Home Novel Cinta Gadisku Rabitta
Bab 8

Bab 8

ILA menghampiri kedai menjual pakaian. Dia membelek beberapa helai t-shirt yang tergantung. Tiada yang menarik minatnya. Dia beralih ke kiosdi ruang legar pula. Sehelai gaun menarik minatnya. Dia mengacu gaun itu ke badan.Cantik. Dia tersenyum. Tiba-tiba datang tangan merampas gaun itu.

Ai... ini boleh mendatangkan marah! Ila menoleh. Seorang lelaki tersenyum dengan muka comel. Bersahaja gaun itu disangkut ke tempat asal. Dia buat muka tidak puas hati.

“Awak kenapa?” marah Ila. Dia memandang Hakimi dengan geram.

“Gaun tu tak sesuai untuk awak,” beritahu Hakimi. Dia bukan peduli pun dengan reaksi Ila.

“Ada saya kisah?” Ila memberi jelingan maut. Hakimi ini siapa? Pereka fesyen? Pandai-pandai sahaja mahu menentukan gaun itu sesuai atau tidak dengan dirinya. Dia sedikit mencebik.

“Mestilah saya peduli. Saya nak semua tetamu saya malam ni yang terbaik,” balas Hakimi. Dia mula membayangkan Ila sebagai tetamu istimewanya malam nanti. Selalunya bila dia merancang, memang menjadi dan akan dicemburui ramai. Dia memang ada bakat kreatif dalam diri yang malas hendak diketengahkan sahaja.

Wekkk... nak muntah! Ila kerut dahi. Hakimi ni kenapa? “Kepala otak kau? Siapa yang nak pergi majlis awak?”

“Otak saya. Saya punya sukalah nak fikir apa?” balas Hakimi sambil mengenyitkan matanya. Dia suka melihat gadis itu naik angin. Ada aura berani dan menakjubkan. Bertambah kelainan gadis itu berbanding gadis lain di matanya. Manis juga melihat gadis segarang itu. Bagaikan gula-gula Hacks.

Ila merengus. Memang payah bercakap dengan Hakimi. Menyibuk betul! Eeii, geram! Geram! Geramnyaaa! Ila terasa hendak menumbuk dada Hakimi beberapa kali.

“Awak... ikut saya,” arah Hakimi sambil menolak tubuh Ila ke depan, memaksa gadis itu berjalan mendahuluinya.

Terpinga-pinga Ila melangkah ke depan. Lebih menyakitkan hati Hakimi memegang tali beg sandangnya dari belakang. Alahai, dia sudah kelihatan seperti pet pula. Hakimi pegang tali dan dia mesti ikut arahan.

Pantas Hakimi memintas dan memegang hujung lengan T-shirt lengan panjang Ila.

“Awak ni tak reti sopan ke?” marah Ila sebaik Hakimi melepaskan lengan bajunya. Pergelangan bajunya dibetulkan. Dia menjeling Hakimi. Mereka berdiri di depan parkir.

“Masuklah,” arah Hakimi sambil membuka pintu Harriernya.

“Eh, kejap.” Ila angkat kedua tangannya ke depan. “Nak pergi mana?” Suka hati Hakimi sahaja memerintah dirinya. Apa dia orang tahanan Hakimi ke? Dia sempat pandang kiri dan kanan Hakimi, tetapi rasanya tidak cukup ruang hendak lari. Susuk tubuh Hakimi dipandang. Kalau Hakimi itu tinggi orangnya, pastilah panjang juga tangannya hendak menghalang dia daripada pergi. Bagaimanalah dia boleh tidak sedar yang dirinya sudah terhimpit di tepi pintu kereta Hakimi? Hisy!

“Masuk ajelah.” Suara Hakimi lembut seperti memujuk. Dia tahu, andai dia berkeras gadis itu pasti akan naik marah. Jadi kalau dia mahukan gadis itu dalam majlisnya malam nanti, dia harus banyak membuat ‘iklan gigi’ dan mencuit hati gadis itu supaya akur dengan permintaannya.

Ila menggeleng. Alah, macam mana dia hendak lepaskan diri? Hakimi ni buat perangai bagaikan mereka sudah berkenalan lebih daripada sepuluh tahun. Menyesal dia membantu Hakimi sebelum ni. Andai tahu begitu jadinya, elok dibiarkan sahaja Hakimi kesakitan dan pulang sendiri ke rumahnya.

