HAKIMI meneliti semula semua kerjanya yang sudah
siap. Dia tersenyum. Beberapa bulan kebelakangan ini, banyak selok-belok
syarikat yang dia dah belajar. Mungkin dalam dua tahun lagi dia akan
benar-benar menguasai semua hal berkaitan Maniera. Selepas itu bolehlah Ila
dilamar menjadi isterinya dan memiliki Maniera.
Sementara Ila belajar, dia juga belajar di situ.
Dia duduk bersandar. Hari-hari dia sahaja yang duduk perasan, Ila begitu juga.
Yang berubah hanya layanan, dari dingin sudah semakin baik. Takkan itu isyarat
yang Ila sudah jatuh cinta dengannya? Hmm...
Telefon bimbit Hakimi berbunyi.
Uncle... hujung minggu ni free, tak?
Hakimi tersengih. Teringat sahaja pada Ila,
mesej daripada gadis arnab itu terus masuk. Bagaikan entena dalam hati mereka
memancarkan gelombang yang sama pula. Tapi ada ke panggil uncle. Panggillah
abang, gumamnya.
Tak freelah. Girlfriend kat Dello, ajak date.
Balas Hakimi sengaja hendak menyakat.
Okey.
Hakimi menelan liur. Itu sahaja ke yang dibalas
Ila? Merajuk ke gadis arnab ni? Hisy, salah tekniklah pula.
Ila meletakkan telefon bimbitnya. Berdarah hatinya dengan jawapan
Hakimi itu. Hakimi sengaja hendak membuat nafasnya tidak tentu hala hendak
bergerak di dalam paru-paru. Jahat! Dia menggaru kepala. Hakimi jahat ke, dia
yang jahat? Huk huk huk... susah bila ada perasaan tidak mahu diluahkan.
Hakimi memang terang-terangan menyukai dirinya.
Apalagi yang dia nak tunggu? Bercinta dengan orang yang betul-betul mencintai
dirinya bukan ke lagi baik daripada tercinta lelaki yang menganggapnya seperti
adik sahaja.
Hmm... fobia dengan rasa sakit ditolak Andrew
merasuk diri. Tetapi perasaan cemburu yang bersarang di dada ini lagi sakit
daripada ditolak Andrew dulu. Adoi! Nak mengaku ke tidak?
Ila memejamkan matanya. Cuba mengeluarkan rasa
yang tidak patut dari hati. Meja tulis dipandang. Masa untuk menyibukkan diri.
Lagipun esok dia perlu masuk ke bengkel untuk menyudahkan skirt rekaannya. Baru
sahaja dia duduk, lagu Love story berbunyi dari handphonenya. Haiyak!
Hakimi.
“Assalamualaikum,” ucap Ila ceria. Dia duduk
atas katil semula.
“Waalaikumussalam,” jawab Hakimi.
“Nak apa?” tanya Ila.
“Nak jemput awak ke majlis pertunangan saya,”
beritahu Hakimi.
Ila mencebik. “Bila?” tanya Ila bersahaja.
Tetapi hatinya rasa sakit. Huk huk huk... kenapa?
Hakimi ketawa. Tidak pernah-pernah Ila bercakap
selembut itu. Adalah yang tidak kena. Merajuk ke? “Bila awak dah setuju nak
terima lamaran sayalah,” sakat Hakimi.
Ila mendegus. Hakimi kenakan dirinya rupanya.
“Eeii... tak ada maknanya,” balasnya.
Hakimi tergelak. Suka mendengar nada garang
manja Ila. “Hmm... dahlah. Straight to the point. Nak ajak pergi mana
hujung minggu ni?” tanya Hakimi.
“Hmm... tak naklah kacau orang nak pergi dating,”
kata Ila separuh merajuk.
Hakimi tersenyum. “Aik, dah pandai nak merajuk
pulak,” usiknya. Mesti comel muka Ila waktu itu. Rugi dia tidak dapat
melihatnya.
Ila mengemam bibir. Boleh pula dia tersasul ayat
merajuk pada Hakimi. Malu. Mukanya ditutup dengan majalah fesyen. “Nenek suruh
jemput awak. Dia buat kenduri,” beritahu Ila.
“Ooo... kenduri apa?”
“Nak sambut puasa dan kenduri doa selamat.
Famili saya dah balik,” kata Ila ceria. Terbayang-bayang muka mama dan
adik-adiknya.
“Okey. Boleh jumpa keluarga mertua lagi,” sakat
Hakimi. Mana tahu cara itu boleh melembutkan hati Ila yang liat.
“Hakimi!” Ila berpura-pura marah.
Hakimi tergelak dan terus menamatkan talian.
Ila mengeluh geram. Tetapi kemudian dia
tersenyum. Dia terkenang mama dan adik-adiknya yang selamat tiba minggu lepas.
Mujur universiti itu dengan rumah neneknya tidak jauh. Hakimi yang menjadi
pemandu tidak bergaji mengambil dan menghantarnya. Yang juga menjadi penglipur
lara masa dia meluahkan perasaan hiba dengan kisah mama dan adik-beradiknya.
“MORNING girls,” sapa Rafael.
Kawasan persekitaran kafe dipandang seketika. Tidak ramai pelajar lain yang
bersarapan pagi itu. Dia mengambil tempat.
“Morning,” balas Atika mewakili Ila dan
Suzana.
“Nak duduk bergosip boleh?” pinta Rafael.
“Cerita apa?” tanya Suzana sambil mencubit
sedikit roti canai ke mulutnya.
