SLACKhitam dan kemeja biru disarung ke badan. Muka yang letih dibelek
depan cermin. Hakimi mengeluh. Dia tidak faham langsung dengan dirinya yang
tidak boleh tidur malam tadi? Insomnia ke? Yang pasti, balik dari berkaraoke
semalam fikirannya tidak mahu berhenti daripada memikirkan Ila. Kenapa pula dia
nak cemburu?
Kenapa aku nak marah tanpa sebab ni? Budak Cina
tu kan jiran kita orang. Selalu berbual dengan Ila kat balkoni. Sama macam aku.
Malam tadi budak hamster dan budak squirrel pun ada sama. Suka
hati dia sahaja menggelar adik-adik sepupu Ila begitu. Hakimi memandang cermin
lagi.
“Kau kenapa Hakimi? Buang tebiat ke?” tanya
Hakimi pada dirinya sendiri. Tidak mungkinlah dia jatuh hati dengan Ila. “Ah,
mustahil!” Nafi Hakimi. “Bodoh la aku ni! Ila tu siapa? Bukan siapa-siapa pun.”
Hakimi menggeleng sebelum turun ke tingkat bawah.
Puan Alia memerhatikan Hakimi. Lain sahaja corak
pemakaian anaknya itu hari ini. Tidak seperti selalu berseluar jeans dan
T-shirt.
“Kim nak pergi mana ni?” tanya Puan Alia. Dia
menghampiri Hakimi. Dalam hati masih tertanya-tanya kenapa Hakimi kelihatan
lain. Segak memanglah segak, tetapi tiba-tiba berpakaian pejabat begitu kenapa?
Sudah ada niat mahu bekerja ke? Jika benar, senang hatinya.
“Jumpa Kak Mira,” jawab Hakimi.
“Ada apa?” tanya Puan Alia lagi. Tiba-tiba mahu
berjumpa dengan Mira, anak tirinya itu kenapa? Setahu Puan Alia, Hakimi jarang
berjumpa dengan adik-beradik sebapanya yang lain. Ada yang tidak kena ke?
Hakimi yang sedang duduk menyarung kasut
memandang mamanya. “Mama nak Kim kerja, kan? Kim nak pergi minta kerjalah ni,”
beritahu Hakimi. Dia tahu Puan Alia pasti gembira mendengar berita itu. Itu
yang Puan Alia mahu. Maka, ditunaikanlah. Alasan hatinya yang jauh menyimpang
dari kebenaran. Walhal dia lakukan semua itu kerana rasa tercabar dengan
pertaruhan bersama gadis arnab tu.
Puan Alia mengangkat kening. Betul ke apa yang
dia dengar ni?
“Kim pergi dulu, ma,” pinta Hakimi. Tangan Puan
Alia dikucup.
Puan Alia masih terpinga. “Yalah. Hati-hati,”
pesan Puan Alia.
PINTU kaca disorong perlahan. Ila melangkah ke balkoni. Sebaik sahaja
berdiri di situ, pandangan di buang ke langit. Cuaca cerah. Nafas ditarik
sedalamnya. Dia menghirup udara pagi. Pandangan beralih ke balkoni Hakimi.
Pintu kacanya tertutup rapat. Sangkanya Hakimi masih tidur. Dia masuk semula
dan turun ke tingkat bawah.
“Tak keluar ke hari ni?” tanya Hanim sebaik Ila
mengambil tempat di meja makan.
Ila menggeleng sambil mencapai sandwich
tuna.
“Achik nak tanya sikit boleh?” tanya Hanim lagi.
Ila mengangguk sambil mengunyah.
“Ila dengan Hakimi tu ada apa-apa ke?” tanya
Hanim. Kalau bukan kerana Mak Leha yang suruh bertanya, dia pun malas juga
hendak bertanya.
Ila mengangkat kening buat muka terkejut. Apasal
semua orang tanya pasal Hakimi ni. Bukan dia rapat dengan Andrew lagi ke?
Ila menggeleng.