Hakimi tersenyum. Tubuh Ila ditolaknya sedikit ke dalam Harrier. Dia hendak mengajak gadis itu berjalan-jalan menikmati hari sahaja, bukan hendak buat hal yang tidak sepatutnya.

Ila sedikit terjerit. Terkejut dirinya dipaksa begitu. Selamba betul Hakimi ni.

“Duduk diam-diam,” arah Hakimi lagi.

Ila merenung Hakimi dengan tajam. Terasa hendak dicakar-cakar sahaja muka tampan itu. Langsung tiada adab. Kenapalah agaknya lelaki yang kelihatan baik, sopan dan tampan seperti Hakimi ini sebenarnya teruk? Kenal orang sehari sahaja sudah boleh dianggap kenal setahun. Aduhai...

“Dah. Jangan tenung saya macam tu. Awak nampak macam raksaksa nak makan orang,” usik Hakimi.

“Awak ni betul-betul sombong, berlagak! Awak ingat awak kaya, bolehlah seret saya sesuka hati?” marah Ila. Mulalah dia naik angin hendak membebel. Orang seperti Hakimi itu memang tak boleh cakap elok-elok.

Hakimi buat pekak. Dia sudah biasa mendengar perempuan membebel begitu. Matanya beralih ke bahagian tengah hadapan kereta itu. “Penyaman udara kereta ni rosak agaknya,” katanya sambil menekan butang kawalan beberapa kali. Kalau gadis itu bijak pasti faham apa yang dimaksudkan.

“Lantaklah benda tu rosak ke apa. Saya tak nak tahu pun,” bentak Ila geram. Langsung tidak sedar apa yang tersirat di sebalik kata-kata Hakimi.

“Tengok. Saya dah letak tahap maksimum tapi awak panas juga.” Hakimi menunjuk alat kawalan penyaman udara dengan hujung jari. Dalam hati dia tahan gelak melihat gadis itu terkena.

Meledak hati Ila dibuatnya. Sudahnya bahu Hakimi dipukul. Berani lelaki itu membulinya. Hisy! Agaknya kalau dia buka tingkap kereta tu dan jerit minta tolong kononnya dia diculik, apa Hakimi akan buat, ya? Dia pun teringin hendak berperangai gila-gila seperti Hakimi.

Hakimi gelak besar. Suka dapat mempermainkan gadis itu. Alahai comel sangat. Buat hatinya semakin tertarik hendak berkawan dengan gadis itu. Tetapi itulah, gadis itu sombong sangat. Nama sendiri pun mahu dirahsiakan. Agaknya nama gadis itu klasik sangat ke sampai susah sangat hendak menyebut nama sendiri. Mungkin nama dia ala-ala filem klasik. Mawar, Cempaka atau apa sahaja yang janggal bunyinya buat orang zaman ini gunakan sebagai nama.

“Dahlah jangan marah. Saya takkan buat bukan-bukan kat awak pun.”

“Tak buat bukan-bukan, apa? Awak dah dikira menculik, tahu tak?” jerit Ila.

“Bukan culik. Nak suruh awak ikut saya sekejap aje,” bantah Hakimi pantas. Dia tidak rasa bersalah pun. Ada ke mangsa culik yang dibiarkan berkata-kata seenak rasa seperti gadis itu? Sepatutnya mangsa culik diikat mulut dan tangannya dengan kain. Gadis itu dipaksa sedikit sahaja mengikutnya. Namun dia berjanji dengan diri, gadis itu pasti suka dengan tempat yang bakal mereka tujui itu.

“Awak tarik saya masuk kereta macam saya ni awak punya? Keluarga saya tak tahu saya keluar dengan awak? Itu bukan culik ke?” soal Ila yang sudah rasa mahu menangis. Kenapalah dia lembap sangat tadi? Kenapa dia tidak cuba mencelah di bawah ketiak Hakimi dan lari pecut. Dia, kan juara pecut di sekolah dulu. Ini tidak lain kerana dia jadi sedikit bodoh setelah matanya terpukau dengan wajah tampah penuh senyuman manis bergula Hakimi. Sekarang hendak buat bagaimana, dirinya sudah terjebak ke dalam kereta tu.

Hakimi mengeluarkan telefon bimbitnya. Permintaan gadis itu mudah sahaja. Dia tersenyum sambil membuat panggilan. “Assalamualaikum,ma. Tolong beritahu kawan mama yang belakang rumah tu, Kim keluar dengan anak dara dia.”

Ila menoleh sekilas.

“Okey ma, thanks,” ucap Hakimi sebelum menamatkan panggilan. Tidak susahkan? Mamanya pasti menyampaikan pesanan itu. “Keluarga awak dah tahu.”

