Bab
7
“Hai,
buat apa?” sapa Hakimi yang baru keluar dari CIMB bank yang terletak
bersebelahan kedai jualan barangan terpakai, Cash Converters itu.
“Buat apa?” tanya Ila yang sedang berdiri di
luar kaki kedai itu. Dia terkejut disapa begitu. “Awak menghendap saya ke?”
“Ha’ah... macam tulah agaknya,” balas Hakimi selamba.
Ada masa ke dia nak menghendap gadis tu? Dia menegur kerana hendak berbuat baik
sahaja. Itupun kerana gadis itu pernah berbudi kepadanya. Kalau tidak, dia buat
tidak nampak sahajalah kot. Hehehe... egonya menafikan segala.
Ila terus berjalan menyusuri kaki lima deretan
kedai itu. Semenjak kali pertama Hakimi memarahinya tanpa sebab dahulu, dia
mula rasa kurang senang untuk berkawan dengan lelaki itu.
Hakimi mengikut Ila dari belakang. “What are
you looking for?”
Ila menoleh ke belakang. Ya ALLAH, apa hal pulak
dia ikut aku ni? gumamnya kurang senang. “Hmm... saja. Cuci mata,” jawabnya.
Tak berperasaan ke Hakimi ni? Tak tahu ke orang tak suka? Hati Ila merungut
sendiri.
“Kenapa tak guna eye moreaje?” gurau
Hakimi.
Ila berhenti berjalan. “Hah?” Dia buat muka
keliru saat sedar apa yang dimaksudkan Hakimi. “Oh, saya tak suka guna eye
more. Saya guna optrex,” balas Ila pada pertanyaan bodoh Hakimi.
Hakimi tersenyum. “Awak masih belajar lagi ke?”
Langkah Ila terus diikuti. Peduli apa gadis itu tidak suka. Dia suka buat semua
itu.
“Kenapa?” tanya Ila kembali. Jam di pergelangan
tangannya dipandang. Patutlah perutnya menyanyi, sudah hampir pukul 2.00
petang. Sewaktu dia keluar tadi perutnya belum diisi.
“Saja nak tahu,” balas Hakimi.
“Awak?” soal Ila kembali.
“Saya baru habis belajar,” jawab Hakimi jujur.
Bezakan orang perempuan dan lelaki? Orang lelaki senang sahaja memberi jawapan.
Tetapi gadis bersamanya ini suka bermain sembunyi-sembunyi, geramnya.
“Kerja apa?” Ila belum habis menyiasat. Agaknya
apa pekerjaan Hakimi yang kelihatan maco bergaya dan berduit ni? Teringin
sangat dia hendak tahu. Jangan-jangan jual orang. Sebab itu tidak habis-habis
mengekorinya. Huhuhu... gila!
Hakimi buat muka kurang senang. “Siapa awak? Mak
saya?” Setiap kali orang mengungkit soal kerja, dia teringatkan mamanya. Boleh
tak gadis itu mengubah topik perbualan? Janganlah bercakap soal kerja. Cakaplah
soal merpati yang berderet atas bumbung premis perniagaan di seberang jalan ke?
Soal jalan utama di bandar mereka yang setiap pagi, tengah hari dan petang yang
sesak teruk kerana warganya pergi dan pulang dari pejabat atau sekolah ke?
“Mungkin awak nampak muka mak awak kat muka
sayalah tu,” balas Ila bersahaja.
Hakimi tersenyum. Matanya dipejam kelip beberapa
kali. “Tak nampak pulak muka mama saya kat muka awak.” Agaknya kalau yang
dilihat itu berubah menjadi Puan Alia pasti dia terjerit di situ.
“Memanglah sebab saya bukan mak awak,” jawab
Ila. Eeii... terasa nak picit-picit sahaja mamat ni. Sudahlah, pergi main
jauh-jauh. Shuh... shuh... halau Ila di dalam hati.
“Dahlah, jangan cakap pasal mama saya lagi. Buat
hilang mood aje,” ujar Hakimi. “Friend?” Dia menghulurkan
tangannya.
Ila meletakkan jari telunjuknya ke bibir. Sambil
berfikir sejenak dia memandang huluran tangan Hakimi. “Ya, mungkin boleh
dipertimbangkan,” jawab Ila tanpa menyambut huluran tangan Hakimi. Karang sudah
bersentuh tangan ada perasaan lain pula yang mungkin menjalar di dada. Dia
tidak selesa.
