Home Novel Cinta Gadisku Rabitta
Bab 36

SEMENTARA menunggu Andrew menyimpan buku yang mereka beli tadi, Ila duduk di atas bangku kayu di halaman rumah Puan Weandy. Dia menyanyi kecil. Senangnya hati dapat keluar dengan Andrew. Novel yang dibelikan Andrew dikeluarkan dari plastik.

Muka surat pertama diselak. Dalam mood hati kembang bagaikan bunga itu elok juga menghayati novel cinta yang dibeli. Manalah tahu ada tip bercinta yang berguna. Hehehe... bolehlah dia buat Andrew mengucapkan I love you lebih cepat.

Tiba-tiba dia teringat Hakimi. Aiseh... mamat tu selalu potong mood. Novel ditangan ditutup kembali. Dia teringat pertemuan mereka malam tadi. Agaknya Hakimi serius ke dengan syarat yang diberikan? Berapa banyakkah pula syarat yang ada dalam kepala Hakimi? Huh! Ila terasa seperti hendak pergi ke rumah Hakimi waktu itu juga.

ANDREW meletakkan beg kertas berisi buku yang dibelinya di atas meja tulis di dalam biliknya. Sesudah itu dia segera ke tingkat bawah. Sebelum mendapatkan Ila, dia masuk ke dapur terlebih dahulu.

“Mummy,” sapa Andrew.

“Hmm,” balas Puan Weandy yang sedang sibuk memasak bubur kacang merah sebagai manisan buat minum petang mereka sebentar lagi. Dia jarang-jarang berada di rumah. Tetapi jika tidak sibuk di SPAnya, itulah rutin di rumahnya. Rumah mereka tiada pembantu rumah kerana setelah Andrew dan kakaknya dewasa Puan Weandy lebih suka mengendalikan urusan rumah tangga sendiri.

Andrew membuka peti sejuk. Dua kotak minuman perisa Laici dikeluarkan.

Puan Weandy memerhati. “Kau bawak balik kawan?” tanyanya.

Andrew mengangguk. “Tadi saya keluar dengan Ila. Dia kat luar,” beritahu Andrew dengan muka riang.

Puan Weandy diam. Ada riak kurang senang di mukanya sebaik mendengar nama itu disebut. Dia bukan membenci persahabatan anaknya dengan gadis itu, tetapi dia bimbang. Bimbang apa yang difikirkan terjadi. Sebelum apa yang berada dalam kepalanya terjadi, elok rasanya dia melakukan sesuatu.

Andrew terus berlalu mendapatkan Ila yang dari tadi menantinya di halaman rumah.

Puan Weandy melihat langkah anaknya itu dari belakang. Dia sedikit mengeluh. Resah menjentik hatinya lagi.

“AMOI. Sorry, lama kena tunggu,” sapa Andrew sambil menghulurkan satu kotak minuman kepada Ila.

Ila tersenyum. Kotak minuman di ambil dan dengan pantas penyedut ditanggalkan. Sekejap sahaja dia sudah menyedut minuman itu. Kemanisan jus laici itu meresap ke tekak dan memberi rasa nikmat buah sebenar. Ila meletakkan kotak yang masih berisi minuman itu ke atas meja besi berbentuk bulat di hadapannya itu.

“Terima kasih sudi keluar hari ni,” ucap Andrew.

Ila tersenyum lagi. Andrew tidak perlu berterima kasih pun, dia memang sudi menemani lelaki itu jika ada masa. Bersama Andrew dia dibuai rasa gembira yang luar biasa. Perasaan pertama yang menjalar dan meresap dalam hatinya dan dia sedar itu yang dinamakan cinta. Namun, cinta ini baru menyapa sahaja, belum benar-benar bertapak dalam hatinya. Jadi... dia harus bersabar lagi.

“Sebelum saya sibuk dengan kuliah macam awak, bolehlah saya teman awak,” balas Ila.