Ila menjeling. Semua perkara sesenang ABC dalam kepala Hakimi. Dia diam. Terus menarik muka masam. Mukanya ditoleh ke kiri, melihat keluar tingkap.

“Marah lagi? Hmm... Janganlah marah. Nanti saya belanja aiskrim,” usik Hakimi.

“Awak ingat saya budak kecik? Yang boleh dipujuk dengan aiskrim?” marah Ila. Hakimi ni suka sangat mencurah minyak ke dalam api. Elok api yang berada dalam hatinya sekarang berwarna biru, sekejap lagi bertukar merah. Habis Hakimi dibakar tanpa simpati nanti.

“Awak merajuk ke?” Hakimi tersengih. “Tak tahu pulak saya. Bila saya kata nak pujuk awak? Saya kata nak belanja aiskrim aje.” Hakimi berpura-pura tidak faham apa yang diprotes gadis itu tadi.

“Awak ni... kan? Ish... Susahlah nak cakap.” Ila mengetap bibir geram.

Hakimi menarik nafas. Dia kena buat gencatan senjata atau gadis itu lebih terasa hati nanti. Rasanya cukup-cukuplah dia membuli. Andai terlebih buli nanti, gadis itu tidak mahu menolongnya pula. “Sorry... saya minta maaf,” pinta Hakimi.

Ila diam.

“Awak tak nak maafkan saya ke?” tanya Hakimi seakan memujuk. Alah, gadis di sebelahnya itu tidak boleh dibawa berguraulah. Dia betul-betul merajuk pula. Dia diam seketika, memberi waktu untuk gadis itu menyejukan hati yang terbakar.

Ila mengeluh dan menjeling. “Kalau awak ikhlas, saya maafkan awak,” balas Ila tanpa perasaan.

Hakimi tahan senyum. Dalam hati rasa lapang. Dia tahu gadis itu baik hati. “Kalau macam tu, senyumlah,” pinta Hakimi.

Ila sedikit merengus. “Beritahu dulu kita nak pergi mana?” Dia pun bukannya bodoh sangat mahu mengikut Hakimi tanpa tahu hala tuju sebenar lelaki itu. Dia pun ada telefon bimbitlah, boleh sahaja menghantar mesej untuk memberitahu Hanim ke mana Hakimi membawanya. Kalau terjadi apa-apa kepada dirinya, habislah Hakimi. Jangan ingat senang-senang sahaja boleh terlepas.

Shopping,” jawab Hakimi.

Shopping?” pantas Ila menoleh. “Kat tempat tadi tak boleh shoppingke?”

Hakimi menggeleng. “Malam ni saya nak awak jadi teman saya.” Tiada pilihan lain, selain mengakui niat sebenar dia memaksa Ila mengikutnya tadi.

Dahi Ila berkerut. Hakimi ini sakit mental agaknya. “Tapi saya tak nak pergi majlis awak,” beritahu Ila. Bila masa dia cakap hendak ke majlis itu? Hakimi ni memang terlebih perasanlah.

Hakimi buat muka kesian. “Awak kena datang dan tolong saya,” pujuk Hakimi tanpa sebab dan alasan.

“Tolong?” Ila tidak faham. “Minta tolong macam pencuri? Saya tak suka,” protesnya. Namun, dalam hatinya tertanya-tanya juga pertolongan bagaimana yang Hakimi mahukan? Kenapa dia perlu ke majlis itu? Wah, bagaikan ada drama menarik sahaja.

“Saya dah minta maaf, kan?” balas Hakimi sedikit kurang selesa diprotes begitu. Gadis di sebelahnya ni ada masalah pendengaran ke? Dari tadi dia minta maaf tidak juga dipedulikan. ‘Keras hati, degil, kepala batu,’ cemuh Hakimi di dalam hati. Pasti susah untuk mendapatkan persetujuan gadis itu, tetapi dia mesti cuba.

“Hmm...” Ila buat muka menyampah. Hakimi fikir hanya dengan sebaris kata maaf sahaja suasana boleh berubah ke?

“Saya nak ex-girlfriendsaya tahu yang awak girlfriendsaya sekarang. Saya rimas dengan dia,” beritahu Hakimi jujur. Mungkin gadis di sebelahnya itu akan bersimpati.

“Kenapa pilih saya?”

