SUDAHempat hari keluarga Hanim berangkat ke Jakarta. Hanim sudah berpesan
dengan adik bongsunya agar menemani Ila di rumah. Tetapi kebetulan pula adiknya
itu terpaksa bekerja di luar kawasan.
Mak Leha hendak datang menemankan cucunya itu,
tetapi Ila melarang. Dia tidak mahu neneknya berseorangan di rumah sewaktu dia
bekerja.
“Awak... malam nanti kita keluar makan,” ajak
Hakimi.
Ila kemam bibir. Berfikir seketika. “Hmm...
tengoklah nanti,” jawab Ila. Dia tidak tahu kenapa badannya berasa tidak sihat
secara tiba-tiba. Dari tadi dia asyik terbatuk dan bersin sahaja. Mungkin dia
sudah dijangkiti virus flu.
“Okeylah. Apa-apa nanti mesej tau,” pesan Hakimi
sebaik Ila turun daripada keretanya.
Ila tersenyum malas dan mengangguk. Masuk sahaja
ke dalam rumah, dia terus berbaring di sofa. Tubuhnya tidak larat hendak meniti
anak tangga ke tingkat atas. Tulang dalam badanya sudah mula terasa
sengal-sengal.
“Dah lama tak demam ni,” keluh Ila. Dia merasa
dahi sendiri. “Panas betul. Harap kejap lagi elok.” Mata dipejamkan dan dia
tertidur.
TIGA
jam berlalu... Ila tersedar daripada lenanya. Dia membuka mata perlahan-lahan,
tetapi semuanya kelihatan gelap. Kenapa? Dia sudah berpindah ke dalam gua ke?
Atau sebenarnya dia masih belum bangun daripada tidur lagi. Dia masih di alam
mimpi.
Hah, parah! Rohnya tidak puas merayap lagi dan
belum mahu masuk ke jasad semula. Ila mencubit lengan sendiri. Sakit. Dia
bangun dan terus duduk. Matanya melihat sekeliling. “Memanglah gelap. Lampu tak
buka lagi,” omelnya. Dia bangun mencari suis lampu.
Badan yang masih panas dan kepala yang semakin
sakit memaksa Ila mencari panadol yang tersimpan dalam kabinet dapur.
“Doktor kata kalau makan ubat dengan perut
kosong akan rosakan usus. Tapi aku dah tak larat nak masak ni. Telan ajelah.”
Dua biji panadol bersama segelas air kosong meluncur masuk ke kerongkong Ila.
Sesudah itu dia naik ke tingkat atas. Bimbang demamnya melarat dan akan
menyusahkan orang lain terutama sekali neneknya, Ila hanya membasahkan kepala
dan menukar pakaian sebelum menyambung tidur. Pagi esok kalau tidak sembuh, dia
akan ke klinik.
BERKALI-KALI Hakimi menjenguk ke balkoni. Ke manalah Ila pergi? Dia mula risau.
Mesej yang dihantar tidak berbalas, telefon pun tidak berjawab. Bilik Ila
kelihatan gelap. Takkan gadis arnab itu sudah tidur?
Tidak puas hati, nombor telefon Ila
dihubungi lagi. Sama juga, tidak dijawab.
Hakimi merengus hampa. Mungkin Ila sudah keluar
makan malam bersama Andrew. Pintu kaca ditarik kasar. Tubuhnya dihumban ke atas
tilam. Geramnya.
Dia yang mengajak Ila keluar makan tetapi Andrew
pula yang diberi keutamaan. Tanganya menghentak tilam beberapa kali. Ila punya
pasal, nafsu makannya hilang. Biarlah dia puasa malam itu. Esok pagi-pagi dia
hendak menayang muka kasihan pada Ila. Dia hendak memaksa gadis arnab itu
mengganti makan malamnya ini dengan menemaninya bersarapan pagi esok.
JAMloceng
yang lantang menjerit membangunkan Ila daripada tidurnya. Perlahan-lahan
matanya dibuka dan tangan mencapai jam itu. 6.15 pagi. Dia mengeluh. Tubuhnya
semakin tidak larat hendak bangun dari katil tetapi digagahi juga.
Usai menunaikan solat, dia bersiap mahu ke
pejabat. Teringat gaun baru rekaan Pasio yang masih belum disimpan semalam.
Semuanya kerana Hakimi terlalu mengesanya untuk cepat pulang. Agaknya kalau
gaun itu hilang, habislah gajinya dipotong sebagai bayaran ganti rugi. Itupun
belum tentu cukup.
Ila melangkah ke tingkat bawah dalam keadaan
tubuhnya yang mengigil dan terhuyung-hayang. Dia masuk ke dapur, mencari
Panadol lagi. Kemudian ke pintu utama. Pintu dibuka. Kasut dari rak kasut
diambil. Ketika berpusing mahu duduk di muka pintu, dia terjatuh dan tidak
sedarkan diri.
Hakimi yang agak lewat menjemput Ila pagi
itu menekan hon kereta beberapa kali. Tekanan betul dirasakan kerana Ila tidak
juga muncul-muncul. Sudahlah pagi itu dia ada mesyuarat bersama anak buahnya.
Ingat senang ke tugasnya sebagai pegarah kreatif di Maniera?
“Ya ALLAH, manalah dia ni? Aku dah lambat ni.
Karang meletop pulak Kak Mira tu.” Hakimi turun dari kereta dan meninjau ke
dalam pagar rumah Ila. Dia memanggil nama Ila. Penat memanggil dia menghubungi
telefon bimbit Ila pula. Tiba-tiba dahinya berkerut. Telingnya menangkap bunyi
telefon bimbit Ila tidak jauh dari situ.
