Bab
4
LIMA hari berpindah di kawasan perumahan Elite
Grand Impiana Villa itu mereka berkenalan dengan jiran baru yang ramah dan
mesra. Puan Weandy yang tinggal di sebelah rumah bersama anak lelakinya, Andrew
memang cepat mesra. Dalam masa beberapa minit berkenalan sahaja mereka sudah
mengetahui sedikit hal keluarga berbangsa Cina itu. Andrew baru dua tahun
menuntut di sebuah kolej di Selangor. Kiranya Andrew dan Ila berbeza usia tiga
tahun.
Jiran belakang rumah pula, Puan Alia. Yang pada
mulanya tidak cukup ramah, sekarang semakin banyak berbual dan rajin
bertandang. Tapi belum ada seorang pun ahli keluarganya yang diperkenalkan
kepada mereka.
Seharian di rumah Ila sudah mula resah. Tengok
kiri batu, tengok kanan batu. Hendak memandang ayam itik seperti selalu memang
tiadalah. Bosan betul tiada kawan untuk diajak berbual. Dia melangkah keluar.
Pintu pagar dikunci sebaik keluar. Matanya
memandang kiri, kanan lagi. Terfikir-fikir mahu bersiar-siar ke mana. Tiba-tiba muncul Honda Civic hitam di
hadapannya. Cermin tingkap Honda Civic itu diturunkan pemandunya sedikit. Ila
tersenyum. Nasib baik bukan penyangak.
“Hai... Nak ke mana?” sapa Andrew mesra.
“Bandar,” jawap Ila masih malu-malu dengan anak
teruna Puan Weandy itu.
“Jom, saya hantarkan,” pelawa Andrew.
“Tak payahlah. Saya boleh jalan kaki,” tolak Ila
dengan sopan. Lagipun bukan jauh sangat bandar tu. Jalan kaki menyusuri
taman-taman perumahan 15 atau 20 minit sudah boleh sampai.
“Janganlah macam tu. Saya pun nak keluar. Tak
salah rasanya hantar awak sekali? Marilah naik,” pelawa Andrew. Dia sudah turun
dan membukakan pintu untuk gadis itu.
Ila tersengih. Dia tiada pilihan. Terpaksa naik.
“Apa nak malu, kitakan jiran. Harus
bantu-membantu,” ujar Andrew sedikit pun tiada pelat Cina.
“Saya tak nak menyusahkan awak,” dalih Ila.
“Susah? Mana ada... Awak nak pergi bandar, saya
pun sama. Saya tolong hantar awak hari ni, hari lain awak tolong saya pulak,”
balas Andrew. Dia memulakan pemanduannya.
Ila tersenyum. “Awak dari kolej ke?”
“Bukan. Jumpa kawan,” beritahu Andrew. “Awak nak
ke mana?” tanyanya pula. Kereta yang dipandu mula memasuki kawasan deretan
premis perniagaan di kawasan bandar. Bandar tempat tinggal mereka itu lengkap
dengan kemudahan prasarana. Jadi tiada masalah untuk mereka mendapatkan apa
sahaja. Namun, pasar raya mega yang ada di situ tidak menjanjikan pilihan
barangan jenama yang memuaskan hati seperti di Kuala Lumpur.
Ila mengherotkan bibir dan berfikir sejenak.
“JJ. Awak nak ke sana juga, kan?” teka Ila
“Yup,” jawab Andrew ringkas. “Awak nak
cari apa? Nanti kita boleh balik sama-sama.” Andrew memandang Ila.
“Nak jalan-jalan aje.”
“Kalau macam tu, jom ikut saya,” ajak Andrew.
“Pergi mana?”
“Kedai cenderamata,” beritahu Andrew. Keretanya
selamat diparkir di Jaya JuscoBandar
Bukit Tinggi.
“Awak nak buat apa?” tanya Ila sambil memandang
Andrew.
“Nak beli hadiahlah,” jawab Andrew sambil
tersenyum. Mereka mula melangkah memasuki Jaya Jusco itu.
Ila tersenyum malu. ‘Kalau orang ajak pergi
kedai cenderamata mestilah nak beli hadiah, takkan nak mintak kerja pulak.
Apalah aku ni,’ gumamnya.
Andrew memandang Ila sebaik mereka melangkah
masuk ke kedai yang menjual cenderamata. “Boleh tolong carikan sesuatu yang
perempuan suka?” pintanya tiba-tiba.
Ila mengerut dahi. Permintaan Andrew kedengaran
mudah. Tapi Andrew hendak membeli hadiah untuk siapa? Kekasih ke? Apek
handsome ni dah ada girlfriend rupanya. Entah kenapa, hatinya berasa
kecewa. Jika dari tadi apek tu sibuk berbalas mesej, mestilah dengan girlfriend
dia.
Melihat Ila buat muka tidak puas hati Andrew
petik jari di hadapannya.
Ila tersengih. Tawar sahaja kelihatan, bagaikan
cekodok sejuk. Liat.
“Saya nak sesuatu yang cantik,” beritahu Andrew.
“Semua yang ada kat sini cantik. Kalau saya...
saya nak semua,” tambah Ila dengan muka selamba pula.
Andrew tersenyum dan menggeleng. Jawapan itu
mencuit hatinya. “Itu tamak namanyalah amoi,” usiknya. Dia melihat Ila membelek
sebuah pasu Kristal.
Ila tersenyum. Lain rasanya dipanggil amoi.
“Orang tamak selalu untunglah,” ujar Ila.
