Bab 28
“MACAMmana persiapan?” tanya Hakimi sebaik menjengah ke studio. Penyelia
di situ menaikan ibu jari sebagai isyarat okey. Hakimi tersenyum dan menutup
pintu bilik itu. Dia berjalan mendapatkan Kirana di bilik solekan. Dua orang stylish
sedang berbincang tentang gaya dan warna rambut yang mahu digunakan untuk
pengambaran gaun Pasio itu.
“Rasanya elok you tukar pakaian sekarang,” arah
pembantu jurusolek di situ.
Kelvin yang menjadi pengurus sementara Kirana
membawanya mengikut pembantu jurusolek ke bilik salinan.
“You tunggu sekejap. I dapatkan pakaian,”
beritahu pembantu jurusolek itu sebelum menuju ke bahagian khas. Rak tempat
menyimpan bungkusan yang sudah diletakan label mengikut waktu dan studio
diteliti. Dia mengaru kepala beberapa kali. Hampir semua label kotak dibaca tetapi
tiada satu pun berkaitan Pasio ditemui. Dia merujuk buku catatan pula. Ternyata
Pasio tersenarai untuk pengambaran hari itu. Penyelia bahagian itu didapatkan.
Buku catatan ditunjukan. Pantas sahaja penyelia itu membuat panggilan.
“You kena tunggu sekejap. Bahagian pakaian
terlupa hantar gaun tu ke sini,” beritahu pembantu jurusolek itu sebelum
berlalu menyambung pekerjaannya yang lain.
Kelvin dan Kirana berjalan mendapatkan Hakimi
yang sudah duduk membaca majalah di sudut bilik itu.
Hakimi angkat muka memandang mereka.
“Eh, kenapa?” tanya Hakimi sedikit pelik. Ada
masalah lagi ke? Janganlah. Dia baru hendak bersenang-senang.
“Baju belum ada,” beritahu Kelvin.
Hakimi sedikit tercegang. Baju belum ada? Bukan
ke dia sudah mengarahkan Carmen supaya memaklumkan bahagian yang terlibat untuk
memastikan semua barang yang diperlukan disediakan sebaiknya? Tidak mungkin
juga Carmen yang cukup teliti itu cuai menjalankan tugas. Pasti ada yang tidak
kena.
“Eh, biasanya dari dulu tak ada masalah macam
ini. Kenapa bahagian pakaian tak buat kerja macam selalu? Orang baru yang urus
ke?” tanya Kelvin. Tujuh tahun dia bekerja di belakang Maniera, membawa
model-model Dello ke situ untuk seisi photoshoot. Baru hari itu masalah
tiada persediaan timbul. Hal itu akan merugikan masa.
Mendengar protes Kelvin, Hakimi teringatkan Ila.
Dia mula tidak sedap hati. Meluru dia bangun meninggalkan Kelvin dan Kirana.
Bahagian pakaian dituju.
Hakimi
menolak pintu bilik bahagian pakaian.
Bella yang mula-mula terpandangnya mengetap
bibir. Dia cuba menyiku Ila yang masih tekun menjahit manik pada gaun. Langsung
tidak mempedulikan keadaan. Hanya itu sahaja yang ditumpunya.
“Ila... Encik Hakimi datang,” beritahu Bella
dari celah gigi.
Ila tidak juga mendengar.
“Hmm, saya nak tanya...” Hakimi sudah berdiri di
hadapan meja Bella. Sempat matanya menjeling Ila yang tidak memandangnya.
Diseriuskan muka.
“Ya, Encik Hakimi.” Bella memaniskan muka. Dia
tahu tujuan Hakimi ke situ. Tidak lain kerana gaun Pasio. Ila pula masih belum
menyiapkan gaun itu lagi. Bagaimana sekarang? Ila ni pun degil juga, sudah
disuruh memberitahu sahaja masalah itu kepada Hakimi, dipilihnya pula untuk
memalsukan gaun itu. Sekarang macam mana? Hati Bella menjadi semakin resah.
“Gaun Pasio...” sebut Hakimi.