Ila menghadap nasi lemaknya. Gosip selain
daripada fesyen dia tidak minat. Buat apa menambah dosa dengan menjaga tepi
kain orang. Elok dia fikir bagaimana hendak menukarkan kain menjadi pakaian
yang selesa dan terkini.
Rafael menjongketkan keningnya ke arah Ila.
Suzana dan Atika serentak memandang Ila sebelum menjongketkan bahu mereka.
“Ada orang tu, patutlah tak nak keluar dengan
kita. Yalah, siapalah kita ni kalau nak bandingkan dengan boyfriend dia
yang penuh glamor tu,” ujar Rafael. Agaknya kalau sekarang dia sudah bergelar
wartawan pasti meletup berita itu ditulisnya.
Ila mengangkat muka. Berminat pula hendak
mengetahui apa yang disampaikan Rafael. Siapalah agaknya tu?
Rafael tersenyum memandang Ila.
Ila memandang Suzana dan Atika yang turut
memandangnya. “Kau maksudkan siapa?” tanya Ila pelik. Kenapa dirinya pula
menjadi sasaran renungan misteri Rafael? Dia sudah melakukan sesuatu yang salah
ke? Masa bila? Kenapa dia tak tahu pun? Banyak sangat pula persoalan terbit
dalam fikirannya hanya dengan satu pandangan yang dilemparkan Rafael.
“Hmm... kura-kura dalam perahulah tu,” sindir
Rafael.
“Siapa? Aku?” tanya Ila tidak faham.
“Ha’ahlah... Ada orang lain ke yang bagi berjuta
alasan setiap kali aku ajak keluar,” ujar Rafael.
“Apasal pulak?” Ila mengerutkan dahinya.
Rafael memandang Ila. Majalah yang dibawa
dibukanya. “Ni...” Jarinya menunding ke halaman yang sudah dibuka.
Ila mendekatkan sedikit badannya ke meja sebelum
memandang halaman itu. Dia menelan air liur. “Classes,” tuturnya perlahan.
Rasanya sudah masuk edisi ke enam. Tiap-tiap bulan Hakimi hadiahkan satu
naskhah. Cuma edisi yang terbaru sahaja dia belum diterima.
“Ni, boyfriend kau, kan?” tanya Rafael
sambil menunjukkan muka Hakimi.
Ila terdiam. Suzana dengan Atika sudah
berebutkan majalah itu. Kenapa tiba-tiba Rafael kata Hakimi boyfriend
dia? Siapa cakap? “Bukanlah,” jawabnya selamba. Mungkinkah Rafael ternampak dia
dan Hakimi? Adoi... Hakimi bukan pernah turun kereta pun setiap kali menjemput
dan menghantarnya ke situ.
“Wey... dari dulu
lagi aku teringin nak masuk Maniera. Aku selalu berangan pakaian rekaan aku
keluar dalam Classes ni,” ujar Suzana teruja. Kalau betul Ila ada hubungan baik
dengan lelaki dalam majalah tu, bererti berpeluanglah rekaannya ditayangkan di
situ. Gempaklah. Langsung dia tidak percaya, gadis biasa seperti Ila punya
kekasih sehebat itu.
Ila tersenyum sumbing. Tidak habis lagi
memikirkan di mana Rafael terjumpa dia dan Hakimi.
“Apa susah, ni dah ada kabel baik. Nanti boleh
tolong kawan.” Atika menyiku bahu Ila.
“Tak baiklah sorok-sorok dengan kita orang.
Kongsilah mana yang patut,” tegur Rafael.
Adoi! Ila menggaru kepala. “Hmm... aku pergi
bengkel dululah.” Dia terus bangun. Tidak tahu apa yang hendak dicakapkan.
“Hei, gosip tak habis lagi, kau dah nak lari,”
tegur Rafael tidak puas hati. Paling kurang pun Ila berilah jawapan yang
menyenangkan hati mereka. Jangan biarkan diri mereka diselubungi misteri. Tiru
ayat Zainal Ariffin Ismail sikit, pengacara siri Misteri Nusantara di TV3.
Ila tersengih. “Nama pun gosip, kan? Tak
betullah tu,” balasnya mahu menyelamatkan diri. Tali beg yang tersandang di
atas bahunya dirapi. Dia mula bersedia hendak pergi.
“Tapi betulkan dia boyfriend kau?” ulang
Rafael.
Ila menggeleng. “Bukan,” jawabnya sepatah. Dia
berundur sedikit ke belakang. Mencari laluan untuk pergi. Kerusi disorong
sedikit ke bawah meja.
“Habis aku nampak kau dengan dia makan kat Alana
Kafe tu, apa?” siasat Rafael.
Hahaha...
rupanya dia terperangkap di Alana Kafe. Apa yang hendak dijawab? Nanti cakap
kawan, sah-sah dia orang tak percaya. Ila buat muka tengah berfikir. “Dia
sepupu akulah.”
“Oh, untungnya,” ujar Suzana dengan pandangan
teruja. Mulalah dia hendak berkenalan dengan sepupu Ila itu. Dalam majalah
orangnya handsome. Pasti sudah ada yang punya. Dia tidak mahu berlebih,
hanya mahu menambah senarai kawan-kawan yang berkualiti dan memudahkan
perjalanan kerjaya masa depannya sahaja.
Ila tersengih. Malas hendak menjawab itu dan ini
lagi. Tetapi sejauh mana dia boleh pergi. Di bengkel jahitan sekejap lagi dia
kena berhadapan dengan Suzana lagi.