Home Novel Cinta Gadisku Rabitta
Bab 35

RENUNGAN Puan Alia yang terlalu lama membuatkan Hakimi tidak selesa. Apa yang membuatkan mamanya kelihatan begitu resah? “Cakaplah, ma,” pinta Hakimi tidak sabar.

Puan Alia tersenyum kelat. “Sebenarnya... Kim bukan anak kandung mama.”

Hakimi mengerut dahi. “Mama, janganlah nak bergurau,” sangkalnya. Senyum tidak percaya dilemparkan. Tidak mungkinlah hanya kerana bersikap kurang ajar terhadap Rosmini, mamanya mahu menyisihkan dirinya.

Puan Alia terus menatap muka Hakimi. Berat rasa hatinya hendak mengakui semua itu. Terbayang-bayang wajah ibu kandung Hakimi di matanya. Wanita itu lemah lembut tetapi hebat dalam membina kerjaya. Baik hati tetapi sering diperdaya dengan sikap hidung belang suami mereka.

“Maafkan mama, Kim,” pinta Puan Alia sayu. Dia tidak main-main dengan apa yang disampaikan. Rahsia itu tidak harus menjadi rahsia lagi.

Hakimi terdiam. Buntu mahu bersuara. Hatinya sedikit pun tidak percaya dengan semua itu. Tetapi riak wajah Puan Alia bersungguh menyatakan itulah kenyataannya. Hakimi terus memandang Puan Alia.

“Kalau Kim bukan anak mama, bererti Kim juga bukan anak papa, kan ma?” tanyanya perlahan walau hati berasa sedikit berat. Apa yang harus dilakukan andai jawapan Puan Alia, ya. Itu bererti selama ini dia sudah menjadi manusia tidak sedar diuntung. Berani pula dia memusuhi Encik Harun dan membantah setiap permintaan Puan Alia. Aduhai... tidak sanggup untuk difikirkan kenyataan itu. Dia malu.

Puan Alia tersenyum tawar dan menggeleng.

Gelengan Puan Alia buat Hakimi keliru. “Tapi peliknya kenapa dalam surat beranak Kim tertulis nama mama dan papa?” Dahinya dikerutkan.

Puan Alia tahu Hakimi keliru tetapi bukan silap sijil kelahiran itu dicatat begitu. “Kim anak kandung papa, tapi bukan dengan mama,” beritahu Puan Alia. Hatinya merasa sakit mengakui semua itu. Jika boleh dia langsung tidak mahu Hakimi tahu apa kebenarannya, tetapi tidak boleh. Sekali lagi perasaanya harus dikorbankan demi masa depan Hakimi. Dia menyayangi anak itu seperti anak-anaknya yang lain. Jika tidak masakan dia rela bersengkang mata membesarkan Hakimi bagaikan menatang minyak yang penuh. Dia tinggalkan Maniera untuk memastikan keperluan anak itu sempurna sehingga dewasa.

Hakimi menjongketkan kening. Bertambah misteri kisahnya.

“Kim, anak isteri papa sebelum Rosmini. Nama ibu Kim dan mama sama,” jelas Puan Alia.

Hakimi memandang Puan Alia. Langsung tidak percaya selama ini dia dibesarkan oleh ibu tiri. Bertambah tidak percaya dirinya dibesarkan seperti anak sendiri dan selalu dimanja lebih daripada abang-abangnya. Mulia sungguh wanita yang menjadi ibunya itu. Sedikit pun dia tidak merasakan dia bukan anak kandung Puan Alia.

“Tapi beza ejaan nama mama dan ibu Kim pada huruf akhirnya. Ejaan nama ibu Kim berakhir dengan huruf H sedangkan nama mama berakhir dengan huruf A,” jelas Puan Alia.

Hakimi menelan liur. Boleh pula bapanya berkahwin dengan dua orang wanita yang punya nama sama. Dia langsung tidak sedar semua itu. Sangkanya selama ini itu hanya kesilapan ejaan.

“Ma, papa ceraikan ibu Kim sebab nak kahwin dengan perempuan tu ke?” duga Hakimi. Kalau itu kebenarannya lagilah dia benci hendak memandang muka Encik Harun dan Rosmini.

