Bab 24
“SAYA dah bosan hidup macam ni! Awak buat saya gila!” jeritan Puan Alia.
Perasaan yang sekian lama ditahan mahu dilepaskan. Dia tidak boleh bersabar
lagi. “Bertahun awak buat saya rasa nak gila. Terpaksa bersabar dengan
perempuan tu! Sekarang sabar saya dah habis!” marah Puan Alia berapi.
Encik Harun hanya diam. Memang dia salah kerana
membiarkan Puan Alia menunggu lama dan tidak datang langsung di restoran itu
tempoh hari. Sedangkan hari itu ulang tahun perkahwinan mereka. Semuanya kerana
isteri mudanya yang berpura-pura jatuh sakit.
“Saya dah tak nak hidup macam ni lagi. Saya
bukan Kak Pah yang redha sepanjang masa. Saya juga bukan Kak Lina yang terima
aje apa awak buat. Saya ada hati, ada perasaan. Naluri kewanitaan saya perlukan
belaian juga,” beritahu Puan Alia dalam esak tangis. Pedih perasaannya melalui
ketidakadilan itu selama ini. Dia bukan Nabi yang sentiasa sabar walau
diperlakukan apa sahaja.
“Saya minta maaf. Memang salah saya,” pinta
Encik Harun.
“Maaf tak boleh selesaikan masalah!” bentak Puan
Alia. Hatinya bertambah sakit melihat Encik Harun bagaikan manusia tuli dan
tidak berperasaan.
“Habis tu awak nak saya buat macam mana lagi?”
tanya Encik Harun. Dia memandang Puan Alia. Dia tidak pandai memujuk. Mahu
didakap tubuh isterinya itu, hatinya ego. Dia tidak mahu menunjukkan perasaan
bersalahnya.
“Saya tak nak banyak. Saya cuma nak awak adil.
Itu aje...” rayu Puan Alia.
“Boleh tak awak ikut giliran yang dah ditetapkan?
Tak cukup ke masa Kak Pah dan Kak Lina yang perempuan tu dah rampas? Kalau awak
rasa dah tak boleh nak adil, ceraikan aje saya,” pinta Puan Alia.
Encik Harun terdiam. Hatinya resah.
“Dulu saya tak bagi awak kahwin dengan perempuan
tu, awak kahwin juga. Konon nak selamatkan perempuan tu daripada maksiat.
Sekarang tengok, perempuan tu langsung tak tahu nak bersyukur!” hambur Puan
Alia lagi.
Encik Harun mengeluh. Dia tahu dia tersilap.
Isteri mana yang tidak meradang andai dalam sebulan sehari sahaja suaminya
lekat di rumah. “Pening kepala saya.”
“Senang betul jawapan awak. Awak ni bercakap
pakai otak ke tidak?” tengking Puan Alia.
“Sejak awak kahwin dengan perempuan tu, saya
sorang aje yang besarkan anak-anak. Awak buta ke? Mana pergi hati awak?”
persoal Puan Alia. Encik Harun bagaikan sengaja menaikkan lagi suhu
kemarahannya.
“Awak sedar tak, tanggungjawab awak yang paling
besar yang dah saya pikul tu, Hakimi! Awak nak sorok mana kenyataan tu?” jerit
Puan Alia geram. Selama ini dia terasa seperti dipergunakan oleh suami sendiri.
Pengorbanannya langsung tidak dihargai.
“Soal Hakimi, awak jangan ungkit,” kata Encik
Harun. Dia bimbang dalam keadaan marah Puan Alia akan terlepas cakap dan rahsia
mengenai Hakimi terbongkar.
“Kenapa? Awak takut?” Puan Alia ketawa. Suka
melihat muka tertekan Encik Harun.
Encik Harun menarik nafas. “Itu hanya
kemalangan.Awak tak payah nak ungkit lagi. Cerita lama, biar aje berlalu,” ujar
Encik Harun. Dia rasa cerita yang berlaku 27 tahun lalu bukan silapnya.
Puan Alia ketawa. “Senang aje awak kata tu kemalangan,”
sindirnya lagi.
“Sebab awak gilakan perempuan tulah, ibu Hakimi
mati!” ungkit Puan Alia.