Mendengar perkataan Pasio, Ila terus angkat
muka. Dia terkejut dan menelan liur sebaik terpandang Hakimi. Bella dipandang
dengan muka tidak puas hati. Geram betul kehadiran Hakimi tidak diberitahu.
Bella membalas
pandangan itu dengan isyarat dia sudah memberitahu Ila tadi, tetapi gadis itu
yang leka dengan jahitannya. Bagaimana dia hendak menyelamatkan Ila lagi?
Memang sudah tidak boleh. Terima sahajalah kenyataan yang mereka harus
bertanggungjawab dengan kehilangan gaun itu.
“Saya nak gaun Pasio. Awak dengar tak?” ulang
Hakimi. Bella dan Ila dipandang silih berganti. Dia pelik melihat Bella lambat
bertindak sewaktu menerima arahan pertamanya. Bella bukan baru menjadi penyelia
di situ. Kalau dia tidak silap menurut Carmen, Bella sudah lima tahun menjawat
jawatan itu.
Bella ketap bibir. Dia tidak tahu bagaimana
hendak menjawab. Mungkin Ila yang harus terlebih dahulu membuka mulut. Manalah
tahu hubungan baik antara Ila dan Hakimi boleh menyelamatkan keadaan.
“Hmm... sebenarnya gaun tu...” Ila membuka
mulut. Dia tidak mahu Bella pula dipersalahkan. Tetapi dia cuak juga hendak
memberitahu cerita sebenar. Nanti Hakimi marah bagaimana? Adatlah kalau orang
yang buat silap kena marah, kan? Ila menurunkan pandangan matanya sedikit ke
bawah.
Hakimi merenung Ila. Masalah apa pula yang sudah
dibuat gadis arnab ni? “Kenapa? Cakaplah,” kata Hakimi tegas. Bukankah Ila
selalu mahu dia berlagak seperti seorang bos. Sekarang dia sudah tunjukkan.
Mesti Ila berpuas hati.
“Hilang,” jawab Ila perlahan. Kepalanya
tertunduk ke bawah.
“Apa?” Hakimi sedikit terjerit. Bukan ke betul
rasa hatinya tadi, ada benda yang tidak kena di situ. Huh, dia fikir masalah
Pasio itu sudah diakhir garisan. Tetapi ada ‘balak’ lain pula yang menimpa.
Argh... elok dia sudah boleh tersenyum pagi tadi, sekarang dia mula hendak bertukar
menjadi rasaksa semula.
“Macam mana boleh hilang?” soal Hakimi tidak
puas hati. Begitu banyak baju dalam bilik itu, kenapalah gaun Pasio itu yang
hilang? Menguji kesabaran betullah!
“Awak semua ni kerja main-main ke?” herdik
Hakimi melepaskan geram.
Ila dan Bella tersentak dan saling berpandangan.
“Saya tahu salah saya, tapi saya dah cari gaun
tu. Tak jumpa,” beritahu Ila mengharap simpati. Takut juga melihat Hakimi
menunjuk kuasa begitu. Tidak sama dengan Hakimi yang selalu marah-marah sayang
di balkoni. Yang ini voltannya lebih sikit. Mungkin sudah dicas penuh dengan
beberapa masalah.
“Tak jumpa? Senangnya awak cakap!” tengking
Hakimi. Bagaimana dia hendak menangani masalah itu? Ila gadis yang dia paling
sayang. Tapi, soal pekerjaan dia tidak boleh berat sebelah. Sukarnya mahu
menyelamatkan keadaan dan menjaga hati Ila.
“Tapi saya dah cuba ganti dengan yang baru,”
beritahu Ila lagi. Gaun ditangannya dihulur kepada Hakimi. Dia harap Hakimi
boleh bertolak ansur dan memikirkan jalan keluar yang lebih baik.
Hakimi menjeling geram. Sudahlah gaun itu
dihilangkan, sekarang Ila memalsukannya pula. Dia memang hilang sabarlah dengan
tindakan tidak bertanggungjawab Ila ni.
“Awak ingat gaun ni sama ke dengan gaun yang
hilang tu?” soal Hakimi. Dia mahu Ila sedar apa yang dilakukan itu kurang bijak
dan bakal mengundang masalah yang lebih besar.