Puan Alia menggeleng. “Bukan. Papa Kim dan Rosmini bernikah selepas ibu Kim meninggal dunia.” Sebak dada Puan Alia mengenangkan peristiwa lalu.

Hakimi membesarkan mata. Patut sahaja pertengkaran tempoh hari Puan Alia ada menyebut tentang kematian ibu kandungnya. Tidak sabar dia mahu mendengar cerita selanjutnya. Apakah yang berlaku kepada ibu kandungnya? Kerana perempuan bernama Rosmini itu juga ke?

“Maafkan mama sebab terlambat selamatkan ibu Kim. Kalau mama tak lewat petang tu... mesti ibu Kim masih ada dan Rosmini tidak menjadi sebahagian daripada keluarga kita,” keluh Puan Alia. Bertahun-tahun dia dibayangi perasaan kesal kerana terlambat menyelamatkan ibu Hakimi. Semua itu terjadi kerana dia sibuk ke salon mendandan rambut. Sedangkan dia sudah berjanji mahu menemani ibu Hakimi yang tinggal berseorangan petang itu. Kelewatan itu menjadi kesal seumur hidupnya, kelewatan itu juga telah membuka peluang Rosmini menjadi duri dalam keluarga mereka

SELESAI mendandan rambut, Puan Alia bergegas ke rumah madunya. Masuk sahaja ke halaman rumah, dia melihat kereta Encik Harun terpakir di situ. Hatinya sedikit lega kerana suami mereka masih belum terbang ke luar negara. Tidaklah madunya yang sedang sarat mengandung itu keseorangan.

Madunya itu enggan mengambil pembantu rumah kerana rumah itu hanya digunakan untuk tidur sahaja. Masa madunya banyak dihabiskan di pejabat. Dengan senyuman kecil Puan Alia melangkah ke pintu utama.

“Youuu...”

Jeritan itu membuatkan Puan Alia cemas. Dia berlari masuk. Melalui pintu utama yang terbuka luas, dia terpandang Encik Harun memangku tubuh madunya yang terkapar tidak berdaya di kaki tangga.

Encik Harun terkejut melihat kehadiran Puan Alia. Pucat mukanya.

Puan Alia menghampiri mereka dengan perasaan cemas dan curiga. Mulutnya terlopong melihat cecair merah mengalir daripada celah kangkang madunya.

“Abang! Apa dah jadi ni?” Puan Alia takut melihat keadaan itu. Dia memandang madu dan suaminya silih berganti. Pelbagai persoalan bermain di mindanya.

“Lia... to... tolong selamatkan anak saya...” rayu madunya. Darah merah kelihatan keluar dari celah bibir wanita itu.

Puan Alia yang kaget hanya mengangguk.

“Bang... cepatlah bawa Cik Aliah pergi hospital,” desaknya.

SEMENTARA menunggu madunya menjalani rawatan, Puan Alia merenung tajam Encik Harun yang duduk memeluk lutut atas bangku panjang di ruang menunggu hospital itu.

“Apa abang dah buat pada Cik Aliah?” tanya Puan Alia. Masalah apa lagi yang menyebabkan semua itu terjadi? Setahunya syarikat suaminya sudah pulih dari masalah kewangan. “Abang ada niat tak baik pada dia ke?” tanya Puan Alia separuh berbisik.

Encik Harun mengangkat muka. Tersentak mendengar pertanyaan itu. “Tak...” Kepala digeleng beberapa kali. “Abang langsung tak ada niat macam tu.”

Puan Alia merengus tidak percaya. Bukan dia tidak tahu niat asal Encik Harun mengahwini anak tunggal majikannya itu. Semuanya kerana wang ringgit. Argh... kerja gila!

“Abang nak bolot harta dia, kan? Sebab tu abang nak bunuh dia,” tuduh Puan Alia.

Encik Harun membesarkan mata. “Tak Lia... abang tak pernah fikir nak buat macam itupun,” nafinya sedikit cuak.

“Mungkin betul, abang kahwin dengan dia sebab nak selamatkan syarikat daripada muflis. Tapi abang tak kejam. Abang sayang dia,” beritahu Encik Harun.