“Lia!” Encik Harun meninggikan suara, berusaha
menghalang isterinya yang sudah hilang akal itu daripada terus mengungkit.
“Kemewahan ni siapa yang punya? Awak lupa?”
“Kita hanya menumpang. Semua ni harta Hakimi.
Sekarang kita hanya menumpang ehsan ibu Hakimi,” hambur Puan Alia. Puas
hatinya.
“Sudah!” tengking Encik Harun sekali lagi.
Selama ini, Puan Alialah isterinya yang paling baik. Tidak pernah merungut dan
banyak membantah.
“Kenapa awak suruh saya berhenti? Saya nak awak
cermin diri awak tu,” marah Puan Alia.
“Saya tak pernah lupa semua tu, Lia. Saya
ingat,” akui Encik Harun.
“Oh, awak masih ingat lagi hari awak menyebabkan
kematian ibu Hakimi?” tanya Puan Alia sinis. Biar Encik Harun rasa sakit yang
dirasakan selama ini. Dia tahu hanya peristiwa itu sahaja yang boleh membuat
hati Encik Harun terseksa.
“Itu kemalangan. Bukan salah saya,” tegas Encik
Harun sekali lagi.
“Hei, kemalangan apa? Awak dan perempuan tulah
yang jadi punca,” tekan Puan Alia. Dia merengus. Benci benar membayangkan muka
madunya yang pentingkan diri itu.
“Alia, kalau awak nak saya selalu balik sini,
saya ikut cakap awak. Tapi janganlah awak ungkit benda yang dah lepas. Jangan
buat saya hilang sabar?” ujar Encik Harun.
“Kalau saya tak nak diam, awak nak buat apa? Nak
pukul saya?” cabar Puan Alia. Dia ingin melihat sejauh mana Encik Harun berani
mengasarinya. Selama mereka berkahwin, Encik Harun tidak pernah mengangkat
tangan. Sekiranya hal ituterjadihari ini, dia nekad akan
ke pejabat agama untuk mengadu ketidakadilan suaminya itu selama ini. Biar
ustaz di situ pula mendera telinga dan hati Encik Harun. Bukan Encik Harun
sahaja, madunya yang busuk hati itu juga akan terseret sama. Dia berhak membuat
pengaduan dan mendapatkan hak sewajarnya.
“Alia...” tegur Encik Harun dengan kasar.
Puan Alia tersenyum. Encik Harun fikir dia
takut? Silaplah. Orang yang hilang sabar sepertinya sudah tidak takut apa-apa
lagi. “Memang awak dengan perempuan tulah yang menyebabkan Hakimi kehilagan
ibu,” jerit Puan Alia.
Encik Harun pantas mengangkat tangan.
“Mama!” jerit Hakimi sebaik terpandang papanya
mahu menghayun penampar ke muka Puan Alia.
Puan Alia dan Encik Harun saling berpandangan
sebelum sama-sama memandang Hakimi. Apa yang dibimbangkan Encik Harun sudah
berlaku. Nyata dinding sudah punya telinga. Hari itu benar-benar sudah menjadi
malang.
Puan Alia tergamam, tidak tahu bagaimana Hakimi
yang sudah ke pejabat boleh berada di situ? Apakah Hakimi mendengar segalanya?
Puan Alia menjadi serba salah.
Hakimi melemparkan pandangan penuh tanda tanya.
Tadi dia pulang mengambil thumdrive yang tertinggal. Keretanya
diletakkan di bawah pokok tidak jauh dari rumah mereka. Sewaktu masuk, dia
terdengar suara mamanya menjerit-jerit. Dia bukan mahu mencuri dengar. Tetapi
kerana namanya disebut, hatinya teringin mengetahui apa yang digaduhkan mereka
berkaitan dirinya.
“Kim...” Puan Alia menghampiri Hakimi. Dia
kehilangan kata. Debar di dadanya semakin kencang. Mungkinkah Hakimi akan lebih
membenci mereka setelah mendengar apa yang ditengkarkan tadi? Oh, dia
benar-benar telah mengikut kata hati.
“Kenapa ni, ma?” Hakimi membiarkan Puan Alia
memeluk tubuhnya dan membenamkan muka ke dadanya. Dia memandang papanya. Dari
dulu, dia memang menyimpan perasaan terbuku di dada atas layanan kejam papanya.
