Bab
20
HUJUNGminggu itu Hakimi berkunjung ke rumah ibutirinya di Subang Jaya. Dia
bersandar di sofa setelah kekenyangan. Matanya memerhatikan sekeliling ruang
tamu itu. Lama betul dia tidak ke rumah ibu tirinya itu. Isteri pertama papanya
itu memang sederhana orangnya, tidak tamak dan suka membazir.
“Senang hati mak tua bila Kim dah mula bekerja,”
ujar Puan Hajah Saripah sambil duduk di hadapan Hakimi. Dia sayangkan Hakimi
walaupun bukan dia yang melahirkan anak itu.
“Dah lama sangat Kim luruskan tulang urat, mak
tua. Baru-baru ni aje tergerak hati nak mula dekatkan diri dengan pejabat tu,”
beritahu Hakimi.
Puan Hajah Saripah tersenyum sambil mencapai
bakul kaitnya. “Syarikat tu hak, Kim. Kim kenalah jaga elok-elok,” nasihat Puan
Saripah sambil matanya ralit memandang jarum dan benang kait.
Hakimi mengerutkan dahi. Kenapalah dialog mama
dan mak tua sama aje? Kenapa dia yang berhak ke atas syarikat tu, sedangkan
Mira dan Hanif lebih utama? Dia orang anak papa dengan mak tua. Ah, mengarut!
Agaknya semua orang sudah mula hilang kewarasan. Orang lain yang berusaha
keras, aku pulak yang berhak. Tak ada... tak ada... Ni semua karut! Hakimi
bermonolog sendiri.
“Mak tua... Kim ni anak isteri ketiga. Mana
boleh jadi pemilik syarikat tu. Mestilah Abang Hanif atau Kak Mira yang lebih
berhak.” Hakimi merendah diri. Dia bukannya tidak sedar kedudukannya dalam
keluarga. Tiada guna berebut semua itu kalau sudah memang ada orang yang lebih
berhak.
“Abang Hanif kamu tak minat dunia bussines.”
Puan Hajah Saripah memandang Hakimi. Dia tahu anak itu tidak tahu lagi cerita
sebenar.
Hakimi tahu abang sulung dari keluarga besarnya
itu sudah memilih kerjaya sebagai doktor. Tetapi masih ada Fauzi, anak isteri
kedua bapanya dan dua lagi abangnya. Yang tua mestilah didahulukan.
“Kamu tak payah nak fikir apa-apa sekarang.
Tunggu dan lihat,” ujar Puan Hajah Saripah. “Yang penting sekarang, Kim belajar
selok-belok syarikat. Terutama tentang Maniera, sebab itu memang harta Kim,”
tambah Puan Hajah Saripah.
“Ish, biarlah mak tua. Pening Kim nak fikir
benda yang Kim pun tak faham,” balas Hakimi. Dia langsung tidak mahu tahu nama
siapa yang sudah diletakkan papanya di dalam wasiat untuk menerajui syarikat
itu. Yang dia tahu, dia bekerja di Maniera kerana mahu menjauhkan Ila daripada
Andrew.
“Mak tua tahu, hati kamu baik. Apapun, kamu
mesti pertahankan hak kamu,” nasihat Puan Hajah Saripah lagi. Dia teringat budi
yang ditaburkan mama Hakimi. Jasa wanita itu memang tidak dapat dibalas. Selain
daripada memastikan Hakimi mendapat haknya, tiada apa lagi yang boleh
dilakukan.
Puan Hajah Saripah masih ingat bagaimana mama
Hakimi menggunakan kebijaksanaan dan wang ringgitnya untuk menyelamatkan syarikat
suami mereka, Global Raya Sdn Bhd daripada gulung tikar sehingga kukuh semula.
Tanpa kekayaan wanita itu, pasti keluarga besar mereka sudah musnah. Tetapi dia
kesal, suaminya tidak menghargai kebaikan mama Hakimi.
“Mak tua ni buat Kim mengantuklah.” Hakimi
berbaring di atas sofa. Buat rosak fikiran sahaja mendengar ibu tirinya
mengarut. Elok dia berhijrah ke alam penuh fantasi seketika. Melayan
angan-angan bersama gadis arnab yang semakin nakal bermain dengan hatinya.
Begitupun, dia rasa bahagia.