Apa yang terjadi itu memang salahnya. Mereka bertengkar setelah Cik Aliah mendapat tahu penipuannya. Dia bukan mahu ke luar negara kerana urusan syarikat, tetapi dia mahu bercuti dengan Rosmini, gadis kelab malam yang baru dikenali. Cik Aliah tidak mahu mengorbankan gilirannya semata-mata membiarkan Encik Harun berseronok dengan perempuan yang tidak halal.

Ketika Cik Aliah mengejar Encik Harun yang sudah pun sampai separuh anak tangga tingkat bawah banglo dua tingkat mereka, Cik Aliah tergelincir dan berguling jatuh. Encik Harun tidak sempat berbuat apa-apa.

Puan Alia tersandar mendengar penjelasan itu. Dia termenung seketika. Tergamak suaminya bertindak mengikut nafsu. “Kenapa abang kejam sangat? Tak cukup ke Lia aje yang abang seksa selama ni?”

Encik Harun mengeluh.

Jururawat bertugas datang meminta Encik Harun menurunkan tandatangan atas dua helai borang. Cik Aliah harus dibedah segera.

30 minit kemudian, jururawat tadi datang semula sambil menyorong katil bayi ke arah Encik Harun dan Puan Alia.

“Tahniah! Encik dapat bayi lelaki,” beritahu jururawat itu.

“Encik boleh azankan bayi ni di surau sebelah kanan bilik tu,” arah jururawat itu pula.

Encik Harun mengangguk.

Puan Alia memandang sayu wajah bayi itu. Andai apa-apa terjadi kepada ibu bayi itu nanti bagaimana? Tangan kecil itu disentuh dengan rasa sayang.

Hati Puan Alia berdetak tidak enak rasa. Dia memandang wajah jururawat tadi. Ada sesuatu mahu ditanyakan, namun jururawat itu lebih dahulu membuka mulut.

“Puan, ibu bayi ni nak jumpa puan,” beritahu jururawat itu kemudian.

Encik Harun memandang Puan Alia. Isyarat mata supaya Puan Alia memenuhi permintaan itu.

Puan Alia mengangguk dan segera ke bilik yang ditunjukkan jururawat itu. Perlahan pintu bilik ditolak. Katil madunya dihampiri. Dia melihat wanita malang itu terbaring sambil matanya merenung dinding. Ada kesan tangisan dicelah mata itu.

“Cik Aliah,” sapa Puan Alia sambil mengenggam tangan madunya.

“Saya dah tak ada banyak masa lagi. Tolong jagakan anak saya macam anak awak sendiri,” pinta Cik Aliah perlahan. Air matanya bercucuran ke pipi. Sebak perasaan seorang ibu yang terpaksa meninggalkan anaknya sendiri di dunia ini. Mahu mengharapkan suaminya, jelas-jelas lelaki itu tidak berguna. Hanya tahu menyeksa hati perempuan sepertinya sahaja. Dia benci suaminya itu.

“Tolong pasti kan dia jadi lelaki yang bertanggungjawab. Jangan mewarisi sikap berfoya-foya ayahnya,” pesan Cik Aliah lagi. Sampai nafasnya yang terakhir pun dia takkan memaafkan Encik Harun.

Puan Alia mengangguk hiba. Bercucuran air matanya. Dia langsung tidak tahu bagaimana anak tunggal hartawan itu boleh terjerat dalam permainan cinta Encik Harun. Sedar-sedar mereka sudah pun bernikah. Namun, gadis polos seperti Cik Aliah bukannya bodoh. Dia membantu syarikat Encik Harun bukan dengan percuma. Syarikat itu dibeli untuk menyuntik modal baru dan Encik Harun dikekalkan sebagai pengarah dengan pegangan saham lebih sedikit.

Setelah meninggal dunia. Cik Aliah mewasiatkan Puan Alia dan Encik Harun sebagai penjaga hartanya sehingga satu-satu anak lelakinya berkahwin. Selepas Hakimi berkahwin, semua harta dan syarikatnya harus diserahkan kepada Hakimi sepenuhnya.