Hakimi tersenyum faham.
Ila melintasi jalan menuju deretan kedai di
bahagian lain. Hakimi tetap mengikutnya. Ila masuk ke sebuah restoran untuk
makan tengah hari. Hakimi ikut juga. Tidak kira dia hendak berkawan dengan
gadis itu juga. Biasanya kalau dia menyapa gadis, pasti tidak ditolak atau
dielak begitu. Gadis yang ini lain. Bagaikan arnab. Jinak tetapi suka melompat
sana sini. Dia tersenyum dalam hati, teruja hendak lebih mengenali gadis
seperti itu.
Usai mengambil nasi dan lauk kegemarannya, Ila
duduk di meja berdekatan kipas. Hakimi tetap mengekorinya.
Ila merenung Hakimi.
“Saya belanja?” beritahu Hakimi tidak selesa
direnung begitu. Salah ke dirinya duduk di situ? Dia memandang beberapa meja
lain yang kosong.
Ila buat muka comel. “Sudah semestinya.”
“Ya, kali ni saya bayar. Lain kali bayarlah
sendiri,” beritahu Hakimi serius. Sengaja hendak menunjukkan perangai
kedekutnya. Agaknya hati gadis seperti itu sensitif tak? Biasanya perempuan
yang dia kenal akan merajuk dan tarik muka. Mungkin juga akan bangun dan tidak
jadi makan.
Ila buat tidak dengar. Dia membaca doa sebelum
makan.
Hakimi mencuri pandang. Memang lain daripada
yang lain. ‘Ramai-ramai perempuan yang aku jumpa, mana ada yang nak tadah
tangan dan baca doa dulu sebelum makan? Semua terus pelahap aje,’ gumam Hakimi.
‘Eh, tapi kenapa dari tadi aku asyik ikut dia? Aku tersihir ke apa ni? Kalau
tersihir takkan aku sedar pulak dia sihir aku, kan?’ omelnya di dalam hati.
“Kedekut,” balas Ila kemudian. Nasi dan lauk
disuap ke dalam mulut.
Hakimi tersengih. “Awak kerja kat mana?”
“Saya macam awak. Baru habis belajar,” beritahu
Ila jujur.
“Jurusan apa?” Hakimi tanya lagi. Seronok
rasanya jumpa orang yang sama-sama menganggur sepertinya. Tidaklah dia rasa
berdosa sangat sebab tidak bekerja. Nampak gayanya bolehlah mereka bersidai di
tepi balkoni sambil berbual setiap hari.
“Belum lagi. Tunggu keputusan SPM dulu,” jawab
Ila. Air cincau disedut.
Hakimi terkejut dengan jawapan yang diberikan
Ila. “Oh...” Patutlah Ila kelihatan seperti kebudak-budakan. Baru hendak matang
rupanya.
“Kenapa?” tanya Ila tidak faham. Tiada apa yang
hendak Hakimi terperanjatkan. Rasanya semua orang boleh nampak dia baru lepas
SPM. Atau... Hakimi nampak dia lebih tua daripada usia sebenarnya? Ila terasa
hendak menjerit. ‘Tak mungkin aku kelihatan tua daripada usia sebenar. Jahat
betullah mata lelaki depan aku ni,’ bentak hati Ila.
“Tak ada apa.” Hakimi meneruskan suapan. ‘Budak
lagi. Padan aje mulutnya kalah bertih goreng,’ gumam Hakimi sambil tersenyum
dalam hati. Tapi gadis ni comel jugak. Kalau nak jadikan cinta biskutnya tak
salah pun. Dia bukan budak sekolah lagi. Boleh dah nak main sayang-sayang ni. Peace
(-_-)
“Awak
suka kerja apa?” tanya Ila sebaik mereka habis makan. Apalagi yang hendak
ditanya. Budak tamat persekolahan seperti dia hanya memikirkan cita-cita
sahaja. Manalah tahu minat Hakimi dalam bidang kerjaya boleh membantunya untuk
memilih kursus yang sesuai dengan diri nanti.
“Tak tahu. Saya suka bebas. Terikat dengan kerja
ni letih,” jawab Hakimi.
Ila buat muka
hampa. Lelaki di hadapannya ini memang jenis tidak boleh diharap ke? Mana ada
manusia yang malas bekerja di dunia ni. Hakimi ni makan batu ke? Jadi ulat?