Mungkinkah hari itu dia perlu membuat perhitungan, membela nasib mamanya?
“Maafkan mama, Kim.” Puan Alia sudah teresak
dalam pelukan Hakimi.
“Apa semua ni, ma? Kim langsung tak faham?” soal
Hakimi.
Encik Harun mengeluh. Bagaimana penerimaan
Hakimi andai mereka menjelaskan? Mungkin Hakimi juga akan menuduhnya sebagaipenyebab kematian
ibu kandungnya.
Hakimi cuba berfikir logik. Kalau dia bukan anak
Puan Alia dan Encik Harun, kenapa dalam surat beranaknya tercatat nama mereka?
Apa maksud Puan Alia, papanya sudah menyebabkan kematian ibunya? Kalau Puan
Alia bukan ibunya, siapa ibunya? Kusut!
“Pa?” berat sahaja Hakimi mahu mengungkapkan
panggilan itu. Dia mengharapkan sedikit penjelasan.
Encik Harun mengemam bibir. “Salah papa, Kim.”
“Apa benda ni? Kim tak faham,” desak Hakimi.
Mamanya menangis tanpa henti. Papanya menunjukan muka orang buat salah besar.
Dia pula yang terasa sesak nafas.
“Kim...” panggil Puan Alia sebelum rebah dalam
pelukan Hakimi.
Hakimi tergamam. Tubuh Puan Alia terus dipangku.
Masalah belum selesai, Puan Alia sudah pengsan. Hakimi terpaksa mengumpul
kesabaran. Mamanya harus segera dihantar ke hospital.
HAMPIR
setengah jam menunggu Ila mulai resah. Dia tidak
nampak bayang Hakimi sejak Hakimi keluar dari pejabatnya pukul 10.00 pagi tadi.
Dia membelek jam dipergelangan tangannya. 6.15 petang. Dia mengeluh. Pelik!
Hakimi langsung tidak membalas mesej dan menjawab panggilannya. Kena culik bunian
ke apa?
“Kalau ada urusan penting pun cakaplah. Aku
boleh balik naik teksi,” omel Ila. Telefon bimbit di tangan ditekan-tekan lagi.
Harap kali itu Hakimi akan membalas.
Sepuluh minit kemudian dia hampa lagi. Hari
semakin gelap. Takkan dia hendak berdiri terpacak macam tiang eletrik di tempat
letak kereta itu seorang diri? Kalau terjadi apa-apa bagaimana?
Persekitaran lobi sudah kelihatan lengang. Hanya
dua orang pengawal keselamatan sahaja yang masih setia bertugas di situ. Lemah
betul rasanya hendak mendapatkan teksi dalam waktu begitu. Sudahlah fikirannya
kusut kerana tidak dapat mencari gaun yang lupa disimpan tempoh hari.
Semua rakan sekerjanya tidak nampak ke mana
hilang gaun itu. Hmm... tiga hari dia bercuti kerana demam, macam-macam masalah
timbul. Siapalah agaknya yang gatal tangan mengambil gaun itu? Ila mencari
kerusi dan duduk seketika di ruang lobi itu.
Jarinya menaip mesej lagi.
Awak lambat sangat. Saya balik naik teksi ajelah.
Lagipun hari dah nak malam.
Ila melangkah lemah menuju ke ruang hadapan
bangunan Maniera. Mungkin dia boleh mendapatkan teksi luar dari perkarangan
bangunan tu. Dia menuruni anak tangga satu per satu.
“Nak balik ke?” sapa seorang pemuda yang baru
keluar dari kereta yang diletakan depan tangga itu.
Ila tersenyum. Mungkin pemuda itu antara orang
penting dalam Maniera kerana pengawal tidak kisah pemuda itu meletakkan kereta
di hadapan bangunan Maniera.
“I ada nampak you dua, tiga kali dengan Hakimi.
You kerja sini ke?” tanya pemuda itu.
Ila tersenyum dan mengangguk. Betullah
tekaannya, pemuda itu antara orang penting dalam Maniera.