Ila menggeleng. Dia tahu tidak sama, jauh sekali
serupa. Tetapi seakan.
“Encik Hakimi... mungkin kita boleh beli yang
lain dari Pasio,” cadang Bella perlahan. Dia tahu Hakimi boleh buat begitu.
“Nak beli macam mana? Gaun tu belum masuk
pasaran lagi. Baru nak diiklankan sebagai gaun musim bunga. Kalau adapun yang
dah dijual, kat Jepun sana. Awak nak pergi Jepun beli?” marah Hakimi. Dia rasa
Bella seperti baru semalam menjadi penyelia di situ. Hal seperti itu pun tidak
tahu.
Bella menelan liur. Dia tahu tetapi mungkin
Hakimi boleh ke Jepun untuk mendapatkan gaun itu sebelum kehilangannya
disedari. Paling kurang pun sebelum minggu mini fesyen hujung bulan depan
dilancarkan.
“Ish, susahlah awak berdua ni,” keluh
Hakimi.
“Tapi Encik Hakimi, gaun yang Ila dah jahit ni
nampak sama dengan yang hilang tu. Biasanya dua minggu lepas gaun tu
diiklankan, dah ada di pasaran, kan? Masa tu kita gantilah dengan yang baru,”
cadang Bella.
Hakimi merenung Bella. “Awak berdua ni kerja tak
pakai otaklah!” cemuh Hakimi. Memang dua orang manusia itu sangat menyusahkan
dirinya. Entah alasan apa pula yang hendak diberikan kepada Mira untuk ke Jepun
nanti. Semata-mata hanya kerana sehelai gaun. Kerana gadis yang dia suka juga.
Hakimi merengus.
Ila angkat muka. Sakit pula telinganya mendengar
cemuhan Hakimi. Kalau betul pun dia bersalah, janganlah babitkan Bella sama.
“Macam mana gaun tu
boleh hilang?” tanya Hakimi tidak puas hati. Dia rasa tidak masuk akal dengan
kehilangan gaun itu. Mungkin mereka tersalah menyimpan gaun itu sahaja kot.
Tidak pun salah seorang pekerja di situ sudah mencurinya. Siapa? Hakimi
memandang sekeliling bilik itu. Hanya Ila dan Bella sahaja yang kelihatan.
Kakitangan lain mungkin sudah lemas ditimbun pakaian yang terlalu banyak itu.
“Masa hari gaun tu sampai sini dah waktu balik.
Masa tu saya pun nak cepat...” cerita Ila. Tetapi belum habis lagi dia membuka
mulut Hakimi memotong kata-katanya.
“Awak kejar masa balik dan campak gaun penting
tu sesuka hati? Macamlah awak nak kena kejar bas untuk balik rumah,” sindir
Hakimi.
Ila menghembus nafas. Rasanya Hakimi baru sahaja
mencucuh api ke dalam hatinya.
‘Agaknya kalau aku pun sama-sama meletup,
panggil bomba pun api tak padam ni. Macamlah aku sorang aje yang salah. Dia pun
salah juga. Lepas tu, ada hati nak sindir-sindir aku pulak!’ rungut Ila dalam
hati.
“Awak ni kan, saya beri kelebihan dalam Maniera
bukan untuk menyusahkan saya. Tapi awak buat kerja main-main. Kalau nak jadi
cik puan, pergilah balik!” marah Hakimi tidak peduli lagi dengan perasaan Ila.
Rasanya tekanan yang memberat dalam kepalanya memang perlu disasarkan ke tempat
lain. Dan sudah nasib Ila yang terpilih menjadi mangsa.
Vinda dan Cdans yang baru keluar dari stor menyimpan
barangan yang hendak dikeluarkan dari bilik itu terkejut memandang amukan
Hakimi. Perlahan-lahan mereka melangkah ke tempat masing-masing.
Hakimi memandang Cdans dan Vinda seorang demi
seorang. Sangkanya mereka berdua itu sudah hilang ke kafe mencuri tulang.
Rupanya sedang melakukan kerja di dalam stor.
Bella terus membeku tidak berani hendak membuka
mulut.
Ila tarik nafas dalam-dalam. Rasa terhina
dimarah begitu.