“Sebab tak ada siapa kenal awak selain saya.” Hakimi masih terus memberi alasan. Dia berharap sangat persetujuan gadis itu.Kalau gadis itu mahukan bayaran, dia tiada masalah. Yang penting masalahnya selesai.

Eh... eh... eh... kenapa pelik sangat ayat Hakimi ni? Ila buat muka penuh tanda tanya. “Kalau dah putus kenapa jemput ex awak tu datang?” tanya Ila tidak faham. Orang kalau sudah tidak suka, buat apa hendak dilayan lagi. Ada ke pasangan kekasih yang sudah putus hubungan mahu menghadiri majlis bekas kekasihnya? Buat sakit hati sendiri aje.

“Keluarga dia kenalan keluarga saya. Saya jemput atau tak, dia tetap datang,” jelas Hakimi.

Oh, baru Ila faham. Hakimi ni bercinta dengan anak kepada kawan keluarga dia. Patutlah. Lain kali carilah teman wanita yang keluarga tidak kenal. Bercinta dengan anak kepada kenalan keluarga tu, bagaikan bercinta dengan sepupu sendiri. Ish, tak naklah!

“Awak nak suruh saya jadi mangsa cinta awak pulak? Entah apa bekas ex-girlfiendawak tu akan buat pada saya.” Ila cuba mengelak. Dia masih sayang dengan wajahnya yang licin tidak berjerawat itu. Dia tidak sanggup berparut disebabkan terkena cakaran kuku tajam bekas kekasih Hakimi.

“Dia takkan buat awak macam tu.” Hakimi cuba memancing keyakinan Ila. Tolonglah, tolonglah, mohon hatinya.

Ila terdiam. Berfikir sejenak. Hatinya berbolak-balik. Sekejap teruja hendak menolong, sekejap takut pula diganyang bekas kekasih Hakimi. Hisy... susah ni.

“Tolonglah saya. Please...” Hakimi buat muka kesian. Dia tahu Juliesa hanya berani bercakap kasar sahaja, tetapi tidak berani mengasari orang. Tetapi sekarang dia rasa pelik dengan diri sendiri. Mana pernah seumur hidup dia merayu gadis begitu? Dia kenapa sebenarnya? Mengarut? Kalau tidak suka dengan kehadiran Juliesa, diakan boleh memilih untuk berada di dalam bilik sendiri sepanjang majlis itu berlangsung. Seketika kemudian, diamenggeleng. Mana boleh begitu. Nanti apa kata kawan-kawannya? Nampak gayanya memang gadis itu diperlukan sebagai temannya malam nanti.

Ila menggaru kepala. Masalah betul dengan mamat sorang ni. Tetapi dia boleh rasakan Hakimi memerlukan dirinya. Hendak tolong ke tidak? Dia memuncungkan bibir seketika dan masih berfikir. Dia memandang Hakimi. “Mungkin ke saya ditakdirkan jadi penyelamat awak agaknya?” tanya Ila sedikit berlagak. Terbayang muka Catwoman yang selalu bermasalah, namun sesekali membantu Batman secara senyap juga.

Hakimi tersengih. “Bukan penyelamatlah. Janganlah nak perasan pulak awak tu super womenyang boleh terbang sana sini. Saya mintak tolong aje.” Ke situ pula yang difikirkan gadis itu.

“Oh, tengoklah nanti,” balas Ila. Hilang perasaan mahu terjebak dalam permainan dirancang Hakimi. Siapa suruh belagak sangat? Mengaku sahajalah yang Hakimi perlukan perisai untuk berselindung daripada dikejar bekas kekasihnya itu. Dia mengalih pandangan ke depan. Lebuh raya yang lurus itu membuatkan Ila rasa perjalanan mereka yang tidak jauh mana itu semakin bosan.

Hakimi mencebik. Apasal dia ni suka sangat nak kenakan aku? Kalau dah jatuh cinta, cakap ajelah. Senang. Tak payah nak berdalih-dalih. Aku pun memang perlukan teman sekarang, omel hati Hakimi. Ila dipandang dengan ekor mata.

“Hmm... kita pergi butik kawan saya dulu. Nanti kita bincang lagi,” beritahu Hakimi. Agaknya kalau disogok Ila dengan pakaian cantik-cantik mesti hati budak baru hendak hidup ini akan menunaikan permintaannya.

“Buat apa?” Ila pandang Hakimi semula. Butik? Fuhhh, tempat pakaian berkualitilah tu, kan?

“Cari baju untuk awaklah,” jelas Hakimi.

“Tapi saya tak kata setuju nak pergi pun.” Ila berpura-pura menolak. Walhal dalam mindanya sudah terbayang baju yang cantik-cantik. Hehehe...