“I Fradie, pengurus di bahagian jualan.” Pemuda
itu menghulurkan tangan untuk bersalam.
Ila tersenyum sambil meletakkan tangan kanannya
ke dada dan membongkokkan sedikit tubuhnya sebagai isyarat menyambut huluran
salam pemuda itu.
“Ila Nadirah,” balasnya.
Fradie tersenyum melihat kesopanan Ila. Rasanya
tiada perempuan yang begitu sopan bekerja dalam bangunan Maniera.
“You tunggu Hakimi ke?” tanya Fradie.
Ila tersenyum. Kemudian menggeleng.
“Saya nak ambil teksi kat depan sana tu,”
beritahu Ila. Buat apa hendak mengaku dia menunggu Hakimi. Nanti digosip lagi.
Fradie menoleh ke jalan utama. “Waktu macam ni
teksi susah sikit nak dapat. You tengok aje jam tu, teksi memang tak
masuk sini rasanya.”
Ila mula resah mendengar kata-kata Fradie.
“Kawan Hakimi, kawan I juga. Tak apa, I
hantar you balik,” tawar Fradie mesra. Itulah masanya dia mendekati gadis itu.
Walaupun gadis itu tidak cantik bergaya dan glamor, tetapi gadis itu manis.
Macam gula yang berwarna-warni menarik perhatian kanak-kanak. Dia suka hendak
mencuba gula-gula itu.
Mata Ila bersinar. Boleh ke? Tapi, dia tidak kenal pemuda itu.
“Jangan risaulah. Hakimi tu abang I.” Fradie
cuba memancing kepercayaan gadis itu.
Terkelip-kelip mata Ila mendengar pengakuan
Fradie. Hampeh! Selama berjiran dan berkenalan dengan Hakimi, hanya Puan Alia
dan Kak Sarah sahaja ahli keluarga Hakimi yang dikenali. Kalau tak silap,
Hakimi itu anak bongsu Puan Alia. Kalau pemuda di hadapannya ini adik Hakimi,
anak mak tiri dia ke? Hmm... Tapi dia ni nampak jauh lebih sopan daripada
Hakimi, gumam Ila. Gaya Fradie bercakap tidaklah seperti lelaki gatal.
Pandangan matanya juga tidak liar seperti mahukan sesuatu. Hakimi pula...
hmm... memang selalu mendera perasaannya.
Mungkin selamat kot kalau tumpang dia. Tapi
apa-apa aku mesejlah Hakimi dulu, fikir Ila. Dia tersenyum.
“Cik Ila?” panggil Fradie perlahan. Masih
menunggu jawapan.
Ila kemam bibir. Entah kenapa hatinya masih mahu
mempertimbangkan pelawaan Fradie.
“Sekejap... saya nak hantar mesej,” beritahu
Ila.
“Hmm... dalam kereta pun boleh mesej juga,”
balas Fradie.
Ila tersenyum. Fradie sudah memberi isyarat
tangan supaya mengikutnya ke kereta.
Ila tiada pilihan. Dia terpaksa mengikut juga.
Dia bertawakal dalam hati. Semoga pilihan itu tidak menyusahkan dirinya. Dia
menghantar mesej pada Hakimi.
Adik awak, Encik Fradie yang baik hati nak tolong
hantarkan saya balik. Saya ikut dia ajelah.
Fradie tersenyum sambil membukakan pintu kereta.
Sungguh budiman, bisik hati kecil Ila. Tetapi baru sahaja dia hendak masuk,
Harrier Hakimi sudah berhenti di belakang Porsche Fradie.
Hakimi menekan hon sekuat hati. Ila cepat-cepat
keluar dan menghampiri Hakimi.
Hakimi meluru ke arah Fradie. Tidak pasal-pasal
tubuh Fradie ditolak kasar. “Kalau nak cari mangsa, bukan dia?” Hakimi memberi
amaran.
Fradie yang sudah tersandar di Porschenya
memandang Hakimi dengan muka kasihan. Sengaja hendak memancing simpati Ila.
“Ish, awak... Kenapa ni? Sampai-sampai aje nak
naik angin?” Lengan Hakimi ditarik Ila.
Hakimi mengeluh.