Ulat dalam batu tu pun nak kena kuis batu tu sedikit demi sedikit baru dapat
makan. Hisy! Sah Hakimi ini jenis pemalas. “Semua orang ada cita-cita. Takkan
awak tak ada?” Ila mengerutkan dahinya. Apa punya pelik manusia di depannya ini.
“Tak ada.” Hakimi menggeleng. Dia sendiri tidak
pasti apa yang dicita-citakan. Sewaktu bersekolah dulu, dia nak jadi cikgu
kerana seronok melihat guru mengajar. Bila belajar dalam bidang perniagaan,
fikirnya nanti dia akan menjadi peniaga. Tetapi tidak juga. Dia masih
penganggur terhormat. Menghabiskan harta yang ada. Dia langsung tidak pernah
fikir panjang soal masa depannya. Buat apa hendak fikir banyak-banyak. Hidupnya
senang-lenang. Segalanya ada. Lambat laun bahagiannya dalam mana-mana syarikat
bapanya akan dimiliki juga.
“Satu bayang pekerjaan pun tak ada?” tanya Ila
tidak percaya.
“Tak,” jawab Hakimi yakin.
“Sah, awak tak normal. Ingatkan awak ni seorang
yang hebat tadi. Tapi hampeh,” ujar Ila selamba. Sangkanya Hakimi yang
bergaya mewah ini punyai kerjaya yang boleh dibanggakan, tapi tidak. Mungkin
sudah menjadi lumrah anak orang kaya bersikap begitu. Kalau Hakimi hidup di
kalangan orang susah, pasti dia tidak sabar hendak bekerja setelah tamat
belajar.
Hakimi tersengih sambil mengeluarkan kotak rokok
daripada saku seluarnya.
Ila cepat-cepat bangun dan berjalan menuju ke
pintu keluar.
Hakimi turut bangun. Membuat bayaran di kaunter
sebelum mengejar Ila yang sudah berdiri di hadapan sebuah kedai gambar.
“Kenapa tinggalkan saya?” tanya Hakimi.
“Saya tak suka asap rokok!” kata Ila tegas. Dia
memang tidak suka perokok. Rimas dengan bau asap yang busuk.
“Sorry...” Hakimi mencampakkan rokok
ditangannya ke atas kaki lima sebelum memijak dengan kasut.
Ila memandang dengan perasaan kurang senang.
Ternyata Hakimi tidak suka menjaga kebersihan negara sendiri. Ini salah satu
lagi sikap perokok yang tidak disukai. Membuang pontong rokok sesuka hati.
Selain mencemar udara, mereka juga mencemar persekitaran. Silap-silap sikap
mereka boleh menjadi punca kebakaran. Entah apa yang sedap sangat asap rokok
itu agaknya? “Awak tahu tak, perempuan suka lelaki yang bekerjaya.”
Hakimi tercegang seketika dan kemudian dia
tersenyum. Budak ni memang cerewet. Tadi tak suka lelaki yang merokok. Sekarang
suka lelaki yang bekerjaya pula. Itu semua alasan. Memang perempuan akan
berfikir seribu kali untuk menerima tukang kutip tin lusuh sebagai kekasih,
fikir Hakimi.
“Memanglah. Sebab perempuan suka lelaki banyak
duit,” jelas Hakimi.
“Bukanlah. Maksud saya lelaki yang tidak ada
kerjaya macam tak bertanggungjawab.” Ila ingin membuktikan dia bukan seperti
perempuan lain yang dikenali Hakimi.
“Kelakar.” Hakimi tidak percaya.
“Kelakar? Awak akan jadi lelaki malang. Tak ada
gadis yang inginkan lelaki tak bekerjaya macam awak. Tak ada kerja, tak ada
duit.” Ila bertegas dengan pandangannya. Ingat dia lebih muda daripada Hakimi,
senang-senang sahaja Hakimi hendak bodohkan dia? Zaman ini banyak bahan bacaan
di pasaran yang berkualiti dan boleh mematangkan fikiran manusia jauh ke depan
daripada usia. Dia sendiri suka membaca rencana-rencana berkaitan personaliti
lelaki dan perempuan. Menilai perwatakan lelaki dan wanita daripada mata pakar.
“Saya tak percaya. Saya ada duit, handsomedan
berpelajaran. Semua gadis nakkan saya,” balas Hakimi dengan angkuh. Ila mungkin
tidak tahu selama ini dia digilai oleh ramai gadis.
“Gadis yang murah dibeli, mungkinlah,” balas Ila
yakin dengan pandangannya.