“Kan dah cakap tadi, nanti kita bincang lagi,” balas Hakimi perlahan.

“Hmm...” Ila menjeling. Sakit otak betul bercakap dengan Hakimi yang tiga suku ini. Dia memeluk tubuh.

Kurang lima minit, mereka sampai tempat yang dituju. Ila cepat-cepat membuka pintu dan keluar dari kereta. Ah, lega... nafas ditarik. Lapang dan tenang terasa. Cantiknya langit petang itu.

“Jom,” ajak Hakimi sekali lagi menarik hujung lengan baju Ila.

Kalau sudah diseret terpaksa juga Ila mengikut. Walau mukanya kelat diperlakukan demikian. Sampai di kaki lima deretan premis perniagaan seksyen 7, Shah Alam itu, Ila mula meradang. “Lepaslah! Awak ingat saya budak kecil ke? Tak tau nak jalan sendiri? Asyik-asyik kena seret aje. Saya tak lari pun!” marahnya. Dia tidak selesa diperlaku begitu sekali lagi. Hakimi bagaikan tiada perasaan.

“Saya nak kawan saya nampak kita macam kekasih.” Hakimi memandang Ila. Alang-alang berlakon, eloklah buat betul-betul sehingga penonton yang menonton tidak meraguinya. Barulah boleh menang awardnanti. Perangai mementingkan dirinya sudah datang.

Ila melemparkan pandangan geram. Mana ada kekasih yang berjalan begitu. Menyeret lengan baju seolah-olah kekasihnya anak kecil. Lelaki berjiwa tegang seperti Hakimi ini memang tidak romantik langsung! Malanglah gadis yang sudi menjadi kekasihnya. Entah kenapa bekas teman wanitanya itu hendak kembali kepada Hakimi? Ila tidak faham.

“Kalau iye pun janganlah seret saya macam budak kecil. Saya boleh jalan sendiri. Pasangan kekasih tak semestinya berkepit aje sepanjang masa. Kenalah jaga batas juga,” bebel Ila. Dia rimas.

“Nak sensitif sangat tu kenapa? Bukan saya buat bukan-bukan pun. Pegang hujung baju aje kot. Tak luak mana pun,” balas Hakimi. Dia memang jarang fikirkan perasaan orang lainlah, kecuali perasaan orang yang benar-benar dia sayang.

“Kepala otak awak!” marah Ila. Berani Hakimi berfikir seperti itu? Andai mereka suami isteri tak apalah jugak. Kalaulah ada bakal mak mertua yang berkenan mahu bermenantukan dia terlihat apa yang Hakimi buat tadi, tak ke dia direject tanpa belas kasihan.

“Apalah awak ni? Daripada tadi tak asyik nak maki saya macam tu. Cubalah sopan sikit kalau bercakap tu. Awak tu perempuan,” tegur Hakimi, mula hilang sabar. Semakin dia cuba hendak berbaik, semakin lancang pula mulut gadis itu. Eeii... tergugat juga barannya. Ada yang ditinggalkan sahaja di situ nanti. Balik sendiri baru tau!

“Saya tak sopan ke awak?” Ila tidak mahu mengalah.

Hakimi menarik nafas panjang. Dia kena banyak bersabar dengan gadis ini. “Saya minta maaf. Memang saya salah,” pintanya. Beralah.

“Maaf lagi? Buat salah aje minta maaf. Senang sangat, kan!” rungut Ila. Sakit hati mendengar Hakimi asyik minta maaf tetapi langsung tidak insaf. Cara berfikir Hakimi memang mudah. Semudah kehidupannya agaknya.

Hakimi mengukir senyum paksa. Apalagi yang hendak dikata? “Maaf tu penyelesai segala masalah.”

“Awak ni kan! Hisy, penatlah layan perangai tiga suku awak ni.” Ila buat muka orang hendak kena histeria pula.

“Salah awaklah, daripada tadi asyik nak marah saya aje!” protes Hakimi. Sekali lagi dia cuba menarik tangan Ila. Tetapi Ila sempat mengelak.

“Macam mana saya tak marah kalau awak asyik nak buat saya marah. Baru tegur dah nak buat lagi,” rengus Ila sambil menjeling tangan Hakimi. Kalau dia pandai kung fu, pasti sudah dipatah-patahkan jari Hakimi. Macam ketam!