“Sedap mulut awak salahkan saya, kan? Kalau
bukan sebab awak desak saya ikut awak balik cepat petang tu, mesti semua ni tak
jadi. Yang buat benda ni bermasalah, awak!” Suara Ila turut tinggi. Ingat dia
akan diam ke kalau Hakimi meletakkan kesalahan atas bahunya seorang.
Hakimi memandang Ila dengan muka bengis. Hisy,
tak padan. Dah buat silap nak menjawab juga, omel hatinya.
Bella angkat kening. Pertama kali melihat Ila
marah. Selama dibuli Cdans, gadis itu tidak pernah pun marah.
“Tadi awak suruh saya balik, kan? Nah! Amek gaun
ni.” Ila melemparkan gaun itu atas meja. Dia berpusing mencapai beg sandangnya.
Hakimi memerhati.
“Kalau gaun tu boleh selamatkan masalah awak.
Awak guna. Kalau tak campak aje dalam tong sampah! Buang masa aje saya
selesaikan masalah ni. Sekarang saya nak balik. Duduk rumah jadi cik puan.
Makan tidur aje Encik Hakimi.” Sebaik menghabiskan kata-katanya Ila terus
meluru pintu.
Hakimi segera mencapai tangan gadis itu, tetapi
ditepis.
“Ila, sorry...” laung Hakimi dengan rasa
bersalah. Inilah akibat tembak ikut sedap mulut. Tak pasal-pasal makan diri.
Hati Ila disakiti lagi, hati dia lagilah sakit.
Ila buat tidak peduli. Pintu bilik bahagian
pakaian dihempas sekuat hati. Dia menuju ke tangga. Sambil menuruni anak tangga
dia menekup telinga. Tidak mahu lagi mendengar suara Hakimi yang baru saja
memalukan dirinya di hadapan rakan sekerja.
“Ila...” Hakimi terus mengejar.
Pintu menuju ke lobi Ila tolak dengan kasar.
Langkahnya dihayun laju.
Hakimi berlari dan memintasnya. “Ila, saya tak
bermaksud nak salahkan awak,” ujar Hakimi lembut sebaik dia berdiri di hadapan
Ila. Kedua tangannya sudah menahan bahu gadis itu daripada berlalu pergi.
Ila memandang lantai. Menyampah mahu menatap
muka Hakimi.
“Ila... cakaplah,” pinta Hakimi. Dia tidak suka
melihat Ila diam begitu.
Ila mengangkat muka. Namun, matanya memandang
pintu utama Maniera. Dia terpandang Fradie. Tangan Hakimi ditepis dan dia
mendapatkan Fradie.
“Encik Fradie,” laung Ila.
Fradie yang baru hendak menolak keluar pintu
lobi menoleh dan tersenyum.
“Encik nak keluar ke?” tanya Ila.
Fradie mengangguk.
“Boleh saya tumpang?” pinta Ila. Daripada
menunggu teksi dan mendengar Hakimi merayu di situ, elok ditumpang Fradie.
Fradie yang sedar kehadiran Hakimi tersenyum
lagi. “Boleh, apa salahnya.” Dia tahu dua orang manusia ini sedang bermasalah.
Jika tidak, masakan muka kedua-duanya macam jeruk. Inilah masanya dia memasang
perangkap. Untung nasib bolehlah dia membawa gadis itu mengikutnya berhibur
malam nanti.
Ila tersenyum dan mengikut Fradie keluar. Biar
Hakimi sakit hati.
Hakimi tidak puas hati. Dia mengikut langkah
mereka.
“Silakan,” pelawa Fradie yang sudah membuka
pintu keretanya untuk Ila.
“Ila...” panggil Hakimi.
Fradie tersenyum mengejek. Dia suka dengan
situasi itu. Oh, rindunya mahu mempermainkan Hakimi seperti masa lalu.
“Turun!” arah Hakimi sambil menyeret lengan Ila.
Ila mengeluh dan terpaksa juga menurut.
Fradie mencebik.
Geram betul Ila memandang Hakimi.
“Saya tak suka awak ikut budak ni!” Hakimi
menunding jari kepada Fradie.