Fradie tersenyum sinis. Dia tahu Hakimi sakit
hati melihatnya mendekati gadis itu. Dia pasti Hakimi akan sakit jiwa sekiranya
dia berjaya membawa gadis itu tadi. Mujurlah gadis itu masih bernasib baik.
Mahu sahaja Hakimi menumbuk muka Fradie dengan
senyuman jahat tu.
“Dahlah, jom kita balik,” ajak Ila sambil
menyeret lengan Hakimi.
“Encik Fradie, minta maaf,” laung Ila dengan
rasa bersalah sebelum masuk ke dalam Harrier Hakimi.
Fradie tersenyum sambil mengangkat tangan
sebagai isyarat tidak kisah.
Ila menarik tali pinggang keselamatan. Muka
Hakimi yang masam mencuka dipandangnya.
“Awak, kenapa tiba-tiba naik angin ni?” tanya
Ila.
“Awak tak kenal dia tu,” jawab Hakimi tanpa
menoleh.
Ila mengangguk. Hakimi benar, dia tidak mengenali
Fradie. Tetapi tidak patut pula Hakimi melayan orang yang dikenali sekasar itu.
“Awak nampak teruk sangat. Masalah model tu tak
selesai lagi ke?” tanya Ila cuba meredakan marah Hakimi. Mungkin fikiran Hakimi
kusut kerana masalah itu belum selesai.
Hakimi mengeluh.
“Tahulah saya selesaikan kerja saya! Cuma awak tu, lain kali kalau saya
terlewat, jangan suka-suka aje nak ikut orang sana sini! Kalau jadi apa-apa
macam mana?”
Dari dulu lagi, Hakimi dan Fradie tidak sebulu.
Dia tidak suka Fradie menghampiri apa sahaja kepunyaannya. Cukup-cukuplah zaman
sekolah dahulu mereka berebut teman wanita. Takkan setelah dewasa begini mahu
buat benda yang sama lagi. Lagipun Fradie selalu sahaja punya niat jahat dengan
gadis-gadis yang dihampiri. Dia fikir semua perempuan itu seperti barang
permainan.
Ila mengeluh. “Awak ni kenapa? Itukan adik awak,
takkan tak percaya?” bentak Ila.
“Adik saya, bukan saya! Hati kami tak sama,”
tengking Hakimi.
Ila tarik muka dan berpaling ke luar tingkap.
Kecil hati ditengking begitu. Sudahlah Hakimi tidak memberi penjelasan
kelewatannya dan meminta maaf. Sekarang marah-marah pula. Benci!
Mereka diam
melayan perasaan sendiri. Hakimi perlukan waktu untuk meredakan perasaannya
yang bercampur-baur itu.
Ila mula terfikir hendak ke pejabat dengan
motosikalnya sahaja. Susah kalau mengharapkan Hakimi setiap hari. Rasanya apa
yang terjadi hari itu boleh dijadikan alasan kukuh.
“Saya minta maaf,” ucap Hakimi perlahan. Dia
rasa bersalah kerana memarahi Ila. Apa salah Ila? Hanya mahu menumpang Fradie.
Ila bukan tahu pun siapa Fradie sebenarnya. Hakimi memandang Ila dengan ekor
mata.
Ila buat-buat tidak dengar. Setelah hatinya
merajuk baru Hakimi hendak mengucapkan kata-kata itu.
“Mama saya masuk hospital,” beritahu Hakimi.
Ila menoleh. Tersentuh hatinya. Patutlah Hakimi
seperti orang hilang punca. Dia dihimpit perasaan bersalah dan simpati. Tetapi
perasaan itu sekejap sahaja. Dia rasa Hakimi main-main sahaja kot. “Kenapa mama
awak yang sihat tu boleh masuk hospital?” siasat Ila.
“Orang sihat tak boleh sakit tiba-tiba ke?”
marah Hakimi. Tak ada perasaan agaknya gadis arnab ni? Hati dah mati? Marah
Hakimi dalam hati.
Ila mengeluh. Diam.
“Mama saya pengsan masa saya balik tadi,”
beritahu Hakimi. Dalam fikirannya masih tergiang-giang pertengkaran antara mama
dan papanya.