Puan Hajah Saripah menggeleng. “Nak tahu apa
yang mak tua cakap ni betul ke tidak, Kim kahwinlah,” katanya. Hanya
perkahwinan Hakimi sahaja dapat meleraikan apa yang menjadi rahsia anak itu
selama ini. Dia berharap pemegang amanah Hakimi tidak menyeleweng dan mementingkan
diri. Andai itu terjadi, dialah orang pertama yang akan membantah dan membantu
Hakimi mendapatkan apa yang patut Hakimi dapatkan.
Hakimi memandang siling dan tersenyum. Ai, dah
masuk topik lain pulak, gumamnya.
“Siapalah nak kat Kim ni?” ujar Hakimi malas
walau dalam hati berbunga-bunga membayangkan Ila. ‘
“Bukan tak ada yang nak, Kim tu memilih sangat,”
balas Puan Hajah Saripah. Walaupun dia tidak membesarkan Hakimi, tetapi dia
tahu hati budi anak itu. Muka ceria dan senang hati itu bagaikan muka orang
dilamun cinta. Sudah bertemu gadis yang sesuai ke anak tirinya itu?
Hakimi tergelak. “Tak pilih dah mak tua. Tapi
orang yang Kim suka tu tak muncul lagi.”
Puan Hajah Saripah mencebik. “Hmm... tunggulah
sampai dia datang. Kalau tak datang-datang juga, nanti mak tua tolong tarikan
tangan dia, biar cepat sikit dia datang,” balas Puan Hajah Saripah melayan
gurauan Hakimi.
Hakimi tersenyum. Matanya dipejamkan.
TELEFONbimbit diletakkan ke atas katil. Bagaikan tiada harapan sahaja Ila
akan membalas mesej yang dihantar. Sudah tiga mesej dihantar. Tapi gadis arnab
itu tidak membalasnya.
Hakimi mencapai gitarnya lalu di bawa ke
balkoni. Layan jiwa sambil menyanyi di situ lebih baik. Sepuluh minit terpekik,
terlolong menyanyi sendiri di situ, hatinya masih juga merasa sunyi.
Dia berhenti memetik gitar. Balkoni bilik Ila
dipandang. Dia langsung tidak faham kenapa hatinya mengharapkan kehadiran Ila
di situ. Mulalah rajuk, senda, tawa Ila terpampang di ruang mindanya. Ah, sah
dia rindu hendak memandang gadis arnab itu. Sehari cuti dan tidak ke tempat
kerja bersama, hatinya mula terasa lain. Ah, apa ni? Hakimi tidak suka dengan
perasaan itu.
ILA
menolak daun pintu biliknya. Satu keluhan dilepaskan. Dia merebahkan badan di
atas katil. Penat pulak badannya setelah menemani Siera. Setelah enam hari
terperap di pejabat, baru hari itu dia dapat menikmati keindahan alam dengan
sempurna. Mata dipejamkan. Niat hati mahu berehat seketika sebelum membersihkan
diri. Tetapi...
Dia membuka mata semula. Dia tersenyum sendiri.
‘Apasal lagu tu yang dinyanyikan?’ tanyanya di dalam hati. Bibirnya mengikut
lagu yang dinyanyikan Hakimi.
Marry me, Juliet, you’ll never have to be
alone
I love you and that’s all really know
I talked to your dad, you’ll pick out a white
dress
It’s a love story, baby, just say yes...
Ila tergelak. Kelakar mendengar lagu Love
Story versi Hakimi. Jiwang betul mamat ni. Dia bangun. Sebaik membuka pintu
kaca, Ila melangkah keluar. “Hai, awak...”
“Satu hari hilang, awak pergi mana?” tanya
Hakimi. Apa sahaja aktiviti harian Ila, dia hendak tahu walau sedar mereka
bukan ada hubungan lagi. Memang dia sudah tidak betul. Diari kehidupannya tidak
lengkap tanpa cerita gadis arnab itu.
“Jalan-jalan dengan Siera,” beritahu Ila jujur.
Kebetulan Siera mengajaknya keluar ke kedai buku dan menonton wayang tadi.
Pulang dari bandar mereka singgah ke taman pula untuk mengambil angin petang.
Hakimi mengangguk. Nasib baik dengan Siera.
Kalau dengan Andrew pasti terbakar hatinya.
“Kenapa tak jawab mesej saya?” tanya Hakimi tidak
puas hati.
“Tak ada apa yang penting,” balas Ila.
Hakimi diam. Terasa hati dengan jawapan tu.
Sampai hati Ila.