“Ya, ya... saya tak buat dah,” kata Hakimi mendatar. Dia berjalan menuju ke salah sebuah butik yang berderet di bangunan berwarna-warni itu. Biarlah gadis itu mengikutnya dari belakang.

Ila menjeling sebelum membuntuti langkah lelaki itu.

Hakimi menolak pintu butik Blue Flower.

Seorang gadis manis menyambut kedatangan mereka. “Selamat datang. Boleh saya bantu.” Gadis itu tersenyum.

“Willy ada?” tanya Hakimi sambil berjalan menuju ke ruang tengah butik itu. Punggungnya dilabuhkan di sofa berpotongan ‘L’. Ini kali ke dua dia di situ.

Ila turut duduk di sebelah Hakimi. Matanya meliar melihat suasana butik yang bertemakan suasana romantik. Cat pada dindingnya menggunakan warna merah jambu, ungu dan kuning cair. Kertas dinding daripada corak bunga mawar berwarna biru yang cukup besar turut menghiasi dinding di belakang meja kaunter. Haruman lembut dari bunga blossom membuatkan suasana menjadi tenang dan selesa. Pandai pemiliknya mencipta ceria. Ila rasa tidak mahu pulang. Mahu tinggal di butik itu lama sedikit.

“Encik, tunggu sekejap, ya. Saya panggilkan.” Gadis itu menghilang ke tingkat atas.

“Willy?” tanya Ila. Matanya masih terpegun memerhati suasana butik itu dan lampu-lampu seperti bola kristal yang melingkari dinding. Mewah.

“Wilma. Tapi rakan-rakan di overseadulu panggil dia Willy. Nama glamor pereka fesyen,” jelas Hakimi.

Ila tersenyum faham. Agaknya kalau aku jadi pereka fesyen. nak kena tukar nama jugak ke? Tak perlu kot. Dikenali dengan nama sendiri yang tak glamor lagi menarik kot, gumamnya.

Hakimi mencuri pandang muka Ila yang berhias senyuman. Dibayangkan pula wajah itu selepas dimake over. Pasti cantik. Perempuan hodoh pun andai disolek menjadi jelita. Inikan pula gadis yang manis seperti itu.

Beberapa minit kemudian, muncul seorang gadis yang bertubuh kurus, tinggi lampai dan berkulit cerah.

Cepat-cepat Hakimi bangun menyambut kedatangan gadis itu dengan mesra. Dia bersalaman dengan Willy.

‘Sini bukan baratlah! Malaysia,’ cemuh Ila di dalam hati. Berpinar matanya melihat kemesraan dua orang sahabat lama tu. Dia mula menyimpulkan tindakan Hakimi tadi. Hakimi ini sudah terbiasa dengan budaya hidup barat rupanya. Ish, seram. Dia menelan liur. Tempat yang indah padanya tadi sudah bertukar panas. Dia tidak mahu berlama-lama di situ lagi. Nak balik.

“Hei, you mimpi ke?” ujar Willy dengan senyuman meleret.

Hakimi tergelak kecil. “Bukan mimpi.” Dia menarik Ila ke sisinya. “Perkenalkan, my princess,” beritahunya bersahaja.

Ila senyum paksa. Sakit hatinya dengan sikap Hakimi.

Really?” Willy memandang Ila dengan muka terkejut sambil menghulurkan tangannya.

Hakimi mengangguk.

“Siapa nama dia?” tanya Willy kepada Hakimi setelah Ila tidak memperkenalkan diri.

“Err...” Hakimi ternganga. Siapalah nama kekasih palsunya itu? Aduh! Gadis itu dipandang.

Ila buat muka tidak tahu.

Hakimi tiada pilihan. “Rabbita,” tipunya.

Ila angkat kening. Dia merenung Hakimi dengan seribu pertanyaan.

“Oh, nice name. Tapi pelik.” Willy buat muka tidak percaya. Apa punya namalah girlfriend Hakimi ini. “I call you Ita ajelah,” kata Willy sambil memandang Ila.

Ila terpempan. Hendak buka mulut tetapi tidak boleh. Ah, ini semua Hakimi punya pasal.

“Ita ni girlfriendyou yang ke berapa?” Willy memandang Hakimi yang memang dikelilingi ramai perempuan.

Hakimi tersengih. Dia pun tidak tahu yang ke berapa puluh. Sejak zaman remaja lagi, dia sudah bertukar ramai teman wanita sebelum bertahan empat tahun bersama Juliesa. Dia menjungkitkan bahu. Sedikit pun tidak menjaga hati kekasih palsunya itu.