“Lia... tolong namakan anak saya Hakimi. Semoga bila besar nanti dia akan menghakimi semua perbuatan ayah dia dan perempuan tu terhadap saya,” pesan Cik Aliah penuh dendam. Hatinya takkan tenang selagi perempuan itu bersenang-lenang menikmati kekayaannya. “Tolong sayang dia untuk saya Lia,” pintanya lagi. “Jangan biarkan dia terasa kehilangan kasih ibu. Tolong, Lia...” Cik Aliah semakin lemah. Nafasnya turun naik.

“Ya, saya janji akan jaga dia baik-baik.” Puan Alia menangis lagi.

Dalam keadaan semakin nazak Cik Aliah mengukir senyuman. Puan Alia membisikkan kalimah suci ke telinganya. Cik Aliah pergi buat selamanya.

HAKIMI menyapu air mata yang mengalir. Dia langsung tidak mampu menahan titisan itu daripada mengalir. Kisah ibunya sangat menyentuh perasaan. Dia merasakaan kelukaan itu. Dia pasti akan menunaikan permintaan akhir ibunya itu. Tidak semena-mena, tubuh Puan Alia terus dipeluk. Mana dia mahu mencari seorang wanita yang sanggup membesarkan anak madunnya sendiri seperti anak sendiri.

“Maafkan Kim, ma. Kim selalu sakitkan hati mama,” pinta Hakimi.

Puan Alia turut menangis dan memeluk Hakimi. “Mama sayang Kim bukan kerana harta yang ditinggalkan ibu Kim. Tapi sebab Kim anak mama,” ujar Puan Alia. Selain daripada amanah yang ditinggalkan Cik Aliah, dia langsung tidak punya niat lain. Andai Hakimi menghargai susah payahnya selama ini, itulah hadiah paling indah dalam hidupnya. Andai sebaliknya, dia terima takdir itu.

“Kim... sekarang mama ada dua permintaan,” beritahu Puan Alia sebaik pelukan mereka leraikan.

Hakimi memandang Puan Alia. Apa sahaja demi wanita yang sudah memberinya sepenuh kasih sayang dan kehidupan yang baik itu rela dilakukan. “Cakaplah, ma. Kalau Kim mampu, Kim akan buat,” ujar Hakimi.

Puan Alia tersenyum. “Bukan untuk mama, tapi untuk Kim,” beritahunya. “Mama tak nak Kim berdendam dengan papa dan Rosmini atas apa yang dah jadi,” pinta Puan Alia.

Hakimi menjongketkan kening. Dia melemparkan pandangan tidak faham. Wajarkah mereka yang sudah menyebabkan kematian ibunya dimaafkan begitu sahaja? Bukan itu sahaja, kerana mereka juga kehidupan Puan Alia terseksa. Hakimi tertunduk tanpa jawapan.

“Kim, dendam takkan selesaikan persengketaan. Ada cara lebih baik untuk menghukum mereka,” pujuk Puan Alia.

“Tapi ibu Kim kan nak Kim Hakimi mereka?” soal Hakimi keliru.

“Betul. Tapi itu permintaan dia dalam perasaan marah. Sebagai anak, Kim mesti tak mahu ibu Kim sengsara menanggung seksa kerana permintaan terakhir dia, kan?” ujar Puan Alia.

Hakimi mengangguk.

“Mama tahu Kim anak yang baik. Bijak. Jadi buatlah sebaiknya,” nasihat Puan Alia.

Hakimi terdiam seketika.

“Baiklah, ma. Kim cuba.”

Puan Alia tersenyum. Dia tidak mahu memaksa. Dia yakin Hakimi akan bertindak sewajarnya.

“Permintaan mama yang kedua... mama nak Kim belajar selok-belok syarikat sebaiknya sebelum Kim berkahwin dan ambil alih semua hak Kim. Jangan berfoya-foya macam papa dan buang masa. Kalau nak kahwin, cari gadis yang baik-baik. Yang betul-betul boleh membahagiakan Kim. Lebih baik lagi kalau dia boleh menjadi pendorong kerjaya masa depan Kim,” ujar Puan Alia.

Hakimi mengangguk. Berat tanggungjawab yang harus digalas.

Previous: Bab 34
Next: Bab 36

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.