Bab
21
HANIMmencapai alat kawalan jauh. Volume TV diperlahankan. Dia
memandang Ila seketika. Ada sesuatu yang mahu disampaikan. Dia menarik nafas.
Dia memandang Rais. Rais mengangguk dan memberi isyarat supaya dia sahaja yang
bercakap.
“Ila,” sapa Hanim perlahan. Dia tidak pasti apa
reaksi Ila sebaik mendengar berita itu.
Ila menoleh. “Achik nak ke Jakarta,” beritahu
Hanim.
“Hah?” Ila memandang Hanim. Dia sedikit
terkejut. “Bila?” tanya Ila.
“Minggu depan,” jawab Hanim dengan muka
bersalah. Suaminya sengaja mencari hari Ila sibuk supaya tidak dapat menyertai
mereka. Bukan Rais tidak suka Ila ikut bersama, tetapi kali itu mereka ada hal
yang mahu dipastikan terlebih dahulu. Bimbang andai kehadiran Ila akan
menjadikan hal itu tidak lancar.
“Adik-adik tak sekolah ke?” Ila pasti sekolah
masih belum bercuti. Kenapa Hanim merancang percutian secara tiba-tiba?
“Tak. Achik minta cuti dari sekolah dia orang,”
beritahu Hanim. Sukar hendak menjelaskan kenapa keputusan itu diambil. Tetapi
biarlah, waktu akan menjawab segala-galanya nanti.
“Oh.” Ila mengangguk. “Lama ke?” tanya Ila lagi.
Ada rasa kurang selesa bertamu di hatinya. Terdetik nama ibunya dalam hati
tetapi dia sedar Rais selalu ke Jakarta bukan kerana hal ibunya sahaja.
Hanim tersenyum. “Taklah. Empat atau lima hari
aje.”
“Hmm... Ila tak dapatlah ikut, kan?” Ila buat
muka sedih.
“Ila baru kerja. Nak ikut macam mana? Ada cuti
ke?” tidak sampai hati pula Hanim melihat Ila bersedih, tetapi dia tiada
pilihan.
Ila menggeleng.
“Hmm... lain kali ajelah Ila ikut, ya,” pujuk
Hanim.
Ila mengukir senyum paksa. Jam dinding dilirik.
“Ila naik dululah. Dah lewat. Esok nak bangun awal.” Ila memberi alasan sebelum
bangun daripada duduk dan melangkah mendapatkan anak tangga ke tingkat atas.
Alamatnya dia akan bersendiri beberapa hari di dalam rumah besar itu. Pasti
bosan.
“Jangan merajuk tau,” usik Hanim tahu apa yang
hati Ila rasakan.
Ila tersenyum dan menggeleng. Mahunya dia tak
merajuk. Mestilah terasa hati ditinggalkan.
Ila merenung langit yang gelap gelita. Dia resah mengingatkan
keluarganya. Dia mengeluh. Tiada bintang yang kelihatan. Yang ada hanya
hembusan angin malam yang dingin. Kalau ada teleskop mahu sahaja bintang itu
diteropong.
“Berapa banyak bintang malam ni?”
Sapaan itu menyentakkan lamunan Ila. Dia
memandang ke balkoni Hakimi. “Ish, awak ni buat saya terkejutlah!” marah Ila.
Hakimi tersengih. “Dah hari-hari macam ni pun,
nak terkejut lagi,” protes Hakimi. Dia tahu Ila mengelamun tadi. Tetapi apa
yang difikirkan gadis arnab tu? Hatinya merusuh mahu tahu. Sekarang ini dia
sudah semakin teruk. Setiap hal yang terjadi pada Ila, dia mahu mengambil
berat. Tidak pedulilah andai Ila tidak suka. Dia mahu kelihatan sebagai orang
yang Ila boleh harapkan untuk berkongsi apa-apa sahaja masalah suka duka gadis
arnab tu.
“Terkejutlah! Awak
tak tahu nak bagi salam ke?” marah Ila.
“Alah... awak tu yang kuat berangan. Kalau saya
bagi salam pun awak terperanjat juga,” balas Hakimi. Hari-hari memerhatikan Ila
berdiri di situ, dia tahu Ila memikirkan sesuatu jika matanya sudah tertumpu
pada bintang di langit. Seolah-olah di langit itu ada seseorang yang sedang
melambai hati gadis itu.
“Hmm...” Ila tarik muka.
