Home Novel Cinta Gadisku Rabitta
Bab 42

HAKIMI duduk tersandar di sofa dengan rasa senang hati. Hari ini dia pulang awal kerana tidak banyak kerja. Semenjak Ila sudah kurang menjadi arnab yang aktif melompat sana sini, hatinya juga sudah tidak terjerut. Kalau tidak memang dia tidak senang hidup. Hisy, begitu ramai perempuan yang ditemui, itu juga hatinya mahu. Hakimi! Hakimi! Dah teruk kau ni. Dia tersenyum sendiri. Langsung tidak sedar Puan Alia memerhatinya dari tadi.

“TV tu tak buka pun. Cerita apa yang Kim tengok? Asyik tersengih-sengih aje,” tegur Puan Alia.

Hakimi memandang Puan Alia. Dia berusaha selamba. “Hmm... Kim fikir soal kerja aje, ma,” dalih Hakimi.

Puan Alia mencebik. Macamlah dia tidak pernah bercinta. “Siapa nama budak perempuan tu?”

Hakimi angkat kening. Masih cuba hendak menutup kenyataan dengan muka terkejut.

“Tak payahlah Kim nak tipu mama. Mama pun pernah muda,” ujar Puan Alia.

Hakimi tersengih. “Mana ada, ma. Kim rasa happy aje hari ni. Tu yang senyum.” Dia tetap tidak mahu memberitahu rahsia di hatinya.

“Hmm... mama tak kisah kalau Kim serius nak kahwin, tapi carilah yang betul-betul boleh buat Kim bahagia.” Puan Alia memberi lampu hijau. Dia tidak mahu lagi memaksa anak-anaknya berkahwin dengan calon pilihannya.

“Kalau yang biasa-biasa, tak berharta macam kita tak apakan, ma?” tanya Hakimi.

Puan Alia tersenyum. Sah anaknya ini sudah ada calon. “Paling biasa pun, biarlah yang tak buta huruf, yang celik agama, yang sedap mata memandang dan yang boleh buat Kim bahagia.”

Hakimi tersenyum. Syarat ibunya itu tidak susah. Ila ada semua itu.

“Yang paling penting, mama nak gadis yang menjaga maruah dan harga diri. Tak nak yang belum kahwin dah layu,” tegas Puan Alia.

Hakimi tersengih.

“Nak bagitahu mama ke tidak ni? Siapa calon tu?” tanya Puan Alia.

Hakimi tersengih dan menggeleng. “Belum ada,” jawabnya.

Puan Alia memandang Hakimi. Hatinya kata ada tetapi anak itu sengaja mahu berahsia. “Juliesa macam mana?”

Aduh, kenapa Juliesa pula yang terseret dalam topik mereka? Hakimi kemam bibir. Muka mamanya dipandang dengan resah. Adakah Juliesa menjadi harapan sebagai calon pilihan mamanya? “Kim dengan dia kawan aje, ma.”

“Hmm... tapi daddy dia dah tanya pada papa,” kata Puan Alia.

“Papa jawab apa?”

Puan Alia mengeluh. “Papa tu manalah berani nak buat keputusan untuk Kim. Dia tanya mama.”

Hakimi tersenyum. Dia sudah faham dengan perangai papanya. Memang tidak mungkinlah papanya membuat keputusan bagi pihaknya. “Mama jawab apa?”

“Mama cakap, Kim baru kerja. Tak ada masa nak fikir hal kahwin,” kata Puan Alia. Mungkin itu jawapan terbaik untuk sementara waktu. Tetap andai Tan Sri Amar bertanya lagi, Hakimi harus bijak membuat keputusan.

Hakimi memandang mamanya. Itulah jawapan terbaik. Telefon bimbitnya berbunyi. Mesej. Dia tersenyum. Semakin rajin gadis arnab menghantar mesej kebelakangan ini. Takut dia dikebas oranglah tu. Hehehe...

Melihat Hakimi sudah tersengih melayan telefon bimbit di tangan, Puan Alia berlalu ke tingkat atas.