Andrew tersenyum. Dia tahu tidak lama sahaja lagi keputusan SPM akan diumumkan. Singkat sangat masa mereka dapat bersama. Muka Ila direnung seketika. Tidak tahu kenapa dia menyukai gadis itu sedangkan merekaberlainan bangsa. Mungkin antara mereka ada keserasian.

Ila naik malu pula direnung begitu. Hisy, merah pipinya. Dia petik jari, mengembalikan Andrew ke alam nyata.

Andrew tersenyum lagi.

Ila angkat-angkat kening.Hendak tahu apa yang difikirkan Andrew. Manalah tahu hati Andrew sehati dengannya. Senang cerita. Tidak perlu lagi menyimpan harapan dan menyembunyikan rahsia hati.

Andrew tersipu. “Saya suka kawan dengan awak.”

Ila tersengih. Ayat yang sama pernah dicakapkan Hakimi,

“Ila...” panggil Andrew sambil memandang tepat ke mata Ila. Mata itu cantik mempersona walaupun sederhana besar. Jantung Andrew terus berdegup laju. Sesungguhnya rasa hati sendiri tidak boleh dinafikan lagi. Ya, dia sudah jatuh cinta. Dia mencintai gadis itu. Mungkinkah cintanya akan dibalas, atau dia akan kehilangan gadis itu sebaik menyuarakan hasrat di hati?

Ila mengetap bibir dan menundukkan kepala. Dia memaniskan muka. Menunggu Andrew meluahkan rasa hatinya.

“Hmm...”

“Andrew...” panggil Puan Weandy tiba-tiba.

Ila mengukir senyuman sebagai penganti ucapan selamat. Puan Weandy membalas mesra.

“Ada apa mummy?” Andrew sudah bangun mendapatkan Puan Weandy.

Ila memerhati langkah Andrew. Dia bangun, mengambil beg sandang yang dibawa tadi dari atas sebuah lagi kerusi besi. “Andrew, saya balik dulu,” laung Ila. Hilang perasaan gembiranya hendak duduk di situ lebih lama. Beg plastik berisi novel dibimbit.

Andrew berpaling. “Okey,” balasnya sambil membuat isyarat telefon dengan tangan.

Ila mengangguk dan tersenyum.

Puan Weandy memerhati dengan rasa kurang senang. Namun, mukanya dimaniskan.

“Balik dulu, auntie,” laung Ila sambil tangannya membuka pintu pagar kecil.

Puan Weandy tersenyum.

Ila terus masuk ke dalam rumhnya. Dia berbaring di atas katil, melepaskan penat. Ah, selesa. Lama juga dia dan Andrew keluar. Naik lenguh kakinya tawaf satu JJ tadi. Ila cuba memejamkan mata seketika. Tiba-tiba dia terdengar suara Hakimi menyanyi.

“Aik, tak kerja ke mamat tu?” tanya Ila. Hari ni hari Sabtu.Selalunya, mamat tu bekerja. Dia pantas bangun dan keluar ke balkoni.

“Hai,” tegurnya sebaik berada di balkoni.

Hakimi sekadar memandang. Gitar di tangan terus dipetik.

“Orang tegur tak nak jawab, sombong,” protes Ila. Muka Hakimi dipandang dengan tepat. Geram pula hatinya dilayan acuh tidak acuh seperti itu. Dia merajuk lagi nanti baru Hakimi tahu.

Hakimi berhenti memetik gitar. “Bukan sombong. Tengah hayati lagu.”

Ila tersengih. “Hayati lagu sedih?” Dia tidak tahu lagu apa yang dinyanyikan Hakimi, tetapi rangkap lagu itu kedengarannya mendayu dan pilu.

Hakimi sengetkan mulut. “Susah sangat nak nampak bintang. Sedihlah...”

Ila tergelak manja. “Bintang apa siang-siang macam ni?” tanyanya sambil mendongak ke langit. Awan masih cantik, putih bersih seperti kapas dengan kepulan bentuk-bentuk yang pelbagai. Luas benar laut angkasa itu.

“Ada. Awak aje yang tak nampak,” balas Hakimi.