Andrew tersenyuman nipis. Nakal rupanya Ila ni.
Ila tersenyum juga. “Sebenarnya kalau awak nak
tahu, perempuan tu... kan cantik. Jadi semua benda cantik juga akan buat kami
rasa tertarik. Bukan tamak,” jelasnya mengikut teorinya sendiri.
“Jadi awak termasuklah sebagai orang yang
tamak?” tanya Andrew.
“Tamak nak miliki benda cantik aje,” balas Ila
mendatar. Takut juga Andrew salah faham. Maklumlah mereka berlainan bangsa dan
mungkin juga cara berfikir itu tidak sama. Itulah yang selalu diterjemahkan
fikirannya ketika menyedari perbezaan antara dirinya dengan bangsa lain. Walhal
yang membezakan cara pemikiran setiap manusia itu hanya hati. Yang lain-lain
sama sahaja. Kalau Andrew suka benda cantik, dia suka juga. Kalau Andrew tahu
rasa sakit, dia pun tahu juga. Kalau Andrew rasa mahu bercinta, dia pun mahu
juga.
“Maksudnya, kalau ada orang hadiahkan sesuatu
yang nampak buruk dan tak cantik, awak akan buang?” duga Andrew.
“Eh, tak... Benda yang buruk rupanya akan jadi
cantik dan bernilai kalau diberi dengan hati yang ikhlas. Contoh arca dari
tanah liat. Bukan semua mata melihatnya cantik tapi ada yang suka. Lagipun
cantik tu subjektif, susah nak dijelaskan,” jawab Ila. Sedar dirinya terkena
dia bergerak ke tempat lain, hendak menyembunyikan muka malunya.
“Awak nak cari
hadiah untuk siapa?” tanya Ila. Patung beruang besar berukuran 1.5 meter
dipeluk. Lembut dan mengasyikkan. Hatinya mahukan patung itu, tetapi sedar
harganya mahal. Lainlah jika dia sudah bekerja, bolehlah beli.
“Untuk perempuan terpenting dalam hidup saya.
Esok birthday dia,” beritahu Andrew.
Ila mengangguk. Betullah tekaannya, Andrew sudah
ada teman wanita.
“Perempuan tu ibu saya,” jelas Andrew.
Ila buat muka tidak sudah. Wekkk... suka sangat
mengandai dari tadi. Kan dah malu lagi. Hmm...
“Kenapa?” tanya Andrew sedikit pelik melihat
perubahan muka Ila.
“Eh, tak ada apa-apa.” Ila tersenyum.
“Untuk seorang ibu, hadiahkanlah barang
perhiasan seperti jam atau gelang,” cadang Ila. Tetapi dia bercakap dengan
patung beruang di tangannya.
Andrew tersenyum melihat telatah Ila. Ada
sesuatu pada diri gadis itu yang membuat hatinya selesa. Mungkin kerana sebelum
ini dia tidak pernah rapat dengan gadis Melayu maka perasaannya begitu.
“Biasanya papa saya yang beri benda macam tu,”
beritahu Andrew. Dia ingin lari daripada sesuatu yang menjadi kebiasaanpapanya. Lagipun
koleksi jam atau gelang tangan ibunya sudah terlalu banyak.
“Mama awak suka apa?”
“Barang kristal atau silver,” jawab
Andrew. Puan Weandy memang suka menyimpan barangan kristal. Kebanyakkan koleksi
simpanannya dibeli sendiri ketika melancong.
“Kalau macam tu, jom cari kristal,” ajak Ila.
Patung beruang diberi kepada Andrew.
Sepontan juga Andrew mengambilnya. Haruman yang
dipakai Ila terlekat pada bulu patung beruang itu singgah ke hidung. Bau itu
menyelinap masuk ke rongga hidung lalu perlahan-lahan meresap ke hatinya. Dia
memandang Ila yang sudah berjalan ke tempat barangan kristal disusun. Patung
beruang itu diletak ke tempat asal. Dia mengaru kepala. Apasal dengan hatinya
hari ini?
Ila yang baru selesai bertanyakan sesuatu kepada
jurujual di kedai itu dihampiri.
“Dah dapat ke?” tanya Andrew sebaik melihat
jurujual berlalu meninggalkan Ila.
“Agaknyalah kot. Berapa bajet awak?” tanya Ila
perlahan.
“Harga bukan masalah,” ujar Andrew.
Eloklah kalau kau cukup kaya apek. Taklah
menyusahkan aku nanti. Ila senyum sendiri.
Jurujual yang meninggalkan mereka kembali
bersama kotak sederhana besar di tangannya. “Ini kristal terbaru,” beritahu
jurujual itu.
Ila buat tidak reti. Arca kristal seorang wanita
duduk mencangkung sambil memeluk bentuk love yang dilingkari ukiran
perak berbentuk bakul lebih menarik perhatian mereka. Memang cantik. Lebih
cantik dan membuat Ila menelan air liur, harganya. Fuh, mencecah lapan
ratus ringgit. Memang mengarut!
“Apa pendapat awak? Rasanya ini hadiah yang
tepat untuk ibu awak.”
“Cantik. Saya rasa ibu saya pasti suka,” ujar
Andrew. Dia membelek arca itu lagi. Mahu memastikan yang barang itu tiada
sebarang kerosakan. “Tolong bungkuskan,” arah Andrew. Kad kredit dari walletnya
diserahkan.
Jurujual itu tersenyum.
Ila menghembus nafas perlahan. Senang betul
Andrew ‘membuang’ duit.