Ila khusyuk membaca majalah I. Dia tertarik dengan satu hadis yang berbunyi:

Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kamu. Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui. (Surah al-Baqarah ayat 216)

Dia tersengih. Betul ke apa yang dirasakan? Matanya dipejamkan. Berusaha menafikan rasa hati yang memuncak setiap kali perkara berkaitan Hakimi timbul. Ah, dia tidak percayalah cinta-cintun ini. Menipu sahaja.

Ila, kau ni apasal? Jangan cari masalah. Hakimi tu bukannya boleh percaya. Dia tu sewel. Kalau kau berani beritahu dia yang kau suka dia, silap hari bulan dia gelak guling-guling. Siapa yang malu? Kau jugak, pujuknya. Pipinya ditampar beberapa kali. Hisy, tidak boleh jadi ni. Mesti alihkan perhatian juga.

Pintu bilik dikuak dari luar. Terjojol muka Atika. Dia melangkah masuk. “Kau ni kenapa? Asyik berkurung aje dalam bilik. Semalam kata nak balik.” Atika duduk di atas katil.

Ila sengetkan mulut ke kiri dan kanan. Memanglah dia nak balik, tetapi Hakimi masih belum beritahu pukul berapa dia akan ke situ untuk menjemputnya. Asyik main-main sahaja dari tadi. Dia mesej begini, Hakimi jawab begitu. Buat meletihkan jarinya sahaja. “Tengoklah... Kejap lagi kot.”

“Tak nak ajak aku sekali ke?” tanya Atika sambil memandang Ila.

Ila tersengih. “Aku dah ajak awal-awal lagi. Kau aje yang tak pasti nak ikut ke tak,” ujarnya.

“Aku bukan tak nak ikut, tapi segan,” balas Atika. Memanglah dia dan Ila rapat. Tapi mahu merapatkan hubungan dengan keluarga Ila, dia malu. Apalagi menurut Ila, di rumah nenek Ila masih ada dua orang lagi bapa saudaranya yang masih bujang.

Ila tergelak. “Kenapa kau nak segan pulak? Keluarga aku okeylah.”

Atika menggaru kepala. Alang-alang sudah menjadi teman sebilik yang paling rapat, apa salah kalau dirapatkan lagi hubungan dengan keluarga Ila. Bolehlah ushar abang sepupu Ila yang handsome tu. Ngee... Atika memasang niat di dalam hati. Apalah dirinya ini, dengan bapa saudara Ila malu, dengan sepupu Ila dia tak malu. Teruk!

“Eh, kalau lambat sangat bertolak, tak malam ke sampai rumah kau?” Atika menggaru kepala. Jam menunjukkan pukul 6.00 petang. Ila masih duduk memeluk soft gorillanya.

Ila menggeleng. “Ada driver nak datang ambik.”

Atika sudah tersenyum. Mesti sepupu Ila. Yes... memang dia ada peluanglah hendak berkenalan dengan sepupu Ila itu.

“Kau siaplah. Kalau pukul 8.00 karang driver tu tak datang, aku call auntie aku aje suruh datang ambik,” kata Ila. Dia beralih ke meja tulis, membuka buku kostum semula. Skirt yang direka sudah siap 90 peratus. Tapi siapa yang hendak memakai skirt itu? Hmm... masalah. Siapa pula yang sudi menjadi model dan menayang peha? Pensyarahnya itu bagaikan sengaja menyuruh dia dan kawan-kawannya melakukan kerja mengarut begitu. Alasannya hendak melihat apa yang mereka reka itu sesuai ke dinamakan fesyen, bila digayakan oleh model yang bernama manusia bukan patung. Takkan dia hendak memakainya sendiri? Fuh... kerja gila.

HAKIMI sampai tepat pukul 9.00 malam. Ila menggeleng. Lambat betul Hakimi ni.

“Awak duduk belakang, ya?” kata Hakimi sambil mengangkat beg Ila dan Atika ke dalam bonet.

Ila mengerut dahi tidak faham. Tetapi dia hanya menurut. Dia membuka pintu kanan, Atika membuka pintu kiri. Sebaik masuk ke dalam kereta, baru mereka tersedar ada seorang perempuan di tempat duduk hadapan. Perempuan itu menoleh ke belakang dan mereka bertukar senyuman.