Ila menggaru kepala. Ada ke bintang di siang hari? Adalah agaknya. Sebab langit cerah tu yang tak nampak, bicaranya dalam hati. “Tak kerja ke hari ni?” tanya Ila tidak mahu melayan rajuk Hakimi. Hendak dikatakan Hakimi demam kerana berhujan malam tadi tidak pula.

“Dah berhenti,” beritahu Hakimi dengan muka tidak berperasaan. Sengaja dia hendak melihat reaksi Ila. Agaknya gadis arnab itu akan mengambil berat dengan perihal hidupnya tak? Apalagi mereka sudah tidak dapat berada lebih dekat setiap hari.

Ila mejongketkan kening dan membuat muka terkejut. Dia terasa tidak sedap hati. “Sebab saya ke?” tanya Ila dengan muka bersalah. Sungguh dia tidak mahu Hakimi membuat keputusan hanya kerana dirinya dipecat. Dia juga tidak mahu dituduh menyuruh Hakimi berbuat begitu demi menyusahkan Mira. Yang berlalu tu biarlah, kerana dia selalu percaya di sebalik kelukaan pasti ada bahagia yang bakal Tuhan hadiahkan.

Hakimi tersengih. “Awak ni percaya aje, kan?” gelaknya di hujung kata. Puas hati dapat mengenakan Ila. Balasan kerana membuat dia tertunggu-tunggu di situ seperti burung bangau mengharapkan ikan di musim kemarau.

Ila menjeling geram. Memanglah dia percaya sebab Hakimi nampak serius. Menyesal dia menjenguk Hakimi. Andai tahu Hakimi ingin mempermainkan dirinya, elok dia tidur sahaja tadi.

“Tadi saya jemput mama dari hospital. Jadi cutilah. Bukan berhenti,” beritahu Hakimi. Dia mengukir senyuman.

Ila mengangguk. Baru dia teringat tentang Puan Alia yang masih kurang sihat. Semenjak mama Hakimi dimasukkan ke hospital, belum sekali pun dia melawat wanita itu. Semuanya kerana kesibukkan waktunya bekerja di Maniera. “Auntie Alia apa khabar?” tanya Ila kemudian.

“Sihat. Kalau sakit, dia kat hospital lagi,” jawab Hakimi.

“Awak...” Ila sudah tidak sabar mahu bertanyakan syarat ciptaan Hakimi.

“Biar saya cakap dulu,” potong Hakimi.

Ila herotkan sebelah bibir dan mengangguk.

“Jom kita keluar kejap,” ajak Hakimi. Kakinya terasa lenguh pula berdiri terlalu lama di balkoni.

Ila menggeleng. Penatnya masih belum habis. Kakinya pun sudah terasa kejang.

“Jomlah,” ajak Hakimi sedikit mendesak.

Ila menggeleng lagi.

Hakimi merenung tajam. “Awak kena setuju sebab yang ni termasuk dalam syarat,” beritahu Hakimi. Dia tahu Ila pasti hendak tahu syarat seterusnya apa. Hahaha... terkena juga gadis arnab ni.

Ila menyengetkan mulutnya tidak puas hati. “Mana boleh!” bantahnya sedikit tertekan. Hakimi ini sudah kenapalah agaknya. Suka sangat menyeksa dirinya.

“Apasal tak boleh? Awak dah setuju, ikut ajelah,” balas Hakimi selamba. Dia tahu Ila tiada pilihan dan gadis itu dengan rasa terpaksa akan menurut katanya. “Alah, tak payah nak buat muka cekodok basi tu. Jom kita pergi taman kejap. Saya nak beritahu syarat-syarat yang lain,” beritahu Hakimi.

“Alah, tak payahlah pergi taman. Kat sini pun boleh, kan?” tolak Ila.

Hakimi tersengih. “Tak nak”

“Ish, suka paksa-paksa orang,” rungut Ila.

Hakimi menaikkan ibu jarinya. “Tapi...” tambah Hakimi.

“Tapi apa?” marah Ila.