Ila ni nak main-main ke? Gumam Hakimi. Kepala
dijenguk lebih dekat di celah-celah pintu pagar rumah itu. Pandangannya
terhenti pada objek yang terselit di antara daun pintu yang terbuka sedikit.
Dia mengerut dahi. Dia rasa benda itu seperti tubuh manusia. Dadanya mula
berdebar. Ila!
“Apa nak buat ni? Panjat pagar nampak macam
pencuri pulak,” tanyanya pada diri.
“Aku tak pernah panjat pagar rumah orang ni.”
Hakimi mencuri pandang ke dalam lagi.
“Ah, pagar ni bukan senang nak dipanjat. Licin!”
Hakimi memerah otak memikirkan apa tindakan pantas yang boleh dilakukan untuk
masuk. Mama! Hakimi cepat-cepat menghubungi Puan Alia.
Dari pintu belakang, Puan Alia terus berlari ke
situ. Tercungap-cungap dia mendapatkan Hakimi. “Kenapa, Kim?”
“Ila tak keluar-keluar, ma. Tapi cuba mama
tengok tu.” Hakimi menarik lengan mamanya sikit.
“Ya ALLAH,” jerit Puan Alia sambil menekup
mulutnya. Apa yang terjadi dalam rumah jirannya itu? Siapakah yang terbaring
itu? “Kim, buka pintu ni dulu. Kita masuk tengok,” arah Puan Alia cemas sambil
mengeluarkan anak kunci yang ditinggalkan Hanim kepadanya. Hanim berpesan
supaya dia menolong menghidupkan lampu jika Ila terlewat pulang dari pejabat.
Hakimi menurut. Seketika kemudian mereka berlari
masuk ke dalam. Hakimi medekati tubuh yang terbaring itu.
“Ma, Ila... ma,” ujar Hakimi terkejut. Segera
kepala Ila diangkat ke pangkuannya.
Puan Alia mencangkung dan menyentuh tubuh Ila.
“Panas Kim. Mama rasa dia demam. Elok bawa ke hospital dulu,” beritahu Puan
Alia dengan cemas.
“Mama ikut sekali,” pinta Hakimi yang sudah
mencampung tubuh Ila ke dalam kereta.
Puan Alia mengangguk.
PUAN ALIAmemerhatikan Hakimi yang resah gelisah. Anak itu tidak senang duduk
langsung. Asyik ke hulu, ke hilir. Rimas dia memandangnya.
Telefon bimbit Hakimi berbunyi. Hakimi menyeluk
saku dan melihat skrin telefon bimbitnya. Dia mengeluh. Dalam keadaan begitu,
dia memang tidak boleh fokus dengan kerjanya.
“Helo,” jawab Hakimi sedikit menengking. Dia
benar-benar terganggu dengan panggilan itu.
“Kim, kenapa tak sampai lagi ni?” Suara Mira.
“Tundakan dulu mesyuarat tu. Kim ada hal
kecemasan,” beritahu Hakimi. Dalam kepalanya hanya ada satu perkataan sahaja
yang mahu difikirkan. Ila.
“Kim, jangan nak bagi akak masalah. Mesyuarat ni
penting. Petang nanti kita kena bagi keputusan kat penaja,” desak Mira.
“Masalah apa? Kim kat hospital. Kalau sekarang
tiba-tiba Kim sakit nak mati, nak kena pergi mesyuarat dulu baru mati ke?”
persoal Hakimi. Dia tidak peduli apa pun yang akan terjadi dengan mesyuarat itu
nanti.
“Taklah. Tapi tak pasal-pasal pagi ni masuk
hospital, kenapa?” Mira cuba mencari punca.
“Ila pengsan tadi,” beritahu Hakimi. Rasanya
jawapan itu sudah cukup untuk buat Mira mengerti betapa perlunya dia berada di
situ.
Mira mengeluh. “Kim, Kak Mira tak sukalah benda
bodoh macam ni menjejaskan kerja kita. Kim tinggalkan dia kat situ dulu dan
datang pejabat sekarang!” marah Mira.
“Benda bodoh Kak Mira cakap? Kak, dia amat
penting buat Kim,” marah Hakimi. Tersentap hatinya mendengar kata-kata Mira.
Ila tu benda bodoh ke? Hakimi naik geram.
“Kim, Kak Mira dah cakapkan, akak tak nak hal
berkaitan perasaan Kim bawa masuk pejabat. Kim kenalah profesional!” marah
Mira.
Hakimi bertambah panas hati. “Okey kalau macam
tu, hari ni Kim cuti kecemasan!” Telefon bimbit terus dimatikan. Biar Mira
tidak dapat menghubunginya lagi. Sedap mulut sahaja mahu mendesaknya.
Puan Alia menyentuh bahu Hakimi. Cuba meredakan
kemarahan anaknya itu.
Hakimi memandang mamanya. “Susah sangat ke Kak
Mira nak faham masalah Kim,” adunya.
Puan Alia mengukir senyuman memujuk. “Dia bukan
tak faham... dia faham. Tapi ini soal syarikat, Kim. Soal tanggungjawab,” pujuk
Puan Alia lembut. Dia sedar sikap ambil berat Hakimi pada Ila itu agak luar
biasa. Juliesa yang pernah dimasukkan ke hospital kerana kemalangan kecil dulu
pun Hakimi tidak kisah hendak melawat.
Hakimi mengeluh.
“Kim, pergilah pejabat. Selesaikan apa yang
perlu. Biar mama tunggu Ila. Ada apa-apa nanti, mama telefon Kim,” pujuk Puan
Alia lagi.
Hakimi merengus. Dia memejam mata. Antara
syarikat dan Ila, susah betul mahu memilih. Dia berfikir sejenak. Selepas itu,
dia mengangguk.