“Awak, jom keluar?” ajak Hakimi dengan muka
penuh harapan. Hari-hari berdating di balkoni itu, bosan juga.
“Malam-malam macam ni?” kata Ila kurang
bersetuju. Sempat dia melirik persekitaran rumah mereka yang disinari lampu
jalan dan beberapa lampu berkuasa tinggi.
“Kita pusing kat bawah tu aje.” Hakimi memandang
lorong belakang rumah mereka itu.
“Tak naklah,” tolak Ila. Malam-malam seperti itu
keluar berembun nanti selesema. Lagipun jiran-jiran mereka yang memelihara
anjing pasti sudah melepaskan anjing-anjing mereka untuk berkawal di kawasan
itu walaupun ada rondaan daripada pengawal keselamatan setiap 30 minit.
Hakimi memuncungkan mulut. Ila ini pandai sangat
berdalih. Ada sahaja alasannya. Itu ditolak, ini ditolak. Dia rasa terseksa.
Mereka diam.
“Awak...” panggil Hakimi semula.
“Hmm...” jawab Ila malas.
“Minggu depan kita pergi rumah nenek awak, nak?”
cadang Hakimi. Manalah tahu Ila akan gembira mendengar nama neneknya disebut.
“Nak buat apa?” tanya Ila.
“Saya rindu dengan nenek awak,” dalih Hakimi.
Ila memandang Hakimi. “Awak jangan nak buat
pasal.”
“Kenapa pulak?” tanya Hakimi pelik.
“Atuk saya hidup lagi,” beritahu Ila sengaja
merenung Hakimi dengan tajam. Dia suka melihat muka terkial-kial Hakimi. Nampak
seperti anak kecil bila sesekali diusik. Itu sahaja penghibur yang dia ada,
terpaksalah dibuli.
“Hah?” Hakimi tidak faham. Ila hendak cakap apa
sebenarnya?
“Yalah awak rindu nenek saya. Saya tak nak awak
jadi atuk saya pulak,” beritahu Ila dengan muka serius. Walhal dalam hati sudah
tersenyum-senyum melihat Hakimi terpinga-pinga seketika.
Hakimi ketawa. Hah, Ila sudah menunjukkan
perangai nakalnya. Itu yang dia suka. Ceria malamnya.
Ila turut ketawa. Geli hati membayangkan Hakimi
menjadi datuknya. Mahu ke neneknya bersuamikan lelaki semuda itu? Mungkin juga
neneknya tidak menolak andai neneknya itu artis terkenal. Artis perempuan
sekarangkan sudah ramai yang berkahwin dengan lelaki lebih muda daripada
mereka.
“Awak, saya suka kat awak,” beritahu Hakimi
tiba-tiba. Dia berharap Ila faham maksud kata-katanya. Dia yakin dirinya
takkan ditolak. Dia sudah memenuhi syarat yang Ila pertikaikan sebelum ini.
Ila memandang Hakimi sambil tersenyum.
“Mestilah. Orang lain pun suka saya juga.”
Hakimi tersenyum walau jawapan Ila membuatkan
dia rasa kecewa. Dia masih ada banyak masa lagi. Dia boleh goda hati Ila setiap
hari sampai Ila tidak boleh menolak lagi nanti.
“Nak tahu kenapa saya suka awak?” tanya Hakimi.
“Mungkin cita rasa awak tak sama dengan orang
lain,” balas Ila sebal.
“Sebab awak ialah awak, bukan orang lain,”
beritahu Hakimi.
Ila tergelak. “Apalah awak ni. Kalau saya orang
lain, macam mana awak nak suka saya?” balas Ila nakal.
Hakimi tersenyum kelat. Ila sengaja buat-buat
tidak faham.
“Dahlah, esok kerja. Selamat malam,” ucap Ila.
“Eh, awak esok saya jemput macam biasa tau.”
Tidak mungkin Hakimi membiarkan Ila ke pejabat sendiri. Dia risau Ila kena
penyek di bawah lori kalau menunggang motosikal.
“Tengoklah,” jawab Ila.
Hakimi tersenyum dan masuk ke dalam biliknya.
Baru sahaja dia hendak merebahkan badan di atas katil, telefon bimbitnya
berbunyi. Mesej daripada Dion.
Kim, jom clubing?
Hakimi tersenyum jahat sambil membalas mesej
itu.
Aku dah taubat.