“Awak tak keluar ke tadi?” tanya Ila tanpa
menyedari Hakimi merajuk dengannya.
“Keluar...” jawab Hakimi sepatah.
“Pergi mana?” tanya Ila lagi.
“Rumah ibu tiri saya,” beritahu Hakimi jujur
walau tahu perkataan ibu tiri itu akan membuat ramai orang berkerut dahi dan
terkejut. Namun, dalam kisah hidupnya perkataan ibu tiri itu ada manis dan
pahitnya juga.
Ila sedikit tercegang. Dia tidak tahu pun Hakimi
mempunyai ibu tiri. Fikirannya mula terbayang watak garang ibu tiri dalam drama
TV. Tetapi Hakimi ini boleh pergi ke rumah ibu tirinya. Maknanya hubungan
mereka baiklah, kan?
“Awak, esok kita pergi pejabat awal ya,” pinta
Hakimi mengalih tajuk perbualan.
“Tak naklah. Esok saya pergi sendiri, naik
motor,” beritahu Ila. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu menjadi bahan cerita di
tempat kerja kerana mereka selalu bersama. Dua hari lepas, Bella dan Vinda mula
bertanya itu dan ini bila setiap hari dia dan Hakimi keluar makan bersama. Hari
pertama dan kedua, bolehlah disorok kerana semua orang belum kenal siapa Hakimi
di Maniera. Tetapi tidak lama lagi pasti semua orang tahu siapa Hakimi.
Cdans yang mula pandai mendera Ila membuat kerja
tukang sapu lantai pun semakin naik tocang. Suka sangat menyindir. Kononnya Ila
menumpang kelebihan Hakimi untuk bekerja di situ. Kalau difikirkan, apa
sangatlah tugas kerani rekod di kaunter itu. Hendak dikatakan gajinya beribu
sangat pun tidak.
“Tak payahlah nak buat perangai degil tu.
Sekarang musim langit menangis aje setiap petang. Elok tak basah, nanti naik
motor tu awak basah. Nanti awak sakit pulak. Selagi awak kerja kat situ, awak
kena pergi dan balik dengan saya.”
“Awak... cubalah faham,” rayu Ila.
“Saya faham. Pedulilah apa orang nak kata. Awak
kisah sangat tu kenapa?” pertikai Hakimi.
Ila mengeluh. Tidak tahu bagaimana lagi hendak
bercakap.
Melihat Ila tarik muka, Hakimi rasa tidak senang
hati. Dia mengeluh. “Tak payahlah fikir pasal orang kata. Bukannya lama pun
awak nak kerja kat situ. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri dah,” pujuk
Hakimi. Selain memikirkan perasaan dan kemahuan sendiri, mana dia ada masa
hendak memikirkan tentang orang lain. Apalagi orang-orang yang sengaja mencipta
masalah dengannya.
“Senang awak cakapkan? Bukan awak yang dengar.”
Ila buat muka sedih pula.
“Kalau saya yang dengar, saya tumbuk muka orang
tu,” ujar Hakimi sedikit berangin. “Awak tu kan berani. Saya pun awak selalu
buli. Takkan budak-budak kat pejabat tu awak tak berani nak buli balik?”
“Tak samalah. Sekarang awak kawan saya. Di
pejabat awak bos saya. Dan di pejabat tu kawan-kawan sekerja yang saya kena
hormat. Dia orang tu orang lama. Lagipun saya tak sukalah kalau ada yang buat
baik dan marah saya sebab saya rapat dengan awak.” Ila terbayang muka Cdans dan
Shasha yang suka mengkaitkan dirinya dan Hakimi.
“Dia orang cemburulah tu,” balas Hakimi tanpa
perasaan. Buat letih sahaja memikirkan apa yang orang suka dan tidak. “Awak
anggap aje saya ni perisai awak. Bila orang nak buli awak, awak gunalah nama
saya,” cadang Hakimi.
Ila mengeluh lemah. “Encik Hakimi, saya bukan
pergi berperang. Saya tak perlukan perisai. Cukup kalau awak faham apa yang
saya mahu aje.”
Hakimi mengeluh. Pening kepalanya. “Dahlah, kita
cakap lain kalilah,” ujar Hakimi, malas.
Ila memandang Hakimi sekilas lalu berlalu masuk
ke dalam bilik.
Hakimi memandang langkah Ila. “Apa budak-budak
kat pejabat tu dah buat dengan Ila?” Hakimi tertanya sendiri.