“Hmm… ingatkan ada apa-apa,” balas Hanim
seakan hampa. Hari-hari diperhatikan Ila, memang tidak nampak pun anak
saudaranya itu seperti dilamun cinta. Masih Ila yang riang dan lucu. Biasanya
orang yang terkena penyakit cinta mesti senyum sorang-sorang. Mabuk kepayang
ingatkan kekasih. Mesti hendak berbual berjam-jam sampai cuping telinga panas.
Telefon bimbit di tangan juga tidak boleh lekang kerana hendak berbalas mesaj
sampai terlelap.
“Dia tu tak betul sikitlah, achik. Nak buat
kawan bolehlah. Kalau boyfriend kena fikir banyak kali,” beritahu Ila.
Dia tidak pernah bermimpi hendak menjadi girlfriend Hakimi walaupun
berpeluang.
Hanim mengukir senyuman. Tidak mahu masuk campur
soal siapa pilihan Ila. Lagipun perjalanan hidup Ila masih jauh. Ramai lagi
lelaki dengan pelbagai ragam yang akan ditemui. Asal Ila tahu memilih dan
menjaga diri itu sudah cukup baik.
KEHADIRAN Hakimi di pejabat Mira mencuri perhatian gadis-gadis di situ.
Tetapi Hakimi tidak kisah pun. Dia sudah terbiasa melalui hal sedemikian dalam
hidup. Yang dia kisah, kenapa Ila tidak memandangnya seperti perempuan lain
pandang? Adakah tidak bekerja itu benar-benar menjadikan dirinya kurang
menyerlah di mata Ila? Sekarang dia hendak bekerja. Dia nak tengok Ila pandang
dia ke tidak. Kalau tidak, memang Ila sengaja hendak membulilah.
“Puan Mira ada?” tanya Hakimi.
“Encik ada buat temu janji?” tanya Shasha, penyambut
tetamu di bahagian korporat. Mata gadis itu tidak memandang Hakimi, lebih
tertumpu ke majalah keluaran Maniera Group Sdn Bhd.
Hakimi berdehem, kurang senang dengan cara gadis
itu melayan tetamu.
“Kalau tak ada temu janji, tak boleh jumpa. Bos
kami tu bukan orang sebarangan. lagipun dia tak ada masa nak layan orang yang
tak ada kepentingan,” omel Shasha. Chewing gum yang dikunyahnya
ditiup menjadi belon.
Ya ALLAH, Hakimi tarik nafas. Geli. Tetapi dia
masih bersabar. Kaca matanya dibuka. Dia menggeleng dan terus berlalu ke dalam.
Buat buang masa sahaja berdiri depan gadis itu.
Shasha mengangkat muka dan menoleh bila Hakimi
sudah melintasinya. “Eh, encik nak pergi mana?” laung Shasha. Cepat-cepat dia
mendapatkan Hakimi. Ingat ini tempat apa suka-suka aje nak redah? Marah
hatinya. Semua pelawat yang datang ke situ harus membuat temu janji terlebih
dahulu. Syarikat ni bukan pasar raya yang boleh keluar masuk sesuka hati.
Apalagi itu bahagian korporat, tempat paling penting dalam bangunan itu.
Hakimi berhenti. Muka Shasha dipandangnya
sekilas. Kemudian dia berjalan semula.
“Encik!” jerit Shasha. Sakit hatinya dengan
kedegilan lelaki itu. Memanglah wajahnya tampan, tetapi dunia hari ini orang
jahat pun memang rupanya begitu. Senang hendak mengaburi mata orang dengan
mempamerkan muka baik, walhal ada niat tersembunyi.
Hakimi tidak peduli. Sebaik menghampiri bilik
Mira, lengannya dipaut.
“Encik!” jerit Shasha lagi membuatkan kakitangan
lain memandang. Dia tidak peduli, lelaki yang perasan dirinya hebat sangat itu
harus dihalang daripada memasuki bilik bos mereka. Manalah tahu kerana tidak
menghalang lelaki itu dia kehilangan pekerjaan pula.