“Kita naik motor. Awak bawak,” beritahu Hakimi dengan muka comel.

“Hah?” Ila menjeling. Memang tak betul Hakimi ni.

“Nak manja-manja pun tak boleh. Nanti saya dah tak ada dalam hidup awak, baru awak tahu rindu ke tak,” rungut Hakimi tetapi sempat juga hendak mengarut. Matanya dipandang ke atas sambil bersiul kecil.

“Tak ada maknanya nak rindu-rindu awak tu,” balas Ila dengan mata yang dikecilkan.

“Yalah, siaplah kita ni, kan?” Hakimi buat ayat merajuk.

Ila mengerutkan dahi sebelum berpura-pura tersengih.

“Cepat. Saya bagi lima minit untuk awak sampai depan rumah saya,” arah Hakimi sebelum berlari masuk ke biliknya.

Ila genggam tangan. Geram.

PUAN WEANDY menjeling Andrew dengan perasaan kurang senang. Dua biji mangkuk kecil berisi bubur kacang merah diletakkan di atas meja makan.

“Terima kasih, mi,” ucap Andrew.

Puan Weandy mengangguk. Bangku bulat ditarik dan dia duduk. “Andrew...”

“Kenapa, mi? Dari tadi macam ada perkara yang mummy nak sampaikan,” tanya Andrew.

“Mummy bukan nak campur urusan kamu. Tapi, kamu masih belajar. Mummy tak nak kamu terlibat dengan cinta,” kata Puan Weandy. “Apa lagi kalau kamu sudah mula suka pada budak Melayu tu,” sambung Puan Weandy berhati-hati.

Andrew memandang mangkuk buburnya. Keakraban dia dan Ila yang menjadi punca mamanya kelihatan resah rupanya.

Puan Weandy memandang Andrew. Dia yakin Andrew faham apa yang tersirat di hatinya. “Senang cakap, mummy tak nak kamu masuk Melayu,” tambah Puan Weandy. Elok dia berterus-terang daripada membiarkan Andrew terkelip-kelip berfikir, tetapi dia tahu Andrew faham.

Andrew mengukir senyuman. Ternyata perasaan indah yang baru berputik itu telah dicantas mummynya. Tapi boleh ke dia berhenti daripada menyayangi Ila? Atau dia harus mencari cara lain supaya Ila terus di hatinya? “Mi... we're just friends. Bukan macam apa yang mummy fikirkan,” sangkal Andrew meskipun sedar hatinya memang mencintai Ila.

I am your mother. I know what you are thinking. Do not try to lie,” tegur Puan Weandy. Mana mungkin Andrew menipunya jika setiap hari dia memerhatikan tingkah anaknya itu. Setiap kali bermesej, matanya akan bercahaya. Senyumnya meleret. Sewaktu berbual dengan Ila di halaman rumah mereka juga, riak anak itu kelihatan bahagia. Kalau bukan kerana hatinya sedang jatuh cinta, apakah kategori perbuatan anaknya itu?

Andrew mengeluh. Dia sayang mummy tetapi hatinya juga menyayangi Ila. Apa yang harus dilakukan?

“Kalau pun kamu mahu juga bercinta, bercintalah. Tapi, tolong jangan pilih gadis Melayu.”

Andrew menarik nafas. “Mi, kenapa mummy tak mahu terima gadis Melayu? Apakah mummy memusuhi orang Melayu?”

Puan Weandy menggeleng. “Bukan... Mummy tidak memusuhi orang Melayu,” nafi Puan Weandy. Bukan itu maksudnya.

“Kalau bukan begitu, apa alasannya, mummy?” tanya Andrew.

Puan Weandy mengeluh. Dia diam. “Sebabnya, mummy tak nak kamu tukar agama.”

“Kenapa?”Andrew sedar, jika dia menginginkan gadis Melayu, dia harus mengikut agama gadis itu. Tetapi dia tidak berfikir sejauh itu. Hubungannya dengan Ila baru masuk fasa suka-suka, bukan cinta sepenuhnya. Perkahwinan masih terlalu jauh daripada bayangannya.