Ila menelan liur. Memang lelaki tidak berperasaan betul Hakimi ni! Eh, tapi kenapa nak marah? Mereka bukan ada apa-apa pun. Hakimi yang seret dia dalam semua tu.

“Bukan senang nak dapatkan you,” ujar Willy sedikit menyindir. Agaknya kalau gadis bernama pelik itu mengimpikan Hakimi sebagai kekasih sehidup semati, elok dilupakan sahaja. Gadis itu tidak menepati kategori gadis impian Hakimi. Jauh panggang daripada api.

Hakimi hanya ketawa.

Ila hanya tersenyum sumbing. Terasa dipersenda Willy. Bertambah sakit hati dengan sikap Hakimi.

“Youdatang sini mesti nak minta pertolongan Ikan? Nak pergi mana?” Sebagai pereka fesyen merangkap perunding imej, Willy tahu keinginan pelangan yang datang ke butiknya. Hakimi pasti ingin mengubah penampilan gadis itu supaya bersesuaian dengan tempat atau majlis. Tetapi awas! Hakimi ini cerewet.

“Isuka dengan kehebatan you. You tolong carikan Rabbita pakaian yang sesuai untuk parti malam ni,” arah Hakimi. Lebih cepat urusan di situ selesai, lebih cepat dia boleh menguruskan hal lain.

Ila kerut kening. Rabbita? Apasal nama tu macam kelakar? Persoalnya dalam hati.

“Majlis tak rasmi. Cukup kalau dia nampak bergaya dan menarik,” sambung Hakimi.

“Okey,” balas Willy ringkas. Ila yang sudah bertukar menjadi Rabbita dipandangnya. “Jom, ikut I,” ajak Willy. Berniaga haruslah pandai mengambil hati pelanggan.

Ila mengangguk dan mengikut ke tempat simpanan pelbagai jenis gaun.

Willy mengambil lima helai pakaian untuk Ila cuba. Ila tidak membantah. Semua pakaian itu dicuba dan digayakan depan Hakimi. Tetapi makhluk cerewet seperti Hakimi asyik menggeleng sahaja. Ila masih sabar walaupun muka sudah letih. Sejam kemudian, Willy mengeluh kepenatan. Ila disuruh duduk berehat dahulu.

“Younak yang macam mana ni?” tanya Willy. Sikap Hakim membuatkan dia sakit kepala. Ini bukan lagi cerewet, tetapi sudah masuk kes hendak kena hentak dengan tumit kasut. Sudah 25 helai gaun digayakan Ila, Hakimi reject. Dia memicit dahinya.

Hakimi memandang muka Ila yang keletihan.

Ila menjeling ke tempat lain.

“You, sebenarnya apa yang you nak? Warna yang I suruh Ita pakai tadi you tak berkenan ke?” persoal Willy. Gaun yang dipersembahkan Ila semuanya dari rekaan yang terbaik. Entah apalagi yang tidak kena di mata Hakimi, Willy tidak pasti.

Setiap kali namanya dipanggil Ita, Ila kerut dahi. Hatinya kurang berkenan dengan nama itu. Namun dia tidak mahu membetulkan kesilapan itu. Hal itu masalah kecil sahaja. Mungkin kali itu sahaja dia dan Willy berkenalan, lain kali tidak. Memang tidaklah. Perlu apa dia ke situ lagi?

Hakimi memandang Willy. Ya, itulah masalah sebenarnya. Warna. Warna yang menjadi idamannya belum kena di mata. Dia mahukan sesuatu yang berada dalam fikirannya. “Semua gaun tu okey. But I want red color with blackish element,” beritahu Hakimi.

Willy duduk seketika sambil berfikir, di mana gaun begitu diletakkan? Dia bangun semula. Jarinya dipetik ke atas. Pandangannya dan Hakimi bertaut.

“Ita jom ikut I,” ajak Willy.

Ila tersenyum tawar dan mengikut langkah Willy dari belakang.

“Hakimi tu memang cerewet. Tapi baik hati,” beritahu Willy sebaik mereka sampai di tingkat atas.

Ila hanya tersenyum. Biarlah Hakimi hendak cerewet pun, dia bukan kesah pun.

Willy membuka sebuah kotak. Di dalamnya terdapat beberapa helai pakaian. Dikeluarkan pakaian itu lalu diletakkan di atas meja besar. Dua helai gaun berwarna merah diambil. Sehelai gaun labuh dihiasi dengan sulaman manik bewarna hitam dan sehelai lagi separas lutut, ditaburi dengan labuci dan manik hitam di dadanya serta berlinehitam seperti tali pinggang di bahagian pinggang.