Atika mencuit Ila. Ila menjungkit bahu. Dia pun tidak pasti siapa perempuan bersama Hakimi. Dia mula dilanda rasa cemburu. Dalam Hakimi mengayat dia setiap hari, alih-alih sudah ada girlfriend pula mamat tu. Bunga-bunga kecewa berputik dalam hati Ila.

Sepanjang perjalanan, masing-masing hanya melayan perasaan. Lagu You Make Me Feel nyanyian Cobra Starship membuatkan Ila tertunduk sambil mengemam bibir. Kalau perempuan di sebelah Hakimi itu tidak ada, pasti dia ingat lagu itu Hakimi tujukan untuknya. Memang buat berdarah hati betul dengan sikap Hakimi. Dia memang tahu Hakimi tidak serius. Tapi kenapa dia boleh terjatuh suka dengan Hakimi. Ila menarik nafas.

Seketika kemudian, Hakimi menurunkan gadis di sebelahnya di hadapan kondominium berhampiran kawasan Bandar Baru Klang.

Kirana turun dari kereta dengan muka ceria. “You... terima kasih. Kita jumpa lagi esok,” ucapnya. Dia sempat membuat flying kiss kepada Hakimi sebelum melangkah pergi.

Hakimi tersenyum sambil mengangguk.

Ila menjeling geram. Amboi, sukanya dia digoda begitu. Beg sandang dipeluk lebih kuat. Baru sahaja dia hendak melayan perasaan sambil melentokkan kepala ke tepi tingkap, Hakimi bersuara.

“Cik adik sayang, takkan I nak jadi driver you? Duduklah depan,” tegur Hakimi sambil menoleh ke belakang dan memandang Ila.

Ila menoleh Atika. Dia senyum separuh hati kepada Atika. “Kau pergilah duduk depan.”

Atika menunjuk dirinya dengan jari. Dia buat muka bersalah. Seganlah hendak duduk di sebelah sepupu Ila. Kot iya pun dia beria-ia hendak berkenalan, tetapi bukanlah secepat itu. Mungkin esok.

Ila mengangguk.

“Cepatlah... Nak balik ke tidak?” Hakimi bersuara lagi sambil melihat muka Ila dari cermin pandang belakang. Dia tahu ada yang tidak kena dengan Ila. Biarpun Ila tidak menyatakan, dia boleh nampak wajah cemburu itu. Biarlah sesekali Ila pula yang merasakan apa yang selalu dirasakan ketika Ila buat tidak mengerti dengan perasaannya.

Ila terus memaksa Atika.

Atika menggeleng.

“Cepatlah,” desak Hakimi.

Ila memuncungkan bibirnya. Sebelum Hakimi buat kepala angin, elok dia mengalah. Takkan hendak tunjukkan juga rasa cemburunya tadi.

“Kenapa tak balik rumah Auntie Hanim dulu? Esok kita boleh pergi rumah nenek sama-sama,” tanya Hakimi sebaik perjalanan mereka diteruskan.

“Auntie tak ada kat rumah. Mereka semua kat rumah nenek,” kata Ila. Hilang perasaan hendak melayan Hakimi berbual.

“Hmm... ingat malam ni kita dapat nyanyi berduet kat balkoni.” Hakimi menoleh sekilas dan sempat mengenyetkan mata sebaik Ila juga menoleh.

Ila menghembuskan nafas. Dia menjeling geram. Tergamak Hakimi melukakan perasaannya. “Kan tadi dah ada kawan nak berduet, kenapa tak ajak pergi karaoke?” tanya Ila malas. Pandangan dibuang ke luar tingkap. Melihat suasana jalan raya yang diterangi samar-samar cahaya itu lebih baik.

Hakimi tersenyum segaris. “Itu kawan kerja. Tak sama dengan awak,” pujuknya. Nanti kalau jauh rajuknya, susah pula hendak dipujuk.

Atika yang berpura-pura tidur, memasang telinga. Pelik mendengar butir bicara dua orang sepupu itu. Tidak seperti sepupu pun. Dia kerut kening.

Ila senyum malas. Hakimi sudah mula hendak mempermainkan perasaannya lagi.

Previous: Bab 41
Next: Bab 43

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.