“Oh,” balas Ila sepatah. Mungkin Hakimi tidak
menipu. Kalau Hakimi menipu, mana mungkin Hakimi kelihatan begitu tertekan.
Diakan anak bongsu. Mesti manja dengan mamanya.
“Awak tolong temankan saya sekejap,” pinta
Hakimi.
Ila menoleh. “Nak pergi mana?” tanya Ila
perlahan.
“Pergi tenangkan fikiran,” jawab Hakimi tidak
mahu memberitahu destinasi yang mahu dituju.
“Sekejap bolehlah,” kata Ila.
Hakimi terus memandu ke arah yang mahu ditujui.
Setengah jam kemudian, dia meletakkan kereta di tempat khas.
Ila memerhati kawasan sekeliling yang dipenuhi
dengan premis perniagaan itu. Dia tahu kawasan itu tidak jauh dari tempat
tinggal mereka. Hakimi menyeret tangannya melintasi jalan.
Ila memandang Hakimi tetapi lelaki itu buat
tidak peduli. Hakimi sudah menolak pintu besar sebuah premis perniagaan yang
bertentangan dengan bangunan pasar raya besar Giant itu.
Hah! Mata Ila terbeliak. Gila ke apa? Kenapa
Hakimi membawanya ke tempat seperti ini? Bagaikan hendak pecah gegendang
telinganya mendengar kebingitan tempat itu. Suasana yang malap disinari cahaya
lampu pelbagai warna itu membuatkan kepala Ila pening. Huh! Boleh hilang
ingatan sekejap.
Sampai di satu ruang, Hakimi menyuruh Ila duduk.
Dia memandang kawasan sekeliling. Tidak ramai pengunjung lagi. Mungkin masih
awal. Hakimi mengangkat tangan kepada pelayan untuk memesan minuman.
Ila masih memerhati. Dalam hati dia
beristighfar. “Kenapa datang sini?” tanya Ila masih merendahkan suara walau
dalam hati meledak marah.
Hakimi hanya diam.
Ila merenung Hakimi, tajam.
“Saja, nak rileks,” beritahu Hakimi kemudian.
Ila membesarkan mata. Baru sahaja dia hendak
membuka mulut, pelayan sudah datang menghidangkan minuman.
Hakimi mencapai minuman itu dan meneguknya
rakus.
Ila berpeluk tubuh dan menjeling geram melihat
tingkah Hakimi. Nasib baik Coke. Kalau minuman terlarang, pasti Hakimi sudah
dibaling dengan gelas itu.
“Minumlah,” pelawa Hakimi.
“Saya tak nak!” kata Ila tegas.
“Kalau tak nak minum, jom kita menari,” ajak
Hakimi sambil mengoyang-goyangkan badan mengikut irama yang berdendang.
Pandangan Ila semakin tajam. “Saya tak nak!”
“Hei, apa awak ni! Kita lepaklah kejap, cari
ketenangan. Kejap lagi kita baliklah.” Hakimi tidak mahu mengalah.
Ila berdiri. “Kalau ini yang awak rasa
ketenangan, awak nikmatilah sendiri. Saya tak nak kehilangan maghrib hanya
kerana hal sia-sia macam ni,” marah Ila dan terus berlalu. Pertama kali ke
tempat seperti itu pintu hati Ila tertutup rapat untuk mengulanginya lagi.
Tempat seperti itu bukan untuk dirinya.
“Ila!” jerit Hakimi.
Ila buat tidak dengar. Dia boleh balik sendiri.
Tempat itu dari kediaman mereka hanya sepuluh minit sahaja berjalan kaki.
“Ila...” Hakimi mengejar langkah Ila.
Ila berlari lebih pantas. Memintas sebuah
bangunan di belakang premis perniagaan dan masuk ke dalam 7E. Dia bersembunyi
di situ sehingga Hakimi berlalu.
Sebaik pasti kelibat Hakimi sudah tiada, dia
segera keluar dan berjalan pulang ke rumah.
Sebaik sampai di halaman rumah, Ila duduk di
bangku kayu sambil melepaskan penatnya. Telefon bimbit dikeluarkan dari beg
sandang.
Awak, masalah harus diadukan kepada Tuhan. Bukan
kat alam separa istana syaitan macam tu. Solat dan doalah penawarnya.