Hakimi mengetap bibir. “Mustahil!” Dia masih
belum puas hati. Padanya perempuan semuanya sama, gila harta dan wang ringgit.
Mana ada perempuan yang tidak meterialistik zaman ini. Gadis di hadapannya ini
hendak tunjuk baiklah tu. Jangan harap dia terpedaya.
Ila tersengih. “Apa kata kita bertaruh? Kalau
tak ada gadis baik yang inginkan awak, awak kena tunaikan permintaan saya.”
Orang berlagak seperti Hakimi pasti pantang dicabar.
“Apa permintaan tu?” tanya Hakimi. Gadis ni
hendak bertaruh dengan benda yang senang dia dapatkan, fikir Hakimi sinis.
Setakat mencairkan hati perempuan dia memang juaralah. Tengok sahaja pelajar
sekolah yang lalu di sebelahnya tadi, tertoleh-toleh sampai naik teleng
memandang Hakimi.
“Akan difikirkan.” Ila tersenyum. Faham sangat
muka berlagak Hakimi itu.
“Jangan minta saya kahwin dengan awak sudahlah,”
usik Hakimi.
“Tak mungkinlah,” balas Ila.
“Kecuali kahwin dengan awak, apa-apa pun boleh,”
kata Hakimi.
Ila ketawa sambil berpatah balik menuju ke arah
tempat mereka datang tadi. Entah kenapa dia seronok pula melayan ego Hakimi.
Mungkin dia tidak sabar mahu melihat lelaki itu termalu dengan sikap
berlagaknya. Atau selepas makan dia perlukan kawan untuk berbual seketika
sebelum meneruskan perjalanan.
“Hei, kalau awak kalah macam mana?” jerit
Hakimi.
“Saya tak mungkin kalah,” jawab Ila sebaik
Hakimi dekat padanya. Muka Hakimi dipandang.
“Berlagaknya.”
Ila tersenyum. “Saya pasti menang.” Pantas dia
menjengkitkan kakinya dan mengambil capdi kepala Hakimi. Selepas itu
dia terus berlari.
“Hei, apa awak buat ni?” Hakimi berusaha
mendapatkan capNikenya semula.
“Awak tak ada duit nak beli ke?” laung Hakimi.
Suka hati gadis itu sahaja mengambil topinya. Hendak pinjam pun cakaplah, boleh
dipertimbangkan.
Ila ketawa dan berhenti di hadapan CIMB bank
tadi. Suka dia melihat Hakimi termengah-mengah. Seksakan berlari dengan perut
yang kenyang? Tetapi dia okey sahaja. Mungkin kerana dia tidak makan sebanyak
Hakimi makan tadi.
“Anggap aje macam tu. Tapi dia ada duit.” Jari
telunjuk Ila arahkan kepada bank di sebelahnya.
Hakimi yang sudah berdiri di hadapan gadis itu
tersengih. Nakal! Bisik hatinya.
“Ambil balik capawak. Pasti mahal, kalau
tak awak takkan sanggup berlari mengejarnya,” ujar Ila.
Hakimi memakai cap itu semula. Dia ni
memang macam arnab. Comel dan nakal. Berani pulak tu, fikir Hakimi. Penat
rasanya dipermainkan gadis tu. Tunggulah ada peluang nanti, pasti dikenakan
semula.
“Terima kasih belanja tadi. Saya balik dulu.”
Ila memusingkan badan dan meninggalkan Hakimi tiga langkah ke depan.
“Jom saya hantarkan. Kereta saya ada depan awak.
Lagipun rumah kita dekat,” tawar Hakimi. Dia mula merancang sesuatu di dalam
kepala.
“Jangan! Saya nak pergi sana dulu,” tolak Ila
sambil menunding jari ke arah pasar raya Giant yang tidak jauh dari tempat dia
berdiri.
“Saya ikut?” pinta Hakimi.
“Lain kali ajelah. Lebih baik awak balik tolong
mama awak untuk kenduri malam ini.” Sambil melambai tangan, Ila terus berlalu
pergi. Melintas jalan dan hilang dari pandangan Hakimi.
Kenduri? Ila buat Hakimi termenung. Alamak,
bencinya dia membayangkan muka Juliesa. Tiba-tiba dia petik jari dan tersenyum.
Boleh rasanya. Otaknya sudah pun mencerna apa yang dirancang hatinya awal tadi
dengan lebih jelas.