ila sambil
mencampakkan telefon bimbitnya.
Beberapa saat kemudian mereka bergambar berdua
dan kemudian bertiga bersama Hanim. Pecah gelak riang mereka dibuatnya.
“Dah, pergi cepat. Lama Hakimi tu tunggu,” arah
Hanim sambil melihat jam yang sudah menunjukkan pukul 9.25 malam.
Ila tersenyum sambil berpusing-pusing di hadapan
cermin. Seumur hidup, dia tidak pernah lagi berpakaian seperti itu. Anggun.
“Okey, Ila pergi dulu.” Hanim dipeluk. Hidung Siera dicuit sebelum Ila berlalu
ke tingkat bawah.
HAKIMI
mula terasa bengang. Terbakar pula rasa hati dibuli
gadis arnab itu. Kedua-dua tangannya digenggam. Geramnya. Muka Dion dan Rudy
tepampang di mindanya. Lagilah dia rasa tidak senang hati. Apa yang hendak
dijawab dengan dua orang manusia itu? Tadi dia yang beritahu mereka yang dia
sudah ada kekasih baru. Sekarang kekasihnya itu pula buat hal tidak mahu
datang.
“Ya ALLAH, apasal budak tu jahat sagat agaknya,”
keluh Hakimi. Dia resah. Benarkah gadis arnab tu tidak mahu datang ke partinya?
Pintu biliknya diketuk lagi. Dia bangun dengan
malas untuk membukanya. Pasti abangnya. Sebaik pintu dibuka, wajah mamanya
menyapa mata.
“Kawan-kawan dah ramai yang datang tu. Kenapa
Kim tak turun lagi?” tanya Puan Alia.
Hakimi mati kutu. Apa yang nak dijawab? “Err...
hmm... kejap lagi Kim turun.”
“Yalah… tapi cepat sikit,” desak Puan Alia dan
terus pergi.
Hakimi menarik nafas. Sudah banyak kali dia
tawaf dari dalam biliknya ke balkoni. Tekaknya juga semakin haus.Terbakar
hatinya. Gadis arnab tu sedang lena dibuai mimpi indah di seberang sana.
Kalaulah dia boleh terbang melayang dan masuk ke dalam mimpi gadis itu, pasti
sudah dilakukan. Dia melangkah ke balkoni lagi. Pintu kaca balkoni Ila yang
tertutup rapat dipandang.
“Takkan nak buat
alasan sakit perut sebab banyak makan petang tadi?” Dia mencari akal lagi. Dia
pejam mata seketika dan keluhan dilepaskan. Pintu balkoni Ila dipandang lagi.
“Hmm... memang dah tidurlah tu.” Hakimi tiada pilihan, terpaksa turun dengan
‘muka sardin’ sahajalah. Macam ikan sardin yang tidak berkepala dan ekor di
dalam tin. Cantik, kan?
Hakimi tersenyum biar pun dalam hati terasa kelat, pahit, masam, payau
segala ada. Dia mencari kelibat kawan-kawannya. Ramai betul tetamu yang datang.
Bahu Hakimi ditepuk. “Hei! Kau pergi mana, hah?
Lama kita orang tunggu,” tegur Rudy.
“Aku sakit kepala tadi,” dalih Hakimi sambil
tangannya diletakkan ke dahi.
“Sakit kepala? Keee… Kau gaduh dengan girlfriend
baru kau?” teka Dion. Bertahun mereka berkawan, rasanya dia tahu muka
Hakimi itu. Muka orang bermasalah.
Hakimi tersengih. Takkan hendak jawab, ya. Jam
di pergelangan tangannya dilihat. Kalau sekejap lagi gadis arnab tu tidak
datang, memang dia akan pergi menekan loceng rumah gadis arnab tu dan minta
izin daripada ibunya untuk membawa gadis arnab tu ke situ. Tidak kira. Apa
hendak jadi, jadilah! Jangan nak main-main dengan Hakimi jika sudah berjanji.
“Mana girlfriend kau ni? Kata nak
kenalkan dengan kita orang,” desak Rudy. Badan Hakimi disiku sedikit. Entah
benar atau tidak cerita Hakimi kepada mereka itu. Hakimi kata di situ tiada
perempuan cantik. Dari mana pula Hakimi bertemu dengan kekasih barunya itu?
Entah-entahHakimi sengaja mahu mempermainkan mereka. Sebelum mereka kena main, elok
Hakimi yang dimainkan dahulu.
Hakimi buat tidak dengar. Dia mencari alasan
lagi. Nasib seakan menyebelahinya. Seorang kawan lama tiba. “Kau orang layanlah
diri dulu. Aku nak jumpa kawan aku kejap.” Tanpa lengah, ditingalkan Rudy dan
Dion.
“Dua tiga minit ni selamatlah aku daripada dia
orang tu,” keluh Hakimi sambil matanya memerhatikan Nathan dan isterinya,
Stella.
“Hello my friend,” tegur Nathan sambil
memeluk Hakimi seketika.
Stella pula menghadiahkan senyuman.
“Thanks coming,” ucap Hakimi. Nathan dan
Stella dipelawa masuk. Sebelum itu sempat dia menjenguk ke laluan masuk
rumahnya. Manalah tahu kalau-kalau gadis arnab itu mengubah fikiran.