Fradie tersenyum sinis. Sengaja membakar hati
Hakimi.
Ila tidak faham kenapa Hakimi benci sangat
dengan Fradie. Apa masalah mereka berdua?
“Kau apa hal nak menyibuk? Dia wifekau
ke? Tak, kan? Jadi jangan halang dia nak tumpang aku,” balas Fradie angkuh.
“Kau tu yang jangan menyibuk!” Hakimi semakin
hilang sabar. “Ila, kalau awak nak balik sangat, biar saya yang hantar! Jom,”
tangan Ila diseret sekali lagi. Hakimi lebih rela meninggalkan masalah Pasio
daripada membiarkan Ila mengikut Fradie.
“Tak payahlah. Saya tak nak naik kereta awak
tu,” tolak Ila. Tangannya direntap. Sakit pun sakitlah.
Fradie tersengih mengejek. Kasihan melihat
Hakimi ditolak kekasih sendiri. “Kau ni tak malulah. Orang tak nak, kau
paksa-paksa pulak?” sindir Fradie sambil menolak tubuh Hakimi. Dia memang hendak
mencari gaduh. Penumbuknya sudah lama tidak menyentuh pipi Hakimi. Dia rindu...
Kenapa lama sangat Hakimi di luar negara? Tidak adil betul. Takdir Hakimi
selalu selangkah ke hadapan daripadanya. Hakimi punya ijazah dari luar negara.
Dia pula hanya memiliki diploma dari universiti tempatan. Di dalam Maniera pula
kedudukan Hakimi sangat selesa. Dia pula terpaksa berkejar ke sana sini untuk
menyelesaikan tugas. Selepas ini entah apa lagi kelebihan Hakimi.
Hakimi rasa tercabar. Tidak semena-mena satu
tumbukan singgah ke muka Fradie.
Fradie terus jatuh terduduk. Mulutnya digerakkan
sedikit. Tulang pipinya terasa sengal.
“Encik Hakimi!” jerit Ila pantas mendapatkan
Fradie. Dia mengeluh melihat darah keluar daripada celah bibir Fradie.
“Awak memang teruk!” marah Ila. Kenapalah Hakimi
boleh bersikap seganas itu? Tidak boleh bersabar langsung.
“Encik Fradie, saya minta maaf?” Ila menyerahkan
tisu yang baru dikeluarkan dari beg sandangnya kepada Fradie.
Fradie tersenyum, lalu mengelap darah di celah
bibirnya. Sudah lama bibirnya tidak berdarah disebabkan Hakimi. Tetapi dia
terasa menang bila Ila mendapatkannya.
Hakimi memerhati dengan perasaan menyampah.
Benci melihat lakonan Fradie yang pura-pura budiman itu.
“Encik Hakimi, tolonglah jangan lepaskan masalah
kita kat orang lain,” pinta Ila.
Fradie tersenyum sinis mendengar kata-kata Ila.
Dia fikir gadis itu benar-benar kekasih Hakimi. Jika tidak, masakan Hakimi
berusaha melindunginya. Dia suka dengan gadis naif itu. Makanan malam yang
enak.
Perasaan kesal meresap ke hati Ila. Kerana dia,
adik-beradik itu bertumbuk. Tetapi apa lagi yang boleh dibuat, benda sudah
terjadi.
“Encik Fradie, saya minta maaf,” pinta Ila
sekali lagi sebelum berdiri mendapatkan Hakimi. “Encik Hakimi, ada masalah lain
yang perlu encik selesaikan. Jadi janganlah tambah lagi. Saya boleh balik
sendiri,” ujar Ila tegas sebelum sebuah teksi muncul di situ kerana menurunkan
penumpang. Tanpa lengah, dia berlari mendapatkan teksi itu.
Hakimi memandang tindakan pantas itu.
Melihat Ila pergi, Fradie mentertawakan Hakimi.
Dia tidak dapat membawa gadis itu pergi, begitu juga Hakimi. Jadi mereka seri.
HatiHakimi
masih meledak. Satu lagi tumbukan singgah ke muka
Fradie. Biar padan dengan muka Fradie. Suka sangat cari pasal.