Sekali lagi Ila terpaksa menjadi penyangkut baju. Gaun separas lutut itu disarung ke badan. Mata Willy menjadi terpegun melihat gaun itu nampak cantik dipakai Ila. Sesuai betul dengan susuk tubuhnya yang sederhana tinggi itu.

“Wow! Macam fairy tale,” puji Willy.

Ila hanya tersengih. ‘Betul ke dirinya macam tu? Mengarutlah tu sebab dah penat,’ omel hati Ila.

Sekali lagi mereka mengadap Hakimi.

Hakimi menyuruh Ila berpusing beberapa kali. Dia tersenyum. “Cantik. Isuka,” beritahunya puas hati.

Ila melepaskan nafas lega. Tugasnya sebagai model paksaan sudah berakhir. Bolehlah balik.

Willy juga tersenyum lega.

Yousalin dulu. Nanti Ibungkuskan,” arah Willy sambil memberi isyarat kepada pembantunya untuk membantu Ila. “Kim, you make a joke aje, kan? She’s not your girlfriend, right?” duga Willy.

Hakimi tersengih. “Why?

“Yalah… your tasteselalunyakan macam kucing Siam. LikeJuliesa,” jelas Willy. Terbayang-bayang aksi mengada Juliesa.

Hakimi buat senyum misteri. “Itu dulu… sekarang Inak yang macam Rabitta. Sweet,nakal, suci dan polos,” beritahu Hakimi sambil menaikkan sebelah keningnya.

Willy menggeleng. Sedikit pun tidak percaya dengan apa yang dicakapkan Hakimi.

Ila menghampiri mereka.

“Dah siap?” tanya Hakimi sebaik melihat beg kertas di tangan Ila.

Ila mengangguk tanpa perasaan.

Willy tersenyum sambil mengambil kad keredit yang dihulurkan Hakimi ke kaunter.

“Hmm... kenapa pandai-pandai bagi nama saya Rabbita?” tanya Ila sambil melihat Willy di kaunter.

Hakimi tergelak kecil. Dah susah sangat gadis itu hendak memberitahu namanya, dia bagilah nama. ‘Gadis arnab’ atau manjanya dipanggil Rabbita. Kedengaranlah bagaikan nama yang sesuai dengan manusia.

Ila menyiku perut Hakimi. Geram melihat Hakimi buat muka tersengih begitu.

Willy datang semula dan menyerahkan kad kredit Hakimi.

Thanks,” ucap Hakimi. “Kalau you senang malam nanti datanglah, ke rumah baru I. Mama I buat majlis sikit,” pelawa Hakimi.

Willy hanya tersenyum sambil membukakan pintu butiknya untuk Hakimi dan Ila keluar.

Ila dan Hakimi kembali ke kereta.

“Lepas ni kita pergi salon,” beritahu Hakimi yang sudah memandu keretanya.

Ila menoleh Hakimi. “Nak buat apa?”

Make overawaklah,” jawab Hakimi.

“Tak payah! Hantar saya balik,” tolak Ila tegas.

“Mana boleh macam tu?” Hakimi tidak puas hati. Tidak lengkaplah wajah Ila tanpa solekan.

“Boleh tak boleh, saya nak balik!” Ila tetap berdegil. Kerana Hakimi, hampir 30 kali dia keluar masuk bilik persalinan. Kalau diturutkan lagi, entah apa pula yang terjadi nanti. Mungkin sahaja bulu keningnya akan dicukur habis dan dilukis bentuk kening disukai Hakimi. Oh, tidak!

Hakimi sedikit terkilan. “Yalah, yalah... saya hantar awak balik dulu. Tapi awak kena janji?”

“Apalagi?” tanya Ila tidak puas hati.

“Janji awak akan tolong saya malam ni,” beritahu Hakimi.

“Kan saya dah cakap tadi, tengoklah nanti. Malaslah nak janji-janji,” tolak Ila. Itu jawapan selamat.

“Kalau tak nak tolong saya, kita balik nanti ajelah,” ugut Hakimi. “Nak janji ke tidak?” paksa Hakimi.

Ila melepaskan keluhan dan berpeluk tubuh. Hilang akal betul! “Okey...”setuju kata Ila tidak ikhlas. Memang terpaksa betullah.

Hakimi tersenyum. “Jangan mungkir janji?”

“Ya, ya... saya tak mungkir!” Ila tarik muka masam. Eiii...

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.