Bab
2
Hakimi yang baru sampai di salah sebuah kelab hiburan Bukit Bintang
tercari-cari di mana kawan-kawannya berkumpul.
Rudy yang terlebih dahulu melihat Hakimi
melambaikan tangannya sambil melaung. “Kim... Sini.”
Hakimi mengangkat tangan sebaik sahaja
terpandangkan Rudy. Dia terus menghampiri. Hakimi dan Rudy bertukar salam dan
ketawa riang. Rindu juga rasanya setelah hampir dua minggu mereka tidak
bertemu.
“Woi, duduklah! Lama tak jumpa. Kau buat apa?”
sapa Dion sambil menarik tepi baju Hakimi.
Hakimi memandang Dion. “Lamalah sangat. Baru dua
minggu, bro,” balasnya. Punggungnya dihenyak ke atas sofa.
Dion tersengih. Dua minggu tidak bertemu buat
sahabat serapat mereka memang agak lama. Apalagi tanpa Hakimi mereka seperti
tidak cukup ahli hendak bergurau senda. Lagipun Hakimi tidak loket hendak
berbelanja. Jaranglah mereka mendengar Hakimi membantah untuk mengeluarkan
duit, kecuali jika Hakimi benar-benar kekurangan duit. Beruntung menjadi
Hakimi. Semenjak mereka kenal sehingga ke hari itu, Dion tahu akaun kawannya
itu tidak pernah kering daripada duit. Bapa Hakimi akan memasukan duit dua kali
sebulan untuk perbelanjaan bulanan Hakimi. Dan pastinya jumlah wang yang Hakimi
dapat sama banyak dengan gaji seorang pengurus.
“Aku bosanlah. Tak tahu nak buat apa kat situ?”
keluh Hakimi.
“Menari jom?” ajak Kiki, pelayan kelab malam
yang duduk di sebelah Hakimi.
Hakimi mengelak sedikit. Rimas dengan aksi
mengoda gadis itu. “Nantilah, I baru sampai. Lepaklah dulu... banyak lagi
masa,” tolaknya.
Kiki tersenyum, mengoda tanpa memaksa dan setia
menunggu di sebelah Hakimi. Manalah tahu untung nasibnya malam itu, boleh
mendapatkan tip lebih.
“Tempat baru kau tu okey ke?” tanya Dion sambil
matanya melirik nakal bahu seorang lagi pelayan kelab itu yang terdedah.
“Belum ada yang menarik. Bosan!” jawab Hakimi.
Coke yang baru terhidang dicapai dan diteguk. Dari dahulu hanya minuman itu
sahaja yang sesuai dengan tekaknya andai berkunjung ke kelab-kelab hiburan.
Biar dia berkawan dengan Dion dan Rudy yang agak nakal, namun dia tidak pernah
terpengaruh dengan mereka.
“Kat situ tak ada perempuan cantik ke?” Rudy
menjungkitkan keningnya beberapa kali. “Kalau ada yang cantik, kenalkanlah
dengan aku.”
“Hmm...satu-satunya perempuan cantik
yang aku jumpa kat situ, mama aku ajelah. Yang lain belum turun dari langit
lagi agaknya,” balas Hakimi. Memang dia belum nampak perempuan lain di situ.
Orang gaji rumah jiran pun dia tidak boleh pastikan cantik ke tidak. Manakan
tidak kalau dia asyik menyorok dalam bilik sahaja.
“Mama kau nak buat apa?” sampuk Dion yang
sememangnya lebih romeo daripada Rudy.
Hakimi tersengih. Tiba-tiba dahinya berkerut.
“Dion, kau ajak dia sekali ke?”katanya kurang senang ketika melihat gadis itu tersenyum meleret dan
menghampiri mereka.
Dion memandang ke arah yang ditunjukkan Hakimi.
“Mana ada. Buat apa ajak dia? Dah tak fresh,” katanya dengan muka
mengejek. Habislah Hakimi terpaksa melayan kerenah bekas kekasihnya itu.
Perempuan degil dan keras hati seperti itu bukan peduli dirinya ditolak.
Perangai degilnya lebih kurang Hakimi juga. Apa yang dia mahu, itu juga yang
cuba didapatkan. Biar seribu kali Hakimi menolak, beribu kali dia akan cuba mendekat.
“Kau cakap elok sikit. Aku tak pernah buat benda
tak senonoh dengan dialah!” kata Hakimi. Dion ingat dia tidak takut dosa ke
hendak membuat perangai bukan-bukan.
Dion hanya tersengih.
Gadis itu sudah berdiri di hadapan mereka. Gadis
seksi berskirt pendek separas peha dan hanya mengenakan baju ala barut menutup
dadanya itu tersenyum memandang Hakimi.
Hakimi buat tidak peduli. Seolah-olah tidak
perasan dengan kehadiran gadis itu.
“Hei, perempuan! Bangun! Cantik rupa kau duduk
meleseh sebelah boyfriendaku,” Juliesa menarik lengan Kiki dengan
kasar.
Kiki merengus geram, namun akur. Belum sempat
Hakimi digoda, Juliesa sudah datang memotong jalan. Dia bukan takut, tetapi
tidak mahu mendapat padah selepas melawan. Maklumlah gadis cantik itu anak VVIP,
bapanya bekas diplomat, ada nama dan harta. Memang nahaslah siapa-siapa yang
mencari pasal dengannya.
Melihat Kiki sudah beralih di sebelah Rudy,
Juliesa tidak berlengah, terus menghenyak punggung di sebelah Hakimi. Mulalah
dia cuba merapati Hakimi.
“You... Lama you tak callI. You
ni teruk tau,” rengek Juliesa manja. Sewaktu mereka bercinta dulu, Hakimi
memang cair dengan rengekan manjanya. Apalagi andai dibelai dan terus digoda,
cair hati Hakimi.
Hakimi buat muka menyampah. Dia sudah tidak
berasa apa-apa dengan gaya mengedik Juliesa itu. Pintu hatinya tertutup.
Semakin Juliesa mengoda begitu, semakin benci dirasakan. “Kalau I cakap you tak
pergi sekolah, you marah. Tapi fikir sendirilah. Jawapan ada pada you,”
balasnya sebelum meneguk Coke lagi.
“Itahu... Tapi kita masih boleh
berkawan, kan?” rayu Juliesa. Menyesal pula memutuskan hubungan mereka dulu.
Sangkanya, andai ditinggalkan Hakimi seketika lelaki itu akan terkejar-kejar
dan merayu dirinya, tetapi hampa. Hakimi langsung tidak mahu menoleh ke
belakang.
“Hmm...” Hakimi malas mahu melayan. Juliesa
hanya layak menjadi teman berhiburnya sahaja, bukan teman sehati sejiwa.
Apalagi dahulu dia memang tertunggu-tunggu Juliesa memutuskan hubungan mereka.
“Geng... Let’s dance,” ajak Hakimi
lalu mula berjalan ke ruang tari tanpa mempedulikkan renungan geram Juliesa
kepadanya.
Hakimi berhibur sepuasnya. Dari awal tadi dia
sudah bercadang mahu menumpang tidur di rumah Rudy. Sengaja dia buat begitu
kerana tidak mahu bersua muka dengan papanya di rumah. Dia sendiri tidak tahu
kenapa hatinya begitu jauh hati dengan papanya.