Fradie juga tidak mahu menjadi batang pisang.
Tumbukan itu dibalas.
Sepuluh minit kemudian, pergaduhan mereka
berakhir. Dileraikan oleh pengawal keselamatan setelah hal itu diadukan kepada
Mira. Mira memandang dua orang manusia dewasa yang tidak pernah dewasa itu.
Tersirap darahnya. Kenapalah dua orang adiknya itu tidak boleh bersikap
profesional sewaktu bekerja? Apalagi yang direbutkan mereka di situ? Bukankah
elok kalau seorang berada di Global Raya sahaja daripada menyusahkan dirinya.
Tetapi siapa yang hendak mengusahakan syarikat perumahan yang memeningkan
kepala itu. Semuanya mahukan Maniera yang penuh glamor.
HAKIMI
kembali ke bilik pakaian. Dia mencari Bella. “Saya
nak tengok gaun yang Ila buat tu. Bawak sekali gambar asal gaun Pasio tu,” arah
Hakimi. Kelvin sudah berkali-kali menghubunginya. Carmen juga begitu. Bahagian
studio pula tidak mahu menunggu lagi. Mereka ada jadual pengambaran lain. Mahu
atau tidak Hakimi terpaksa beralah. Menganjakan waktu pengambaran agak lewat
sedikit. Mujur juga ada yang mahu menukar jadual dengannya. Jika tidak masalah
itu bertimbun lagi. Ah, kenapalah kali pertama bekerja di Maniera dipenuhi
dugaan?
Hakimi meneliti gaun di tangannya. Dia melihat
gambar gaun Pasio pula. Ila memang memiliki bakat untuk meniru. Tetapi, jahitan
manik di bahagian hadapan gaun itu masih belum siap. Dia mengeluh. Siapa yang
mahu menyudahkan jahitan itu? Ila sudah merajuk. Bella dipandang dengan muka
serabut.
“Siapa boleh tolong siapkan jahitan ni?” tanya
Hakimi tegang.
“Cdans,” jawab Bella pantas sambil menoleh ke
arah Cdans yang sedang sibuk memotong kain yang mungkin hendak dijadikan aksesori
kepada pakaian yang bakal digayakan model nanti.
“Hmm... suruh dia buat cepat. Pukul 5.00 petang
nanti hantar ke studio,” arah Hakimi.
Bella segera mendapatkan Cdans. Sambil menoleh
kepada Hakimi dia menjelaskan situasi yang sedang dihadapi kepada Cdans.
Cdans sedikit mengeluh. Jika bukan kerana
bersimpati dengan Ila, pasti dia menolak permintaan itu. Kerjanya itu juga
perlu disegerakan. Reben-reben besar daripada kain satin itu perlu dijahit
untuk melengkapkan aksesori model yang akan membuat pengambaran di luar
beberapa hari lagi.
Bella mendapatkan Hakimi semula. “Encik
Hakimi...” panggil Bella perlahan. Takut juga ditengking lagi.
“Agaknya masalah akan timbul lagi, tak?” tanya
Bella memikirkan kesudahan masalah itu.
“Kalau awak tutup mulut dan buat macam yang awak
beritahu tadi, tak ada masalah,” beritahu Hakimi. Dalam hati hanya boleh
berharap sempat membeli gaun Pasio yang lain sebelum kehilangan gaun itu
disedari.
SEBAIKmendapatkan rawatan, Fradie kembali ke Maniera. Dia menuju ke bilik
pakaian. Yang ada di situ hanya Lufi. Kakitangan lain sudah keluar minum
petang.
“Kau tengok dalam rekod, tarikh terakhir Pasio
hantar pakaian ke sini bila?” arah Fradie.
Lufi akur dan segera menghampiri meja Ila. Fail
yang mengandungi salinan maklumat barang keluar masuk ke situ diambil.
Sebaik keluar dari bilik itu Fradie tersenyum
lebar. Langkah keduanya menuju ke bilik kawalan keselamatan. Bukan susah mahu
membalas dendam. Orang kata tidak dapat tanduk, dapat pulas telinga pun
jadilah. Tetap sahaja akan menyakitkan Hakimi nanti. Dia tersenyum jahat.