“Andrew, kamu satu-satunya anak lelaki keluarga Yong. Mummy tak nak bila kami mati nanti, kamu sebagai anak lelaki tidak dapat menyembah kami. Kamu faham adat agama kita, kan?” jelas Puan Weandy.

Andrew tertunduk diam.

“Lagipun mummy tak nak rasa bersalah dengan datuk nenek moyang kerana gagal mendidik kamu,” tekan Puan Weandy. Dia bukan cerewet tetapi sekadar mahu menjaga waris keturunan Yong sebaik mungkin.

Andrew kehilangan kata-kata. Mujur dia belum meluahkan perasaan tadi. Andai mummynya tidak menganggu perbualan dia dan Ila tadi, pasti lidahnya sudah terlanjur menyampaikan rasa hati. Selepas itu apa akan terjadi? Ila mengelarnya penipu kerana mempermainkan perasaan gadis itu? Huh!

Mi, I'm sorry. Please give me time to think,” pinta Andrew.

“Kamu fikirlah baik-baik,” kata Puan Weandy.

Hakimi yang sudah lama menunggu kehadiran Ila tersenyum apabila melihat kelibat gadis itu. Tetapi semakin gadis itu menghampiri kawasan rumahnya, dia mengerut dahi. Kenapa enjin motosikal Ila tidak berbunyi? Dia tidak puas hati dan terus meluru keluar dari pagar rumah. Sebaik berada di jalan, Hakimi buat muka geram. Ila sengaja hendak mencari pasal dengannya petang itu.

“Dah siap? Jomlah,” ajak Ila selamba. Seolah-olah dia tidak membuat kesilapan.

Hakimi menunjukkan muka tidak puas hati. “Naik benda ni?” soalnya geram. Lain diminta, lain pula yang Ila bawa. Gadis arnab ni ada masalah pendengaran ke? Tak pun masalah mengencam objek, gumam hatinya.

“Ha’ahlah, ada benda lain lagi ke?” Ila menoleh ke belakang. Sengaja buat-buat tidak faham dengan reaksi yang diberikan Hakimi. Lelaki itukan suka sangat mempermainkan dirinya. Sekarang giliran dia pulalah.

“Tadikan saya suruh awak... hmm.” Malas Hakimi hendak mengulang permintaannya di balkoni tadi.

“Nak naik, tak?” desak Ila. Hatinya mula bersorak suka. Padan muka Hakimi.

Hakimi mengecilkan mata. Dahinya berkerut. “Sebenarnya awak rindu saya bawak awak macam dulu tu, eh,” sakat Hakimi. Teringat perkenalan kedua mereka dulu. Kalau tidak kerana peristiwa itu, belum tentu lagi mereka berada sedekat itu sebagai kawan.

Ila buat muka geli. Kemudian dia tersengih dan menggeleng. Hakimi banyak sangat berangan.

“Jangan nak perasanlah Encik Hakimi? Benda alah ni ada dua tempat duduk, dua pasang tempat kayuh dan dua pasang alat pemegang. Tak ada maknanya awak nak bawak saya. Kita bawak diri masing-masing,” balas Ila bersahaja. Dia tahu Hakimi pasti begang. Rasakanlah. Tak peduli orang penat nak ajak keluar juga, rungut hati Ila.

Hakimi memuncungkan mulutnya. Hisy, memang dia terkena. Kalau banyak cerita nanti, Ila balik pula. Naik jugalah. “Tak apa. Ada lori, ada bas...”

“Hari-hari awak terbabas,” sambung Ila sambil ketawa. Suka dia kerana berjaya membuli Hakimi.

Mereka mula mengayuh basikal kembar itu.

Hakimi yang mengayuh di belakang Ila terasa mahu mengetuk sahaja kepala gadis arnab itu. Ada ke patut basikal berkembar itu yang dibawanya. Grrr...

“Encik Hakimi,” panggil Ila.