Zalikha, setiausaha Mira mendapatkan mereka.
“Kenapa?” tanya Zalikha. Dia sempat mencuri pandang Hakimi. Tampannya, bisik hati
Zalikha. Itu kali pertama dia melihat Hakimi di situ. Mukanya mirip seseorang.
Siapa? Dia berfikir sejenak.
Shasha melepaskan lengan Hakimi. “Encik ni nak
jumpa Puan Mira tapi tak ada appointment!” beritahu Shasha.
Hakimi memandang Zalikha. Malas hendak melayan
perempuan satu lagi itu. Dari tadi langsung tidak ada adab sopan. “Saya adik
dia,” beritahu Hakimi sambil menoleh ke pintu bilik yang tertulis nama Mira
sebagai COO.
Zalikha mengangkat kening. Dia sudah menangkap
mirip wajah lelaki di depannya itu. Patutlah ada iras, Hashim, bisik hati
Zalikha. Dia tersenyum nipis kepada Hakimi.
“Eleh, semua orang nak mengaku saudara Puan
Mira. Saya pun nak jadi adik dia,” protes Shasha. Ingat senang ke hendak menipu
dia.
Hakimi menoleh kepada Shasha. Pekerja seperti
apa yang ditugaskan sebagai penyambut tetamu ni? Jaga kau nanti. Gadis itu
pasti dikenakan suatu hari nanti.
“Sha, pergi balik tempat awak!” arah Zalikha
tegas.
Shasha menjeling, namun tidak membantah.
“Maaf, encik...”
“Hakimi,” beritahu Hakimi.
“Encik Hakimi, tunggu sekejap ya. Saya nak tanya
Puan Mira kalau dia dah free. Sebab tadi dia pesan tak nak diganggu,”
beritahu Zalikha dengan senyum manis. Dia menuju ke mejanya dan mendapatkan
telefon.
Sesaat... dua saat...
“Encik Hakimi boleh masuk,” beritahu Zalikha
sambil berjalan ke pintu bilik Mira. Tombol dipulas sebelum memberi Hakimi
isyarat untuk masuk.
Mira megangkat muka dan memandang Hakimi.
Mukanya kelihatan serius. Sebaik Hakimi sudah berdiri di hadapan mejanya baru
dia membuka mulut. “Duduk Kim” pelawa Mira yang masih sibuk dengan artikel yang
melambak atas meja.
“Kak Mira sibuk ke?” tanya Hakimi walau tahu itu
yang sedang dihadapi Mira. Tidak mungkinlah Mira memberi jawapan tidak dengan
muka penuh tekanan begitu. Cermin mata yang terlurut di atas hidung juga tidak
sempat dibetulkan. Serabut benar kakaknya yang cantik itu.
“Sibuk juga,” jawab Mira perlahan.
“Kalau macam tu, bila Kim boleh datang tolong?”
Hakimi sudah tidak sabar mahu menjadi sebahagian dari Maniera.
Sekali lagi Mira angkat muka dan duduk
tersandar. Tugasnya sebagai COO (Chief Operating Officer) merangkap
Ketua Pengarang di Maniera Group itu memang sangat mencabar dan meletihkan.
Tambahan lagi, jawatan Pengarah Kreatif yang disandang Hashim juga terpaksa
dipikul. Bukan dia tidak berusaha mencari pengganti Hashim, namun calon yang
datang untuk temu duga setakat itu masih belum memenuhi kelayakan yang
ditetapkan.
Lagipun sebelum Hashim bercuti, adiknya itu ada
mencadangkan Hakimi. Daripada Hakimi duduk di rumah membuang masa dan menghabiskan
duit saku, eloklah dia memberi Hakimi peluang.
“Sebaiknya sekarang,” jawab Mira. Jika tidak,
boleh pitam dia hendak meneliti, memilih dan meluluskan artikel dan bahan-bahan
terbitan untuk majalah akan datang. Mana hendak memikirkan soal iklan dan
mesyuarat berkumpulan setiap dua minggu lagi. Baca majalah senanglah. Hendak
menerbitkan majalah bukannya senang. Setakat dua tiga orang sahaja yang bekerja
memang tidak menjadi.