“Encik, encik... awak tu bukan pekerja Maniera lagi,” marah Hakimi. Dia tidak suka Ila memanggilnya begitu. Ila bagaikan sengaja mahu meletakkan jurang antara mereka.

Ila mencebik. Nak bagi penghormatan pun salah, omel hatinya.

“Cakaplah,” arah Hakimi geram bila Ila diam. Janganlah nak buat perangai merajuk lagi. Dia rimas.

“Hmm... sejak jadi bos ni awak dah makin garanglah,” kata Ila. Sikap garang Hakimi semakin menjadi-jadi pula.

“Mestilah,” balas Hakimi angkuh.

Ila tersengih sambil menayang gigi. Tetapi sah-sah perbuatannya Hakim tidak nampak. “Hmm.. tak nak cakap pasal Manieralah. Nak cakap pasal syarat awak tu.”

“Alah, carilah tempat boleh duduk dulu. Terjerit-jerit bercakap macam ni. Seluruh taman orang boleh pasang telinga jadi saksi. Kalau saksi angkat nikah tak apa juga,” usik Hakimi.

Ila diam. Hakimi dah mula melalut. Mereka sudah masuk kawasan rekreasi Taman Botanic. Mata Ila memerhati bangku yang kosong.

“Kita duduk kat sanalah. Lapang dan redup,” beritahu Ila sambil matanya melihat pohon-pohon besar yang tegak merendang. Cantik alunan daun-daun yang disapa angin petang. Daun-daun kering yang berguguran pula kelihatan seperti musim luruh di luar negara. Dia suka dengan fenomena itu.

Hakimi mengangguk.

“Awak, saya dah tak payah berlakon jadi girlfriend awak depan Cik Juliesa lagi, kan?” tanya Ila sebaik teringatkan hal itu.

Hakimi mengerut dahi. Kenapa itu yang ditanyakan? Mereka ke situ hanya kerana hal mereka berdua sahaja. Dia tidak mahu nama orang ketiga diseret masuk dan merosakkan suasana.

“Awak dengan dia dah rujuk balik ke?” tanya Ila. Manalah tahu lepas ini Hakimi ada ura-ura hendak berkahwin pula. Tidak perlulah dia meluangkan masa dengan bakal tunangan orang itu lagi.

“Siapa cakap?” tanya Hakimi.

“Saya nampak awak dengan dia,” beritahu Ila. Bukan dia cemburu. Dia hanya hendak mengetahui kedudukan hubungan Hakimi dan Juliesa sahaja.

“Kat mana?” tanya Hakimi. Dia terlupa yang dia dan Juliesa ada keluar bersama sebelum ini.

“Depan Maniera hari tu,” beritahu Ila lurus.

“Saya keluar makan dengan dia aje. Kenapa?” soal Hakimi. Ila cemburu ke?

“Kenapa apa?” Ila bertanya kembali.

“Awak jelous ke?” tanya Hakimi tanpa selindung.

“Hahaha... tak ada maknanya,” balas Ila. Tetapi pada hari dia ternampak Hakimi dan Juliesa, hatinya memang dicuit perasaan cemburu. Mungkin masa itu dia marah dengan cara Hakimi melayan Juliesa. Sekejap suka, sekejap benci. Tiada pendirianlah mamat tu.

Hakimi tarik muka. Benarkah Ila langsung tidak ada apa-apa peasaan terhadapnya?

Ila memandang Hakimi sebelum mengukir senyuman. “Awak... sebenarnya saya penatlah. Tadi baru balik dating dengan Andrew. Sekarang kena dengar syarat merapu awak pulak kat sini,” keluh Ila sambil duduk.

Hakimi menghembus nafas. Tidak suka mendengar Ila mulai rapat dengan Andrew. Mulalah akal jahatnya datang. Yang bukan-bukan dirancangnya sebagai syarat. Biar merepek asal Ila tidak jauh daripadanya. Tetapi sampai bila pula? Dia ada misi untuk mengambil alih syarikat ibunya. Hendak kena kahwin pula tu. Nak ke Ila yang baru hendak mengenal hidup ini menjadi isterinya? Mahu pula ke ibunya menerima menantu semuda itu?