Hakimi memandang Mira. “Kim tak ada masalah
kalau Kak Mira nak Kim mula cepat,” beritahu Hakimi penuh semangat.
Mira tersenyum. “Baguslah kalau macam tu.”
Lapang fikiran Mira seketika. Harapnya memang Hakimi benar-benar boleh
membantu. Jangan menjadi hantu dalam syarikat itu sudahlah. Cukuplah seorang
sahaja yang suka bikin huru-hara dalam syarikat itu dengan menganggu
gadis-gadis muda di jabatan pemasaran sebagai teman bermain mata.
“Kak...” Hakimi teringatkan Ila. “Abang Hashim
kata kat bilik pakaian ada jawatan kosong. Kalau Kim nak letak kawan Kim kat
situ boleh, tak?” pinta Hakimi.
Mira memandang Hakimi. Dia mengerutkan dahi. Dia
tidak pasti jawatan itu masih ada lagi atau tidak. Dia mengangkat telefon dan
bertanyakan kepada Zalikha. Telefon diletak semula. “Hmm... memang ada. Kalau
nak letak kawan Kim kat situ, suruhlah dia e-mailkan resumesegera,”
arah Mira.
“Kalau tak payah, tak boleh ke?”
“Tak bolehlah, Kim. Ni prosudersyarikat.
Kita nak juga tahu mengenai pekerja. Takkan fail pekerja tu kosong aje. Kalau
jadi apa-apa nak rujuk siapa?” jawab Mira. Lagipun sebagai ketua, dia harus
bersikap tegas. Tidak boleh ada sikap pillih kasih. Tidak mahu juga menimbulkan
suasana tidak selesa di kalangan kakitangan pejabatnya hanya kerana mahu
menjaga perasaan keluarga sendiri.
Hakimi tersenyum nipis. “Okeylah, nanti Kim
suruh dia e-mailkan.”
“Kim ni betul-betul ke nak tolong Kak Mira?
Jangan nanti kerja sehari dah cakap tak nak teruskan. Susahlah Kak Mira nanti,”
tanya Mira risau. Sudah bertahun ahli keluarganya menyuruh Hakimi bekerja
tetapi tidak dipedulikan. Tahu-tahu kali ni Hakimi sendiri serah diri ke situ.
Apa sudah jadi? Betul-betul hendak bekerja atau hendak bermain-main dalam
syarikat itu?
“Betullah kak, takkan nak main-main pulak. Kim
dah puas buang masa. Sekaranglah masanya untuk berbakti pada syarikat kita.”
Pandai sahaja Hakimi mengayat. Dia tahu Mira seorang yang tegas.
Mira tersenyum. “Kawan yang Kim nak bawa tu
lelaki ke perempuan?” siasat Mira.
“Perempuan,” jawab Hakimi.
“Kekasih?” selidik Mira lagi.
“Taklah, saja nak tolong budak tu cari
pengalaman kerja,” dalih Hakimi. Mungkinkah Ila bakal kekasihnya ke? Dia
tergelak dalam hati.
Mira mengangguk walau hatinya tidak mahu
percaya. “Harap memang bukan kekasih Kim. Kak Mira tak nak nanti pekerja lain
bergosip pulak dalam pejabat ni. Silap-silap dia orang tulis cerita Kim dalam
majalah,” gurau Mira dalam serius.
Hakimi memandang Mira. Hendak bergosip pasal
apa? Ila tidak pandang dia pun.
“Kak, anak kesayangan bini muda papa tu kat
bahagian mana?” Hakimi teringat adiknya yang selalu mahu bersaing dengannya
itu.
Mira menjeling dan menggeleng. Itu satu lagi
masalah. Dua orang manusia ini, kalau berjumpa pasti suka mencari pasal. “Nanti
dah kerja, Kim tahulah.”