“Woi, berangan ke?” sergah Ila bila Hakimi masih berdiri terpacak dan berfikir.

Hakimi menggaru keningnya sebelum duduk di sebelah Ila. Wajahnya hambar seketika. Ada banyak lagi masalah yang mahu difikir rupanya. Kenapalah hidup ini tidak seindah mimpi?

“Dalam dua bulan lagi. awak akan jadi mahasiswi, kan?” tanya Hakimi. Itu satu lagi halangan untuk dia mendekatkan diri dengan Ila. Tetapi dia tidak kisah, andai Ila ditawarkan menyambung pelajaran jauh dari tempat tinggal mereka. Dia sanggup berulang alik dua ke tiga kali seminggu untuk menemui gadis arnab tu. Andrew boleh buat macam tu? Pastilah tidak. Jadi dia ada lebih banyak peluang berbanding Andrew. Hati Hakimi kembali tersenyum.

Ila mengangguk. “Mungkin,” jawab Ila.

“Jadi, syarat yang seterusnya... saya nak awak selalu boleh freekan masa bila saya ajak keluar,” beritahu Hakimi mahu mengambil kesempatan dengan masa yang ada walaupun dia tidak perlu berbuat demikian.

Ila ketawa. Syarat Hakimi itu boleh tahan juga mendera dirinya.

“Saya ni anak dara orang, bukan isteri awak,” jawab Ila.

“Hmm... kalau awak nak jadi isteri saya lagi senang. Tak payah nak bersyarat lagi dah,” balas Hakimi dengan muka tak berperasaan.

“Kalau saya nak kena ikut selera awak, syarat tu jadi tak adil dan tak untungkan saya. Jadi, tak naklah,” balas Ila.

“Saya yang bagi syarat tu. Jadi, awak kena terima aje tanpa bantahan. Kalau membantah, malam karang saya hantar rombongan meminang ke rumah nenek awak,” ugutnya dengan senyuman jahat.

Ila merenung Hakimi. “Helo, jangan nak buat pasal!” Lelaki ni kenapa? ‘Orang tak mahu, dipaksa-paksa pula. Siap nak membabitkan nenek aku pulak lagi tu,’ rungut hatinya.

“Tak nak saya buat pasal, terima ajelah. Saya bukan ajak awak keluar hari-hari,” tekan Hakimi. Ila ingat senang hendak lari daripadanya? Jangan mimpi!

Ila menyengetkan mulut. Dia terkena lagi. Hakimi ni bukan boleh percaya. Semalam dengan beraninya dia datang ke rumah Hanim. Tidak mustahil juga dia akan buat apa yang dicakapkan tadi. Argh... “Okey, tapi sampai bila?” Setuju Ila dengan muka sedih.

“Tak payahlah nak buat muka macam tu. Tak lawa pun,” tegur Hakimi.

Ila menjeling geram. Hakimi ni memang tidak sensitif langsung dengan perasaan orang perempuan.

“Selamanya,” beritahu Hakimi kemudian.

“Hah? Gila?” bantah Ila.

“Gila tak gila awak dah cakap okey. Kira setujulah tu. Orang Islam tak boleh munafik,” kata Hakimi.

Ila menjegilkan mata. Wah! Hakimi sudah pandai hendak mengkuliahkan dirinya.

“Kalau syarat awak tu untuk sebulan, bolehlah saya pertimbangkan. Kalau sampai kita sama-sama tua dan saya kena tunggu awak mati dulu, memang tak adil,” bantah Ila.

Hakimi senyum. Keningnya dinaikkan.

“Alah, rilekslah. Belum tentu lagi saya ada aje dengan awak,” kata Hakimi.

Ila mengerut dahi. Dari hari itu, Hakimi asyik bercakap bagaikan orang hendak pergi mati. Kenapa? Mulalah dia tidak sedap hati.

Previous: Bab 35
Next: Bab 37

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.